Selasa, Mei 14, 2013

Tentang kekayaan, tulisan Jawi dan perpaduan.

Jalur Gemilang: Panji kebanggaan semua.
Buku biografi bergambar Michael Jackson, yang saya hadiahkan sempena hari lahir Mr Victor, Ketua Kerani sewaktu saya menjalani latihan chambering pada 2011. Beliau berbangsa India dan menganut Kristian, tetapi sangat menyenangi tulisan Jawi yang saya coretkan pada halaman pertama buku ini. 
I
“Tenaga dan kemampuan diperhitungkan 
berjuanglah dalam satu barisan 
umpama batu teratur menjulang ke awan 
itulah tunggak dalam merancang” 
– Merancang Kerja (NowSeeHeart).
-----------------------------------------------
Dua-tiga hari ini, muncul isu salah-faham mengenai tulisan Jawi yang disalah-tafsir sebagai ayat Al-Quran pada lilitan kepala seorang wanita. Tulisan tersebut sebenarnya merujuk kepada nama sebuah parti politik tanah air. Sejelasnya, saya sedikit sayu juga apabila ramai dalam kalangan anak Melayu khususnya, yang belum tahu membaca tulisan Jawi, apa lagi sejarah dan kesannya kepada masyarakat Nusantara satu masa dahulu. Semoga kita semua berikhtiar untuk menyemarakkan tulisan ini dalam kalangan masyarakat kita, sebagai satu tulisan pemersatu umat: warisan yang tak ternilai khazanahnya.

II
Bercakap soal tulisan dan perpaduan, saya tertarik dengan perkongsian seorang sahabat Fb saya, Bro Hangpc ini:
  1. Nama belakang kelab bola sepak yang popular di seluruh dunia ialah ‘UNITED’.
  2. Kebanyakan kelab-kelab yang baru ditubuhkan di Asia, kebanyakan memakai nama ‘UNITED’.
  3. Kalau di negara Arab, dipanggil ‘AL-ITTIHAD’ yang bermaksud ‘UNION’ atau ‘UNITED’.
  4. Kalau nak diMelayukan atau diIndonesiakan, akan jadilah ‘BERSATU’ atau ‘KESATUAN’ serta ‘SERIKAT’.

III
Justeru, untuk kesekian kalinya, saya dengan rendah diri berdoa dan memohon kepada semua sahabat dan pembaca yang budiman, agar tidak bermain dengan sentimen perkauman sempit. Islam tidak mengetepikan persoalan mengumpul harta kerana ia adalah sumber kehidupan. Tapi, untuk apa kaya harta jika miskin adab dan budi bahasa? Sama-samalah kita saling hormat-menghormati antara satu sama lain. Bukankah kita semua rakyat Malaysia?

Ingatlah bait indah puisi Jalaluddin al-Rumi, “Di manapun, jalan untuk mencapai kesucian hati; ialah melalui kerendahan hati.” Matlamat kita bernegara bukan sekadar untuk menjadi rakyat yang berpendapatan tinggi. Kita mahukan tatakelola yang baik dari segi urus tadbir negara. Para pemimpin perlu menyantuni kebajikan rakyat untuk mendapatkan sokongan masyarakat terbanyak. Pokoknya ialah dasar pemerintah serta perlaksanaannya, di samping kesediaan rakyat terbanyak untuk bersikap dengan sikap masyarakat yang rasional, hikmah dan bertamadun. Akhir kalam, katakan tidak kepada fahaman perkauman sempit. Hidup Malaysia kita.

:)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Dr. Zulkifli Hasan: Menjambatani Persaudaraan, Menyubur Kesejahteraan

  Dr. Zulkifli Hasan: Menjambatani Persaudaraan, Menyubur Kesejahteraan   Oleh: Zairudin Hashim (Ahli Dewan Tertinggi Majlis Belia M...