Oleh: CHE Din
I. PENDAHULUAN
Di zaman Rasulullah SAW, ada seseorang yang mengaku nabi, bernama Musailamah Al-Kaddzab yang digelar “Al-Kaddzab” (si Pendusta), kerana dia memang berdusta dengan mengaku sebagai nabi. Selain mengaku nabi, Musailamah juga merasa mampu menandingi ayat Al-Qur’an dengan gubahannya sendiri iaitu Ad Difda’u atau Katak. Al Jahiz, sasterawan Arab dalam bukunya ‘Al Hayawan’ mengkritik gubahan nabi palsu ini dengan mengatakan: “Alangkah kotornya gubahan yang dikatakannya sebagai ayat Al-Qur’an itu yang turun kepadanya sebagai wahyu.”
Sementelahan, timbul pula Ajaran Qadiani yang diasaskan oleh Mirza Ghulam Ahmad Qadiani di India pada tahun 1889. Ajaran ini adalah bertentangan dengan ajaran Islam dan terkeluar dari agama Islam. Perkataan Ahmadiah adalah disandarkan kepada nama Mirza Ghulam Ahmad sendiri iaitu pengasas ajaran ini. Qadiani pula adalah diambil dari nama kampung atau kawasan tempat lahirnya Mirza yang terletak di daerah Gurdaspur, India. Dengan demikian, ajaran ini dikenali juga dengan nama ajaran Qadiani atau Kadiyani bersandarkan kepada nama kawasan tempat lahirnya Mirza.
Ajaran ini telah tersebar hampir ke seluruh dunia sejak awal abad kedua puluh hingga sekarang oleh mubaligh-mubaligh atau pengikut-pengikut ajaran ini, atas nama agama Islam walaupun ianya tidak pernah diiktiraf oleh agama Islam sendiri.
II. LATAR BELAKANG AJARAN QADIANI (MIRZA GHULAM AHMAD)
1. Keturunan: Mirza Ghulam Ahmad dilahirkan pada tahun 1839 di Kampung Qadian dalam daerah Gurdaspur pada peringkat akhir pemerintahan Sikh di situ. Bapanya bernama Mirza Ghulam Murtaza bin Mirza Atta Muhammad. Beliau berketurunan Borlas dari bangsa Monghul. Tetapi tidak berapa lama kemudian, beliau mendakwa mendapat ilham bahawa beliau berasal dari bangsa Parsi. Keturunannya dipercayai berasal dari Samarkand, kemudian berpindah ke India dan menetap di Qadian.
2. Pendidikan: Pendidikan awal Mirza Ghulam Ahmad dimulai dengan pengajian membaca Al-Quran dan beberapa buah buku Parsi. Apabila berumur 10 tahun, beliau belajar bahasa Arab. Dikala berumur 17 tahun, beliau belajar ilmu-ilmu nahu, mantiq dan falsafah secara berguru. Beliau belajar ilmu perubatan dengan ayahnya sendiri. Beliau tidak mempelajari ilmu agama dengan sesiapapun cuma secara belajar sendiri sahaja. Beliau menerima pelajaran di rumah hingga ke peringkat menengah (Middle Class). Beliau seorang yang kuat belajar. Guru-gurunya yang mengajar nahu, mantiq (Logic) dan falsafah ialah Maulavi Fazlilillahi, Maulavi Fazli Ahmad dan Maulavi Gul Ali Shah. Ayahnya sendiri seorang ahli ilmu perubatan (Physician) yang berpengalaman.
3. Pekerjaan: Dengan pengetahuan yang ada, Mirza bertugas di bawah Penolong Pesuruhjaya Sialkot dengan gaji yang kecil selama 4 tahun (1864-1868). Pada masa ini, beliau belajar sebuah atau dua buah buku Inggeris. Beliau telah cuba mengambil peperiksaan sijil Mukhtar tetapi gagal. Pada tahun 1868, beliau meletakkan jawatan dan pulang ke Qadian menjaga tanah dan harta sendiri. Tetapi sebahagian besar masanya ditumpukan untuk menatap Al-Quran serta buku-buku Tafsir dan Hadith.
4. Kehidupan: Kehidupan awal Mirza adalah susah dan miskin seperti juga orang-orang biasa. Hanya setelah dakwaan-dakwaannya mendapat perhatian dan berjaya, beliau mula mendapat hidup senang. Dalam tahun 1907 beliau menulis: “dulu saya tidak dikenali, hidup di kampung terpencil, Qadian dan tidur di ceruk sudut. Kemudian Allah telah menukarkan dunia ini kepada saya dan menolong saya dengan kemenangan demi kemenangan. Dulu sebenarnya saya tidak pernah ada harapan untuk mendapat 10 rupee sebulan. Tetapi sekarang saya dapat menerima kira-kira 300 rupee atau lebih lagi. Mereka telah menghantarkan kepada saya wang dan emas dan saya tidak tahu nama mereka”.
5. Kahwin Dan Anak: Perkahwinan Mirza yang pertama ialah pada tahun 1852 atau 1853 iaitu dengan seorang daripada kalangan keluarganya sendiri. Beliau mendapat dua orang anak iaitu Mirza Sultan Ahmad dan Mirza Fazal Ahmad. Dalam tahun 1891, beliau menceraikan isterinya. Tahun 1884 beliau mengahwini anak perempuan Nawab Nasir, Delhi. Anak-anaknya yang lain adalah dengan isterinya ini iaitu tiga orang. Mereka ialah; Mirza Bashiruddin Mahmood, Mirza Bashir Ahmad (Pengarang Sirat Al-Mahdi) dan Mirza Sharif Ahmad.
6. Kesihatan: Semasa muda Mirza selalu diserang penyakit histeria di mana kadang-kadang beliau pernah rebah dan tidak sedarkan diri. Mirza sendiri pernah menganggap penyakitnya itu sebagai histeria dan tekanan perasaan (Melancholia). Beliau juga diserang penyakit kencing manis (diabetes) dan kencing besel (copious urination). Beliau sering mengamalkan latihan rohani (spiritual exercise) dan disiplin diri yang ketat. Beliau pernah berpuasa enam bulan tanpa henti.
