Isnin, Februari 02, 2015

Hari Pertama Persidangan Belia Antarabangsa (IYG) 2015.


Logo IYG ke-12.
Logo ABIM.
Presiden ABIM:
Cikgu Haji Amidi Abdul Manan
Juga mantan Presiden PKPIM.

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)

Juga penerima Anugerah Belia Perdana Malaysia 2014 
dan Tokoh Belia ASEAN 2014.
merangkap CEO MLL4S, 
Saudara Syahrir Azfar Saleh.
Timbalan Pengarah 
International Youth Gathering 
ke-12.
Penolong Setiausaha Agung ABIM: 
Saudara Ahmad Fahmi Samsuddin
Mantan Presiden PKPIM. Pengarah 
International Youth Gathering 
ke-12.
Presiden ABIM menyampaikan
ucapannya.
Wakil UNIW
Young.
Saudara Ali Kurt.
DSAI.


Saudara Muhammad Zahid 
menyampaikan alunan Ayat 
Suci Al-Quran.


I
Hari Pertama Persidangan Belia 
Antarabangsa (IYG) 2015.
Sekitar hari pertama dan perasmian 
Persidangan Belia Antarabangsa (‪#‎iygmy2015).
Hari Pertama Persidangan Belia Antarabangsa (IYG) 2015 menyaksikan dewan ‘Mewah Room’, Hotel Flamingo, Ampang dipenuhi dengan 500 orang peserta. Persidangan Antarabangsa bertemakan ‘Islam Rahmatan Lil ‘Alamin’ bersempena IYG ke-12 ini disertai oleh 300 orang awam, serta 200 peserta daripada 100 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam dari 20 negara menghadiri persidangan itu.
Program yang bermula pada jam 9.00 pagi, 1hb Februari 2015 telah dirasmikan oleh YB. Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Penasihat Ekonomi Negeri Selangor. Turut hadir, Saudara Fatih Cosar, Presiden Young Union Of NGOs Of Islamic World (Young UNIW), Saudara Haji Amidi Dato’ Abdul Manan, Presiden ABIM, dan Saudara Ali Kurt, Setiausaha Agung UNIW.
Saudara Fatih Cosar memberikan ucapan pembukaannya, sebelum diteruskan oleh Saudara Haji Amidi. Saudara Amidi menyuarakan harapannya kepada belia Islam yang bakal menjadi pemimpin masa depan umat. Beliau menegaskan bahawa IYG merupakan medan yang baik untuk memperbaiki diri mereka, seterusnya mempersiapkan diri untuk menjadi umat terbaik dalam keadaan dunia yang bergolak dewasa ini.
Saudara Ali Kurt dari UNIW pula mengingatkan berkenaan kepentingan perpaduan umat, dan proses pembangunan pemimpin muda yang berterusan diharapkan mampu dijana untuk peranan masa depan mereka selaku pemimpin.
DSAI dalam ucaptamanya menggesa umat Islam untuk berfikir dengan lebih mendalam, memandangkan kita berhadapan dengan pelbagai pandangan melampau (ekstrem) daripada pelbagai kumpulan yang menggelarkan diri mereka sebagai ‘Muslim’.
Krisis kita hari ini terjadi kerana sikap prejudis dan tidak bertolak-ansur kita terhadap perbedaan pendapat. Generasi muda mesti diberikan galakan untuk menjadi lebih focus dalam melakukan penambahbaikan (Islah) di dalam Islam berlandaskan pemahaman Al-Quran (Islam Rahmatan Lil ‘Alamin). Hal ini termasuklah pemahaman bahawa ‘kesederhanaan’ merujuk kepada menegakkan keadilan dan ketelusan dalam mengawal-selia masyarakat serta menentang rasuah dan salah-guna kuasa.






