Rabu, Jun 01, 2016

SEMINAR AL-QURAN BERGERAK KALI KETIGA: AKU, RAMADHAN DAN AL-QURAN.

Logo ABIM.
Saudara Mohamad Raimi Ab Rahim
Presiden ABIM. Juga mantan
SEMINAR AL-QURAN BERGERAK KALI KETIGA: 
AKU, RAMADHAN DAN AL-QURAN.
28hb Mei 2016 (Sabtu): Setelah sekian lama, Seminar Al-Quran Bergerak (SAQB3) datang lagi buat kali ketiga, kali ini sempena dengan ketibaan bulan Ramadhan Al-Mubarak, dengan tema; “Aku, Ramadhan dan Al-Quran”.
Kali ini SAQB3 menyingkap pelbagai aspek penggunaan Al-Quran pada bulan Ramadhan sebagai pemangkin kepada melahirkan amalan soleh yang berkualiti secara berterusan.
Seminar Al-Quran Bergerak yang bermaksud Al-Quran yang berada dalam dada-dada orang beriman dan dikongsikan cahaya dengan orang lain yang memerlukannya. Seminar dengan tema, membina generasi Al-Quran disertakan pelancaran Kempen Sinar Ramadhan ABIM Pusat. Satu seminar muhasabah Al-Quran yang santai dan bertepatan dengan persiapan Ramadhan. Jadikanlah Al-Quran sebagai teman karib kita.
Bertempat di Dewan Serbaguna, Masjid Wilayah Persekutuan, SAQB3 ini dianjurkan bersama oleh Al-Anwar Resources, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dan Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran Negeri Selangor (PITAS).

Peluncuran Kempen 
“Sinar Ramadhan 1437H ABIM”.
Majlis dimulakan dengan bacaan Al-Quran oleh Ustaz Tarmizi Ali Al-Hafiz. Sesi Ucapan Presiden ABIM diwakili oleh Setiausaha Agung ABIM, Saudara Muhammad Faisal Abdul Aziz.
Al-Fadhil Ustaz Che Mat Che Deraman, Timbalan Mufti Wilayah Persekutuan berucap merasmikan majlis, di samping meluncurkan Kempen “Sinar Ramadhan 1437H ABIM” dan “Projek Waqaf Jil Quran Malaysia Life Line For Syria (MLLFS)”, sambil diiringi oleh Saudara Mohamad Raimi Ab. Rahim, Presiden ABIM. Saudara Raimi yang ketika itu baru sahaja tiba di KLIA dari Sabah pada sebelah pagi, untuk menghadiri Program “International Seminar: Islam and Global Peace”, keesokannya bertolak ke London (United Kingdom) dan Brussels (Belgium) bagi mengikuti Forum “World Muslim Democrats".
Antara program yang terkandung sepanjang bulan Ramadhan ialah “Kempen Seorang Sekampit Beras” (Pek beras dan set keperluan makanan); “Forum Belia Cinta Ramadhan” (dianjurkan di Masjid Salahuddin Al-Ayyubi, Taman Melati, Kuala Lumpur); “Kem SMART Q” (dianjurkan di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya).
Selain itu, terdapat juga program “Infaq Ramadhan @ ABIM” (Meliputi program: Program Pembangunan Sosial dan Komuniti; Bantuan Kemanusiaan; Pendidikan dan Dakwah; Belia dan Masyarakat Madani; dan Pembudayaan Ilmu); “Projek Waqaf Jil Quran MLLFS”; dan pelbagai program yang menawarkan ruang infaq / sumbangan dan pembudayaan ilmu di peringkat ABIM Pusat dan Negeri.
Sumbangan atau infaq boleh disalurkan atas nama ABIM ke:
1402 - 3010 - 0325 - 27 (Bank Islam) dan/atau 
5642 - 2161 - 0116 (Maybank).
Sebarang pertanyaan lanjut, boleh hubungi: 013-982 0698 / 013- 275 0537 / 03-4108 4500. Sekretariat ABIM Pusat terletak di No.6, Jalan TC 2A/2, Taman Cemerlang, Gombak, Kuala Lumpur.