7. Sikap Dan Tingkahlaku: Pada masa kanak-kanak, Mirza adalah seorang budak yang ‘simple’ dan tidaklah begitu cerdik. Beliau tidak tahu bagaimana memutarkan jarum jam. Kalau dia hendak mengetahui masa, beliau mengambil jam dari poketnya lalu membilang dengan tangan bermula dari angka satu. Beliau membilang kuat-kuat supaya tidak lupa kerana beliau seorang pelupa. Kadang kala beliau tidak dapat membezakan kasut kiri dan kanan. Mirza juga seorang yang bercakap keras dan kasar serta menggunakan bahasa yang kesat bila menjawab tuduhan-tuduhan lawannya. Dalam syairnya untuk menghentam orang yang tidak mempercayainya, beliau berkata: “Seteru-seteru itu macam babi; perempuan-perempuan mereka macam anjing”.
8. Meninggal Dunia: Setelah Mirza mengisytiharkan dirinya sebagai Al-Masih yang dijanjikan (The Promised Messiah) pada tahun 1891 dan sebagai nabi Allah pada tahun 1901, maka ulama-ulama Islam mula menyerang dakwaannya itu. Antara mereka termasuklah Maulana Sana’ullah Amritsari, pengarang (penyunting) buku Ahli-Hadith. Pada 5hb. April, tahun 1907, Mirza dengan lantang menjawab dan mencabar Maulana Sana’ullah atas tuduhannya itu. Antara lain Mirza berkata: “Jika saya ini pembohong dan penipu maka saya akan mati pada masa kau masih hidup kerana saya tahu bahawa hidup seorang pembohong itu tidak akan panjang; dia akan mati sebagai seorang yang gagal pada masa lawannya masih hidup. Tetapi jika saya bukan pembohong malah diutuskan Allah dan juga sebagai Al-Masih yang dijanjikan maka saya harap dengan kekuasaan Allah, kau tidak akan dapat lari balasan-Nya. Dengan itu, justeru balasan itu hanya di tangan Allah, maka penyakit yang mematikan manusia seperti taun tidak akan mengenakan kau selagi saya masih hidup sebagai bukti saya ini pembohong”. Tetapi setahun selepas itu iaitu pada 25hb. Mei, 1908, Mirza jatuh sakit akibat penyakit cirit-birit di Lahore. Padai masa itu juga, beliau diserang penyakit cerah muntah (taun). Pada keesokan harinya, 20hb. Mei, 1908, Mirza menghembuskaan nafasnya yang terakhir. Mengikut bapa mertuanya: “Di malam Hazrat Mirza sedang tenat itu saya telah mendampinginya. Lalu beliau mengucapkan kepada saya: “Tuan sahib, saya ini diserang penyakit tuan”. Selepas itu saya tidak dengar lagi dia bercakap denga jelas sehingga dia menghembuskan nafansya yang terakhir pada pukul 10 malam”. Beliau dikuburkan di Qadian yang sekarang ini di dalam negara Pakistan.
III. BAGAIMANA MUNCULNYA AJARAN QADIANI
Faktor Dalam Diri Mirza: Ghulam Ahmad Mirza Ghulam Ahmad adalah seorang yang kuat dan tekun belajar. Dia berminat dalam bidang tafsir Al-Quran dan Al-hadith. Beliau juga adalah seorang yang bercita-cita tinggi dan amat sensitif dengan kedudukan agama Islam pada masa itu yang sentiasa diancam oleh pengaruh luar khasnya kebudayaan Inggeris dan agama Kristian. Pada masa inilah Mirza telah bangun mempertahankan Islam dan menyerang Kristian. Beliau telah menulis risalah-risalah dan mengarang buku untuk mempertahankan Islam. Antaranya Baharin-I-Ahmadiah. Mirza telah dipuji atas hasilnya itu. Dan ini akhirnya menjadikannya merasa sangat bijak, pandai dan berjasa kepada Islam. Akhirnya pula beliau merasa cukup sesuai untuk membuat dakwaan luar biasa ke atas dirinya seperti ‘reformer’ (mujaddid), Al-Mahdi dan lain-lain lagi. Di sinilah bermulanya penyelewengan-penyelewengan lain yang melahirkan ajaran Qadiani ini.
Faktor Luar Alam Sekitar: Pada akhir abad ke-19, umat Islam termasuk di India menghadapi pelbagai keadaan. Ulama-ulama bercakaran pendapat mengikut mazhab masing-masing. Perang mazhab sering mencetuskan keganasan yang mengakibatkan perpecahan. Imej ulama telah rosak. Ramai ahli sufi olok-olok mendakwa boleh menunjukkan sesuatu yang ajaib dan mendakwa menerima ilham daripada Allah. Mereka menarik minat masyarakat. Di samping itu, Punjab tempat lahirnya Mirza Ghulam Ahmad menjadi pusat konflk pemikiran karut-marut dan kejahilan di dalam agama. Mereka menderita akibat pemerintahan Sikh sejak lapan puluh tahun dahulu. Ajaran Islam yang sebenarnya hampir hilang. Masyarakat Islam menjadi pudar, kosong fikiran dan ragu-ragu. Kekalahan orang-orang India dalam pemberontakan 1857 menentang penjajah Inggeris menambahkan lagi keperluan kepada seorang pemimpin yang mempunyai sifat kepimpinan yang teristimewa (charismatic). Segolongan orang Islam menunggu kemunculan Isa yang dijanjikan sebagaimana yang diberitahu kepada mereka. Maka dari keadaan dan peluang ini, bangkitnya Mirza Ghulam Ahmad membuat berbagai-bagai dakwaan berkenaan dengan dirinya.