II
Sementelah, Presiden European Muslim Network, Prof. Dr. Tariq Ramadan berkata, istilah jihad diselewengkan ertinya oleh ramai penganut Islam di dunia ini, akibat kurang faham kita tentang konsepnya. Masyarakat Muslim tidak harus menyalahkan pihak lain kerana salah faham tentang Islam, sebaliknya mereka sendiri perlu mengamal dan mempamerkan nilai-nilai murni Islam.
Menegaskan demikian, Prof. Tariq Ramadan berkata sebagai contoh, masyarakat Islam di seluruh dunia perlu memahami dengan lebih jelas konsep jihad. Buktikan kepada dunia Islam bukan agama yang menggalakkan keganasan, kata beliau. Profesor Pengajian Islam Kontemporari Universiti Oxford itu berkata istilah jihad diselewengkan ertinya oleh ramai penganut Islam di dunia akibat kurang faham tentang konsepnya.
Kita perlu jelas wujud dua masalah (dalam jihad). Pertama, ialah salah faham dari segi istilah agama, dan kedua, salah guna konsep berkenaan dari segi politik,” katanya dalam ceramah berjudul ‘The Quranic concept of jihad and how do we rise above its misinterpretations’ (Konsep jihad menurut Al-quran dan bagaimana mengatasi penyalahtafsirannya).
Prof. Dr. Tariq Ramadan banyak menekankan soal pemahaman teks dan konteks, juga mengenai budaya ‘double standard’ walaupun dalam kalangan umat Islam sendiri.
Kemudian, beliau juga menyentuh sekali lagi berkenaan konsistensi dalam mengkritik kebobrokan, bukan mengkritik secara terpilih sahaja. Kita perlu konsisten dengan nilai yang kita kongsi bersama, kita perlu berani dan konsisten dalam menegakkan perkara yang hak. Jangan menjadi proksi, jangan menunggu seorang pemimpin untuk diikuti, bergerak dan bertindak untuk menyampaikan mesej ‘rahmatan lil ‘alamin’.
Beliau menegaskan betapa pentingnya untuk kita mengkritik dengan ilmu, idea dan rujukan tertentu. Keadilan dan kebenaran, menurut beliau, tidak akan tercapai sekiranya emosi menguasai rasional, menerusi sentimen dan stigma yang sarat dengan kebencian.
III
Dr. Tariq Ramadan (official) menegaskan keperluan menggerakkan daya fikir umat. Bahawa kelebihan umat Islam masa lalu adalah kerana kemampuannya menggerakkan keupayaan akal bagi memecahkan persoalan yang berbangkit dalam masyarakat. Inilah yang ‘memaksa’ para tokoh masa lalu menghasilkan ‘original ideas’ yang mendorongkan pembinaan tamadun Islam yang gemilang. ‘Sindrom mendapatkan fatwa’ dalam pelbagai perkara oleh masyarakat menggambarkan sikap malas berfikir, ketidaksediaan untuk ‘exercising his own mind’ dan merupakan usaha mencari jalan mudah bagi menyelesaikan masalah.
Sikap seperti ini membolehkan seseorang memindahkan sebarang kesilapan yang kemudiannya terjadi kepada mereka yang memberi fatwa (mufti). Satu bentuk pelarian (percubaan mengelak) daripada tanggungjawab.
Tentunya ada perkara-perkara yang spesifik mengenai ibadah yang melibatkan haram-halal, sah dan batal (terutama kerana kemunculan perkara-perkara baru akibat perkembangan zaman dan masa) memerlukan rujukan mufti. Tetapi banyak permasalahan lain dapat dipecahkan oleh masyarakat tanpa perlu ‘memaksa’ mufti mengeluarkan fatwa mereka. Hal yang demikian boleh terjadi sekiranya masyarakat menjadi masyarakat berfikir (thinking society) sesuai dengan ciri umat sebagai masyarakat berbudaya ilmu dan berwacana.

Tetapi, selagi kita menyerahkan ‘tugas berfikir’ kepada kelompok khusus yang kecil bilangannya, sedang umat hanya menunggu dan menanti fatwa mereka, maka selagi itulah kita tidak akan mampu mengembangkan potensi dan daya fikir umat. Dan, selagi itulah kita tidak akan mampu mendepani cabaran-cabaran besar dengan solusi yang ‘viable’ untuk umat dan dunia. Maka kita kekal dengan ciri yang melemahkan umat seperti yang digambarkan oleh Malek Bennabi, ‘lemah dan malas berfikir’, masyarakat akan kekal sebagai masyarakat ‘taqlid’ - dalam hampir semua urusan.  







