Rabu, Mei 29, 2013

Piala FA 2013 dan malam epik di Kuantan.

Piala FA 2013 dan malam epik di Kuantan.
Hari ini ada dua berita besar tentang liga kita. Pertama, Kelantan FA berjaya ‘mempermainkan’ perasaan peminat Terengganu FA apabila mara ke Perlawanan Akhir Piala FA 2013, meskipun tewas 2-4 kepada Terengganu di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah. The Red Warriors menang dengan agregat 6-5, dalam sebuah perlawanan yang berlangsung dengan penuh debaran dan dramatik, baik layangan kad merahnya, mahupun komitmen tinggi para pemain Skuad Penyu.

Kedua, berita besarnya ialah isu limpahan penonton di Stadium Darul Makmur (SDM), Kuantan. Saya cukup simpati dengan penyokong-peminat yang datang dari jauh, beratur panjang membeli tiket. Mengharungi kesesakkan jalan raya ke SDM, tetapi akhirnya, pulang hampa. Ini berikat-rapat dengan soal integriti, ke mana halanya duit hasil jualan tiket yang berlebihan itu?

Sebagai penyokong dan peminat, pastinya kita akan rasa kecewa dan ralat. Semoga ini jadi pengajaran yang baik. Berkebetulan Presiden FAM pun hadir. Jadi, semoga tindakan tegas diambil, supaya peristiwa sama tak berulang lagi.

Sepertimana yang kita sedia maklum, asas kepada penjualan tiket, tidak boleh melebihi jumlah kuota, di mana perlu ada ruang disediakan antara penyokong tuan rumah dan penyokong lawan, yang disebut sebagai zon penampan (buffer zone). Kalau sudah melimpah sampai ke balapan, saya tidak tahu lagi apa alasannya.

Tidak sedikit penghuni Twitterjaya dan Facebookjaya yang menuntut perubahan – reformasi dan transformasi – dilakukan kepada sistem pentadbiran bola sepak negara. Saya terbuka dengan istilah: gunalah istilah ‘reformasi’, ‘transformasi’ waimah ‘airtinsarsi’ sekalipun, asalkan kebajikan rakyat terbanyak ini disantuni. Liga kita baru nak naik semula, namun masih ada isu profesionalisme yang menghambat. Bukan sedikit jumlah peruntukan-dana yang disalurkan.

Sebelum kita serius membida untuk mendapatkan hak menganjurkan Piala Dunia, molek kiranya kita perbaiki sistem pengurusan dan pentadbiran bola sepak kita. Kes Pahang-JDT di Stadium Darul Makmur adalah pengajaran yang baik, di mana isu pengagihan tiket serta keselamatan stadium wajar diperhalusi lagi. Harapan kita sebagai rakyat terbanyak, tindakan tegas dikenakan kepada yang bersalah. Penyiasatan perlulah dijalankan dengan telus.

Di Stadium Shah Alam yang besar itu pun pernah padat sewaktu perlawanan epik Kedah-Selangor. Soalnya, tidakkah kita belajar dari peristiwa 90an itu pada era 2000an ini? Maka kecenderungan untuk penulis buku ‘Cerita Malaysia Tidak ke Piala Dunia’ menambah beberapa bab ke dalam bukunya, adalah tinggi.

Juga, kredit untuk kucing comel yang telah melengkapkan malam epik liga kita musim ini. Sekurang-kurangnya, ramai yang mengemaskini status tentang liga kita malam ini. Pada malam epik ini, nostalgia era kemeriahan liga kita menggamit kembali memori. Bahagia? 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...