Ahad, Disember 10, 2017

'Skateboarding' di Malaysia: Dari Sukan Jalanan ke Kasut 'Signature' Vans.


'Skateboarding' di Malaysia: 
Dari Sukan Jalanan ke Kasut 
'Signature' Vans.
Sejak berdekad lamanya, sukan ‘skateboarding’ atau papan selaju terus berkembang dengan evolusinya yang tersendiri. Bukan lagi sekadar sukan jalanan, ia kini menjadi industri dan jenama yang giat menawan jiwa anak muda dan masyarakat umum.
Pada sekitar 1920an, satu alat besi beroda tiga yang boleh dipijak dan digerakkan dengan kaki, telah dicipta. Ia biasanya dijual bersama alat pemegang seperti kayu ski ais. Kemudian, pada bulan Julai 1939, skuter yang mempunyai roda bearing telah dicipta daripada bakul menyimpan buah oren dan kepingan papan dengan ukuran 4x24’.
Tahun 1958 menyaksikan papan selaju dibuat daripada kasut roda yang dicantumkan dengan papan. Di California dan Hawaii, tatkala sukan luncur air menjadi semakin popular, bermain papan selaju menjadi alternatif terbaik kepada para penggemar permainan tersebut, setiap kali tiada ombak besar di pantai. Anak-anak muda bermain papan selaju berukuran 2x4’ di jalan raya dengan cukup unik dan berani.
Selepas Perang Dunia Kedua berakhir, ekonomi Amerika Syarikat melonjak tinggi, menyuburkan industri alat permainan di negara ‘Uncle Sam’ tersebut. “Roller Derby” kemudiannya pada 1959, menghasilkan papan selaju dalam kuantiti yang banyak dengan roda besi, dan beberapa pengubahsuaian teknikal. Dengan itu, para pemain papan selaju mula memperbaiki dan memperkembangkan ‘trick’ dan cara mengawal papan selaju yang baharu.
Sekitar 1959-1963, permainan papan selaju menjadi sangat popular di Amerika Syarikat. Daripada sekadar alat permainan dan alternatif kepada papan luncur air, ia kemudiannya berkembang menjadi sukan yang diminati ramai. Pada 1962, kedai luncur air “Val-Surf” di Hollywood menjual papan selaju pertama yang dihasilkan sendiri. Pada 1963, majalah “Surf Guide Magazine” menyiarkan iklan pertama berkenaan papan selaju, selain pertandingan papan selaju pertama telah dianjurkan di Pantai Hermosa, California pada tahun yang sama. Banyak syarikat mula menaja para pemain papan selaju, dan teknik-teknik baharu seperti ‘slalom’ atau ‘freestyle’ mula diterokai.
Majalah “The Quarterly Skateboarder” pula diterbitkan pada 1964. Pada tahun yang sama, kumpulan muzik “Jan and Dean” muncul dalam program “Dick Clark’s American Bandstand” dan menyanyikan lagu “Sidewalk Surfing”. Dean turut berkasi bersama papan selajunya di atas pentas ketika membuat persembahan.
Pada tahun yang sama, ABC Wide World of Sports menyiarkan program “Skateboarding Championships”. Syarikat “Jack’s”, “Makaha” dan “Hobie” mula menghasilkan papan selaju yang lebih berkualiti dengan roda tanah liat. Syarikat-syarikat ini turut menganjurkan kejohanan papan selaju yang menampilkan para legenda seperti Torger Johnson, Woody Woodward dan Danny Berer. “Makaha” telah mencatat keuntungan yang luar biasa, iaitu sebanyak USD4 juta, dalam jangka waktu dua tahun sahaja (1963-1965). “Makaha” bertanggungjawab membawa revolusi baru dalam industri ‘skateboarding’ menerusi pengenalan kepada ‘kicktail’. 
Secara tiba-tiba, sukan papan selaju tenggelam dan sedikit merudum sekitar tahun 1965. Banyak syarikat yang gulung tikar, sehingga para ‘skaters’ perlu menghasilkan sendiri papan selaju mereka. Ada yang mendakwa ianya berlaku kerana banyak persepsi bahawa sukan ini berbahaya dan menyebabkan kecederaan yang teruk. Tatkala ramai yang meramalkan sukan ini terkubur sebagaimana permainan ‘hula hoop’, namun penggerak dan aktivis ‘skateboarding’ tetap berusaha gigih memastikan kelangsungan sukan tersebut.
Akhirnya, ia kembali ‘hidup’ apabila industri pakaian dan kasut mengasosiasikan jenama mereka bersama sukan tersebut. Pada 1966, jenama kasut terkemuka, “Vans” diasaskan di 704 East Broadway di Anaheim, California, oleh adik-beradik Paul Van Doren dan James Van Doren, Gordon C Lee, serta Serge D’Elia. Mereka membuka kedai Vans pertama di bawah syarikat “The Van Doren Rubber Company.” Industri pakaian dan kasut untuk sukan papan selaju turut berkembang, seiring populariti “Etnies”, “Converse” dan “DC Shoes”. Larry Stevenson kemudiannya mencipta ‘kicktail’, bersama perkembangan baharu terhadap reka bentuk papan selaju.
Pada 1972-1973, roda ‘urethane’ mula dicipta oleh Frank Nasworthy (pengasas Syarikat “Cadillac Wheels”), menjadikan pengendalian lebih senyap dan lancar. Tebing dan parit kini boleh menjadi tempat permainan sukan ini, memandangkan roda jenis baharu ini lebih mencengkam pada kawasan konkrit. Larry Bertlemann memulakan teknik yang lebih radikal, membawa revolusi baharu kepada sukan tersebut.
Papan yang diperbuat daripada ‘fiberglass’ menjadi popular sekitar 1973-1975. Eksperimen mula dijalankan dengan menggunakan pelbagai bahan untuk membuat papan selaju: daripada kayu ke aluminium. 1975 menyaksikan berakhirnya zaman menggunakan ‘ball bearing’ yang longgar apabila “Road Rider” memperkenalkan teknologi ‘ball bearing’ yang berukuran tepat pada ruang rodanya.
Pada 1975, pertandingan ‘slalom’ dan ‘freestyle’ telah diadakan di Del Mar, California. Pasukan “Zephyr” (juga dikenali sebagai “Z-Boys” -- dianggotai oleh Tony Alva, Jay Adams, Stacy Peralta dan lain-lain) menampilkan aksi bertenaga dan mengejutkan semua pihak. Sukan papan luncur kemudiannya menjadi semakin serius dan mengujakan.
