|
Logo IYG ke-12.
Juga mantan Presiden PKPIM.
|
merangkap CEO MLL4S,
Mantan Presiden PKPIM. Pengarah
International Youth Gathering
ke-12.
|
Hari
Ketiga dan Keempat IYG ke-12 (2015).
Para
peserta telah menaiki bas bagi menyertai aktiviti ‘Kembara Selangor’, di mana
mereka berkesempatan melawat beberapa tempat menarik dan indah di negeri
tersebut. Selain menikmati keindahan negeri Selangor, mereka juga berkesempatan
menyertai aktiviti-aktiviti luar dan riadah, di samping menghayati budaya
Malaysia dengan lebih dekat.
Beberapa
buah bas yang dinaiki oleh para peserta, dengan diiringi oleh pasukan media dan
perubatan IYG 2015 telah melawat ke beberapa buah daerah di Selangor seperti: Kuala
Selangor, Sabak Bernam, Klang, Kuala Langat, dan Hulu Selangor.
Antara
aktiviti menarik yang disertai oleh para peserta ialah sukan ‘paint ball’, di
mana para peserta cukup teruja untuk merasai cabaran sukan tersebut, selepas
menerima taklimat berkenaan permainan tersebut daripada pihak penganjur.
Para
peserta juga telah melawat Galeri Diraja di Jalan Istana, Klang, di mana mereka
berkesempatan mempelajari budaya dan kisah sejarah negeri Selangor. Bangunan
yang telah dibina sejak 1909 ini mempamerkan koleksi peribadi DYMM Sultan
Selangor Kelapan, Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj ibni
Almarhum Sultan Hishamuddin Alam Shah Alhaj.
Mereka
turut melawat Kilang Beras Rakyat Sekinchan [PLS Marketing (M) Sdn Bhd)]. Kilang
pemprosesan beras ini terkenal kerana menghasilkan ‘Beras Mutiara’ (Pearl Rice),
selain mempunyai muziumnya sendiri. Para delegasi juga diberikan penerangan
berkenaan proses penanaman dan pemprosesan padi serta beras.
Para
peserta turut menziarahi Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di Shah Alam,
masjid indah yang turut digelar ‘Masjid Biru’. Para delegasi diberi pengenalan
tentang masjid tersebut melalui tayangan video, setelah mendengar ucapan khas
daripada imam dan kakitangan masjid serta pihak ‘Tourism Selangor’. Selepas
sesi bersama imam dan kakitangan masjid, dengan pimpinan pihak Tourism
Selangor, delegasi di bawa bersiar-siar di sekitar Masjid Sultan Salahuddin
Abdul Aziz Shah, melihat keindahan masjid dengan lebih dekat. Delegasi dari
Turki, Saudara Receb Bakar menyatakan bahawa, “Masjid ini sangat indah. Semoga
masjid bukan hanya digunakan untuk ibdah solat, tetapi juga bersifat
serba-guna.”
Di
Kilang Perusahaan ‘Ros Kerepek’, Banting pula, para peserta dapat mempelajari
proses menghasilkan kerepek. Antaranya ialah cara kerepek dihasilkan daripada
proses mengupas ubi atau pisang, sehinggalah proses menggoreng dan membungkus
kerepek. Menghasilkan lebih 1 tan kerepek setiap hari, para pekerja begitu
teliti melakukan kerja, bagi memastikan kualiti kerepek terjaga. Ramai peserta
luar negara yang baru kali pertama merasai kerepek buatan tempatan, memuji
keenakan dan kerangupannya. Peserta turut melawat kedai Yom's Cookies, di mana mereka diberikan pendedahan berkenaan biskut buatan tempatan.
Selain
melawat Kilang Ros Kerepek, Delegasi IYG dibawa pula melawat ke Laman Inap
(Home Stay) Anjung Damai, bagi melihat seni bina, rumah orang Melayu dan
menikmati air kelapa yang telah disediakan. Tidak mudah untuk sesetengah peserta
luar negara menyesuaikan diri dengan cuaca panas terik, jadi peluang untuk
menikmati air kelapa yang berkhasiat pastinya menggembirakan.
Seperti
yang kita sedia maklum, air kelapa mempunyai manfaat tersendiri untuk sistem
tubuh badan manusia. Para peserta bukan sahaja diberikan sedikit penerangan
berkenaan kehidupan 1,500 orang penduduk desa tersebut, tetapi juga
berkesempatan untuk belajar beberapa istilah Jawa seperti ‘Wes ayem?’ (Sudah
kenyangkah?).