Pengaruh Nuruddin Ke Atas Mirza Ghulam Ahmad
IV. SIAPA DIA NURUDDIN ?
Nuruddin Bhairawi dilahirkan di Kampung Bhaira, Punjab, Pakistan Barat pada tahun 1841. Beliau mempelajari bahasa Parsi, tulisan dan bahasa Arab permulaan. Beliau sebenarnya seorang ahli perubatan tradisi India yang memegang gelaran ‘Hakim’. Nuruddin Bhairawi orang yang kedua di dalam ajaran Qadiani ini selepas Ghulam Ahmad. Malah setengah pengkaji berpendapat bahawa beliaulah orang yang sebenarnya menghasut Mirza melakukan penyelewengan di dalam ajaran ini.
1. Hubungan Nuruddin Dan Mirza:: Perhubungan Nuruddin dengan Mirza bermula pada tahun 1885 di Qadian. Terdapat banyak persamaaan idea antara Nuruddin dan Mirza. Sehinggakan apabila Mirza menulis bukunya “Barahin Ahmadiah”, Nuruddin menulis bukunya “Tasdiq Barahin Ahmadiah” untuk menyokong Mirza. Betapa dalamnya kepercayaan Nuruddin kepada Mirza dapat ditunjukkan dalam cerita ini. Apabila Mirza mengarang Fath Al-Islam dan Tawdhih Al-Maram, seorang bertanyakan Nuruddin sebelum beliau melihat buku-buku itu, “Apakah sebarang nabi akan muncul selepas Nabi Muhammad?” Jawabnya, “Tidak”. “Jika ada orang yang mendakwa menjadi Nabi?”. Jawabnya, “Kita tengok dulu dia itu benar atau tidak. Kalau benar saya akan terima, malah kalau Al-Masih itu mendakwa membawa syariat baru dan membatalkan Al-Quran, saya tidak menafikannya. Ini kerana jika kita telah mengakui (Mirza Ghulam Ahmad) sebagai benar dan telah diutuskan Allah, maka apa saja yang dia kata tentunya benar dan kita mesti fikirkan bahawa maksud Khatami An-Nabiyyin (nabi terakhir) di dalam Al-Quran itu tentu mempunyai makna yang lain”.
2. Nuruddin Mempengaruhi Mirza:: Pada awal tahun 1891, Nuruddin telah menghantar surat kepada Mirza memintanya supaya mengisytiharkan dirinya sebagai Al-Masih yang dijanjikan. Dalam surat jawapannya kepada Nuruddin, Mirza menulis bahawa dia tidak bercadang untuk membuat dakwaan demikian. Beliau hanya ingin menjadi seorang hamba Allah yang taat. Tetapi kemudian dalam tahun yang sama Mirza menerima gagasan Nuruddin itu.
3. Kesan Kepada Mirza:: Implikasi dari penerimaan Mirza itu, menampakkan bahawa Mirza sebenarnya seorang yang lemah dan tidak cekal. Dia senang dipengaruhi oleh orang lain. Kesan daripada ini terdapat dua peringkat dalam hasil karya Mirza iaitu:
Peringkat Pertama: Mengandungi karya-karya yang membuktikan sahnya agama Islam dan membatalkan agama-agama lain. Dalam karya-karya ini tidak terdapat dakwaan menjadi Al-Masih. Antara karya-karyanya itu ialah “Barahin Ahmadiah, surmahi-Chashor-I-Arya dan Shahna-I-haq”.
Peringkat kedua: Bermula dengan dakwaannya menjadi Al-Masih kemudian diikuti dengan dakwaan-dakwaan lain berkenaan dengan dirinya. Dalam karya -karya ini penuh dengan sikap sombong dan mulia diri daripada masa yang lalu. Karya pertamanya di peringkat ini ialah Fath Al-Islam yang dikeluarkan pada tahun 1891 di mana di dalam buku inilah beliau mendakwa dirinya sebagai bayangan kepada Al-Masih yang dijanjikan. Mirza Bashir Ahmad dalam bukunya Sirat Al-Mahadi mengatakan bahawa Al-Masih Isa telah mati.
V. KANDUNGAN AJARAN QADIANI
Kandungan ajaran Qadiani yang bertentangan dengan Islam itu boleh dilihat dari dakwaan-dakwaan Mirza Ghulam Ahmad dan perbuatan-perbuatannya.
1. Siri Dakwaan Mirza :: Mula-mula pada tahun 1885, Mirza Ghulam Ahmad mendakwa dirinya sebagai reformasi (mujaddid) kemudian pada tahun 1891, beliau mendakwa sebagai Imam Mahadi yang ditunggu-tnggu kemudian beliau dihasut oleh Nuruddin supaya mendakwa dirinya sebagai Al-Masih yang dijanjikan dan ini juga dilakukannya pada tahun 1891. Kemudian pada tahun 1901 beliau mengakui dirinya sebagai nabi. Di samping itu, pada 1hb. November 1904, beliau mendakwa dirinya sebagai penjelmaan Krishna unutk orang-orang Hindu di samping sebagai Isa Al-Masih untuk orang-orang Islam dan Kristian.
1.2. Ulasan :: Munculnya ajaran Qadiani ini adalah jelas dari keadaan-keadaan yang tidak ‘normal’ pada diri Mirza Ghulam Ahmad sendiri dan pada suasana alam sekelilingnya. Mirza adalah seorang yang mempunyai cita-cita yang tinggi, kuat berusaha dan belajar serta mempunyai sikap yang keras. Namun, beliau bukan mempunyai pendidikan yang tinggi dan mendalam di dalam agama Islam. Pengetahuan yang didapatinya lebih merupakan hasil pembacaannya sendiri. Suasana yang tidak tenteram di dalam masyarakatnya khasnya ancaman-ancaman politik dan kebudayaan dari penjajahan Inggeris dan kejahilan rakyat, memberi peluang kepadanya untuk muncul sebagai pemimpin yang akhirnya mendakwa dirinya dengan bermacam-macam dakwaan yang karut. Lebih-lebih lagi, beliau sentiasa digalakkan oleh kawannya Nuruddin yang bukan seorang ahli agama yang kemudiannya menjadi khalifahnya yang pertama.