Filem pertama berkenaan papan selaju, “Spinnin’ Wheels” dihasilkan pada 1976. Melihat kejayaan industri ‘skateboard’, maka semakin banyak syarikat-syarikat yang saling berlumba-lumba, untuk menjadikannya sebagai produk perniagaan mereka. Salah-satunya ialah “Tracker Trucks” yang ditubuhkan pada tahun 1976. Kemunculan ‘punk band’ dalam kalangan ‘skaters’ di California seperti “The Controllers”, “The Angry Samoans” dan banyak lagi, menambah minat masyarakat di sana tentang papan selaju. Jenama “Banana Board” menjadi papan selaju yang cukup digemari dan laris di pasaran.
Pada pertengahan 1970an, sukan papan selaju tiba di Jerman. Tentera-tentera Amerika membawa trend tersebut ke sana, dan menjelang 1976, Munich menjadi pusat papan selaju pertama di Jerman. ‘Skate park’ pertama dibina di Munich Neuperlach, disusuli majalah papan selaju dan kejohanan sukan tersebut pada 1978.
Di Jerman, Titus Dittmann turut bertanggungjawab memperkenalkan sukan papan selaju. Beliau mengimport produk berkaitan ‘skateboard’ dari Amerika dan menganjurkan pelbagai program dan acara sukan tersebut di sana. “Münster Monster Mastership” menjadi antara kejohanan papan selaju paling popular pada tahun 1980an.
Sekitar 1976-1978, California dilanda kemarau, menyebabkan ramai yang mengeringkan kolam renang di rumah mereka. Kolam renang mula dilihat sebagai wilayah baharu yang mesti ditawan. Pada tahun 1976, ‘outdoor skate park’ yang pertama telah dibina di Florida, menyebabkan sukan ini mula dimainkan secara ‘vertical’ (terbang di udara) berbanding ‘horizontal’ iaitu di atas jalan rata. 
Pada 1978, Alan Gelfand (digelar sebagai “Ollie”) mencipta gaya baharu papan selaju ‘ollie’ yang penuh revolusi dan menyegarkan. Rodney Mullen kemudiannya menambah seni pada ‘ollie’; helah hebat tersebut. Ia dianggap sebagai ‘trick’ terhebat sepanjang zaman, menandakan kelahiran ‘street skateboarding’. Mullen mewujudkan sebuah gaya baru yang cukup ekstrem iaitu ‘freestyle skating’, yang menjadi langkah awal buat ‘moden skateboard.’ Gaya-gaya seperti ‘flatground ollie’, ‘the ollie kickflip’, ‘the heelflip’ dan ‘360 flip’ merupakan ciptaan Mullen yang masyhur. Selepas itu, barulah gaya-gaya yang lain tercipta seperti ‘with short noses’, ‘gambar rails’ dan ‘large soft wheels’.
Helah-helah baharu mula dicipta saban hari – ‘aerials’ dan ‘inverts’, bersama taman-taman konkrit yang banyak dibina di mana-mana dengan unsur-unsur baharu seperti ‘vertical ramps’ dan ‘kickers’.
Tetapi, oleh kerana tidak ramai pengguna dan kadar insurans yang tinggi (kerana kebahayaannya), banyak ‘skate park’ yang terpaksa ditutup. Bosan dengan ‘skate park’, maka para ‘skateboarder’ mula mencari sesuatu yang lebih mencabar, hingga akhirnya pusat membeli-belah, kaki lima dan taman-taman di bandar, menjadi pusat kegiatan bagi mereka. Pada 1980an, dinding dan ‘handrail’ (pemegang tangga) mula dijadikan ‘skate park’ yang percuma.
Para ‘skater’ juga semakin ramai yang memiliki syarikat sendiri. Sebagai mana sukan bicycle motorcross (BMX) dan kasut roda, ‘street skateboarding’ kembali menjadi pilihan dan bualan ramai.
Nilai ekstrem dalam permainan papan selaju, telah menyebabkan pihak berkuasa di beberapa buah negara melakukan pengawasan dan peraturan ketat. Kerajaan Norway telah mengharamkan penggunaan dan penjualan papan luncur pada tahun 1978 sehingga 1989 kerana berlaku terlalu banyak kecederaan daripada aktiviti tersebut pada masa itu. Para peluncur dari Norway pula telah membina ‘ramp’ di kawasan-kawasan tersembunyi, untuk mengelak daripada ditahan oleh pihak berkuasa.
Sukan papan selaju yang sangat sinonim sebagai ‘anti-establishment subculture’ dalam kalangan masyarakat Amerika, mula bergabung dengan industri ‘video home system’ (VHS) yang berasal dari Jepun. Selepas VHS diperkenalkan di Amerika pada 1977, dekad 80an menyaksikan ramai legenda seperti Steve Caballero, Tony Hawk, Mike McGill, Lance Mountain, Rodney Mullen, Stacy Peralta, Kevin Staab Stacey Peralta dan George Powell (dari pasukan “Bones Brigade”) merakamkan video papan selaju dengan nama “The Bones Brigade Video Show”. Videografi mula menjadi sesuatu yang sangat signifikan dengan sukan ini.
Pada 1979-1980, Jim “Red Dog” Muir dan Wes Humpston adalah orang pertama yang berjaya mengkomersialkan papan luncur yang mempunyai seni grafik. Ia dipasarkan di bawah jenama “Dog Town Skates”.
Pada 1981, majalah “Thrasher Magazine” diterbitkan dan membuat liputan berkenaan ‘street skateboarding’, ‘punk rock’ dan muncul pula slogan “Skate and Destroy”. Pada 1983, satu lagi majalah dengan nama “Transworld Skateboarding Magazine” diterbitkan.
Pada pertengahan 1980an, ‘skateboarder’ yang profesional mula memperoleh bayaran yang lumayan. Mereka menjadi popular sebagaimana atlet besbol, American football dan pemain bola sepak. “Vans”, “Powell Peralta”, “Santa Cruz” dan “Vision” merupakan antara jenama yang menjadi ‘wajah’ sukan papan selaju. Pada penghujung dekad 80an, populariti ‘vert skateboarding’ menurun berbanding ‘street skateboarding’ yang mendapat perhatian ramai.

