Isnin, Mei 03, 2010

Seputar Sirah China pada Abad 19: Campurtangan dan Penjajahan Kuasa Barat


Susunan: CHE Din

1.Pendahuluan
Dalam membincangkan China pada Abad 19, terdapat beberapa fasa yang boleh dibahagikan untuk membolehkan kita menilai sejarah dan perkembangan hubungan China dengan kuasa luar selepas kedatangan Kuasa Barat ke negara tersebut. Namun, molek kiranya jika kita mulakan perbincangan ini dengan membincangkan terlebih dahulu mengenai kewujudan Dinasti Manchu (Dinasti Ching) dalam kurun ke 17.

2.Dinasti Manchu / Dinasti Ching (Kurun ke 17)
Sejak berkurun-kurun dahulu, China telah diperintah oleh pelbagai dinasti. Dinasti-dinasti ini dinamakan mengikut keluarga yang memerintah. Orang-orang China pada masa dahulu percaya bahawa negara mereka adalah “Kerajaan Tengah” dunia ini. Mereka percaya bahawa Maharaja adalah “Anak Syurga” dan oleh itu menjadi “yang dipertuan” bagi seluruh bumi ini. Mereka juga percaya bahawa tidak ada sesiapa pun yang setaraf dengan maharaja mereka.

Dalam kurun ke 17, satu dinasti baru telah bermula di China, iaitu Dinasti Manchu (dari tahun 1644 hingga tahun1911). Dinasti yang baru ini adalah yang terakhir di China. Orang-orang Manchu adalah keturunan Tartar. Orang-orang Tartar pula ialah peribumi Manchuria, sebuah negeri di Utara China. Orang-orang Manchu menyerang China dalam tahun 1644 dan menaklukinya daripada Dinasti Ming.

Orang Manchu didakwa sebagai bukan orang China yang sebenarnya, sungguhpun mereka telah menerima cara hidup orang China sedikit demi sedikit dan menjadi seperti orang-orang China. Ramai orang-orang China yang bencikan orang-orang Manchu, terutamanya orang-orang China yang tinggal di Selatan China. Mereka tinggal di wilayah Kwangtung, Fukien dan Kwangsi. Ramai daripada orang-orang China yang lari berpindah ke Semenanjung Tanah Melayu datang dari wilayah-wilayah ini.

Mereka tidak berpuas hati dengan pemerintahan orang-orang Manchu. Kerajaan Manchu didakwa tidak membawa perubahan dan kemajuan kepada wilayah-wilayah di China Selatan. Pentadbiran wilayah-wilayah ini sangat buruk dan ianya dalam keadaan huru-hara. Kegagalan menanam bahan-bahan makanan mengakibatkan kebuluran.
Pada masa yang sama juga, penduduk-penduduk terlampau ramai dan sebilangan besar daripada mereka menganggur.

Sementelahan, keadaan di dalam negeri adalah tidak selamat. Kerajaan tidak dapat mengawal rusuhan, pembunuhan dan pemberontakan. Rakyat mahu mencari tempat yang yang lebih selamat untuk mencari rezeki. Pada masa ini, orang-orang British telah memulakan Negeri-negeri Selat di Semenanjung Tanah Melayu. Negeri-negeri Selat terutamanya Singapura dan Pulau Pinang menarik perhatian mereka.

3.Fasa Pertama (Sebelum 1834): Perhubungan Manchu dengan Barat
Pada fasa pertama, iaitu sebelum 1834, Empayar China berdagang melalui Syarikat Hindia Timur Inggeris. Walaupun ia mewakili kepentingan di Asia Timur, ia hanyalah sebuah syarikat. Justeru, walaupun perniagaan dan perdagangan syarikat tersebut maju dan menggalakkan, pihak British tidak mempunyai wakil secara terus di China. Oleh itu, pada fasa pertama, pengaruh Kerajaan British masih kurang kesannya di China.

