Logo Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM).
|
“Terbanglah kerana maruah dan harga diri; Kerana kesucian dan ketaqwaan hati; Akan menghantarmu ke mana-mana yang kau ingini.” --
“Puisi untuk Kakanda”, karangan
mantan Presiden ABIM, Tuan Haji Azam Abd Rahman.
*****************************
Pada 26 dan 27 Mei 2012, bertempat di Kompleks Rakan Muda Klang, Sementa, Ijtima’ Harakiyy WADAH-ABIM-PEPIAS (WAP) Negeri Selangor kali Pertama 1433H-2012 telah dianjurkan dan dihadiri oleh kurang-lebih 300 orang ahli, perwakilan dan pemerhati. Perhimpunan ini adalah bermatlamatkan pengukuhan hubungan silaturrahim sesama ahli gerakan yang terus bergiat aktif dalam pelbagai platform iaitu pelajar melalui PEPIAS, belia melalui ABIM dan dewasa melalui WADAH. Sekadar berkongsi, ABIM Selangor pada tahun ini sedang meraikan sambutan 40 tahun penubuhannya. Justeru itu, penganjuran Ijtima’ Harakiyy WAP Negeri Selangor ini merupakan manifestasi rangkaian perjuangan tiga generasi aktivis dakwah di Negeri Selangor.
Pada 26 Mei 2012, antara
program yang dijalankan ialah “Wacana
Pengkisahan ABIM Selangor” yang menampilkan para mantan aktivis dan
pimpinan awal ABIM dan HELWA Selangor jaman 80an dan 90an yang kini
kebanyakannya berjuang bersama WADAH. Sementelahan,
pada sebelah malamnya, dianjurkan “Malam
Apresiasi Petugas Dakwah dan Sambutan Hari Guru ABIM Peringkat Negeri Selangor”. Bait
“Celik Mata, Celik Hati” yang
dideklamasi menerusi sajak nukilan mantan Yang Dipertua ABIM Selangor, Cikgu
Muslimin Yaakop, telah mewarnai kemeriahan
“Wacana Pengkisahan ABIM Selangor”. Cikgu Muslimin yang berperanan selaku moderator wacana tersebut turut ditemani
oleh barisan ahli panel yang terdiri daripada generasi pengasas awal ABIM Negeri
Selangor; Tuan Haji Muhamad Salleh Abu Bakar, Ustaz Arshad Taib, Tuan Haji
Kasno, dan Tuan Haji Mukhtar Ramli. Di
samping berkongsi pengalaman mengembangkan dakwah serta mengasaskan institusi
dakwah seperti TASKI, para panelis turut menekankan kepentingan kepada generasi
muda untuk terus Istiqamah dalam ibadah serta ‘amal jam’iyy’ sebagai bekalan penting seorang pendakwah. “Jadikan usrah serta program tarbiyyah
sebagai KPI utama dalam menilai prestasi ABIM secara keseluruhannya”, saran
Ustaz Arshad Taib. Menyingkapi fenomena-fenomena dakwah semasa yang
membayangi perkembangan ABIM, Tuan Haji Mukhtar Ramli menyakinkan generasi baru
penggerak ABIM bahawa mereka seharusnya merasa bersyukur kerana memilih untuk
bersama dengan gerakan ini (ABIM). “Dengan
teras gerakan yang mantap serta kukuh, ABIM terbukti berjaya mengatasi pelbagai
cabaran persekitaran. Tarbiyyah serta latihan yang dikemukakan ABIM terbukti
membantu para penggeraknya melepasi pelbagai cabaran serta rintangan yang
dihadapi dalam hidup mereka”, ujar beliau sambil mengaitkannya dengan
pengalaman para penggerak awal ABIM.
__________________________________________________________
__________________________________________________________
27 Mei 2012.
Seterusnya,
pada 27 Mei 2012, Ijtima’ Harakiyy dimulakan dengan bacaan ayat suci
Al-Quran oleh wakil PEPIAS, sebelum disusuli dengan nyanyian penuh semangat
nasyid Asmaul Husna, lagu rasmi
PEPIAS dan lagu rasmi ABIM.
Tuan Haji
Yusuf, Timbalan Pengerusi WADAH Selangor.