Dekad 70an menjadi saksi kepada kelahiran ‘hip-hop’. Menerusi DJ Kool Herc, Grandmaster Flash dan Afrika Bambaataa, irama baru yang dipanggil ‘rap’, menjadi sangat popular di bandar Bronx, New York, sama ada dalam majlis hari jadi mahupun di kelab-kelab malam. Pada 1979, “Rapper’s Delight” menjadi album ‘hip-hop” pertama yang dirakamkan. Ketika itu, pengaruh ‘disko’ agak kuat dalam muzik ‘hip-hop’.
Menjelang 80an, ‘skateboarding’ mula mendapat tempat di ‘East Coast’ – membawa bersamanya perubahan terhadap genre ‘hip-hop’. “Run-DMC”, “Public Enemy”, “KRS-One”, “The Jungle Brothers” dan lain-lain muncul bersama gaya dan muzik ‘hip-hop’ yang lebih menepati citarasa pengikut gerakan anak muda kawasan bandar di sana. Pada 1986, ‘skateboarding’ menjadi sukan pilihan anak muda di New York.
Di Amerika pada dekad 80an, budaya ‘skateboarding’ dan “hip-hop” yang asalnya berbeza, bersatu menerusi ‘youth culture’ – semangat dan darah anak muda. Dari semangat gerakan anak muda di California, kini ia menyatu bersama aktivisme di New York. ‘Skater’ profesional, Natas Kaupas, seorang atlet profesional papan selaju dari ‘West Coast’ yang berpengaruh, mengejutkan ramai apabila tampil dalam majalah “Trasher” pada 1989 dengan memakai t-shirt “Public Enemy”.
Washington Square Park kemudiannya menjadi ‘syurga’ buat penggila sukan papan selaju di sana. Di medan tersebut, yang ada hanyalah kemahiran bermain papan selaju, dan tembok perkauman diruntuhkan. Rodney Smith dari “SHUT skating crew”, menggerakkan sukan ini di ‘East Coast’. 
Ketika sukan dan ‘subculture’ ini agak asing dalam kalangan warga kulit hitam di Amerika Syarikat, Smith dan Kareem Campbell mengangkat sukan ini sebagai sukan bertaraf nasional – seterusnya mencambah minat pelbagai kaum untuk beraksi sama.  Sukan ini menjadi cara untuk anak muda yang dihimpit kemiskinan di kawasan bandar di ‘East Coast’, untuk menzahirkan ekspresi serta melupakan sebentar kepayahan hidup mereka. Unsur ‘hip-hop’, ‘garffiti’ dan ‘street culture’ di New York kemudiannya bergabung sebati, dengan ‘skateboarding’. Sekitar pertengahan 1990an (1994-1997), permusuhan ‘hip-hop’ ‘East Coast’ dan West Coast’ semakin menjadi perhatian umum akibat perselisihan peribadi antara dua legenda ‘hip-hop’ yang pernah menjadi sahabat baik: Tupac 2Pac Shakur dan Christopher The Notorious B.I.G. Wallace. Walaupun 2Pac dilahirkan di New York (East Coast), beliau menghabiskan kebanyakan usianya di California (West Coast). 2Pac merakamkan album bersama “Death Row Records” yang terletak di Los Angeles, California. B.I.G. pula lahir, membesar dan merakamkan album dengan “Bad Boy Records” di New York. 
Death Row Records diasaskan pada 1991 oleh Dr. Dre, Suge Knight dan The D.O.C., menaungi artis seperti Dr. Dre sendiri (The Chronic), Snoop Dogg (Doggystyle), Tupac Shakur (All Eyez on Me), dan Tha Dogg Pound (Dogg Food). Bad Boy Records pula ditubuhkan pada 1993 oleh Sean Puff Daddy Combs, memayungi B.I.G, Craig Mack, Total dan Faith Evans. Perseteruan yang asalnya bersifat peribadi, kemudiannya merebak menjadi persaingan sengit antara syarikat rakaman, liputan media yang kontroversial dan budaya gangsterisme. Kedua-duanya (2Pac dan B.I.G) kemudian terbunuh selepas ditembak oleh kumpulan yang tidak dikenali, pada 1996 dan 1997. 2Pac terbunuh selepas ditembak di Las Vegas dan meninggal dunia pada 13hb September 1996. B.I.G pula ditembak dan terbunuh di Los Angeles pada 9hb Mac 1997. 
Di Malaysia, ‘skateboarding’ telah mula bertapak semenjak penghujung tahun 1970an. Pada 6hb Jun 1977, dalam satu lukisan kartunnya bertajuk “Lat in Arizona”, Datuk Mohammad Nor Khalid (Lat) melukis watak kanak-kanak yang bermain ‘skateboard’. Selain sudah dijual di gedung permainan kanak-kanak “Toys ‘R’ Us”, iklan “Milo” yang ditayangkan pada tahun 1987 turut memuatkan papan selaju dalam jalan ceritanya. Selain itu, watak kartun “Fido Dido” dalam iklan “7 Up” dan “Teenage Mutant Ninja Turtle” yang menggunakan papan selaju, turut memberi pendedahan dan menyuburkan minat masyarakat Malaysia terhadap sukan tersebut. Pada awal 90an, video “Celebraty Tropikal Ikan” disalin dan diedarkan secara percuma. Ia dikatakan sebagai antara video terawal berkenaan papan selaju di negara kita.
Pada September 1990, satu pertandingan ‘skateboarding’ secara besar-besaran telah dianjurkan oleh “Coca Cola” di Bangsar Shopping Centre (BSC), Kuala Lumpur. Kejohanan “Go Skateboarding Lot 10” pula di Kuala Lumpur telah dianjurkan buat kali pertama pada 1991. Juara sulungnya ialah Kelvin Long. Tahun seterusnya, pertandingan ini dimenangi oleh Ariff Budiman. Pada 1991 juga, demonstrasi papan selaju telah diadakan sempena “Minggu Jelajah Perak” di Ipoh, Perak. Boy Ipoh (Adlan Farazi Mohd Ariff) telah membuat demo di hadapan YM Raja Nazrin (kini Sultan Nazrin Shah Muizzuddin Shah, Sultan Perak).
Pada 1989, filem ‘skateboard’ “Gleaming the Cube” diluncurkan. Filem ini dibintangi oleh Christian Slate, Tony Hawk, Mark Rogowski, Mike McGill and Rodney Mullen. Selepas kegawatan ekonomi global pada akhir 1980an dan awal 90an, sukan papan selaju mula bangkit kembali, apabila dikaitkan kembali dengan muzik ‘punk’, sebagaimana sewaktu awal kemunculannya di California. Pada tahun 1991, bentuk papan “Popsicle stick” mula meraih populariti menggalakkan. Stacy Peralta meninggalkan Syarikat “Powell-Peralta”, dan “Powell Corporation” gagal menempatkan dirinya dalam pasaran yang sudah berubah.
