Rabu, Mei 26, 2010
Kalaulah Shahir AF8 yang ini; Shahir Saujana yang itu.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Kelmarin, usai mengambil jubah konvo di Bangunan Menara SAAS, UiTM Shah Alam, saya pergi bersantap di sebuah kedai makan di kawasan Pusat Komersil. Saya pesan nasi ayam. Sedap. Macam rasa nasi ayam (?). Harga pun berpatutan.
Sedang dok sedap layan nasi ayam tu, mata saya terpaku (wah, terpaku) ke arah skrin flat TV yang agak besar di depan mata kepala saya. Saya sedar, sedari saya makan tadi, skrin TV menayangkan Konsert Akademi Fantasia 8 (AF8). Tapi, saya tak tahu pula itu rakaman (baca: ulangan) konsert akhir AF8. Almaklumlah, rumah kat kampung tak ada ASTRO.hehe.
Hm, apa yang menarik mata dan telinga saya -- untuk menonton dan mendengar apa yang disiarkan di kaca TV tersebut, ialah penyanyi yang sedang menyanyikan lagu dalam konsert tersebut. Beliau punya aura di atas pentas, yang bisa buat kita terasa kehadirannya. Suaranya juga lunak -- meski tak selunak Ahmed Bukhatir atau Arwah Ustaz Asri.
Saya sangkakan, lagu yang beliau nyanyikan, adalah lagu penyanyi 80an yang didendangkan semula. Rupa-rupanya lagu baru, nyanyian beliau sendiri. Lagu berjudul "Bahagia dalam Perpisahan." Lagunya agak menarik, karena punya unsur komersil yang tinggi.
Balik kepada Shahir ni, saya pernah menyaksikan beliau menyanyi bersama kumpulan Saujana dalam sebuah konsert tak lama dulu. TV9 juga (dalam Konsert Suarasa) ada menjemput Saujana yang turut dianggotai Shahir ketika itu, untuk menyampaikan persembahan. Namun, beliau tidak begitu dikenali sewaktu zaman singkat penyertaan dalam Saujana.
Kalau dulu vokalis utama Saujana, Dr. Khairul Izwan Baharin menyertai ujibakat OIAM, kali ini giliran Shahir pula yang menyertai Akademi Fantasia 8.
Beliau memang punya masa depan yang cerah, karena punya pakej sebagai seorang penyanyi. Apa yang diharapkan, agar nilai "ketimuran" (mengambil perkataan yang digunakan oleh beliau sendiri)yang beliau miliki, akan dapat dikekalkan. Imej sopan, dengan tahap pendidikan yang dimiliki beliau (beliau graduan diploma UIAM), pasti disenangi ramai pihak.
Sekedar berkongsi, kebanyakan penyanyi di negara-negara seperti Thailand, Filipina dan Indonesia, mempunyai sekurang-kurangnya segulung ijazah dalam genggaman mereka. Bukan mahu mengagung-agungkan ijazah. Cuma saya ingin tekankan betapa peri pentingnya ilmu yang seharusnya dimiliki oleh mereka yang bergelar selebriti. Hal ini demikian karena, mereka akan dijadikan "idola" dan "ikon" (baca: pujaan) para peminat mereka sendiri.
Apa yang membimbangkan, ramai ibu ayah tumpang menangis bila anak-anak tak dapat jadi artis. Tapi tapi tak ramai yang tumpang sedih bila anak bangsa sendiri tak tahu baca Kitab Suci Quran dan tulis Jawi. Aduhai...
Berbalik soal Shahir, saya doakan moga beliau sukses dalam apa jua bidang yang diceburi. Beliau punya impian besar -- untuk menjadi seorang Profesor. Ini suatu impian yang murni. Cuma, harap beliau tak berubah (baca: hanyut) macam sesetengah penyanyi yang membawa imej "ketimuran" (baca: Islamik), tapi akhirnya, jadi lebih Barat dari Barat.
Cuma, saya terfikir, kalaulah, kalaulah Shahir Juara AF8 ini, populariti dan auranya dibawa bersama Shahir Saujana itu, alangkah indahnya. Seperti yang kita sedia maklum, industri nasyid agak suram selepas zaman Ustaz Nazrey dan Arwah Ustaz Asri sudah tidak bersama Raihan dan Rabbani. Kedua-dua mantan Nadamurni dan The Zikr ini punya aura dan populariti yang cukup tinggi. Saya cukup rindukan sosok vokalis serta kumpulan nasyid yang gagah seperti kedua-dua Ustaz Nazrey dan Arwah ustaz Asri.
Kalaulah, Shahir AF8 itu Shahir Saujana ini
kalaulah, Ustaz Nazrey masih gemilang bersama Raihan The Zikr
kalaulah, Arwah Ustaz Asri masih gemilang bersama Rabbani Nadamurni
kendati, semua tinggal kenangan
tak bisa diratap karena itu bukti, lemah aqidah iman
maka, doa saja jadi sahabat teman
bersama harapan, untuk melihat anak bangsa bangkit
daripada, mimpi sebuah hedonisme.
ALLAH 'Alim.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Dr. Zulkifli Hasan: Menjambatani Persaudaraan, Menyubur Kesejahteraan
Dr. Zulkifli Hasan: Menjambatani Persaudaraan, Menyubur Kesejahteraan Oleh: Zairudin Hashim (Ahli Dewan Tertinggi Majlis Belia M...
-
Meluaskan Pengaruh Sememangnya pertumbuhan ekonomi dan luasnya pengaruh tidak harus dijadikan piawai yang mengukur keberhasilan dan keceme...
-
Nostalgia Liga Malaysia: Shahril Arsat. Shahril Arsat merupakan anggota skuad ‘ treble ’ Piala Malaysia 1995, ...
-
Allahyarham Ustaz Asaari bin Mohamad pernah menukilkan: “ Tujuan manusia hidup adalah untuk menyembah dan beribadah kepada Allah. Hal ...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan