21 September
2012: Kelihatan Presiden ABIM, Saudara Amidi Manan (berkemeja biru) turut
bersama menyertai perhimpunan di hadapan Kedutaan Amerika Syarikat, Kuala
Lumpur.
|
21 September
2012: Berhampiran Kedutaan AS dan bangunan Tabung Haji yang ikonik.
|
21 September
2012: Alhamdulillah, dapat jumpa Abang Osman Tikus (Pyanhabib Rahman), seniman
rakyat yang sempoi.
|
21 September
2012: Demonstrasi anjuran Pemuda PAS dari Masjid Tabung Haji ke Kedutaan
Amerika Syarikat.
|
21 September
2012: Pemuda UMNO turut mengadakan tunjuk perasaan di Masjid Jamek, Kampung
Baru, Kuala Lumpur.
|
Selain
berdemonstrasi, ABIM turut menghantar Naib Presidennya, Saudara Jufitri Joha
untuk berdialog dengan Duta Amerika Syarikat, Paul W. Jones di kediaman duta
tersebut di Kuala Lumpur. Berita lanjut di sini: http://gptd-spain.blogspot.com/2012/09/diskusi-hi-tea-bersama-duta-amerika.html.
|
**********
Logo ABIM. |
Innocence of Muslim: Umat Islam Perlu Kuasai Media Tangkis
Tohmahan Barat.
Oleh: Saudara Haji Amidi Abd Manan,
(Presiden Angkatan Belia Islam
Malaysia [ABIM])
(Kenyataan ini disiarkan oleh laman sesawang rasmi ABIM pada
20
September 2012).
Kemarahan
umat Islam terhadap penerbitan filem Innocence of Muslims begitu membuak-buak
di seluruh dunia. Kemarahan itu jugalah yang menyebabkan kematian Duta Amerika
Syarikat ke Libya dan tiga orang pegawainya. Ini bukan kali pertama agama Islam
dipersendakan oleh musuh Islam menerusi pelbagai sudut dan cara. Ada yang
mempersendakan hakikat keimanannya, hukum-hakamnya dan peribadi Rasulullah SAW.
Kata-kata yang kesat dilemparkan baik menerusi media elektronik mahupun
bercetak. Ia dilaksanakan oleh kelompok bukan Islam dan kelompok Islam yang
telah rosak keyakinan dan pemikirannya.
Setiap kali
penghinaan berlaku, setiap kali jugalah umat Islam bangkit menentang penghinaan
berkenaan. Tunjuk perasaan, memorandum bantahan dan fatwa terus menerus
diadakan bagi menunjukkan rasa kurang senang dengan penghinaan yang dilakukan.
Bagi filem Innocence of Muslims kali ini ia disebarkan menerusi trailernya di
YouTube. Pihak Google selaku pemilik YouTube dengan angkuh telah menolak
permintaan Kerajaan Amerika untuk mengeluarkannya daripada penyiaran di
YouTube.
Kita perlu
menyelar keengganan Google ini atas dasar keluhuran media. Filem berkenaan satu
fitnah yang besar. Menggambarkan Rasulullah sebagai pembohong kepada Muslim
adalah satu perkara yang tidak dapat diterima akal. Seharusnya media yang
didukung oleh satu kuasa besar dunia peka dengan perkara ini. Kita mahukan
media yang bertanggungjawab terhadap penyiarannya. Jika perkara itu tidak
benar, ia harus dihentikan. Inilah asas kepada keluhuran media. Membiarkan
fitnah berleluasa adalah satu perbuatan yang terkutuk dan boleh mencetuskan
huru-hara.
Sudah sampai
masanya umat Islam mempunyai kekuatan media yang tersendiri. Ia satu jihad bagi
menangkis segala pembohongan yang semakin menjadi-jadi. Ia satu tuntutan fardu
kifayah bagi umat dan fardu ain bagi mereka yang mempunyai kepakaran dalam
bidang teknologi maklumat (IT) ini. Jika ada negara Islam yang sanggup
berbelanja trilion dolar Amerika untuk membeli kelengkapan perang, perbelanjaan
yang sebegitu juga harus dikeluarkan untuk peperangan media ini. Ia bagi
menjamin maruah Islam dan umatnya dapat dibela dengan sewajarnya.
Kita perlu
membuatkan musuh Islam berasa takut dan marah. Kita perlu menguasai kedudukan
yang strategik sehingga musuh Islam menjadi gerun dan gentar. Ia dikira sebagai
amal salih seperti yang dinyatakan dalam Surah at-Taubah ayat 120. Dalam dunia
moden hari ini kegerunan itu bukan saja pada kelengkapan persenjataan tetapi
kepada kekuatan media. Jangan ada pihak yang menyatakan bahawa protes umat
Islam ini sebagai sesuatu yang sia-sia dan membuang masa.
Angkatan
Belia Islam Malaysia (ABIM) sudah menyerahkan memorandum bantahan kepada Duta
AS ke Malaysia, Datuk Paul W Jones pada 13 September yang lalu. Dalam
memorandum itu dinyatakan kekesalan terhadap penerbitan filem Innocence of
Muslims dan juga kekesalan terhadap pembunuhan yang tidak sewajarnya berlaku ke
atas Duta AS di Libya.
ABIM
menekankan pihak Kerajaan AS khususnya perlu lebih peka terhadap sensitiviti
umat Islam. Kepekaan ini boleh difahami dan dipertingkatkan menerusi dialog dan
perbincangan khusus bagi membina persefahaman yang lebih baik. Di pihak umat
Islam, kecintaan kepada Rasulullah SAW adalah satu kewajipan. Selain menyatakan
kemarahan kita terhadap segala bentuk penghinaan, kita perlu mempertingkatkan
kefahaman dan penghayatan kita terhadap Islam. Jadikan Islam sebagai cara
hidup. Islam bukan hanya agama ritual semata-mata yang diamalkan pada ketika
tertentu.
Di sinilah juga terletaknya kepentingan dakwah. Dakwah adalah landasan hidup setiap Muslim. Mesej kesejahteraan yang dibawa oleh Islam perlu disampaikan dengan berkesan. Setiap orang Islam adalah pendakwah dan sekali gus duta yang membawa imej dan mesej Islam. Gejala rasuah, kemunduran, kemiskinan, buta huruf dan penindasan sesuatu yang sinonim dengan negara Islam. Ia perlu dibanteras sehabis-habisnya jika kita mahukan imej Islam yang membawa rahmat ke seluruh alam disampaikan dengan berkesan. Kita tidak mahu kokokan umat Islam dipersendakan kerana ekor yang dilumuri najis.
Umat Islam
di Malaysia perlu untuk bersama suara umat Islam sedunia dalam bantahan ini.
Bantahan ini ditujukan kepada penerbit filem, Google dan masyarakat bukan Islam
yang lain yang mempunyai niat serong terhadap Islam.
**********
Sumber:
- http://www.facebook.com/media/set/?set=a.383273948411439.90550.100001865100396&type=1; dan
- http://www.abim.org.my/v1/index.php/arkib-abim/43-isu-semasa/284-innocence
Tiada ulasan:
Catat Ulasan