Pada 1993, Jim Fitzpatrick menjadi Pengarah Eksekutif dan pengasas “International Association of Skateboard Companies” (IASC). Pada 25 Disember 1993, Jeff Philips, legenda papan selaju dari Dallas, Texas, meninggal dunia kerana kecederaan akibat tertembak diri sendiri. Beliau terkenal kerana mencipta gaya ‘Philips 66’, yang diadaptasi daripada gaya ‘fakie 360 invert’.
Di Malaysia, pada tahun 1993, satu pertandingan skateboarding peringkat kebangsaan telah diadakan iaitu “Isetan Skateboarding Championsip” di Kuala Lumpur. Sambutan yang diterima amatlah memberangsangkan, di mana peminat sukan ini dari seluruh pelusuk negara, telah datang untuk bertanding.
Pertandingan ini telah melahirkan dua bintang yang semakin dikenali ramai iaitu Joe Ipoh (Johari Fitry Khairuddin) dan Pa’din Musa (Ahmad Fadzli Musa). Joe Ipoh dan Pa’din kemudiannya muncul selaku aktivis dan penggerak sukan papan selaju paling berpengaruh di Malaysia. Sekitar 1994-1995, video “Panorama (1)” telah dihasilkan, menampilkan Pa’din, Joe Ipoh, Kelvin Long, Carl, dan Budiman.
Pada peringkat global, sukan ‘skateboarding’ kembali menemui rentaknya pada 1995. Selain “Etnies” dan “Vans”, jenama arus perdana seperti “Adidas” dan “Nike” mula menghasilkan ‘skating shoes’. Kebangkitan sukan ini disambut dengan khabar duka, bilamana Frank Hawk meninggal dunia akibat serangan jantung.
Pengarah IASC, Jim Fitzpatrick beberapa kali menjelajah ke Sacramento bagi meyakinkan para penggubal undang-undang untuk memastikan lebih banyak peluang untuk membina ‘skate park’ untuk orang awam. Ketika itu, hanya ada 10 buah ‘skate park’ yang tinggal di Amerika Syarikat. Menjelang 2004, sebanyak 2,000 buah ‘skate park’ awam telah dibina.
Pada 1995, ESPN mengadakan “Extreme Games” buat julung kalinya di Newport, Rhode Island. Acara ini berlangsung dengan jayanya, dan membawa sukan papan selaju ke arus perdana era digital; lantas menyuburkan minat terhadap sukan ini, dalam kalangan anak-anak kecil di seluruh dunia.
Di Malaysia pada tahun 1995, ‘skateboarding’ semakin diminati ramai, terutamanya selepas bermulanya trend muzik ‘hardcore’. Imej ‘skateboarder’ menjadi pilihan kebanyakan golongan muda. Kebanyakan remaja boleh dilihat berpakaian barangan jenama ‘skateboard’. Pada ketika ini terdapat sedikit sahaja kedai di Kuala Lumpur yang menjual barangan papan selaju seperti “Zone 5”, “Spitfire II” dan “Fishbone”. Dengan harga yang murah dan berpatutan, maka ramailah orang yang berkemampuan untuk bermain sukan ini.
Sekitar pertengahan 1990an, muncul satu video ‘skateboard’ dari Kelantan yang dirakam di dalam gudang. Ia menggunakan lagu “Carburetor Dung” sebagai latar belakang video. 
Pertandingan “Go Skateboarding Lot 10” di Kuala Lumpur telah dianjurkan pada 1991-1995. Dalam kejohanan pada 1995, Pa’din mendapat tempat pertama, Joe Ipoh menjadi naib juara tatkala Boy Ipoh memperoleh tempat ketiga. Pada 1995 juga, satu demo yang ditaja oleh “PUMA” telah dianjurkan Pa’din Musa di Prangin Road, Pulau Pinang.
Muzik ‘metal’ telah menguasai dunia ‘underground’ di Klang, Selangor sejak dekad 80an. Era 1980an juga menyaksikan Joe Kidd dan rakan-rakannya menggerakkan ‘scene’ ‘punk’ di sekitar Kuala Terengganu. Pada 1985-1987, ‘band’ “Mallaria” dari Terengganu telah merakamkan demo dengan irama ‘punk’ yang mempunyai pengaru ‘trash metal’. Di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang juga muncul penggerak ‘punk’ dalam skala kecil.
Bermula 1984, muncul ‘band metal’ seperti “FTG”, “Nemesis”, “Glottis”, “Punisher”, dan “Picagari”, sebelum mendapat perhatian ramai pada 1988-89, dengan pengaruh ‘black metal’, ‘death metal’, ‘industrial’, dan ‘grindcore’ yang dibawakan oleh kumpulan seperti “Silkhannaz”, “Evil Symphony”, “Black Fire”, “Rator”, “Vulga”, “Nemesis”, “Saxo” dan “Slap Death”. 
Pada dekad 80an, terbitlah ‘zine’ seperti “Huru-Hara”, “Aedes”, “Krenmaut”, “Trash Attack”, dan “Vortex From The East”. Menjelang era 90an, muncul penguasaan daripada muzik ‘punk’ dan ‘hardcore’, tercetus daripada kemunculan ‘skateboarders’ dari sekitar Klang seperti Meru, Kapar, Pelabuhan Klang dan lain-lain. Dengan ideologi haluan kiri, tertubuhlah pelbagai ‘band’ ‘punk’/’rock’ dari dalam dan luar Klang seperti: seperti “Extraterrestrial”, “The Piston”, “Kind”, “Infuse”, “Stick For Stand”, “Switch Stance”, “Blockage”, “Expand Spirit”, “Plastic Doll”, “Scuffle Opus”, “xSecond Combatx”, “Dash Own”, “Death Becomes Her”, “ “The Lovecraft”, “Projekt Fiktion”, “DBH” dan lain-lain.
Sekitar 90an, tumbuh pelbagai ‘zine’ di Kuala Lumpur, Selangor, Perak, Johor, Sarawak, Pulau Pinang dan Pahang, seiring sambutan hangat terhadap ‘scene’ bawah tanah. Antaranya ialah “Mind Paralyzed”, “The Rebels”, “Human Drama”, “Heartcore”, “Verization”, “Noisy Scene” “Buddy Holly”, “Suffer Age”, “Mukus”, “Obscure People”, “Earslaughter”, “Nathias”, dan banyak lagi. Kebanyakan ‘band’ ‘metal’ berpusat di Central market, Kuala Lumpur, selain aktif di Ipoh dan Sarawak.
