Jumaat, Disember 11, 2015

SEPUTAR KONVENSYEN AL-ISLAM RAHMATUN LIL ALAMIN DI PULAU MUTIARA.

Logo ABIM.
Saudara Raimi Ab Rahim
Presiden ABIM. Juga mantan


SEPUTAR KONVENSYEN AL-ISLAM RAHMATUN LIL ALAMIN DI PULAU MUTIARA.
“Dunia menderita tanpa gagasan Al-Islam Rahmatun Lil Alamin” – Dato’ Dr. Siddiq Fadzil.
Begitulah perkongsian yang diketengahkan oleh Presiden Kolej Dar Al-Hikmah (KDH) dan bekas Presiden ABIM, Dato’ Dr Ustaz Siddiq Fadzil, ketika menyampaikan ucaptama sempena Konvensyen “Al-Islam Rahmatun Lil Alamin” di Hotel Olive Tree, Bayan Baru Pulau Pinang, pada 8 November 2015 yang lalu. Ungkapan itu merujuk kepada karya ulama’ tersohor, Abu Hassan Ali An-Nadwi, “Kerugian Dunia Akibat Kemunduran Umat Islam".
Ustaz Siddiq Fadzil mengingatkan hadirin bahawa surat Nabi Sulaiman kepada Balqis juga dimulakan dengan sifat pengasih dan penyayang ALLAH SWT. Sambil ‘mengimbau’ hakikat bahawa Islam adalah ‘Agama Rahmah, bukan agama yang marah-marah’; Ustaz Siddiq juga menegaskan bahawa, “Sesungguhnya Rahmat ALLAH SWT itu sangat luas. Ia bukan milik eksklusif umat Islam semata-mata. Justeru, umat Islam bertanggungjawab untuk merealisasikan menyebarkan gagasan Al-Islam Rahmatun Lil Alamin kepada setiap manusia ke seluruh pelusuk alam.” Beliau juga menegaskan bahawa dengan visi Islam, kemanusiaan dan keMalaysiaan, kita mampu membina negara Malaysia yang bersatu yang berkongsi masa depan yang makmur.
Dalam Sesi 1 (Hak Asasi Manusia), Naib Presiden MBM dan Tokoh Belia ASEAN 2014, Saudara Jufitri Joha, menegaskan bahawa hagemoni agama, budaya, ekonomi dan politik harus dihentikan dengan menghormati kepelbagaian dan kemajmukan. Sebaliknya, menurut beliau, dialog peradaban wajar disuburkan ke arah integrasiz global dan ‘convivencia’ sejagat.
Pensyarah National University of Singapore, Dr. Syed Khairuddin Al-Junied, menekankan bagaimana Piagam Madinah itu mendahului masa dan konsep serta idea piagam tersebut ‘memecah zaman’ dan masih relevan sehingga ke hari ini. Piagam Madinah, jeleas beliau, menekankan kebebasan rakyat dari hutang.
Bekas Presiden ABIM dan PKPIM, Cikgu Haji Amidi Dato’ Abdul Manan, turut membuat perkongsian dalam Sesi 2 (Urus Tadbir Yang Baik), sempena konvensyen tersebut. Beliau membuat pembentangan berkenaan keunggulan urus tadbir ketika era kepimpinan Khalifah Umar Abdul Aziz.
Pensyarah Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Mohd Sukki Othman pula menekankan bahawa tokoh-tokoh Khulafa Ar Rasyidin berjaya mengurus tadbir negara dengan cara yang terbaik; yang sewajarnya diteladani oleh generasi masa kini -- kerana mereka telah memberikan sumbangan yang sangat besar ke arah perkembangan dakwah Islam.
Dalam Sesi 3 (Pembudayaan Ilmu), Presiden ABIM, Saudara Haji Raimi Ab. Rahim membuat perkongsian berkenaan sejarah dan perkembangan agama serta gerakan Islam di Asia Tenggara. Beliau menekankan kepentingan ilmu yang perlu disampaikan secara merakyat dan membumi; supaya dekat dengan segenap lapisan masyarakat.