2. Dakwaan Sebagai Imam Mahdi :: Sebelum Mirza Ghulam Ahmad, golongan-golongan Syiah telah terlebih dahulu mendakwa kedatangan Imam Mahdi dari kalangan tokoh-tokoh mereka. Umpamanya Syiah Sabaiah menganggap Ali bin Abi Talib adalah Imam Mahdi yang akan datang lagi ke dunia pada akhir zaman, Syiah Imamiah Ithna-Asyariyyah menganggap Muhammad bin Hassan Al-Asykari, Imam mereka yang kedua belas sebagai Imam Mahdi. Dia sekarang dalam keadaan ghaib dan akan keluar lagi sebagai Imam Mahdi. Dan golongan-golongan lain lagi yang mendakwa mempunyai Imam Mahdi masing-masing. Dengan demikian, tidak hairanlah jika Mirza Ghulam Ahmad yang mendakwa dirinya berjasa kepada Islam, mendakwa dirinya sebagai Imam Mahdi.
2.1. Ulasan :: Dakwaan Mirza Ghulam Ahmad sebagai Imam Mahdi adalah dakwaan tanpa asas. Tidak ada orang yang mengetahui dengan tepat siapakah Imam Mahdi itu. Hadith-hadith berhubung Imam Mahdi hanyalah Hadith ‘Ahad’ dan tidak menjelaskan siapkah Imam Mahdi itu sebenarnya. Ulama-ulama Islam berselisih pendapat tentang akan lahirnya Imam Mahdi yang ditunggu-tunggu itu. Dengan demikian, kemunculan Imam Mahdi itu bukan suatu akidah di dalam akidah Islam. Gelaran Imam Mahdi yang disebutkan itu adalah rekaan golongan tertentu untuk mengagungkan pemimpin mereka. Dan Mirza telah mengambil kesempatan menggunakan nama tersebut untuk dirinya dan mendakwa ianya datang daripada perintah Allah. Inilah taktik pembohongan Mirza yang selalu dilakukannya.
Dalam novel “The Mahdi” karya AJ Quinnel (1981), diceritakan konspirasi antara agen M-16 (Inggeris) dengan agen CIA (Amerika) dalam mereka-reka kehadiran sosok Al-Mahdi, iaitu Abu Qadir, seorang sufi yang berasal dari Arab Saudi. Dalam sinopsis novel tersebut dikatakan: “Sebuah cerita hebat tentang rahsia antarabangsa yang merencanakan untuk menguasai kekuatan Islam yang sedang berkembang melalui sebuah mukjizat buatan, di depan mata jutaan umat Islam yang beriman di Kota Mekah. Menampilkan seorang Mahdi baru: Itulah sasaran yang ingin dicapai setiap agen rahsia Barat. Seorang ‘nabi boneka’ merupakan sebuah kunci yang tidak terbayangkan bagi kekuatan antarabangsa. Menampilkan, sudah tentu seorang “nabi” yang tetap berfungsi sebagai boneka.
3. Dakwaan Isa a.s. Mati Dan Kuburnya Di Srinagar Di dalam Al-Quran :: Seperti juga kepercayaan Kristian dan Yahudi, Mirza Ghulam Ahmad mempercayai bahawa nabi Allah Isa a.s. itu adalah telah mati sebagaimana kematian manusia biasa. Tetapi berlainan dari Kristian, beliau mendakwa mendapat ilham daripada Allah pada tahun 1890 bahawa Isa tidak mati di atas palang. Malah sebenarnya apabila beliau pengsan di atas palang, beliau diturunkan dalam keadaan luka. Kemudian kononnya apabila beliau benar-benar sembuh, beliau pun lari ke Kashmir dan mati di sana dalam keadaan biasa dan kuburnya terdapat di Srinagar, Kashmir.
3.1. Ulasan :: Nabi Isa a.s. bukan dibunuh dan disalibkan tetapi rupanya telah diserupakan oleh Allah dengan seorang yang lain. Malah Allah telah mengangkatnya kehadrat-Nya sebagaimana tersebut di dalam ayat: “Dan (disebabkan) dakwaan mereka dengan mengatakan: “Sesungguhnya kami telah membunuh Al-Masih Isa ibn Maryam, Rasulullah”. Pada hal mereka tidak memalangnya (dikayu palang salib) tetapi diserupakan bagi mereka (orang yang mereka bunuh itu seperti Nabi Isa). Dan sesungguhnya orang-orang yang telah berselisih faham tentang (Nabi) Isa, sebenarnya mereka berada dalam syak (ragu-ragu) tentang menentukan pembunuhannya. Tiada sesuatu pengetahuan pun bagi mereka tentangnya selain daripada mengikut sangkaan semata-mata dan mereka (pula) tidak membunuhnya dengan yakin. Bahkan Allah telah mengangkat (Nabi) Isa kepada-Nya, dan adalah Allah Maha Kuasa lagi Maha Bijaksana”. (An-Nisaa' : 157 dan 158). Dengan demikian, umat Islam percaya bahawa Nabi Isa a.s. itu tidak mati di tiang salib atau di mana-mana malah telah diangkatkan Allah ke hadrat-Nya. Hadith-hadith juga telah menyebutkan demikian. Dengan itu, kubur Nabi Isa a.s. tentulah tidak ada di mana-mana juapun.
4. Dakwaan Sebagai Al-Masih :: Pada mulanya kepercayaan Mirza kepada nabi Allah Isa a.s. sama dengan kepercayaan orang-orang Islam yang lain. Tetapi pada tahun 1891 di atas desakan kawannya Nuruddin, Mirza mendakwa dirinya sebagai Isa Al-Masih. Dengan demikian, supaya sesuai dengan dakwaannya, Mirza tidak lagi berpegang bahawa Isa Al-Masih yang akan turun itu adalah Isa ibn Mariam tetapi kononnya Al-Masih dari kalangan penganut agama Islam dan pengikut NabiMuhammad SAW. Tetapi ianya masih tetap mempunyai ciri-ciri, sifat-sifat dan peranan-peranan yang sama dengan Al-Masih ibn Mariam yang dijanjikan itu. Dan dengan demikian juga, Isa ibn Mariam itu tidak akan turun lagi kerana beliau (Mirza Ghulam Ahmad) sendiri yang telah menggantikannya. Untuk menguatkan lagi hujah ini beliau terus mengatakan bahawa Isa ibn Mariam itu telah mati bukan diangkat ke langit oleh Allah. Orang yang mati tidak mungkin akan hidup dan turun ke dunia lagi. Dakwaan ini terkandung di dalam buku-bukunya, antaranya: Fath Al-Ilam, Tawdhih Al-Maram ‘Izalah Al-Awhan.