Tahun-tahun 1990an adalah ‘syurga’ buat pengikut setia dunia muzik bawah tanah. Pelbagai ‘gig’ dianjurkan, dengan menyatukan pelbagai genre muzik atas solidariti ‘underground’ seperti: ‘hardcore’, ‘punk’, ‘skin’, ‘grunge’, ‘alternative’, ‘indie’, ‘brit pop’, dan pelbagai lagi. Maka muncullah “O.A.G”, “A.C.A.B”, “Carburetor Dung”, “Butterfingers”, “The Pilgrims”, dan banyak lagi, yang menjadi kegilaan para pelajar sekolah dan universiti, termasuk anak muda daripada pelbagai latar belakang dan bangsa.
Antara yang mempengaruhi anak muda yang terlibat dengan ‘skateboarding’ adalah “Nirvana”, “Pearl Jam” dan irama ‘grunge’ yang hadir bersama gaya berpakaian, ‘attitude’ dan ideologi tersendiri. Demikianlah kemudiannya tertubuh “Butterfingers” yang cukup berpengaruh di Malaysia, sejak 1991. Sikap melawan sistem tetapi tetap mengekalkan identiti sendiri, begitu disenangi ramai anak muda.
Selain pengaruh Kurt Cobain dan ngauman ‘grunge’nya, ada juga peminat tegar ‘hip-hop’ dalam kalangan ‘skaters’ di Malaysia. “Pop Shuvit” adalah antara ‘band’ ‘Hip-Hop Rock’ yang mendapat namanya daripada salah-satu ‘trick’ papan selaju iaitu ‘pop shove-it’. Tatkala kumpulan ‘rap’ dan ‘hip-hop’ luar negara seperti “Public Enemy”, “Naughty By Nature”, “Run DMC”, dan “Tone Loc” pada era 80an dan 90an mempopularkan genre tersebut kepada masyarakat Malaysia, muncul pula “Nico”, “4U2C”, “KRU” dan lain-lain ke arus perdana. “Poetic Ammo” dan kemudiannya “Too Phat” mula menyedarkan masyarakat bahawa ‘hip-hop’ punya nilai tersendiri, apabila kedua-duanya merangkul pelbagai anugerah muzik tempatan dan antarabangsa.
Populariti ‘hip-hop’ dan tarian ‘break dance’ membuatkan ia dikaitkan dengan  sukan papan luncur di Malaysia. Dengan baju besar, seluar paras lutut, ‘full cap’ dengan huruf dan nama pasukan besbol Amerika Syarikat, stokin tinggi dan kasut tapak rata, para ‘b-boy’ dan ‘b-girl’ beraksi bersama papan luncur masing-masing. Seluar londeh, skuter dengan audio yang kuat serta ‘air brush’ dan ‘graffiti’ menjadi teman setia mereka. Majalah “Skuterama” turut menjadi antara pilihan utama mereka.
Bagi pengikut ‘skinhead’, baju Fred Perry, kasut Doc Martens, dan kepala botak menjadi imej mereka yang jelas. Mereka juga dekat dengan para pengikut ‘ska’, memandangkan kedua-duanya mempunyai akar dari Jamaica. Sekitar 2007-2008, drama “KAMI The Series” kemudiannya mempopularkan kumpulan-kumpulan ‘indie’ ke arus perdana, seperti “Hujan”, “Meet Uncle Hussain”, “Komplot”, “Laila’s Lounge”, “They Will Kill Us All”, “Couple” “Bittersweet”, “One Buck Short”, “The Times”, “Pesawat”, “Oh Chentaku”, dan banyak lagi.
Dalam konteks ‘skateboarders’ tempatan, Boy Ipoh, salah-seorang ‘skater’ yang aktif ketika itu, menubuhkan ‘band’ ‘hard core’ “Disaster Funhouse”, di mana Joe Ipoh merupakan pemain dram bagi kumpulan tersebut. Mereka turut berlatih di studio legenda, Studio SYJ di Ipoh.
Kebangkitan ‘scene’ ini turut mendapat liputan majalah “Rolling Stone” pada tahun 1996 dengan tajuk “The Rebels of KL: Malaysian subcultures are smashing stereotypes with their own brands of punk rock and grunge.”
Tahun 1996 adalah tahun kegemilangan ‘skateboarding’ apabila ESPN menganjurkan sekali lagi “X-Games” di Rhode Island, penjenamaan semula kepada “Extreme Games”. Pada tahun 1996 juga, buat kali pertama kali, demonstrasi papan selaju telah diadakan di Andalas, Klang. Demo ini telah dianjurkan oleh penduduk Klang sendiri, dengan penaja-penaja lain. Ramai yang telah hadir untuk menyaksikan pertunjukan tersebut, di mana pelbagai skil dan teknik yang menarik telah dipersembahkan oleh ‘skater’ tempatan seperti Joe Ipoh, Pa’din dan lain-lain lagi.
Kerana minat yang mendalam dalam bidang ‘skateboarding’ dan ingin memastikan ia terus berkembang, maka lahirlah majalah ‘skateboard’ iaitu “Sandwich Skatezine”. Majalah ini adalah hasil ciptaan Pa’din dan Fazley, dan hanya dikeluarkan sehingga isu keempat sahaja. Majalah ini serba sedikit telah membantu dalam menyebarkan maklumat terkini mengenai sukan ini, kepada orang ramai.
Pada 1997, sukan ‘skateboarding’ telah disertakan dalam “Winter X-Games” dalam bentuk ‘crossover event’ yang terdiri daripada ‘in-line skating’, ‘bicycle stunt’ dan ‘snowboarding’. Pada 29 April 1997, Conrad Miyoshi meninggal dunia akibat kanser. Pada tahun 1997, “Benson & Hedges Extreme Demo” telah diadakan di Kuala Lumpur, Ipoh dan Johor; di mana pakar ‘skateboarder’ dari Amerika telah dibawa, untuk untuk mengadakan persembahan. Di antara pakar tersebut adalah Andy Mcdonald, Willy Santos, Mike Frazier, Mike Crum, Matt Hoffman dan ramai lagi. Pada 1997 juga, satu pertandingan ‘skateboarding’ telah dianjurkan di Kuantan, Pahang.
Pada tahun 1998, negara kita telah dilanda kegawatan ekonomi. Akibatnya, harga barangan ‘skateboard’ telah melonjak tinggi. Ini sekaligus telah menyebabkan jualan berkurangan dan ada sesetengah kedai terpaksa ditutup, kerana tidak mampu menanggung kerugian. Pada ketika ini, sukan ini mengalami perkembangan yang lembap. Hal ini mengulangi kesuraman dunia sukan papan selaju di Amerika sekitar awal 90an, akibat kegawatan ekonomi.
The United States Marine Corps pernah menggunakan papan luncur sebagai ujikaji untuk latihan mengesan ‘sniper fire dan trip wires’ pada tahun Mac 1999, dalam sesi latihan ketenteraan “Urban Warrior ‘99”. 