Tuan
Haji Yusuf, Timbalan Pengerusi WADAH Selangor, dalam ucapannya, menegaskan
bahawa ABIM akan terus relevan meski siapa pun yang memerintah negara kita. Hal
ini demikian kerana, Peperangan Uhud dan Badar mendidik kita bahawa jumlah dan
angka bukanlah segala-galanya. Uhud,
sebagai pengajaran dan tarbiyyah terbaik untuk kita renungi bersama, menurut Haji
Yusuf, agar kita tidak terlalu selesa dengan pencapaian dan kegemilangan silam
mahupun hari ini, kerana bila ada masanya kita dijulang, pasti ada masanya ada
usaha untuk menjatuhkan. Uhud
juga, tegas beliau, mendidik kita agar mematuhi arahan pucuk pimpinan, tatkala
kita menginsafi bahawa harta dan wang ringgit itu adalah ujian yang sangat
besar. Justeru, Haji Yusuf menekankan bahawa usia pencen dan jangka hayat dalam
berdakwah adalah panjang, yang mana penghujungnya hanyalah maut.
_________________________________________________
Presiden PEPIAS sesi
2011-2012, Saudara Mohd Zulhelmi Abdullah.
Selanjutnya, Presiden
PEPIAS sesi 2011-2012, Saudara Mohd Zulhelmi Abdullah, dalam Ucapan Dasarnya,
menyentuh bagaimana media baru seperti Facebook,
Twitter dan Blog bisa mencambah
benih aktiviti provokatif dan perjuangan bermusim, jika fungsinya tidak
diladeni dengan baik dan betul. Saudara
Zulhelmi juga menegaskan bahawa pembentukan ‘rijal’ iaitu generasi Muslim bertaqwa dan tangkas, bukanlah satu
pilihan, tetapi satu kemestian. PEPIAS juga menyuarakan pendirian selari dengan
ABIM Selangor dan Pusat dalam hal bantahan penangguhan J-QAF. PEPIAS juga
menyeru agar bantuan yang lebih dapat diberikan kepada KAFA bagi menambahbaik
institusi tersebut. Beliau
mengakhiri ucapannya yang bertajuk “Mengutamakan
Jihad Ta’limi Generasi” dengan menggesa agar generasi muda tidak
bertangguh-tangguh lagi dalam hal perjuangan, demi menegakkan Islam ke martabat
yang sepatutnya.
Yang Dipertua ABIM Negeri Selangor, Cikgu Khairudin bin Abas.
Di
dalam Ucapan Dasarnya bertajuk “Menyebar
Dakwah, Menyantuni Ummah”, Cikgu Khairudin menyatakan bahawa Ijtima’
Harakiyy adalah satu manifestasi keberadaan jemaah WADAH-ABIM-PEPIAS (WAP).
Tradisi berkumpul dan bertukar-tukar pendapat ini, menurut beliau, sudah
diamalkan sejak sekian lama, bersesuaian dengan dinamika sesebuah gerakan yang bergantung
kepada sifat kepelbagaian . Beliau
juga menegaskan bahawa langkah perjuangan perlu disusun, dan setiap anggota WAP
perlu berani ke hadapan bagi menongkah arus kedurjanaan politik dan ekonomi
masa kini. Hal ini adalah bersesuaian dengan seruan Al-Fadhil Syeikh Dr Yusuf
Qardhawi, yang senantiasa mempromosikan gerakan Islam yang merakyat. Tindakan
ini penting, menurut Cikgu Khairudin, bagi mengembalikan misi untuk menjadikan
ABIM sebagai jurubicara ummah. Maka, Briged Bakti ABIM hendaklah diperkasakan
bagi menyantuni ummah dengan pendekatan yang lebih baik. Cikgu
Khairudin menarik minat para muktamirin dan muktamirat apabila memetik puisi
nukilan mantan Presiden ABIM, Tuan Haji Azam Abd Rahman bertajuk “Puisi untuk Kakanda”. Antara rangkap
yang mengesankan ialah: “Terbanglah
kerana maruah dan harga diri; Kerana
kesucian dan ketaqwaan hati; Akan
menghantarmu ke mana-mana yang kau ingini.”
__________________________________________________
Setiausaha Agung ABIM Pusat, Saudara Mohamad Raimi Ab Rahim.