Orang-orang Manchu telah membenarkan orang-orang asing berdagang di semua pelabuhan China hingga ke pertengahan kurun ke 18. Akan tetapi, dalam tahun 1757, China telah menutup semua pelabuhannya melainkan Pelabuhan Canton kepada pedagang-peadagang asing. Tindakan ini diambil kerana meraka mahu menyekat penyebaran agama Kristian.
Orang-orang Eropah menghadapi banyak masalah semasa menjalankan perdagangan dengan China di Canton. Mereka inginkan teh China dan sutera, tetapi orang-orang China tidak mahukan barang-barang buatan Eropah. Pedagang-pedagang Eropah terpaksa membayar cukai kastam yang sangat tinggi. Mereka dibenarkan hanya untuk berdagang dengan “Cohong”.

“Cohong” ialah kesatuan saudagar-saudagar China. Saudagar-saudagar ini telah menyebabkan perdagangan dengan orang Eropah menjadi susah. Saudagar-saudagar Eropah boleh berdagang hanya di suatu kawasan yang dikhaskan.

Dalam tahun 1793, British telah menghantar satu utusan yang diketuai oleh Lord McCartney ke China. Utusan itu memohon kepada Maharaja China supaya sesetengah daripada sekatan-sekatan di Canton itu dihapuskan. Malangnya, utusan itu gagal kerana orang-orang China menganggap bahawa barang-barang buatan Eropah tidak berguna kepada mereka.

Orang-orang China menganggap diri mereka lebih tinggi darjatnya daripada orang-orang Eropah. Mereka menggelar orang-orang asing itu sebagai “Si Tua Berbulu”. Orang-orang China hanya mengkehendaki emas dan perak sahaja sebagai bayaran the dan sutera mereka. Keadaan ini mula berubah apabila orang-orang Eropah membawa masuk candu yang sangat diingini oleh orang-orang China.

3.1.Candu
Candu telah digunakan di China sebagai ubat sejak berkurun-kurun lamanya. Apabila orang-orang British membawa candu dari Benggala di India ke China, corak perdagangan di China pun mulai berubah. Perdagangan candu telah mendatangkan keuntungan besar kepada orang-orang British. Namun, kemasukan candu yang begitu banyak mendatangkan kesan buruk di segi ekonomi dan social kepada negara dan masyarakat China.

4.Fasa Kedua (1834-1842): Perang Candu Pertama, Persetiaan Nanking dan Pembukaan China
Pada peringkat fasa kedua (1834-1842), selepas ketiadaan Syarikat Hindia Timur Inggeris, hanya terdapat kumpulan-kumpulan kecil pedagang atau peniaga yang menjalinkan hubungan perdagangan dengan China.

Oleh itu, Kerajaan British telah menghantar Lord Nappier ke China sebagai wakil mereka di sana. Pada ketika inilah, buat kali pertama, “perdagangan” telah menjadi isu politik. Hal ini demikian kerana, segala isu berkaitan dengan perdagangan di antara China dan British adalah tertakluk di bawah tanggungjawab dan bidang kuasa Lord Nappier dan Kerajaan British.

Dalam pada masa yang sama, Maharaja Manchu, yang sedar akan bahayanya perdagangan candu, percaya bahawa ketagihan candu telah menimbulkan berbagai penyakit dalam masyarakat. Perdagangan candu juga telah menjejaskan kedudukan kewangan China.

Oleh yang demikian, dalam tahun 1839, perdagangan candu telah diharamkan. China memaksa orang-orang Eropah supaya jangan membawa masuk candu ke China. Kerajaan China telah merampas candu orang-orang British yang bernilai lebih daripada satu juta pound di Canton.

Sementelahan, British juga terpaksa menghadapi halangan daripada segi perkembangan budaya bagi menembusi China. Masalah-masalah tersebut termasuklah perkara berkaitan dengan “Hubungan Antara Negara”. British mengamalkan konsep moden tentang kesamarataan di antara negara-negara yang berdaulat. British mahu mewujudkan hubungan diplomatik dengan menghantar wakilnya ke China.

