Isnin, Mei 17, 2010

Al-Fatihah buat Ustaz Asaari Muhammad




Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Seperti yang kita sedia maklum, pemimpin utama jemaah Al-Arqam (kemudian dikenali sebagai Syarikat Rufaqa' Corporation dan Global Ikhwan) yang didakwa sebagai Pemuda Bani Tamim (kemudian ditukar gelarannya sebagai Putera Bani Tamim) -- telah meninggal dunia pada tanggal 12 Mei 2010. Menurut laporan akhbar, mantan pemimpin Al-Arqam tersebut meninggal dunia di Hospital Ipoh Specialist Center pada jam 2.10 petang karena jangkitan paru-paru.

Allahyarham pada suatu ketika dahulu didakwa mempunyai lebih 10,000 pengikut dan lebih 5,000 orang simpatisan, selain memiliki model perkampungan Islami mereka sendiri yang didirikan di Kampung Sungai Penchala, Sungai Buloh. Model bandar Islami mereka pula boleh dilihat di Bandar Country Homes, Rawang.

Antara budaya yang dipopularkan oleh Al-Arqam ialah makan dalam satu talam yang sama. Ini adalah budaya asal orang Arab. Sekadar ingin berkongsi, budaya ini juga diamalkan oleh orang-orang Melayu-Jawa di Malaysia sewaktu makan Nasi Ambeng. Sekarang Nasi Ambeng pun boleh dikatakan agak popular dan boleh didapati di kedai-kedai yang menjual nasi campur.

Sebut soal makan dalam talam, pengalaman paling manis saya dalam perkhemahan-perkhemahan sejak zaman sekolah sehingga zaman universiti bila -- disuruh menyuap makanan dan minuman ke mulut sahabat yang makan setalam dengan kita. Lucu. Sangat lucu. Satu talam kongsi 5 orang. Setiap seorang kena pastikan tangan dicuci dengan bersih sebelum makan. Tidak dibenarkan menyuap makanan ke mulut sendiri. Setiap suapan (waimah minuman) hendaklah diberikan oleh sahabat setalam. Setiap kali suapan adalah untuk sahabat yang berbeda. Kenangan. =)

Selain merapatkan ukhwah dan mahabbah, budaya makan dalam talam ini juga merupakan sunnah Baginda SAW yang dapat menimbulkan rasa rendah diri dan bersederhana dalam jiwa dan sanubari individu yang mengamalkannya.

Makan dalam talam/dulang beramai-ramai dengan cara duduk yang betul mengikut sunnah Nabi juga dikatakan dapat mengurangkan risiko banyak penyakit. Allahuaklam. =)

Selain itu, antara legasi Arqam ialah -- Kem Islami, Malam Kesenian Islam, Nasyid Kontemporari, Usahawan IKS Melayu Islam (yang menjadi perintis industri makanan halal di Malaysia), pakaian mengikut cara Islam, yang membuktikan kesan pengaruh dakwah Arqam dalam masyarakat.

Saya belum faham soal kehidupan sewaktu zaman kemuncak Arqam (awal 90an) karena masih kecil. Cuma, ada saudara saya yang aktif dengan Arqam waktu itu. Akhlak dan penampilannya cukup bagus dan disenangi keluarga.

Juga, ada seorang penjual kaset ceramah dan nasyid Arqam di sebuah pasar malam, yang gemar menghadiahkan kaset-kaset Nadamurni kepada saya. Kelunakan lagu serta suara Arwah Ustaz Asri dan Ustaz Munif memang menginsafkan.

Meskipun sekitar 60an dan 70an PAS dan ABIM sudah mula mempergiatkan usaha dakwah, Arqam dilihat lebih dekat di hati masyarakat (karena dilihat sebagai non-partisan) dan mendepani zaman.

Saya fikir, sekitar 80an dan awal 90an, iaitu selepas era DSAI masuk UMNO, populariti ABIM semakin merosot. Ustaz Ashaari dilihat sebagai sosok Islami yang gagah di Malaysia (meski ketika itu Tuan Guru Hadi dan Tuan Guru Nik Aziz sudah mula meraih sokongan/dokongan masyarakat).

Jadi, pengharaman Arqam mengakibatkan masyarakat mula memfokuskan sokongan kepada gerakan lain yang memperjuangkan Islam.

Meskipun Tabligh ada sumbangannya yang tersendiri, UMNO dengan penerapan nilai-nilai Islaminya (cetusan Tun M dan bantuan DSAI) dan PAS dengan kebijaksanaan pemikiran Allahyarham Ustaz Fadzil (dengan bantuan Tuan Guru Nik Aziz dan Tuan Guru Hadi) menjadi pilihan masyarakat Melayu Islam Malaysia.

Malangnya, masyarakat semakin berpecah-belah karena tiada gerakan yang benar-benar non partisan yang dekat dengan hati mereka. Politik menjadi sesuatu yang melebihi segala-galanya, sehingga ada yang berpuak-puak, serta bercerai-berai.

Menyentuh soal peranan ABIM, ABIM zaman DSAI memainkan peranan yang cukup signifikan selaku peneraju suara ummah.

DSAI selaku pemimpin ABIM, PBMUM, PKPIM dan MBM dijemput dalam hampir setiap persidangan dunia ketika zaman gemilangnya selaku pemimpin belia. Baju kemeja lengan panjang berbutang satu di pergelangan tangan serta kopiah Bukit Mertajam adalah antara pakaian lelaki Muslim yang dipopularkan oleh ABIM di Malaysia. Konsep usrah dan "Islam is a Way of Life" juga dikatakan dipopularkan di Malaysia oleh ABIM.

Apa yang lebih menarik ialah, Ustaz Ashaari (nama asal kad pengenalannya -- Asaari) pernah aktif dalam jemaah tabligh, ABIM dan PAS di Selangor dan Kuala Lumpur.

Tuntasnya, sama-samalah kita doa -- agar ALLAH pelihara negara dan agama yang kita cintai. Raikanlah perbedaan pendapat dengan diskusi berhikmah, terimalah kemajmukan sebagai sesuatu yang boleh menyumbang kepada kebaikan. Allahuaklam. =)

Akhir kalam, apa jua perbedaan pandangan yang kita semua bahaskan selama hayatnya, saya percaya, bahwa kita semua memperakui satu hakikat -- Allahyarham Ustaz Asaari punya jasa tersendiri dalam membangunkan ekonomi serta pergerakan jemaah Islam di Malaysia.

Moga mana-mana pemikirannya yang baik, dapat kita semua jadikan sebagai suri tauladan dalam hati dan sanubari, insya-ALLAH.

Inna lillahi wa inna ilaihi raji`un. Al Fatihah!

* Foto dicuplik daripada http://ustazmoden.wordpress.com/2010/05/14/gambar-abuya-ashaari

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Dr. Zulkifli Hasan: Menjambatani Persaudaraan, Menyubur Kesejahteraan

  Dr. Zulkifli Hasan: Menjambatani Persaudaraan, Menyubur Kesejahteraan   Oleh: Zairudin Hashim (Ahli Dewan Tertinggi Majlis Belia M...