Setiausaha
Agung ABIM Pusat, Saudara Mohamad Raimi Ab Rahim, dalam ucaptamanya sempena
merasmikan Ijtima’ tersebut, menyatakan bahawa para aktivis ABIM seharusnya
merasa bertuah kerana memilih untuk bersama ABIM. Tambah
beliau, “Berlainan dengan
pertubuhan-pertubuhan belia yang lain, ABIM telah membuktikan peranannya dalam
menegakkan teras keislaman di negara ini di samping menjunjung aspirasi serta
harapan semasa umat serta golongan belia di negara ini.” Selanjutnya
beliau mengimbau penghargaan yang dikemukakan oleh pelbagai pihak terutama sekali
ahli akademik serta pengkaji dalam dan luar negara terhadap peranan yang
dimainkan ABIM sepanjang 40 tahun penubuhannya, terhadap perkembangan Islam di
negara ini. Beliau menamatkan ucapannya dengan merakamkan penghargaan
kepada para pengasas ABIM Selangor di atas legasi dakwah yang diwariskan untuk
generasi kini di samping menyeru para pemimpin pelapis pada masa kini untuk
meneladani hikmah serta kekuatan mereka (para pengasas serta generasi awal)
dalam mengembangkan dakwah di Negeri Selangor.
Ucapan Penggulungan Ijtima’ Harakiyy kali Pertama.
Cikgu Khairudin Abas, di dalam ucapan penggulungannya,
menegaskan bahawa ABIM bukanlah persatuan ‘tin kosong’. Maka, beliau menyeru
agar kesemua muktamirin dan muktamirat hadir dan pulang daripada Ijtima’ kali ini
dengan ilmu dan tanggungjawab. Beliau juga menasihati anggota jemaah agar menjaga
silaturrahim dan ukhwah sesama kita. Contoh paling kecil, apalah kiranya
pesanan ringkas (‘sms’) yang dihantar
berkenaan jemputan atau perjalanan program ABIM, dibalas oleh penerimanya,
waimah dengan jawapan seringkas satu huruf ‘K’
(okay/baiklah). Tuntasnya, sesibuk manapun kita, ujar beliau, kita seharusnya
mencari jalan dan bukannya alasan. Beliau juga memetik kata-kata hikmah sahabat
beliau, Saudara Zamani Mohd Karulani– YDP ABIM Gombak yang mesra dengan
panggilan ‘Wak Jam’ – berkenaan hal perjuangan: “Kalau bukan sekarang, bila lagi? Kalau bukan kita, siapa lagi?”
Sekilas: Ijtima’
Harakiyy WAP Selangor kali Pertama (i):
Pada
majlis kali ini, saya berpeluang memiliki karya
besar Almarhum Pak Natsir, “Fiqhud Da’wah”.
Dijual pada harga RM20, saya difahamkan bahawa buku
ini pernah menjadi rujukan dan perbincangan setiap kali usrah ABIM dalam tahun
80an.
___________________________________________________
Sekilas: Ijtima’
Harakiyy WAP Selangor kali Pertama (ii):
_________________________________________________________
Sekilas: Ijtima’
Harakiyy WAP Selangor kali Pertama (iii):
Mentor saya, Cikgu Khairuddin Abbas (saya memanggilnya dengan
gelaran ‘Sir Din’), telah mengekalkan
kerusi Yang Dipertua ABIM Negeri Selangor dalam Muktamar ABIM kali ini. Sewaktu
saya bersekolah menengah dulu, selain menjawat kerusi Ketua Guru Disiplin, Sir Din mengajar saya mata pelajaran bahasa
Inggeris dan Perdagangan. Selamat Hari Guru, Sir. Terima kasih atas segala ilmu
dan nasihat.
_________________________________________________________
Sekilas: Ijtima’
Harakiyy WAP Selangor kali Pertama (iv):
PEPIAS Daerah Kuala Langat membawa kontinjen terbesar ke perhimpunan
kali ini. Dua buah bas telah disewa untuk membawa sahabat-sahabat PEPIAS Kuala Langat.
Kemeriahan ukhwah dalam perjuangan ini menjadi tambah manis, bilamana diniatkan semata-mata kerana ALLAH SWT. Alhamdulillah. Khalas.
***
Sumber:
- http://abimselangor.blogspot.com/;
- http://www.facebook.com/PepiasPhotography; dan
- http://www.abim.org.my/.
***