Sebaliknya, China berpegang kepada konsep “Negara Pusat”. Utusan-utusan diplomatik dari British dianggap pembawa ufti kepada Maharaja China. Interpretasi sedemikian tidak disenangi oleh pihak British. Di segi “Pandangan Antarabangsa” juga timbul masalah. China mengamalkan system perdagangan luar yang dibatasi dan dikawal rapi.

British pula berpegang kepada prinsip perdagangan bebas atau “Laissez-faire”. Sistem dan konsep perdagangan bebas tidak diterima oleh China. Keadaan tersebut memberi alasan kepada British untuk bertindak ke atas China.

Selain itu, faktor yang mencetuskan peperangan ialah “Perbezaan Undang-undang”. Di bawah undang-undang China, pentadbiran undang-undang adalah di bawah orang-orang yang diberi kuasa. Konsep undang-undang Barat pula menekankan bahawa undang-undang dikuatkuasakan selaras dengan apa yang tersurat. Buka mengikut budi bicara. Pihak British memandang berat terhadap rakan-rakannya yang dihukum mengikut dasar undang-undang China itu.

Selepas itu, isu perdagangan dan politik telah bercampur-aduk sehingga tercetusnya Perang Candu Pertama (First Opium War) di antara orang-orang British dan China dalam tahun 1839.

China telah dikalahkan oleh British. Justeru, perang tersebut boleh dikatakan sebagai kemuncak kepada fasa pertama imperialisme yang jelas, kerana matlamat utama perang tersebut adalah untuk mecapai cita-cita kotor politik British, dengan dasar polisi “gunboat” untuk memaksa China menandatangani Perjanjian Nanjing (juga disebut sebagai Persetiaan Nanking – “Nanjing Treaty”).

4.1.Persetiaan Nanking dan Pembukaan China
Persetiaan Nanking menamatkan Perang Candu Pertama dalam tahun 1842. Dengan perjanjian ini, pihak British telah memperolehi Hong Kong. China juga telah dipaksa untuk membuka empat lagi pelabuhannya selain Canton. Saudagar-saudagar British dibenarkan berdagang di semua pelabuhan ini. China bersetuju membayar $21 juta sebagai ganti rugi kepada British. Dengan itu, China telah dipaksa untuk membuka pintunya kepada orang-orang asing.

Beberapa tahun kemudiannya, kuasa-kuasa lain seperti Amerika Syarikat dan Perancis menuntut hak yang sama seperti British. Hak-hak istimewa juga telah diberikan kepada Kuasa-kuasa Barat yang lain. Orang-orang asing di China ini tertakluk di bawah kuasa pegawai-pegawai mereka sendiri dan bukannya undang-undnag China. Ini menyebabkan orang-orang China tidak puas hati. Sekali lagi, mereka ingin menutup pelabuhan mereka.

5.Fasa Ketiga (1842-1865): Perang “Arrow” dan Pemberontakan Taiping
Pada fasa ketiga (1842-1860), ciri-ciri kenegaraan British mulai dirasai dan menjadi semakin kuat di China. Dalam tahun 1856, satu lagi peperangan telah meletus disebabkan oleh satu peristiwa yang dinamakan Peristiwa Arrow. Di Canton, orang-orang China telah merampas sebuah kapal bergelar Lorche Arrow dan membawa lari anak-anak kapal tersebut. Orang-orang China mengesyaki bahawa mereka adalah lanun.
Pihak British telah menuntut pengembalian anak-anak kapal itu kerana kapal itu adalah kepunyaan seorang rakyat China yang didaftarkan di Hong Kong. Kapal ini adalah di bawah jagaan seorang Kapten British. Pihak China pun mengembalikan semula anak-anak kapal tersebut.