Pada tahun ini (1999) juga, muncul majalah ‘skateboard’ di Malaysia iaitu “Majalah DNA”. Tidak lama kemudian, lahir sebuah lagi majalah ‘skateboard’ iaitu “Revolution”. Dikatakan bahawa majalah papan selaju sulung di Malaysia ialah “R.A.D (Rude and Destroy/Dangerous)”, yang diterbitkan pada penghujung 80an.
Menjelang 1999, pasaran barangan ‘vintage’ dan memorabilia berkaitan sukan papan selaju, meningkat dengan mendadak, menerusi kewujudan laman “eBay”. ‘Longboarding’ kembali mendapat tempat, dan ‘skate park’ mula dibina smeula di California. Tahun 1999 menyaksikan Tony Hawk menggemparkan para penonton di “X-Games”, apabila melakukan gaya “900”. Pada 9 Mac 1999, Tim Brach meninggal dunia. Pada 1999, “Trasher Magazine” menamakan Caballero sebagai “Skater of the Century”. Beliau mula bermain papan selaju pada tahun 1976, ketika berusia 12 tahun. Steve Caballero dari San Jose, California, muncul sebagai ‘skater’ yang berpengaruh dan asalnya memegang rekod ‘the highest air achieved on a halfpipe.’ Meskipun rekodnya dipecahkan oleh Danny Way pada 1997, Caballero kemudiannya melakukan rekod ‘the longest board slide on a 44 step handrail’.  Sejak bergelar professional pada 1980, beliau telah mencipta gaya ‘Caballerial’ (juga dikenali sebagai ‘Cab’) atau ‘fakie 360 aerial’ dan ‘frontside boardslide’.
Penghujung 90an menyaksikan sukan ‘skateboard’ menjadi pilihan sebagai subjek dan gaya hidup: daripada iklan minuman ringan kepada syarikat telefon, sehinggalah trend berpakaian dan fesyen. Jenama-jenama “Chocolate”, “Girl Skateboards” mahupun “Flip Skateboards” kemudiannya menghasilkan papan selaju berkualiti tinggi; membolehkan ia mudah didapati di bandar-bandar besar.
Kejohanan “Street League Skateboarding (SLS)” mula dikenali pada peringkat antarabangsa, menampilkan ‘skaters’ profesional dari seluruh dunia. Nyjah Huston, Eric Koston, Paul Rodriguez, Andrew Reynolds, Ryan Sheckler dan Torey Pudwill mula menjadi pujaan anak-anak muda, dengan aksi yang unik lagi tangkas. Dengan hadiah wang tunai sebanyak USD200,000 dan penonton secara purata seramai 10,000 orang di SLS, sukan ini kemudiannya diangkat menjadi sukan profesional.
Menjelang alaf baru, ‘skateboarding’ kini dimainkan oleh anak-anak sekecil dua tahun sebagai aktiviti riadah sekeluarga. Namun, majoriti yang terlibat berusia lingkungan bawah 20 tahun. Banyak bandar mula membina ‘skate park’ dan tempat latihan papan selaju.
Permainan video berkaitan papan selaju membolehkan setiap kanak-kanak menjadi seorang ‘skater’. Persepsi bahawasanya ‘skateboarders’ terdiri daripada kalangan penjenayah, kini mulai berubah. Jenama-jenama seperti “Diamond Supply Co”, “Hurley”, “Vans”, dan “RVCA” mula mencipta keuntungan lumayan dan berganda, daripada populariti sukan papan selaju.
Alaf baru membawa sukan ‘skateboarding’ daripada arena bawah tanah ke arus perdana, menerusi liputan media yang meluas ke seantero dunia. Sepanjang empat tahun sejak 1996, kemunculan internet dan akses yang lebih mudah pada tahun 2000, turut diiringi dengan kehadiran pelbagai bentuk penajaan yang lumayan. ‘Vertical skating’ mula melakukan ‘comeback’, kerana lebih banyak ‘skate park’ yang dibina di Amerika Syarikat. 
“Asian X-Games Qualification event” kali pertama dianjurkan pada April 1998 di Phuket, Thailand, disertai 200 orang atlet. Pada tahun 1999, “Asian X-Games” kali ke-2 dianjurkan di Pantai Patong, Phuket, Thailand pada bulan November, 1999. Pada tahun 1999 dan 2000, Malaysia telah menghantar wakilnya dalam acara ‘wallclimbing’ dalam “Junior Asian X-Games” di Thailand. Pada tahun 2000, Kejohanan “Asian X-Games” kali ke-3 telah diadakan di Thailand. Ia dianjurkan di Phuket, Thailand pada 3-10hb Disember 2000. Dalam kejohanan ini, wakil negara kita bagi acara ‘skateboarding’ iaitu Pa’din telah mendapat tempat pertama. Hasil kejayaan ini, pihak Kementerian Belia dan Sukan telah mengambil keputusan untuk melobi supaya “Asian X Games” yang seterusnya diadakan di Malaysia untuk 2002, 2003 dan 2004. 
Pada tahun 2001, filem dokumentari “Dogtown and Z-Boys” diterbitkan dan menambah minat orang ramai terhadap sukan ini dan akar sejarahnya. Sementelah, Paul Hackett meninggal dunia pada tahun 2001, ketika masih menjalani hukuman penjara, kerana membunuh ibunya.
Pada tahun 2001 juga, berikutan kejayaan acara “Extreme Rush X” pada tahun 2000, “Philips” telah menganjurkan acara sambungan yang bertajuk “X-Rage”. Bagi “Grand finals X-Rage”, pemenang dari seluruh Asia termasuklah Indonesia, Thailand, Taipei dan ramai lagi telah dijemput untuk bertanding bagi menentukan pemenang keseluruhan. Dan pemenangnya ialah Joe Ipoh dari Malaysia. Namun, Joe tidak dapat menyertai kejohanan di Amerika Syarikat kerana masalah visa: beliau ketika itu berjanggut dan wujud sentimen Islamophobia akibat Tragedi 11 September 2001.
Pada 2002, Monty Little telah menerima anugerah pencapaian sepanjang hayat di atas kerja keras dan dedikasi, dalam memajukan sukan ‘skateboarding’ di Kanada. Jim Fitzpatrick menjadi Pengarah Eksekutif (United Professional Skateboarders Association) pada tahun 2002, di mana Bobby Turner meninggal dunia paa 23 Mac tahun yang sama.