Para
peserta juga sempat menghayati seni muzik cempuling, yang dikatakan mula
bertapak pada tahun 1930 di Klang, Selangor Darul Ehsan. Tuan Haji Ikhsan
(Kasban) dipercayai sebagai pelopor permainan seni cempuling Bukit Kapar,
sehingga tahun 60an. ‘Cempuling’ merupakan satu kumpulan alatan muzik yang
hanya menggunakan pukulan untuk menghasilkan pelbagai rentak dan irama.
Ia
merupakan gabungan tiga suku kata iaitu ‘cem’ yang bermaksud ‘macam-macam’. Macam-macam yang dimaksudkan di sini adalah dari segi alat muzik itu
sendiri dan juga sikap manusia. Alat muzik seni cempuling mempunyai
pelbagai saiz dan juga bentuk dan menghasilkan bunyi yang agak berbeza. Sikap manusia yang digambarkan pula adalah setiap manusia mempunyai
perangai atau sifat yang berbeza-beza antara satu sama lain.
‘Pul’
bermaksud berkumpul. Kumpulan seni cempuling akan berkumpul jika ingin
bermain alat muzik tersebut. ‘Ling’ pula diambil daripada perkataan ‘eleng’. ‘Eleng’ adalah perkataan ‘Jawa Halus’ yang bermaksud ingat-mengingati antara satu sama
lain. Jadi, maksud penuh Cempuling adalah satu kumpulan yang saling
ingat-mengingati di dalam pelbagai hal; iaitu hal yang bersangkutan dunia dan
akhirat.
Para
peserta juga berkesempatan menyertai aktiviti mencanting batik dan menangkap
ikan, bertempat di Inap Desa Sungai Haji Dorani, Sabak Bernam, dengan kerjasama
pihak Tourism Selangor. Semua delegasi yang turut serta dibenarkan untuk
membawa pulang hasil batik ke negara masing-masing. Mencanting batik menuntut
latihan keras serta ketelitian yang tinggi untuk menguasai kemahirannya.
Di
Kampung Sungai Sireh, Tanjung Karang, para peserta berpeluang menikmati
pemandangan sawah padi nan indah terbentang. Para peserta juga diberi peluang
untuk merasai pengalaman mengelilingi desa tersebut dengan menaiki traktor. Mereka
juga diberikan pendedahan terhadap senibina rumah Melayu tradisional,
tumbuh-tumbuhan serta buah-buahan tempatan.
Pengarah
IYG 2015, Saudara Ahmad Fahmi telah bersiaran langsung bersama Saudara Mehmet Serif,
Naib Pengerusi Young UNIW di TV Al-Hijrah, dalam slot terakhir rancangan ‘Assalamualaikum’.
Mereka telah berkongsi pengalaman serta harapan program IYG ke-12.
Sementelah, Pada
hari keempat IYG, wakil delegasi IYG dari Syria, Saudara Suhaib Idris (wakil
Syria) dan Timbalan Pengarah IYG ke-12, Saudara Syahrir Azfar telah bersiaran
secara langsung di Radio Television Malaysia (RTM) untuk slot Selamat Pagi
Malaysia. Mereka membincangkan keadaan semasa di Syria yang bergolak, serta
usaha bantuan kemanusiaan yang diikhtiarkan oleh Sekretariat Malaysia Life Line
for Syria.
Antara
slot yang bermakna buat para delegasi ialah ‘Welcoming Dinner’ (majlis makan malam)
dan persembahan ‘Cultural Night’ (Malam Kebudayaan) sempena IYG ke-12. Program
ini berlangsung pada pukul 8.30 malam, 3hb Februari 2015 bertempat di Kompleks
Belia dan Kebudayaan Shah Alam, Selangor dengan kerjasama Majlis Bandaraya Shah
Alam (MBSA). Ia dianjurkan oleh Kerajaan Negeri Selangor, dan dihoskan oleh YB Amirudin
Shari, Exco Pembangunan Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan
Usahawan.
Untuk
rekod, YB Amirudin baru sahaja dilantik sebagai Timbalan Pengerusi,
Jawatankuasa Pasukan Negeri dan Pertandingan Antabangsa, Persatuan Bola Sepak
Selangor (FAS). Beliau menyeru generasi muda dunia untuk membina jaringan
yang baik sesama mereka, dan menyatakan bahawa Kerajaan Selangor bersedia
menyediakan peluang dan platform yang sewajarnya untuk tujuan tersebut.
Deduksinya,
melalui program IYG ke-12 ini, pelbagai konsep dan idea yang sempat dikembang
lalu dibincangkan bersama, dari sudut organisasi ke aspek politik negara masing-masing;
kepada institusi pendidikan dan juga menyentuh berkenaan dengan pengupayaan
belia.