Namun, British telah mengambil kesempatan ini sebagai alas an untuk memulakan peperangan. Peperrangan itu dipanggil Perang Candu Kedua atau Perang Arrow. Perancis telah bersatu dengan British untuk menentang China. Sekali lagi, China dikalahkan dan dipaksa menandatangani satu lagi persetiaan bergelar Perjanjian Tientsin.
Dengan Persetiaan Tientsin ini, duta-duta Eropah dibenarkan bagi pertama kalinya tinggal dip eking, “Kota Larangan”, tempat Maharaja China bersemayam. Sebanyak sebelas lagi pelabuhan China telah dibuka. China juga telah dipaksa menandatangani perjanjian dengan Negara-negara Eropah yang lain. China telah diperas ugut dan dipaksa untuk menyerahkan lebih banyak hak-hak istimewa kepada Negara-negara tersebut.

Selain itu, dengan perjanjian terebut, China telah dapat diperas oleh kuasa-kuasa Barat. Kuasa-kuasa Barat ini telah membahagi-bahagikan negeri China di antara mereka. Rusia telah memperolehi seluruh wilayah-wilayah China di bahagian Utara Sungai Amur dan membuka sebuah pelabuhan di Vladivostok di Lautan Pasifik. Perancis memperolehi Annam yang dahulunya dikuasai oleh China dan juga Guangzhou (Kwangchow). Jerman pula telah memperolehi Semenanjung Shantung. Setelah dipecah-pecahkan begitu, China telah menjadi semakin lemah.

Pada akhirnya, kesimpulan ringkas boleh dibuat mengenai sebab utama tercetusnya Perang Candu Kedua, iaitu untuk menambah lebih banyak pengaruh Kuasa Barat di China. Pada fasa ketiga ini, keuntungan dalam perdagangan di antara kedua-dua negara tidak lagi dilihat sebagai penyebab utama dalam dasar politik dan perluasan Kuasa Barat ketika itu. Ia lebih dilihat sebagai usaha kotor Kuasa Barat untuk memperluaskan seberapa banyak pengaruh yang boleh ke atas China dalam persaingan sejagat untuk mendapatkan kekuasaan, serta bagi menunjukkan kelemahan Empayar China.

5.1.Pemberontakan Taiping (1850-1865)
Kelemahan Kerajaan Manchu menyebabkan orang-orang China tidak berpuas hati. Pihak Manchu tidak mendapat sokongan orang-orang China kerana mereka dianggap sebagai orang-orang asing. Pada masa pemerintahan Manchu, banyak pemberontakan berlaku. Tetapi, pihak Manchu tidak mengadakan sebarang pembaharuan. Tidak ada sistem cukai yang sesuai. Kebuluran pula berlaku dalam tahun 1849.

Pemberontakan yang paling hebat sekali berlaku dalam tahun 1850, di zaman Maharaja Hsien-feng (1850-1861), iaitu Pemberontakan Taiping. Pemimpin pemberontakan Taiping ialah Hung Hsui Chuan , dari wilayah Kwangtung. Hung adalah seorang Kristian, yang mendapat pendidikan Klasik China. Beliau juga mempunyai kepercayaan aneh bahawa Tuhan telah mengarahkannya untuk menyelamatkan umat manusia. Beliau mendakwa bahawa Tuhan telah memberikannya petunjuk yang mengatakan bahawa beliau adalah adik kepada Nabi Isa. Beliau berjanji bahawa orang-orang yang mati di medan pertempuran akan masuk syurga, di bawah “Persatuan Penyembah Tuhan”.

Tujuan sebenar Hung Hsui Chuan adalah untuk menggulingkan Dinasti Manchu dan menubuhkan dinasti baru yang dinamakan “Taiping” bermakna “Keamanan Agung”. Hung Hsui Chuan ingin menjadi Maharaja Dinasti “Taiping” yang pertama.