Wacana 1: “Amalan Tadarus Al-Quran 
dalam Masyarakat di Malaysia” oleh 
Ustaz Dr. Surul Shahbudin 
Hassan Al-Hafiz.
Pesan Dr. Surul Shahbudin, “Bacalah Al-Quran sebanyak mungkin dalam bulan Ramadhan. Khatamkan ia walaupun dengan hanya mendengar.” Beliau menghurai beberapa aplikasi dan teknik tadarus yang ada dalam masyarakat dan hukum yang berkaitan dengannya.
Sandaran tadarus Al-Quran: Diriwayatkan Ibnu Mas’ud R.A. pernah berpesan (ketika beliau meninggalkan Kufah), antara maksud ucapannya: “Sesungguhnya aku telah membaca sendiri dari sebutan Rasulullah SAW itu 70 Surah. Sesungguhnya aku mengetahui bahawa dikemukakan (bacaan) kepadanya 2 kali. Nabi SAW setiap kali selesai (membaca dengan Jibril A.S) akan membacakannya (kepada kami) pula, maka Nabi SAW akan memberitahuku: “Aku baik!...” (sehingga akhir hadith). Hadith ini Sahih Riwayat al-Tobari.
Kata Nabi SAW kepada Abdullah bin Umar, khatamkan Al-Quran sebulan sekali, kata Abdullah, “Aku boleh buat lebih baik lagi”. Dalam 20 hari, Abdullah kata boleh buat lebih baik lagi. Dalam 15 hari, Abdullah kata boleh lagi. Dalam 10 hari, boleh baik lagi. “Dalam 7 hari dan jangan lebih lagi dari had itu”, kata Rasulullah SAW (Hadith ini sahih riwayat Abu Daud).
Untuk yang tidak mahir membaca, atau tidak boleh membaca, maka dengarlah Al-Quran, ayat 215 hingga 206 surah Al-A’raf.

Wacana 2: “Al-Quran Selepas Ramadhan, 
Di Mana Aku?” oleh Ustaz Dr. Khairul 
Anuar Mohamad Al-Hafiz.
Muhasabah bagi setiap Muslim, apakah sepatutnya layanan mereka terhadap Al-Quran selepas berakhirnya Ramadhan. Kata Dr. Khairul Anuar Bin Mohamad lagi, “Setiap kebaikan yang dilakukan dengan ikhlas kerana ALLAH SWT dan betul dengan caranya dalam bulan Ramadhan, maka ia akan berterusan selepas Ramadhan.”
Para Salafussoleh berdoa, 6 bulan sebelum Ramadhan, untuk bertemu Ramadhan dan 6 bulan kemudian berdoa, agar amal puasa dan amalan Ramadhan kita diterima. Tidak kembali berbuat dosa - paling mudah sekarang, dosa melalui media sosial dalam tapak tangan – telefon pintar (smart phone).
Amal kebaikannya bertambah - barakah, hasilnya berganda dengan kebaikan-kebaikan yang lain; tetap dalam ketaatan kepada ALLAH SWT; dan ikhlas kepada ALLAH SWT.
Sembahlah ALLAH SWT sehingga mati (Surah Al-Hijr Ayat 99). Istiqamah dengan solat sunat, puasa sunat, membaca Al-Quran. Amalan yg hebat ialah tahajud dan nafaqah. Banyakkanlah beristighfar dan bersyukur - kepada hati-hati yang tidak berasa apa-apa apabila tibanya bulan Ramadhan.
Lakukan amalan dengan banyak, tetapi hati mereka masih takut dan mengharap ALLAH SWT menerima amalan - rujuk Surah Al-Mukminun Ayat 60.

Wacana 3: “Al-Quran dan Penghayatannya 
Dalam Solat Tarawih” oleh Ustaz Ikmal 
Zaidi Hashim Al-Hafiz.
Melihat beberapa isu melibatkan bacaan Al-Quran bagi para imam dalam solat Tarawih demi menarik masyarakat untuk memahami dan menghayatinya. Setiap malam di bulan Ramadhan, Nabi SAW akan bertadarus dengan Jibril AS.
Ramadhan bulan istimewa yang terikat dengannya Al-Quran, kerana itu ada usaha untuk mengkhatamkan Al-Quran dalam bulan ini. Membaca Al-Quran di dalam solat adalah lebih afdhal, berbanding membaca di luar solat (hadith). Keutamaan membacanya adalah kerana keutamaan solat itu sendiri.
Hukum melihat mashaf semasa solat: Pandangan pertama makruh; dan pandangan kedua harus. Pandangan pertama lebih baik.