Atlet legenda papan selaju, Anthony Frank Hawk atau Tony Hawk telah menganjurkan “Boom Boom HuckJam”, iaitu sebuah pertunjukan dan jelajah sukan ekstrem di Las Vegas pada tahun 2002. Pada 2014, “Foxweekly” menamakan Hawk yang juga dikenali sebagai “The Birdman”, selaku salah-seorang atlet papan selaju paling berpengaruh sepanjang zaman. 
“Asian X-Games” kali ke-4 dianjurkan di Kuala Lumpur pada 31hb Januari hingga 3hb Februari 2002. Pada tahun 2002 juga, video ‘skateboard’ “Saje Suka” merupakan hasil usaha “Gencos Production” telah dijual secara komersial di Malaysia.
Pada tahun 2003, kita telah menyaksikan seorang anak tempatan telah diiktiraf sebagai professional. Beliau adalah Kelvin Long yang berasal dari Subang Jaya. Hasil usaha yang gigih, Kelvin Long telah mendapat tawaran untuk menjadi profesional bagi syarikat “King of Kings Skateboard”. Pada 23-26hb Januari 2003, “Asian X-Games” kali ke-5 dianjurkan di Kuala Lumpur.
Pada 2004, Jim Fitzpatrick dinamakan sebagai ahli lembaga pengarah “USA Skateboarding”, dengan Tony Hawk dan Don Bostick sebagai naib presiden. Pada tahun yang sama, George Powell dan Stacy Peralta kembali bersatu untuk menaikkan kembali jenama “Powell-Peralta”.
Sementara itu, ‘skater’ legenda Malaysia, Pa’din telah sekali lagi memenangi pingat emas dalam Asian X-Games pada tahun 2004, manakala Joe Ipoh menjadi naib juara. “Asian X-Games” kali ke-6 dianjurkan pada 16-22hb Februari 2004 di Stadium Bukit Jalil, Kuala Lumpur. Pada tahun 2005, filem berjudul “Lords of Dogtown” telah diterbitkan, hasil garapan Stacy Peralta. Pada tahun 2005, “Asian X-Games” kali ke-7 dianjurkan pada 26-29hb Mei 2005 di Stadium Tertutup Jamsil, Seoul, Korea Selatan. Tahun 2006 adalah tahun terakhir Malaysia menganjurkan X-Games dan sedikit sebanyak menenggelamkan tarikan sukan ini. Meskipun Malaysia tidak lagi menganjurkan “Asian X-Games”, Pa’din, Joe Ipoh dan rakan-rakan tetap aktif bekerjasama dengan pelbagai pihak bagi membangunkan sukan ‘skateboarding’ Malaysia.
Pada tahun 2017, minat terhadap sejarah ‘skateboarding’ kembali meningkat selepas Pa’din dipilih sebagai rakyat Malaysia pertama yang bekerjasama dengan Vans untuk menghasilkan kasut ‘signature’ beliau sendiri. Usaha ini merupakan sebahagian kempen Vans dalam mengiktiraf ‘skateboarder’ tempatan dan menyokong pembangunan sukan ‘skateboarding’ tempatan. Bahagian yang paling sentimental bagi kasut ini pastinya tulisan tangan anak-anak Pa’din yang dicetak pada bahagian dalam kasut ini. Ia berupa pantun yang ditulis anak lelakinya, Fahim dan Fayadh. Semasa pelancaran kasut berkenaan, Vans turut menayangkan filem documentari bertajuk “Demi” yang mengisahkan perjalan hidup Pa’din.
‘Skateboarding’ yang asalnya dilihat sebagai sukan ekstrem dan radikal, berbahaya dan dimainkan oleh aktivis haluan kiri, kini menjadi sukan yang dimainkan oleh pelbagai lapisan masyarakat. Di Malaysia, pelbagai pencapaian telah diraih oleh penggiat dan aktivis papan selaju seperti Pa’din dan Joe Ipoh.
Tatkala dunia mempunyai Tony Hawk, Malaysia seharusnya berbangga mempunyai legenda ‘skateboarding’ tempatan seperti Pa’din Musa dan lain-lain. Jika dulu ramai ‘skaters’ atau ‘riders’ yang bermula dengan kesusahan untuk mengembangkan sukan papan selaju ini, kini ada dalam kalangan atlet sukan ini yang sudah mempunyai kedai atau perusahaan sendiri. Dengan jenama “G-Hard”; laman web “Skatemalaysia.com”; dan terbaru kasut ‘signature colourway’ Pa’din Musa keluaran jenama terkemuka “Vans”, menggambarkan sejauh mana sukan ini telah berkembang di Malaysia. Kendatipun, banyak lagi perlu dilakukan bagi memperbaiki pencapaian semasa atlet ‘skateboarding’ tanah air.
Selain Pa’din, Joe Ipoh dan Kelvin Long, para pengikut setia sukan ‘skateboarding’ Malaysia pastinya pernah mendengar nama-nama ini: Am Cheras, Kecik Ampang, Fuad, Boy PJ, Narul, Arif Budiman, Apai, Ah Thong, Yusman, Agus, Man JB, Shafiq Pahang, Kamil, Hatta, dan ramai lagi. Asalnya menjadi ikon dalam kalangan remaja sekolah dan anak muda, hari ini mereka menjadi pencetus kepada generasi baru: bahawasanya Malaysia juga mampu melahirkan jaguh papan selaju, bertaraf antarabangsa. Majulah ‘skateboarding’, untuk negara. Khalas.
--------------------------------------------
Sumber dan rujukan:
  1. https://wgmsnews.wordpress.com/2014/12/01/skateboarding/;
  2. http://www.axsgear.com/blog/vintage-skateboard-history/sims-contributions-and-importance-to-skateboarding-part-2/;
  3. http://vintageskateboardmagazines.blogspot.my/2011/02/quarterly-skateboarder.html;
  4. https://www.youtube.com/watch?v=pnMv6HupzOY;
  5. http://mikai_5.tripod.com/page2.html/#;
  6. https://www.facebook.com/SkateboardingMalaysia/;
  7. https://www.facebook.com/Klgzine/;
  8. http://www.geocities.ws/disasterfunhouse/photos.html#;
  9. https://www.facebook.com/SkateboardingMalaysia/videos/10154992114569541/?hc_ref=ARTqifGSRW5AwM9T5Qe_gpSCrgkjQ4BamYo8FuLiPkf4a4ED05zauEttB39gR91L1JU;
  10. http://skbsg.blogspot.my/;
  11. https://www.thestar.com.my/;
  12. https://www.facebook.com/pg/EFIL4ZRETAKS/photos/?tab=album&album_id=243088565730532;
  13. https://www.facebook.com/crazee.causa13;
  14. http://malayaneum.tripod.com/sejarahundergroundmalaysia.htm;
  15. https://www.facebook.com/pamisamad.
.