Pemberontakan Taiping tamat dalam tahun 1864. Orang-orang Barat telah menyebelahi Kerajaan Manchu. Mereka membantu Pemerintah Manchu menubuhkan pasukan tentera yang dapat menindas pemberontak-pemberontak Taiping. Hung Hsui Chuan telah makan racun lalu mati.

6.Fasa Keempat (1865-1900): Peperangan, Pemulihan Seratus Hari dan Pemberontakan Boxer
Pada fasa keempat dan terakhir ini, kepentingan perdagangan kepada Kuasa-kuasa Barat telah mulai berkurang. Tumpuan mula diberikan untuk menakluk lebih banyak wilayah, bagi mencapa cita-cita untuk menjadi negara yang paling berkuasa. Kuasa ketenteraan yang telah mula digunakan semenjak Perang Candu Pertama, semakin galak digunakan oleh Kuasa Barat untuk mencapai kadar penaklukan wilayah yang lebih besar. Perkembangan ini telah menyumbang kepada berlakunya Pemberontakan Boxer dan Revolusi tahun 1911.

Pada fasa keempat ini, Jerman dan Perancis cuba untuk bersaing dengan British untuk mendapatkan status “Negara Terulung”. Keuntungan dalam perdagangan telah menjadi faktor yang kurang penting jika dibandingkan dengan matlamat untuk menguasai dunia. Ini dibuktikan lagi dengan hakikat bahawa penguasaan Perancis ke atas Selatan China/Indochina tidak menjadikannya penymbang kepada kekayaan negara tersebut (Perancis).

Namun, untuk menjadi sebuah negara yang unggul dan terbilang, sebuah empayar yang besar diperlukan, dan penaklukan terhadap negara lain adalah salah-satu daripada kaedahnya.

6.1.Maharani Balu Tzu Hsi
Sungguhpun Pemberontakan Taiping telah berakhir pada 1865, masalah Dinasti Manchu belum berakhir lagi. Terdapat banyak pemberontakan kecil yang lain lagi. Keadaan ekonomi negara adalah buruk. Pemerintah China yang baru adalah Maharani Balu Tzu Hsi. Baginda menaiki takhta di dalam tahun 1860 dan memerintah sehingga tahun 1908.
Sepanjang masa itu, pemerintah yang sebenarnya adalah anak baginda dan kemudian anak saudara baginda.

Oleh kerana mereka terlalu muda, baginda telah menjadi Pemangku Raja. Bagindalah yang benar-benar berkuasa di China. Walaupun begitu, beliau tidak dapat mengatasi masalah-masalah di China. Baginda tidak mahu mengambil tauladan daripada Barat.

Oleh sebab itu, rancangan ekonominya tidak berjaya.Menjelang akhir Kurun ke 19, berbagai peristiwa telah berlaku yang mana akhirnya membawa kepada Revolusi Tahun 1911 dan kejatuhan Dinasti Manchu. Orang-orang China bertambah marah dan hampa apabila China kalah berperang dnegan Jepun pada tahun 1895.

6.2.Peperangan China-Jepun (1864-1895)
Peperangan ini meletus kerana Korea. Kedua-dua negara, China dan Jepun, ingin menguasai Korea. Jadi, apabila satu pemberontakan berlaku di Korea, tentera kedua-dua negara, China dan Jepun, pergi ke Korea. Oleh kerana perselisihan faham, maka berlakulah satu peperangan China-Jepun pada bulan Julai 1894.

China kalah di tangan Jepun. Perjanjian Shimonosaki telah ditandatangani.
Pihak China telah menyerahkan sebahagian daripada wilayah-wilayah di China kepada Jepun iaitu Semenanjung Liaotung, Formosa dan Pescadores. Ia juga terpaksa membuka empat buah lagi pelabuhan kepada pedagang-pedagang Jepun. Korea telah diberikan kemerdekaannya.

