Isnin, Disember 28, 2015

DR MUHAMMAD NUR MANUTY DILANTIK MENJADI SENATOR DEWAN NEGARA.


DR MUHAMMAD NUR MANUTY DILANTIK MENJADI SENATOR DEWAN NEGARA.
Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) merakamkan ucapan tahniah kepada bekas Presiden ABIM, Prof Madya Dr Muhammad Nur Manuty yang dilantik sebagai anggota Dewan Negara mewakili Selangor bagi tempoh tiga tahun.
Terdahulu, pada 13 November 2015 (Jumaat), pengumuman tersebut telah dibuat oleh Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Hannah Yeoh selepas pencalonan beliau mendapat sokongan daripada 38 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pada hari terakhir persidangan DUN.
Untuk rekod, Dr Muhammad Nur Manuty pernah menjadi Setiausaha Agung PKPIM, serta terlibat dalam aktivisme pelajar serta mahasiswa semenjak dari pengajian sekolah menengah lagi.
Dr Muhammad Nur Manuty telah memimpin ABIM sebagai Presiden keempat mulai tahun 1991. Sepanjang era ini, ABIM terlibat dengan aktif di dalam proses pembinaan negara serta mengukuhkan gerakan kependidikan, kemasyarakatan dan ketamadunan.
ABIM juga mula mengembangkan peranannya di bidang khidmat antarabangsa dengan membantu umat Islam yang menghadapi musibah seperti di Afghanistan dan Bosnia Herzegovina. Dr. Nur Manuty menjadi Presiden selama tiga sesi dari tahun 1991 sehingga 1997.
Dilahirkan di Taiping pada tahun 1949, beliau telah menyempurnakan pendidikan asas di Sekolah Menengah Izuddin Shah, Ipoh dan kemudiaannya di Kolej Islam Malaya.
Setelah memperolehi sarjana muda dalam penghususan Usuluddin dan Falsafah dari Fakulti Pengajian Islam, UKM pada tahun 1974, beliau melanjutkan pengajian dalam bidang Pengajian Islam dan Perbandingan Agama di peringkat M.A dan PhD di University of Temple, Philadephia, Amerika Syarikat di bawah bimbingan Prof. Ismail R. al Faruqi, Prof. Seyyed Hoosein Nasr dan Prof. Mahmoud Ayyub.
Beliau merupakan ahli akademik yang pernah berkhidmat sebagai pensyarah di Jabatan Pengajian Arab dan Tamadun Islam, UKM (1974-1983). Di Universiti Islam Antarabanga Malaysia (UIAM), beliau berkhidmat di Jabatan Usuluddin dan Perbandingan Agama (1989-1999), yang terakhir sebagai Professor Madya.
Beliau juga pernah diamanahkan sebagai Dekan Hal Ehwal Pelajar di UIAM.
Selain kerjaya akademik beliau, Dr Muhammad Nur Manuty merupakan seorang aktivis sosial. Beliau aktif menulis dan menterjemah pelbagai judul buku, artikel dan makalah ilmiah serta sering dijemput membentangkan kertas kerja di pelbagai persidangan dalam dan luar negara.
.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...