4.1. Ulasan :: Dakwaan tersebut oleh Mirza Ghulam Ahmad ternyata karutnya. Ada dua perkara yang mesti difahami dalam soal ini:
4.1.1. Pertama: Soal turunnya Isa Al-Masih ke dunia ini bukanlah boleh difahami dengan mudah. Ulama-ulama Islam berselisih pendapat tentangnya. Sebuah hadith yang diriwayatkan oleh An-Nuwwas bin Sam’an r.a. mengatakan bahawa Rasulullah SAW ada menjelaskan; semasa Dajjal itu bermaharajalela, Allah menghantar turun Nabi Isa Al-Masih anak Maryam. Lalu ia turun berhampiran menara putih yang letaknya di timur bandar Damsyik. .. maka Nabi Isa pun mengejar Dajjal sehingga dapat menawannya di pintu kampung yang bernama ‘Lud’ lalu membunuhnya” (Riwayat Muslim). Apa yang tersebut di dalam hadith tersebut tidak ada kaitan langsung dengan Mirza. Dengan demilkian Mirza Ghulam Ahmad itu bukan sekali-kali Isa Al-Masih.
4.1.2. Kedua: Isa Al-Masih yang disebutkan akan turun ke dunia menjelang kiamat itu jelas sekali adalah tidak lain daripada Isa anak Maryam dari keturunan Bani Israel yang tidak berbapa, sedangkan Mirza Ghulam Ahmad adalah berbapa dari keturunan Borlas dari bangsa Monghul bukan sekali-kali anak Maryam.
5. Dakwaan Menerima Wahyu :: Dalam khutbah Ilhamnya (Al-Khutbah Al-Ilhamiah) Mirza Ghulam Ahmad berkata: “Ini adalah kitab yang telah diilhamkan oleh Tuhan kepadaku pada satu hari daripada hari-hari perayaan, malah ia adalah hakikat yang diwahyukan Tuhan kepadaku”. Katanya lagi, “Sesungguhnya telah sampai wahyu kepadaku daripada Tuhan sebelum diturunkan penyakit taun supaya aku membuat perahu (bahtera) dengan pertolongan dan wahyu Kami”. Beliau mendakwa bahawa apa-apa dakwaan dirinya adalah wahyu atau ilham daripada Allah bukan daripadanya sendiri.
5.1. Ulasan :: Penyelewengan yang nyata dalam ajaran Qadiani bermula dari dakwaan menerima wahyu dari Allah SWT oleh Mirza Ghulam Ahmad. Sebenarnya tiada seorang pun selepas Nabi Muhammad SAW sama ada dari kalangan sahabat atau kalangan salafussalih yang telah diturunkan wahyu. Dengan demikian, apa yang dimaksudkan wahyu oleh Mirza Ghulam Ahmad itu adalah rekaan .semata-mata.
6. Dakwaan Sebagai Nabi:: Dakwaan Mirza Ghulam Ahmad yang paling merbahaya dan terakhir sekali ialah sebagai nabi iaitu pada tahun 1901. Dakwaan ini didahului dengan dakwaan menerima wahyu daripada Allah di mana bukan melalui malaikat Jibrail tetapi melalui ilham terus daripada Allah. Beliau mengakui bahawa wahyu melalui Jibrail hanya kepada rasul yang membawa agama baru. Wahyu seperti itu telahpun ditutup. Pada tahun 1901, beliau telah membuat pernyataan yang mutlak tentang dirinya sebagai nabi yang sebenar: “Demi Allah yang nyawa saya di tangan-Nya, Dia-lah yang telah mengutus dan menamakan saya Nabi; dan menunjukkan bukti-bukti yang jelas tentang kebenaran dakwaan saya yang jumlahnya sampai tiga ratus ribu bukti”. Kemudian beliau menyamakan dirinya dengan nabi-nabi lain, malah akhirnya beliau menyatakan: “Sayalah Muhammad Rasul Allah”.
6.1. Ulasan :: Dakwaan Mirza yang paling merbahaya sekali ialah dakwaan dirinya sebagai seorang nabi. Ayat yang digunakan oleh Mirza untuk menyokong dakwaannya ialah: “Bahawa Muhammad itu bukanlah bapa kepada salah seorang lelaki kamu (Zaid bin Harithah, anak angkat Rasulullah) malah beliau adalah rasul (utusan) Allah dan penyudah segala nabi-nabi (yang terdahulu). Dan adalah Allah itu mengetahui segala-galanya”. (Al-Ahzab: 40)
Mengikut ajaran Qadiani, maksud ‘Khatam Al-Nabiyyin’ itu ialah bahawa Muhammad itu adalah mohor (seal) atau pengesah kepada segala nabi-nabi selepasnya, khasnya Mirza Ghulam Ahmad. Kesilapan dan pembelotan yang dilakukan oleh Qadiani di sini ialah ia memberi erti “adanya nabi-nabi selepas Nabi Muhammad” kepada perkataan Khatam Al-Nabiyyin itu. Ini semata-mata untuk membuka pintu kepadanya mengisytiharkan dirinya sebagai nabi, sedangkan makna sebenar ‘Khatam Al-Nabiyyin’ itu ialah tidak akan ada lagi nabi selepas Nabi Muhammad saw. Pada zaman sahabat dahulu, setelah wafatnya Rasulullah SAW terdapat orang yang mendakwa dirinya sebagai nabi umpamanya Musailamah Al-Kazzab. Mereka ini telah diperangi dan ada yang dibunuh.