Rakyat China juga tidak berpuas hati kerana orang-orang Eropah dan asing telah memperolehi banyak wilayah di dalam China. Negara China di bawah Kerajaan Manchu pada lewat Kurun ke 19 adalah seperti “sebiji tembikai yang sedia untuk dipotong”.

6.3.China dibahagi-bahagikan
Dalam tahun 1898, Jerman telah mempunyai hak istimewa untuk membina jalan raya dan landasan kereta api dan membuka lombong di Semenanjung Shantung. Perancis menguasai Teluk Kwangchau (Guangzhou) di sebelah selatan, dan mempunyai hak untuk membina landasan kereta api di Yunan. British pula memperolehi kawasan Weihaiwei – iaitu kawasan yang penting bagi pertahanan wilayah-wilayah British di Hong Kong dan Kowloon. Rusia juga menguasai wilayah-wilayah di China seperti Pelabuhan Arthur. Ia juga mempunyai hak untuk membina landasan kereta api untuk kegunaannya sendiri.

Sementara itu, Amerika Syarikat telah memerhatikan keadaan di China dengan perasaan yang cemas. Kuasa-kuasa Eropah mempunyai kawasan-kawasan mereka sendiri di China. Amerika Syarikat khuatir jika ia tidak mendapat peluang untuk berdagang dengan China kerana semua pelabuhan-pelabuhan adalah di bawah kuasa orang-orang Eropah. Oleh itu, Amerika telah mencadangkan “Dasar Pintu terbuka”. Dengan dasar ini, semua Kuasa Eropah di China bersetuju untuk berdagang dengan aman. Mereka bersetuju mengadakan hak perdagangan sama rata.

Dalam kurun ke 19 itu, orang-orang China memerhatikan kegiatan orang-orang asing itu ke atas mereka tanpa dapat mengambil sebarang tindakan pun. Sarjana-sarjana dan pemimpin-pemimpin China merasa malu dengan keadaan negara mereka itu. Pada masa yang sama, proses pemodenan sedang dijalankan dengan jayanya di jepun di bawah pemerintahan Maharaja Meiji. Oleh itu, Jepun telah menjadi kaya dan kuat. Orang-orang China mahukan pemulihan-pemulihan yang sama dilakukan di China.

6.4.Pemulihan Seratus Hari
Maharani Balu Tsu Hsi, menentang pembaharuan dan pemulihan di China. Tetapi, sekumpulan pemimpin-pemimpin China termasuk Maharaja Kuang Hsu, inginkan pemulihan supaya China dapat dikukuhkan semula.

Kung-Yu-Wei, seorang sarjana ingin memulihkan China melalui perubahan-perubahan dalam pentadbiran. Beliau mempunyai pengetahuan pentadbiran Barat. Beliau ingin merombak semula system kerajaan yang bercorak tradisional itu. Beliau telah berjaya mendapatkan keyakinan Maharaja Kuang Hsu, dan menjadi penasihat kepada

Maharaja tersebut dalam satu rancangan pemulihan pada 1898. Berbagai pembaharuan diadakan dalam bidang pelajaran, pentadbiran, perusahaan dan perhubungan antarabangsa. Pembaharuan-pembaharuan ini digelar “Pemulihan Seratus Hari” (juga dikenali sebagai “Gerakan Islah Seratus Hari”).

Malangnya, rancangan pemulihan ini tidak berjaya. Pemulihan-pemulihan itu hanya dapat dijalankan selama 103 hari sahaja. Maharani Balu menentangnya kerana ianya bercorak Barat. Apabila baginda mengetahui bahawa terdapat di kalangan orang-orang yang merancang pemulihan itu cuba menggulingkannya, baginda telah mengambil tindakan.

