Isnin, Disember 28, 2015

SELAMAT ULANG TAHUN KE-3, RBS!

SELAMAT ULANG TAHUN KE-3, RBS!
Retro Bola Sepak (RBS), kini sudah menjangkau usia 3 tahun. Tarikh 15 Disember 2012, detik bermulanya perjalanan ‘lama itu mahal, tua itu emas’ RBS sehingga kini.
Sedikit fakta tentang kami di RBS:
  • Nama asal Retro Bola Sepak adalah ‘Gambar Retro Bola Sepak’. Diubah apabila dirasakan terlalu panjang untuk diungkap.
  • Imej pertama yang RBS muatnaik ke laman ini adalah gambar Gabriel Batistuta dalam jersi AS Roma
  • Antara individu pertama yang pautkan komen di gambar tersebut termasuklah Wan Ruzailan, Komrad Gerila Amer dan Shafizzad Shahudan. 
  • ‘Cover photo’ pertama yang digunakan RBS adalah imej libasan ‘volley’ Zinedine Zidane di final Liga Juara-Juara Eropah 2002, di mana Michael Ballack turut sama kelihatan dalam gambar.
  • Majoriti pengikut awal RBS adalah mereka-mereka yang biasa di Sembang Bola Global (SBG) yang asal. Salah-seorang pentadbir RBS seringkali kongsikan bingkisan RBS di sana. Grazie SBG (yang asal)!
  • Angka 1,000 pengikut hanya dicapai setelah 5 bulan RBS ditubuh.
  • Tempoh setahun awal penubuhan RBS, seringkali juga bingkisan-bingkisan RBS diciplak dan dimuatnaik ke laman FB lain yang punyai puluhan ribu malah mencecah ratusan ribu pengikut.
  • Pernah juga, muncul satu ‘blog’ yang menggunakan nama Retro Bola Sepak, dengan isinya 100% diambil dari laman FB RBS. 
  • Era permulaan RBS, semasa kami menggunakan Bahasa Melayu yang betul serta ayat penuh dan lengkap tanpa singkatan, ada pengikut bertanya, “Admin ini orang Indonesia ke?”.
  • Laman Taktikal BOLA Dunia turut diasaskan oleh dua pengasas terawal RBS. TBD kekal antara laman bersekutu RBS. Lain-lain laman FB termasuk lah Preferred Move - Style of Play dan Napoli FAN Malaysia. Seorang pentadbir RBS turut menjadi penulis tamu di The Patriots.
  • Ada 6 orang pentadbir kesemuanya di RBS. Careca dan Canna yang terawal, disusuli oleh Razee, Che Din, Le Saux dan terbaharu Bremner yang menggantikan satu slot kosong di RBS. 
  • Kami berenam walaubagaimanapun, belum pernah berjumpa serentak berenam, memandangkan faktor lokasi dan mastautin masing-masing. Laman FB dan media WhatsApp jadi medan kami berhubung.
  • Hendak mencari dan menjemput ‘admin’ atau pentadbir ke laman ini cukup sukar. Ramai juga dipelawa, ramai juga yang tak endah. Barangkali ‘peti masuk’ anda juga pernah disapa oleh jemputan kami.
  • RBS dah muatnaik lebih 8,000 imej, bermakna lebih 8,000 kisah dan cerita nostalgia bola sepak yang kami dah bingkiskan.
  • Bingkisan pertama yang dikongsi mendapat liputan khalayak adalah poster pertembungan Malaysia lawan England pada tahun 1991.
  • Bingkisan paling banyak dikongsi, ironinya bukan hal tentang bola sepak, sebaliknya adalah kisah mengenai ‘Salasilah Ultraman’ sekitar Mac 2014. Ia merekod lebih 500 kali perkongsian, disukai lebih 700 orang selain, turut mendapat lebih 350 komentar. 
  • Terbaharu, bingkisan mengenai ‘Rusuhan Bola Sepak Pertama 1979’ tempoh hari, mencatat sebanyak 480 perkongsian, disukai lebih 1,500 orang serta merekod lebih 100 komentar.
  • Bingkisan mengenai ‘bakaran suar’ dan 'poster kepala anjing' antara bingkisan 'paling panas'. Ia menjadi pertikaman lidah antara dua pihak, yang membidas dan yang menyokong. 
  • Satu imej 'FAM eye 2014 World Cup' yang dikongsi RBS pada Mei 2013, pernah terpapar dalam tayangan Majalah 3, ketika dokumentari terbitan TV3 Malaysia itu membuat liputan tentang skuad bola sepak negara. 
  • Slogan GRANDE itu asalnya begini. Siapa 'calcio-tifosi' yang biasa mengendeng di laman-laman bola sepak Itali, akan biasa nampak komen-komen perkataan 'GRANDE'.
  • Ia membawa maksud bagus, hebat, terbaik, mantap dan seumpamanya.
  • Suka untuk RBS umumkan, bahawa pengikut setia RBS bernama samaran 'Abang Botak' lah antara individu yang kerap menitipkan perkataan 'GRANDE' di setiap komen beliau.
  • Maka, dek kerana sebilangan kami pun memang peminat 'calcio' maka memang rasanya perkataan tersebut diuar-uarkan untuk dijadikan 'trademark' RBS. Grazie Abang Botak!.
  • Selain laman FB, RBS turut mempunyai akaun Twitter dan Instagram. Di Twitter pautannya adalahhttps://twitter.com/Retro_BS sementara di Instagram pula dengan kata carian @Retro_BS. 
  • Di ruang carian FB, anda taip sahaja apa sahaja perkataan dan digandingkan dengan perkataan 'Retro Bola Sepak', pasti akan ketemu maklumat dan bingkisan-bingkisan yang pernah RBS muatnaik.
  • Contohnya 'Claude Le Roy + Retro Bola Sepak', akan keluar semua cerita tentang Claude Le Roy yang pernah RBS bingkiskan.
  • Seneutral Kertas Litmus, begitu lah pendirian yang seboleh-bolehnya kami di RBS bawa. Tidak boleh terlalu cenderung kepada sesuatu pihak, tidak boleh terlalu membidas, tidak boleh terlebih mengkritik. Semuanya ada had. Mohon maaf juga, pada bingkisan-bingkisan lepas kami yang barangkali mencuit rasa tidak puashati sebilangan pihak. 

RBS: Kami di RBS bukan lah 'otai', hanya sekadar seumpama lebah. Bunga-bunga di luar sana, barangkali milik tuan-tuan. Di kebun-kebun bunga milik orang lain.
Kami ini sekadar mengekstrak madunya. Nyaman sekitarnya, maka sedaplah madunya. Jadi kelaziman, madu dicuri orang. Tapi tak mengapa lah, sebab madu itu barangkali boleh mengubati. 
Info foto : Imej samar-samar bayangan pentadbir RBS di usia melepasi zaman pensabunan lama dahulu.
.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...