7. ‘Mukjizat’ Mirza :: Selain daripada mengakui menerima ‘wahyu’ daripada Allah yang taraf sahnya sama dengan wahyu Al-Quran, beliau mengakui juga mempunyai mukjizat. Katanya : “Nabi Allah itu telah menunjukkan tiga ribu mukjizat. Tetapi mukjizat saya melebihi dari satu juta”. Dalam risalah ‘Ikjaz Ahmadi’ katanya: “Bulan yang terang menjadi gerhana kerana saya, masakan dapat saya menafikan bulan dan matahari menjadi pucat kerana saya”.
7.1. Ulasan :: Mukjizat ialah kebolehan luar biasa yang tidak dapat dicabar oleh manusia yang dianugerahkan Allah kepada Rasul dan Nabi-Nya untuk membuktikan kenabian atau kerasulan mereka. Misalnya mukjizat Nabi Muhammad saw ialah keluarnya air dari celah-celah jari Baginda apabila Baginda meletakkan tangannya di bumi. Oleh kerana Mirza ini bukan nabi dan bukan rasul maka tentunya beliau tidak mempunyai mukjizat apa-apa. Dan memang beliau tidak dapat menunjukkan apa-apa mukjizat pun.
8. Menafikan Jihad dan mewajibkan Taat Kepada Inggeris :: Mirza Ghulam Ahmad adalah seorang yang anti-jihad dan menjunjung tinggi penjajah Inggeris. Di bahagian lampiran dalam bukunya ‘Shahadatul-Quran’ edisi keenam, atas tajuk “Untuk Perhatian Segera Pemerintah”, beliau menulis: “Saya telah menerangkan beberapa kali bahawa Islam yang saya anuti ini mengandungi dua bahagian; iaitu Taat Kepada Allah dan kedua : Taat kepada pemerintah yang telah memberikan keamanan dan perlindungan kepada kita serta mengawal kita daripada kezaliman. Itulah dia kerajaan Inggeris”. Beliau menambah: “Saya bukan saja menjadikan orang-orang India Muslim taat kepada kerajaan Inggeris, malah saya telah menulis beberapa buah buku dalam bahasa Arab dan Parsi juga Urdu menerangkan kepada penduduk-penduduk Islam bagaimana untuk hidup aman, nikmat bahagia dan bebas di bawah kepak sayap kerajaan Inggeris”. Dan Mirza menambah lagi: “Saya yakin bahawa dengan bertambahnya bilangan pengikut-pengikut saya, maka berkuranglah orang yang percaya kepada jihad kerana kepercayaan kepada saya sebagai Al-Masih dan Al-Mahdi dengan sendirinya menafikan adanya jihad itu”. Mirza mengeluarkan hukum dan pendapat yang bertentangan sekali dengan kehendak ayat-ayat Al-Quran.
Ini dapat ditunjukkan melalui kata-katanya bahawa; 1) jihad dengan pedang telah dilarang; 2) semua peperangan untuk agama sekarang ini telah ditegah; 3) sekarang jihad untuk tujuan agama telah diharamkan; 4) pada pendapat saya, tidak ada doktrin yang memburukkan nama Islam lebih daripada doktrin jihad; dan 5) saya menghabiskan sebahagian besar umur saya untuk mengiyakan kerajaan British dan menentang jihad.
8.1. Ulasan :: Jihad yang dimaksudkan di dalam konteks ini ialah berjuang memerangi musuh yang menceroboh agama Allah dan umat-Nya. Di dalam Al-Quran, kewajiban berjihad terhadap seteru-seteru yang merampas hak-hak orang Islam adalah jelas dan tiada siapa yang menafikannya. Ayat-ayat 190 hingga 194 surah Al-Baqarah memberi maksud: “Berperanglah untuk jalan Allah (berjihad) terhadap orang - orang yang memerangi kamu, dan janganlah kamu melampaui; dan perangilah mereka di mana sahaja kamu berjumpa, dan usirkan mereka keluar sebagaimana (setakat mana) mereka telah mengusirkan kamu . Dan fitnah itu adalah lebih dahsyat daripada pembunuhan.. Dan perangilah mereka hingga tidak ada lagi fitnah …”
9. Mengubah Ayat-Ayat Al-Quran :: Satu lagi penyelewengan dan kesalahan besar yang dilakukan oleh ajaran Qadiani ialah mengubah ayat-ayat Al-Quran atau disebut ‘Tahrif Al-Quran’. Tahrif bererti mengubah atau meminda bentuk dan kedudukan ayat-ayat Al-Quran. Sebarang pengurangan yang sengaja, penghapusan dan penambahan terhadap ayat-ayat Al-Quran adalah merupakan tahrif. Usaha yang sengaja dilakukan untuk mentafsir ayat-ayat Al-Quran di luar dari erti yang sebenar dan jelas adalah juga dipanggil tahrif. Antara contoh-contoh tahrif adalah seperti ayat 23 surah Al-Baqarah, ayat 52 surah Al-Hajj dan ayat 1 surah Al-Qadr. Terdapat banyak lagi ayat-ayat yang diubah atau ditahrifkan oleh MirzGhulam Ahmad di dalam Al-Quran. Segala-galanya adalah untuk menguatkan segala dakwaannnya.
9.1. Ulasan :: Perbuatan tahrif iaitu mengubah atau meminda bentuk dan kedudukan ayat-ayat Al- Quran dengan sengaja adalah dianggap kafir. Setiap orang Islam yang mempercayai bahawa Al-Quran itu wahyu daripada Allah, tidak akan berani dan sanggup melakukan tahrif demikian.
10. Lain-Lain Dakwaan
Dakwaan-dakwaan lain yang dilakukan oleh Mirza Ghulam Ahmad , antaranya ialah:
1. Para Nabi Menyaksikan dirinya :: Dalam bukunya ‘Maktub Ahmad’ halaman 62, Mirza mendakwa:”Nabi Allah Saleh telah menyaksikan kebenaran saya sebelum saya melahirkan seruan saya. Saya adalah Isa Al-Masih yang akan datang. Beliau menyebut nama saya serta nama kampung saya”.
1.1. Ulasan :: Dakwaaan Mirza yang para nabi seperti Nabi Saleh a.s. menyaksikan dan mengakui Mirza sebagai Al-Masih adalah satu pembohongan yang amat nyata yang tidak masuk akal. Kalau itu berlaku didalam mimpi, maka mimpi manusia tidak boleh dipegang lebih-lebih lagi tentang perkara yang tidak betul dan tidak dapat dibuktikan.