Baginda memerintahkan supaya Maharaja Kuang Hsu dipenjarakan. Kang-Yu-Wei dan yang lain berjaya melarikan diri. Dengan itu, Pemulihan Seratus Hari pun tamat. Perasaan benci sekarang berpaling pula kepada orang-orang Eropah. Ini digalakkan pleh Orang-orang Manchu. Natijahnya, tercetuslah Pemberontakan Boxer pada tahun 1900.

6.5.Pemberontakan Boxer
Pada masa itu, terdapat sekumpulan kongsi gelap bergelar I-ho-Ch’uan (Penumbuk Harmoni yang Benar). Kumpulan ini dikenali sebagai “Boxer” kerana mereka handal bertinju. Kebanyakan orang yang menentang orang-orang Eropah telah menyertai I-ho-Ch’uan. Mereka ingin mengusir orang-orang asing yang mereka gelar “Orang Berbulu”. Cogan kata mereka adalah “Lindungi Orang-orang Manchu, hapuskan syaitan asing”.

Dalam tahun 1900, ahli-ahli Boxer telah menyerang orang-orang asing dan mubaligh Kristian di Shantung. Dari Shantung, pemberontakan ini merebak ke wilayah-wilayah yang lain. Kemuncaknya tiba apabila diplomat-diplomat asing dibunuh, termasuk seorang Menteri Jerman dan Canselor Pejabat Perwakilan Jepun. Semua orang-orang asing telah diperintah keluar dari Peking dalam masa 24 jam. Namun, semua kuasa-kuasa asing telah bersatu menentang pemberontak-pemberontak Boxer. Menjelang tahun 1900, China aman semula.

6.6.Kesan-kesan Pemberontakan Boxer
Kerajaan Manchu telah hilang kuasanya. Kuasa-kuasa Barat telah menunjukkan kekuatan dan kekuasaan mereka. Selepas Pemberontakan Boxer itu, China telah dipaksa untuk membayar ganti rugi yang besar kepada 13 buah wilayah yang terlibat dalam pemberontakan tersebut. Kerajaan Manchu cuba mengadakan pemulihan untuk menjadikan China kukuh dan kuat semula. Tetapi, pemulihan-pemulihan ini sudah terlambat.

6.7.Revolusi Tahun 1911
Satu gerakan revolusi bawah tanah telah bermula setelah kegagalan Pemulihan Seratus Hari dalam tahun 1868. Ia dimulakan oleh orang-orang yang berpendidikan Barat di bawah pimpinan Dr. Sun Yat Sen. Beliau telah diberi gelaran “Bapa Republik China”. Tujuan utama revolusi ini adalah untuk menyelamatkan China dengan menggulingkan orang-orang Manchu dan menubuhkan sebuah republik.

Pada 9hb Oktober 1911, sebutir bom telah meletup dengan tidak sengaja di sebuah bangunan di Hankow. Polis telah menyiasat dan mendapati bahawa tempat itu ialah ibu pejabat pergerakan revolusi itu. Satu senarai nama ahli-ahlinya telah juga dijumpai. Sesetengah daripada mereka telah ditangkap. Ramai penyokong pergerakan itu telah bangkit menentang kerajaan. Sekumpulan daripada mereka telah merampas depoh bekalan tentera kerajaan di Wucang pada 10hb Oktober 1911. Dalam pada masa yang singkat sahaja, revolusi yang sama telas meletus di seluruh China. Akhirnya, Dinasti Manchu pun diruntuhkan.

7.Penutup
Pada kurun yang ke 19, Dinasti Manchu yang memerintah China telah lemah. China tewas dalam Perang Candu Peratama dan Kedua. Pemberontakan Taiping berlaku diantara tahun 1850 dan 1864. Rakyat China ingin menggulingkan Kerajaan Manchu. Sementelahan, faktor-faktor yang membawa kepada Revolusi 1911 adalah seperti; kekalahan China di tangan Jepun dalam tahun 1895; kegagalan Dinasti Manchu untuk membawa pemulihan di China; dan Kuasa Barat memperolehi banyak wilayah di China. Pemerintah-pemerintah Manchu tidak berjaya mengawal perluasan kuasa orang-orang asing di China.