Dr. Suhaila Abdullah, pensyarah Universiti Sains Malaysia (USM) pula, menekankan bahawa pembudayaan ilmu yang bersepadu, iaitu gabungan di antara penguasaan ilmu agama berserta ilmu sains dan teknologi; sebagaimana yang dihayati oleh masyarakat Islam Andalusia, perlu diterapkan dalam masyarakat Islam di Malaysia secara menyeluruh.
Apa yang menarik ialah konvensyen ini turut dihadiri oleh peserta daripada kalangan masyarakat bukan Melayu dan belum Islam. ABIM dan agensi-agensi yang bernaung di bawah rangkaian jamaah WADAH-ABIM-PKPIM turut membuka reruai (booth) pameran dan jualan pada program tersebut. Hadir merasmikan konvensyen tersebut ialah YB Malik Kassim, Exco Kerajaan Negeri Pulau Pinang. Konvensyen ini adalah anjuran bersama Kerajaan Negeri Pulau Pinang, WADAH, ABIM, dan PKPIM, dan turut disiarkan secara langsung di Youtube.
Terdahulu, al-Fadhil Ustaz Naim Mohd. Nor, Timbalan Presiden ABIM, telah menyampaikan Khutbah Jumaat di Masjid Negeri Pulau Pinang. Beliau menyeru umat ke arah pembaharuan tekad dalam misi membebaskan al-Quds daripada cengkaman Zionis. Usrah Gabungan WAP Pulau Pinang juga telah diadakan di Gelugor, sehari sebelum konvensyen. Pengisian berkisar isu nasional, politik Turki dan isu semasa. Usrah tersebut turut disertai oleh Saudara Raimi yang turut membuat pengisian kepada hadirin.
Tuntasnya, program ini mempelawa masyarakat untuk lebih memahami dan menghayati bahawa Islam membawa mesej ‘Rahmatun Lil Alamin’ meliputi semua manusia dan alam; serta menghayati dan mensyukuri kepelbagaian yang diciptakan sebagai potensi untuk solusi bagi maslahah umat manusia termasuk kebebasan, keadilan, kesaksamaan, keharmonian dan kelestarian kehidupan. Semoga kita semua akan memaknai nikmat Islam sebagai agama yang ramah dan penuh kerahmatan. Al-Islam rahmatun lil alamin!
_____________________________________
Hasbunallah wanikmal wakil...
Ayuh; sejahterakan Malaysia dengan dakwah!
Salurkan infaq anda ke akaun ABIM : Bank Islam – 1402-3010-0112-19
ATAU
Melalui sumbangan atas talian yang disediakan oleh syarikat billplz.com :https://billplz.com/form/infaq-abim
ATAU
Sumbangan bulanan melalui auto debit : Whatsapp/SMS ke 013-2226057 butiran seperti Nama dan Alamat untuk urusan pengeposan borang Auto Debit.
_____________________________________
Sila “Like”, “Follow” dan “Share” Halaman FB: Angkatan Belia Islam Malaysia / Muslim Youth Movement of Malaysia (ABIM):
https://www.facebook.com/ABIM.Malaysia/?fref=ts
_______________________________________
Hubungi Sekretariat ABIM Pusat melalui:
Tel: +6019-2881300/ 019-3836700 / +603 - 4108 4500
Fax: +603-4108 2400
Email: sap@abim.org.my
Website ABIM: http://www.abim.org.my/
Twitter ABIM: https://twitter.com/ABIM_24
Telegram ABIM: https://telegram.me/abim24
Youtube: https://www.youtube.com/user/mediabim
______________________________________
Sekretariat ABIM Pusat terletak di: No.6, Jalan TC 2A/2, Tmn Cemerlang, 53100 Kuala Lumpur.
(Berhampiran Stesen LRT Taman Gombak dan Masjid Salahuddin Al-Ayyubi, Taman Melati, Kuala Lumpur).

.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Dr. Zulkifli Hasan: Menjambatani Persaudaraan, Menyubur Kesejahteraan

  Dr. Zulkifli Hasan: Menjambatani Persaudaraan, Menyubur Kesejahteraan   Oleh: Zairudin Hashim (Ahli Dewan Tertinggi Majlis Belia M...