2. Malaikat Sebagai Pancaindera Tuhan :: Dalam buku ‘Hamamah Al-Busyra’ halaman 98, Mirza menegaskan: “Lihatlah pada malikat-malaikat itu bagaimana Allah menjadikan mereka itu sebagai pancainderanya”.
2.1. Ulasan :: Kata-kata bahawa malaikat adalah pancaindera Tuhan ternyata sesat dan salah sekalipun diucapkan dalam bentuk simbolik. Semua makhluk tidak boleh dicantumkan dengan zat Allah Yang Maha Suci dari segala makhluk-Nya.
3. Ibadat Haji Di Qadian :: Orang-orang Qadiani menganggap bahawa daerah Qadian adalah merupakan salah satu daripada tiga tempat suci disebutkan iaitu Makkah, Madinah dan Qadian. Harian 'Al-Fadhl' bilangan 1848, Jilid 10 Disember 1912 menyebut: “Sesiapa yang menziarahi menara putih Al-Masih yang dijanjikan (Mirza) akan diberikan berkat yang hanya ditentukan kepada menara hijau Nabi di Madinah Al-Munawwarah. Alangkah menderitanya orang yang menghalang dirinya daripada menikmati Haji Akbar di Qadian”. Dalam Harian ‘Al-Fadhl’ Jilid 20 bilangan 23 ada disebutkan katanya: “Apa yang dimaksudkan dengan Masjid Al-Haram ialah Masjid Qadian. Andainya daerah Qadian menyamai Tanah Suci malah mungkin lebih utama daripadanya, maka menziarahinya adalah menyamai fardhu haji dan mungkin melebihi daripadanya”. Dalam ‘Bigam Sulhi’ Jilid 21 bilangan 22, lidah rasmi ‘Cawangan Lahore’ menyebut: “Menunaikan haji di Makkah tanpa melakukan haji di Qadian adalah haji kering dan kosong kerana menunaikan haji di Makkah hari ini tidak memenuhi risalah dan tidak menunaikan fardhunya”.
3.1. Ulasan :: Amat sesat jika terdapat dakwaan adanya tempat lain untuk ibadat Haji selain dari Makkah tempat terletaknya Baitullah. Perkara ini sudah jelas di dalam Al-Quran dan Al-Hadith. Kumpulan Qadian Dan Kumpulan Lahor (Dikenali Juga Dengan Panggilan Ahmadiah Sahaja). Antara sifat-sifat penting kumpulan Lahor ini ialah; a) ia tidak mengakui kenabian Mirza Ghulam Ahmad tetapi mereka mengakui ajaran Mirza (Golongan Qadian memang mengakui Mirza sebagai nabi); dan b)ia mendakwa bahawa Isa itu adalah anak ‘Yusuf tukang kayu’ bukan tidak berbapa. Namun kedua-dua kumpulan iaitu Kumpulan Qadian dan Kumpulan Lahor adalah pengikut ajaran Qadiani yang sesat dan terpesong daripada agama Islam itu.
VIII. AJARAN QADIANI DI INDONESIA
Jemaah Ahmadiyah al-Qadiyan masuk ke Indonesia pada tahun 1935 M, dan kini, telah tersebar ke berbagai daerah di wilayah Republik Indonesia, bahkan telah mempunyai sekitar 300 cawangan, terutama di Jakarta, Jawa Barat, Jawa tengah, Sumatera Barat, Palembang, Bengkulu, Bali, dan lain-lain. Kini, Jemaah Ahmadiyah al-Qadiyan berpusat di Parung, Bogor, Jawa Barat, dengan gedung dan markas yang megah dan dilengkapi dengan peralatan yang canggih, serta perumahan seluas sekitar 15 hektar yang terletak di pinggir jalan raya Jakarta.
Ahmadiyyah Indonesia juga mempunyai laman sesawang (web) rasminya sendiri, yang melancarkan propaganda dan ceramah secara langsung “khalifah” mereka di London. Selain itu, jumlah pemilikan dana Ahmadiyyah juga sangat besar. Untuk menggaji pegawainya sahaja, Ahmadiyyah mengeluarkan sekitar 60 juta Rupiah setiap bulan. Ahmadiyyah juga setiap bulannya menyebarkan risalah dan buku-buku yang berisi ajaran Ahmadiyyah secara percuma kepada masyarakat.
Prof. K.H. Ibrahim Hasan LML, Rektor IIQ Jakarta mewajibkan kaum Muslimin untuk berjuang membubarkan Ahmadiyyah. Bahkan hampir seluruh ilmuwan Islam ketika itu telah menandatangani kesepakatan agar Ahmadiyyah dibubarkan, karena telah menodai Al-Qur’an. Peristiwa itu terjadi pada bulan Juni 1995.
Malah, dalam buku “Ahmadiyyah dan Pembajakan Al-Qur’an” karya M.Amin Djamaluddin, disebutkan bahawa kitab “suci” Ahmadiyyah, “Tadzkirah” telah meniru dan mengubahsuai ayat Al-Qur’an sebanyak 132 ayat. Dalam Tazkirah, sang nabi palsu, Mirza Ghulam Ahmad mencampur-adukkan ayat-ayat suci Al-Qur’an dengan bahasa Arab, bahasa Urdu, dan bahasa Parsi.
IX. AJARAN QADIANI DI MALAYSIA
Kedatangan ajaran Qadiani ke Malaysia dipercayai pada awal tahun 1930-an.dan penyebarnya yang pertama dipercayai Maulana Husin Iyaz yang datang ke Singapura pada tahun 1935 dan pejabatnya ialah di No. 116, Unan Road, Singaoura 15. Melalui pengkalannya di situ beliau menyebarkan ajaran ini. Selepas Maulana Husin Iyaz, datang pula Maulana Mohd. Sadiq bin Barakatullah pada 22hb. Disember 1949 sebagai wakil penyebarnya di sini. Kemasukan ajaran Qadiani ke Malaysia ini telah ditentang hebat oleh ulama-ulama Islam.