IV
Dr.Tariq Ramadhan memberikan suatu ucapan yang sangat menarik dan mendalam. Di dalam ucapan beliau, beliau menyentuh berkenaan konsep ‘karamah insaniah’ yang bersifat sarwajagat. Kita sebagai satu bangsa yang menjadi ‘rahmatan lil ‘alamin’ perlulah pertamanya mengatakan kita adalah manusia, bukannya ‘kami Muslim dan kamu Kafir’. Apakah hak kita mengatakan sedemikian? Adakah kita mengetahui setakat mana kefahaman mereka kepada Islam sehinggakan kita membenci dan memusuhi mereka?
Bagi beliau, Barat sekarang menumpukan konsep ‘I am innocent’. Mereka membenci agama atas sebab mereka melihat agama sebagai suatu autoriti yang menyalahkan. Sepatutnya, kita sebagai penganut agama yang membawa konsep ‘rahmatan lil ‘alamin’ perlulah menyebarkan mesej bahawa setiap manusia tidak berdosa, tiada dosa warisan dan sebagainya: TUHAN adalah Maha pengampun. Beliau juga menyatakan bahawa semua manusia punya hak. Ya, anda semua punya hak, tetapi setiap hak mempunyai tanggungjawab masing-masing.
Sebagai seorang Muslim perlulah kita menerima bahawa rasional akal dan kepercayaan hati adalah bersifat sarwajagat, segala yang fitrah yang dibawa Islam pasti boleh diterima akal dan terasa senang di hati. Beliau menyentuh hadith nabawi berkenaan pembunuhan seorang manusia sama seperti membunuh kemanusiaan, seorang Muslim tidak boleh berat sebelah dalam menghukum. Apa yang dibuat orang Islam tidak semesti semuanya baik dan bukan semua orang bukan Islam buat tidak baik. Muslim perlu konsisten dalam mengeji kezaliman baik di mana jua ia dilakukan, oleh siapa ia dilakukan.






V
Khilafah sekarang telah dikecilkan kefahaman hanya kepada skop politik sahaja, sedangkan khilafah itu adalah menyeluruh dan setiap Muslim perlu menggerakkannya. Khilafah merangkumi bagaimana kita mengurus diri, masyarakat, negara dan alam, bukan hanya mengadakan sebuah kekuasaan sahaja. Kita adalah hadiah -- hadiah TUHAN dalam mempromosi kebaikan dan mencegah kemungkaran, bukan memuaskan hati orang. Jihad sosial perlu dilakukan baik dari sudut kebebasan, keadilan dan kesamarataan. Suatu idea perlu dilawan dengan idea, hujah dengan hujah, bukan dengan alasan bodoh sahaja.
Beliau juga menyentuh berkenaan negara Islam yang tidak membawa imej Islam, ketidakadilan berlaku di negara Islam, malahan budaya kapitalis hidup di pusat kerohanian kita (Makkah dan Madinah). Banyak juga Muslim yang tidak melayani perempuan dengan seadilnya.
Prof. Tariq menyatakan lagi bahawa ‘Rahmatan’ juga bermaksud ‘jangan melupakan kemanusiaan, maruah, aspek spiritual dalam agama serta perlaksanaan yang baik.’
Lafazkanlah Alhamdulillah, dan jadilah pemimpin yang berani. Berhentilah daripada sekadar mengimpikan kesatuan, sebaliknya berusahalah untuk menguruskan perubahan”, tegas Prof. Tariq lagi.
Saudara Felix Marquardt pula mengongsikan pengalamannya selaku pengasas Khlass Le Silence. Sesi beliau dipengerusikan oleh Setiausaha Agung ABIM, Saudara Muhammad Faisal Abdul Aziz.
VI
Selanjutnya, Dr. Syed Muhammad Khairuddin AlJunied tampil dengan topik ‘Can Muslims Think?’ (Mampukah Orang Islam Berfikir?). Beliau menyeru kepada semua agar berhenti bercakap tentang perkara-perkara kecil yang boleh memecah-belahkan kita. Dan, mula berbicara tentang perkara-perkara yang boleh menyatu-padukan kita semua. Menurut beliau lagi, “Hadith ada menyatakan bahawa ilmu mesti datang dahulu, sebelum kita bercakap dan bertindak.”
Beliau juga menegur umat Islam yang lebih banyak bercakap daripada membaca. Budaya berwacana serta diskusi dengan kesabaran, kasih sayang dan penghormatan juga dianjurkan dalam Islam. Telah jelas kepada semua umat bahawa manusia diciptakan oleh ALLAH SWT untuk berjuang menghadapi kesulitan, serta tidak boleh mudah terpedaya oleh kekuasaan serta harta benda.
Selain mengupas berkenaan prinsip-prinsip Islam seperti keadilan, kebebasan, ilmu pengetahuan, serta kemampuan untuk berfikir, beliau turut menyatakan bahawa antara perkara yang perlu diberi perhatian serius oleh umat Islam, ialah keadaan universiti di negara-negara Islam serta kedudukannya pada masa kini, di mana ia agak ketinggalan berbanding Barat.
Selanjutnya, beliau mengatakan bahawa antara sebab kenapa masyarakat Muslim mengalami krisis intelektual, pemikiran dan identiti di dalam dunia masa kini, adalah kerana umat Islam tidak memahami sejarah mereka sendiri. Sekiranya kita tidak memahami dan mengetahui sejarah sendiri, kita tidak akan mempunyai jatidiri yang sejati.