Deduksinya, orang-orang China yang pada asalnya menganggap kebudayaan mereka sebagai yang tertinggi, dan mengaku negara mereka sebagai ‘Kerajaan Tengah’ (middle kingdom) itu, terpaksa menggadaikan kedaulatan negara mereka apabila terpaksa memberi status ‘negara berkemudahan istimewa’ (the most favoured nation) dan ‘hak saingan’ (extraterritoriality) kepada beberapa Kuasa Barat terutamanya British dan Amerika Syarikat.

CHE Din,
3 Mei 2010,
11.o5 pagi.

Rujukan:
“Barat masih mahu menjajah”, terdapat di http://www.scribd.com/doc/18909707/BARAT-MASIH-MAHU-MENJAJAH, diakses pada 20 November 2009.

“China”, terdapat di http://malay.cri.cn/chinaabc/chapter14/chapter140103.htm, diakses pada 20 November 2009.

“China”, terdapat di http://malay.cri.cn/chinaabc/chapter17/chapter170402.htm, diakses pada 20 November 2009.

“China”, terdapat di http://www.carigold.com/portal/forums/showthread.php?t=69872, diakses pada 19 November 2009.

Farish A. Noor, Di Balik Malaysia: Dari Majapahit ke Putrajaya (2008 Petaling Jaya ZI Publications Sdn Bhd)

Ibrahim Saad, “Perang Inggeris-China: Pertama dan Kedua”, Diskusi 1986: Keluaran Khas, Kuala Lumpur, Yayasan Anda Sdn Bhd, 1986

M. Thambirajah, “Malaysia dalam Sejarah 2”, Petaling Jaya, Federal Publications Sdn Bhd, Cetakan Kesepuluh, 1985

Norlin Saifullah, “Kebangkitan Boxer”, Diskusi 1987: Keluaran Khas, Kuala Lumpur, Yayasan Anda Sdn Bhd, 1987

Norlin Saifullah, “Gerakan Islah 100 Hari di China”, Diskusi 1987: Keluaran Khas, Kuala Lumpur, Yayasan Anda Sdn Bhd, 1987

“Pasuruan dan Arsitektur Etnis China Akhir Abad 19 dan Awal Abad ke 20”, terdapat di http://fportfolio.petra.ac.id/user_files/81-005/Vernakular2.pdf, diakses pada 19 November 2009.

Penulis Khas, “Pemberontakan Taiping (1850-1864)”, Diskusi 1986: Keluaran Khas, Kuala Lumpur, Yayasan Anda Sdn Bhd, 1986

“Politisi barat dipaksa tunduk pada bendera merah China”, terdapat di http://erabaru.net/opini/65-opini/5300-politisi-barat-dipaksa-tunduk-pada-bendera-merah-china, diakses pada 22 November 2009.

Saifuddin Abdullah, “Perang Candu”, Diskusi 1987: Keluaran Khas, Kuala Lumpur, Yayasan Anda Sdn Bhd, 1987

“Sejarah China”, terdapat di http://ms.wikipedia.org/wiki/Sejarah_China, diakses pada 18 November 2009.

“Sejarah China”, terdapat di http://www.btpnkl.edu.my/cerdiknet/bahan/sejarah/download/a-4.pdf, diakses pada 19 November 2009.

Sivachandralingam Sundara Raja dan Ayadurai Letchumanan, “Tamadun Dunia”, (Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd, Shah Alam, 2005)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Dr. Zulkifli Hasan: Menjambatani Persaudaraan, Menyubur Kesejahteraan

  Dr. Zulkifli Hasan: Menjambatani Persaudaraan, Menyubur Kesejahteraan   Oleh: Zairudin Hashim (Ahli Dewan Tertinggi Majlis Belia M...