Jumaat, Disember 29, 2017

ABIM KECAM TINDAKAN TRUMP ISYTIHAR BAITULMAQDIS SEBAGAI IBU NEGARA ISRAEL.

Logo ABIM.
Saudara Mohamad Raimi Ab Rahim
Presiden ABIM. Juga mantan
ABIM KECAM TINDAKAN TRUMP ISYTIHAR BAITULMAQDIS SEBAGAI IBU NEGARA ISRAEL.
1. Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) mengecam sekeras-kerasnya pengisytiharan yang dibuat oleh Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, yang mengumumkan Baitul Maqdis sebagai ibu negara haram Zionis-Israel.
2. Pengumuman ini juga menyaksikan kepimpinan Trump akan melakukan satu lagi jenayah perang, iaitu dengan memindahkan Kedutaan Amerika di Tel Aviv ke Baitulmaqdis.
3. Sesungguhnya, ABIM melihat kenyataan ini sebagai provokasi yang penuh sombong dan bongkak secara jelas, terhadap umat Islam dan masyarakat dunia yang cintakan keamanan. 
4. ABIM percaya bahawa tindakan biadab dan kurang ajar Trump ini, akan membawa kesan berbahaya dan buruk terhadap kestabilan dan keselamatan rantau ini.
5. Tindakan dangkal ini juga berkemungkinan menyuburkan lagi unsur-unsur dan kegiatan keganasan serta ekstremisme yang memusnahkan. 
6. Kekejaman dan kezaliman berterusan rejim Zionis-Israel dan pentadbiran Trump terhadap rakyat Palestin, perlu dikecam, dikutuk dan ditentang dengan apa jua cara. 
7. Amatlah jelas dan nyata, rakyat Palestin sudah terlalu lama dipinggirkan tanpa pembelaan sewajarnya. Kehidupan mereka berterusan dhaif dan derita dalam banyak perkara.
8. Sejelasnya, Baitul Maqdis adalah tanah dan maruah kita, sebagaimana Palestin dan rakyatnya adalah saudara yang sangat kita kasihi. Kota suci ini bukanlah sekadar milik rakyat Palestin mahupun masyarakat Arab semata-mata, bahkan ianya adalah tanah waqaf milik umat Islam sejagat. Justeru itu, keamanan bumi Baitul Maqdis dan Palestin adalah menjadi tanggungjawab semua umat Islam di seluruh dunia.
9. ABIM juga ingin menyeru semua rakyat Malaysia – merentasi kaum dan kepercayaan – agar terus memberikan sokongan dan dokongan bagi menyebarkan kesedaran; berkenaan usaha memusnah dan memisahkan Kompleks Al-Quds dan bumi Palestin secara terancang. Tidak ada alasan untuk kita berdiam diri, terhadap tindakan rejim Zionis yang cuba menguasai, mengotor dan membahagikan Masjid Al-Aqsa.
10. ABIM menggesa semua NGO mahupun individu tanpa mengira bangsa, agama dan parti politik untuk turun ke Himpunan Aman menyatakan solidariti dan kesatuan hati kita, di hadapan Kedutaan Amerika Syarikat sejurus selepas Solat Jumaat, 8hb Disember 2017, bagi membantah tindakan Trump ini. 
11. Semoga Kompleks Al-Quds dan Palestin dapat mengecapi nikmat kemerdekaan dan kebebasan yang sejati. Sungguh, Baitul Maqdis akan selamanya menjadi ibu negara Palestin yang berdaulat. Selamanya akan menjadi milik Palestin! 
12. Bersama menegakkan kebenaran dan keadilan. Ayuh, sejahterakan Malaysia dengan dakwah!
#SelamatkanAlQuds
#SaveAlQuds
#WillNotBeDivided
#FreePalestine
.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Dr. Zulkifli Hasan: Menjambatani Persaudaraan, Menyubur Kesejahteraan

  Dr. Zulkifli Hasan: Menjambatani Persaudaraan, Menyubur Kesejahteraan   Oleh: Zairudin Hashim (Ahli Dewan Tertinggi Majlis Belia M...