Kurangnya penghayatan serta pemahaman terhadap sejarah lalu akan memberikan kesan besar terhadap cara pemikiran kita, menurut Dr Khairudin. Kita tidak tahu sejarah sendiri, apa yang nenek-moyang kita telah laksanakan, pencapaian mereka, kejayaan mereka: kita kehilangan idea generasi terdahulu – bahawa kita seharusnya mampu berfikir melangkaui apa yang telah mereka lalui.

VII
Sesi keempat persidangan menyaksikan Dr. Zulkifli Hasan, Exco ABIM dan Pensyarah Senior di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) menyampaikan pembentangannya. Saudara Fazril Saleh selaku Presiden PKPIM turut hadir juga sebagai moderator bagi sesi ini.
Dr Zul menegaskan bahawa dunia Islam tidak akan mampu mengembalikan kedudukannya sebagai tamadun yang memimpin dan maju, sekiranya ia tidak mempunyai asas moral dan saintifik yang kukuh.
Kita memerlukan reformasi dalam agama Islam. Kegagalan untuk mempelajari pengajaran dan tauladan, serta ketiadaan  suasana persekitaran yang membolehkan kita merealisasikan proses pembelajaran dan pengajaran tersebut, merupakan dua ‘penyakit’ utama umat Islam”, menurut Dr. Zul. 
Beliau menekankan soal ‘Tajdid’ (pembaharuan), ‘Islah’ (penambahbaikan), ‘Sahwah/Nahdah’ (kebangkitan) dan ‘Ihya’ (kebangkitan semula) di dalam Islam. Juga, beliau mengupas berkenaan cabaran masa depan, di mana terdapat ketidakseimbangan: gerakan-gerakan pembaharuan dewasa ini dilihat lebih cenderung kepada politik, di mana matlamat dan kaedahnya adalah baik, tetapi seolah-olah bersifat ‘percubaan untuk melepaskan diri’ daripada berhadapan dengan realiti. 







VIII
Kemudian, ‘Sesi Bersama Young UNIW dan Pembentangan Negara oleh Para Peserta Delegasi’ telah dijalankan. Antara negara yang membuat pembentangan ialah: Indonesia, Turkistan, Bangladesh, Mesir, Sudan, dan Jerman. Sesi perbincangan berkenaan cabaran umat di Syria, Libya dan Palestin juga dijalankan. Dian Mahito yang mewakili Indonesia, menyampaikan tajuk berkenaan memahami konteks Indonesia tentang Islamophobia dan dakwah kreatif.
Antara yang dibentangkan ialah berkenaan gerakan politik di Eropah yang berkempen menentang Islamisasi di rantau berkenaan. ‘Pegida’ merujuk kepada ‘Patriotische Europäer Gegen die Islamisierung des Abendlandes’ (Rakyat Eropah Patriotik menentang Islamisasi di Barat – Patriotic Europeans Against the Islamisation of the West). Gerakan ini melakukan protes secara mingguan dan tersebar luas di Jerman.
Sles Alfin, wakil Kemboja pula membincangkan berkenaan isu anak muda dalam konteks pendidikan dan ekonomi. Saudari Najibah Mahirah Awang, yang mewakili Malaysia, membentangkan tajuk ‘Peranan Golongan Muda dalam Masayarakat Berbilang Bangsa’.
Alhamdulillah, program ‘Persidangan Antarabangsa: Islam Rahmatan Lil ‘Alamin’ sempena ‘International Youth Gathering - 12th 2015’ ini telah melabuhkan tirai dengan jayanya, pada jam 6.00 petang, 1hb Februari 2015. Para delegasi dari 20 buah negara memulakan sesi seterusnya dalam perkampungan selama kurang lebih satu minggu dalam melengkapkan acara IYG kali ke-12 ini. Selamat maju jaya buat semua yang terlibat sebagai peserta atau menganggotai panitia program.
Semoga terus berkerja keras menjayakan acara yang masih baru bermula ini. Moga usaha mereka memberi makna dan pengalaman yang signifikan untuk mereka manfaatkan dalam kehidupan.Semoga segala perkongsian ilmu dapat dimanfaatkan oleh para hadirin pada masa hadapan demi kegemilangan umat Islam sarwajagat, in sya ALLAH.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...