Di Jeram, Selangor ketua Qadiani di situ iaitu Syed Abdul rahman bin Syed Alwi telah meminta Sultan Selangor mengadakan penyelidikan ke atas ajaran ini pada bulan Mei 1951. Pada 23hb. Julai 1951 satu majlis perbahasan telah diadakan di hadapan baginda di Istana Selangor, Kuala Lumpur. Pihak Qadiani diwakili oleh Mohd Sadiq Barakatullah dan Mohd Zuhdi Fadhli. Pihak ulama Islam diwakili oleh Sheikh Mahmud Zuhdi dan ulama-ulama di Pejabat Agama Islam Negeri Selangor. Keputusan perbincangan ialah bahawa golongan Qadiani tidak diiktiraf sebagai golongan Islam malah terkeluar dari Islam.
Berkenaan kedudukan Ahmadiah/Qadiani di Malaysia sekarang, sejak berlakunya dialog antara Ketua Ahmadiah/Qadiani dengan ulama-ulama tempatan yang berlangsung di hadapan Sultan Selangor dalam tahun 1951 itu, ajaran ini menjadi makin lemah dan tidak mempunyai pemimpin yang benar-benar dikenali. Lebih-lebih lagi kerana ajaran ini tidak diiktiraf sebagai ajaran Islam yang sebenar. Dengan demikian, ianya tidak dapat berkembang ke seluruh negara, cuma hidup di tempat yang ia telah lahir sebelum itu.
Di Selangor, antara tempat-tempat yang terdapat penganut-penganut ajaran ini ialah Jeram, Sungai Tua, Sungai Buloh, dan Kampung Nakhoda. Di Jeram, ada kira-kira 40 orang pengikut (lelaki dan perempuan) di sini. Terdapat tanah perkuburan mereka sendiri yang diberi oleh Pegawai Daerah Inggeris pada tahun 1954. Luasnya kira-kira dua ekar. Di Sungai Tua, kira-kira 20 orang pengikut ( lelaki dan peremmpuan) terdapat di sini. Pengikut Ahmadiah/Qadiani dari Melaka datang berkumpul di sini. Di Sungai Buloh pula, terdapat sebuah surau Ahmadiah / Qadiani yang berharga kira - kira RM1600 . Surau ini dibina daripada derma pengikut-pengikut ajaran itu. Manakala di Kampung Nakhoda, pengikutnya di sini masih kuat berpegang ajaran ini. Mereka terdiri daripada kira-kira lima keluarga. Terdapat sebuah ‘masjid’ Qadiani yang digunakan untuk mereka sahaja.
Di negeri-negeri lain di Malaysia, selain dari Selangor, terdapat juga pengikut ajaran Ahmadiah/Qadiani ini. Tetapi mereka itu tidak diketahui orangnya. Mungkin kerana jumlahnya terlalu kecil. Tiap-tiap pengikut ajaran ini dikehendaki mengeluarkan 1/16 daripada pendapatan harian mereka kepada tabung kumpulan ini. Buat masa ini, penganut Ahmadiah/Qadiani adalah semakin berkurangan kerana di kalangan mereka ramai yang telah bertaubat dan anggota baru hampir tidak ada langsung. Gerakan mengembangkan ajaran ini telah lama berhenti dan orang ramai umumnya mengetahui ajaran ini adalah bertentangan dengan Islam. Apa yang jelas kelihatan ialah pengikut ajaran ini terpisah dari masyarakat Islam biasa. Anak-anak mereka tidak dapat berkahwin dengan anak orang Islam dan mereka terpaksa menerima keadaan ini.
IX. PENUTUP
Ajaran Ahmadiah/Qadiani adalah ajaran yang sesat lagi menyesatkan. Dr. Muhammad Iqbal, ilmuan Islam yang juga berasal dari India mengingatkan: “Sesungguhnya Qadianisme (Ahmadiyyah) adalah gerakan penentang Nabi Muhammad SAW, dan pakatan penentang Islam dan agama yang terpisah, dari agama Islam, bahawa Qadianisme adalah umat yang berdiri sendiri, dan bukan bahagian daripada umat Islam. Sesungguhnya, Qadianisme (Ahmadiyyah) akan menarik umat Nabi Muhammad SAW dan mendirikan umat baru di India. Sesungguhnya, Qadianisme lebih berbahaya bagi kehidupan masyarakat Islam India dibandingkan aliran Spenoza dengan falsafah Yahudi yang memberontak dengan peraturan-peraturan Yahudi”.
CHE Din,
3 Mei 2010,
10.20 pagi.
Rujukan:
- “Ajaran Qadiani (Ahmadiah/Qadiniah)”, terdapat di http://www.jais.gov.my/index2.php?option=com_content&do_pdf=1&id=109, diakses pada 20 November 2009.
- “Mengapa Ahmadiyyah Sesat dan Menyesatkan?”, terdapat di http://hambaallahswt.multiply.com/journal/item/197, diakses pada 20 November 2009.
- Mustaffa Suhaimi, “Bahaya ajaran sesat Qadiani, dan hubungannya dengan Inggeris”, Majalah Al-Islam, Januari 2004/Zulkaedah 1424, Bil 358, Kuala Lumpur, Utusan Karya Sdn. Bhd., muka surat 26-28.
- “Pokok-Pokok Ajaran Ahmadiyah al-Qadiyan”, terdapat di
- http://yapono.wordpress.com/2008/06/29/pokok-pokok-ajaran-ahmadiyah-al-qadiyan/, diakses pada 19 November 2009.
- “Risalah Ajaran Ahmadiah/Qadiani”, Jabatan Mufti Negeri Selangor, Oktober 2008.
Membantu umat uslam mengenali ciri2 kesesatan qadiani.
BalasPadamsalam. saya nak minta izin untuk print maklumat ini. kalau tidak keberatan boleh tak kalau email saya? iza1104@gmail.com. Jazzakumullah khairan kathsiran. :)
BalasPadamBAGUS
BalasPadamgood
BalasPadam