8 ulasan:

  1. Salam. Gambar Kelvin Long dgn Kelvin Long yg sponsor King for Kings tu org yg berbeza. Yg gambar di atas tu Kelvin Long budak KL ampang. Budak old school late 80s. YG disponsor Kings fo Kings adalah Calvin Long, Subang. Beza sorang K sorang C. Yg Subang tu skate era mid 90s - Boy Ipoh

    BalasPadam
    Balasan
    1. Salam. Terima kasih Legend, atas teguran. Salute!

      Padam
  2. penulisan yang hebat!! boleh tak nak tahu siapa penulisnya?

    BalasPadam
    Balasan
    1. Orang biasa saja, peminat sejarah dan segala benda yang baik tentang Malaysia. :)

      Padam
  3. Salam, Big Boh. Boleh panggil saya Che Din saja. Ya, boleh tegur mana-mana kesilapan, sekadar mencatat memori untuk melawan lupa. Salute!

    BalasPadam
  4. Orang biasa saja, peminat sejarah dan segala benda yang baik tentang Malaysia. :)

    BalasPadam
  5. Salam Bos. Ya, ada rezeki boleh ngeteh sama. Salute! :)

    BalasPadam
  6. che din tlg cr cerita psl lagend skatebord klg yg nama nya ali kundang..ali kundang ni adalah pencetus kegemilangan di zaman underground klg.dan sorang lg ialah saiful bmx.raja bmx klg

    BalasPadam

Dr. Zulkifli Hasan: Menjambatani Persaudaraan, Menyubur Kesejahteraan

  Dr. Zulkifli Hasan: Menjambatani Persaudaraan, Menyubur Kesejahteraan   Oleh: Zairudin Hashim (Ahli Dewan Tertinggi Majlis Belia M...