Wacana 4: “Rasulullah SAW, Ramadhan 
dan Al-Quran” oleh Ustaz Khairul 
Anuar Basri Al-Hafiz.
Beliau membawa para peserta menelusuri sirah nabawiyyah tentang bagaimana muamalat Baginda SAW dengan Al-Quran pada bulan Ramadhan. Waktu sahur adalah bacaan 30 ke 40 ayat sebelum Subuh. Keikhlasan penting dalam ibadah sepanjang Ramadhan. Bukan manusia yang memegang hati manusia, ALLAH SWT yang pegang hati manusia.
Manusia ada potensi untuk berada tahap terbaik apabila berkesempatan dari Ramadhan dan bertemu Ramadhan lagi. Ramadhan sepatutnya menjadi penghapus dosa.
Nabi SAW dalam bulan Ramadhan banyak membaca Al-Quran dan lebih pemurah. Hadapilah Ramadhan dengan ilmu untuk memghidupkannya. Objektif berpuasa adalah untuk menjadikan manusia itu bertaqwa.
Puasa meningkatkan perasaan kemanusiaan lebih tinggi. Ramadhan dikenali sebagai bulan Al-Quran dan kitab-kitab sanawi lain juga diturunkan dalam bulan ini. Bagaimana kita nak diingati oleh Al-Quran kalau kita tidak mengingati Al-Quran. Waktu paling baik untuk memperbanyakkan bacaan Al-Quran adalah pada waktu malam.
Beliau juga mengulas berkenaan isu kesilapan ‘trend 3 Rukun’ yang sering ‘ditunaikan’ kita berbanding rukun puasa, misalnya situasi di bazaar Ramadhan. Pertama, ‘Tawaf’: Kita kerap membazirkan masa asyik mencari sekian banyak hidangan di bazaar Ramadhan, bahkan sanggup hadir awal untuk mendapatkan juadah untuk berbuka puasa.
Kedua, ‘Saie’: Sanggup berulang alik mencari juadah makanan dan minuman yang menarik selera, yang jelas kontra dengan falsafah dan tuntutan puasa itu sendiri. Ketiga, ‘Tahallul’: Men‘cukur’ wang semata-mata membeli makanan yang enak dan lazat; untuk berbuka puasa, sehingga menyebabkan pembaziran.

SAQB 3 Melabuhkan Tirai.
Alhamdulillah, penat, berdebar tapi gembira. Sekali lagi SAQB 3 mencapai sasarannya untuk menjengah masyarakat berteraskan Al-Quran.
Sesungguhnya, banyakkanlah istighfar sebelum, semasa dan selepas Ramadhan. Hal ini adalah berdasarkan kisah Imam Malik dengan pembuat roti; kisah Hasan Al-Basri dengan penduduk Basrah; serta kisah Umar bin Abdul Aziz dan rakyatnya. ALLAH SWT akan memaqbulkan setiap doa orang yang sentiasa beristighfar.
Terima kasih kepada semua ahli jawatankluasa penganjur yang berdedikasi, rajin dan penyayang, atas kerjasama yang tidak ternilai. Terima kasih juga kepada semua yang terlibat secara langsung ataupun tidak. Terima kasih kepada semua penyumbang wang dan tenaga. Tahniah kepada semua peserta. Moga ALLAH SWT memberi kefahaman Al-Quran yang bisa menerangi kubur-kubur kalian.
Semoga Ramadhan kita kali ini membawa natijah yang lebih baik. Hingga berjumpa dalam SAQB 4 akan datang. Sila ke Page FB Angkatan Belia Islam Malaysia dan FB Seminar Al-Quran Bergerak untuk melihat gambar dan aksi sepanjang program. Jangan lupa klik LIKE dan SHARE.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...