Jumaat, Disember 11, 2015

TIGAPULUHTIGA.


TIGAPULUHTIGA.
Bercakap sedikit tentang penjualan tiket, sayu juga melihat ramai sahabat penyokong Selangor yang tidak dapat membeli tiket. Meski dari pukul 7 pagi -- beratur panjang sampai ke simpang stadium, namun ramai penyokong Selangor hampa kerana tiket habis terjual dalam masa sejam. Semoga ada usaha serius untuk menangani masalah yang kerap berlaku setiap kali perlawanan besar dianjurkan di Malaysia ini.
Perseteruan Selangor-Kedah sudah berlangsung sejak sekian lama. Dua negeri yang kaya dengan sejarah bola sepak Malaysia ini, kali ini sekali bertembung di pentas Final, selepas kali terakhir bertarung pada 2008.
Setelah lama tidak menjejaki kaki ke pentas final, kini Selangor berada pada landasan yang tepat untuk menamatkan Misi 33 yang sudah lama tertangguh. Meskipun tidak dibarisi deretan bintang, skuad Gergasi Merah tetap hebat dengan semangat berpasukan yang tinggi. Tahniah buat pasukan serta penyokong yang hadir sedari awal musim.
Pada 2005, jaringan hatrik penyerang terbilang Nusantara, Bambang Pamungkas membolehkan impian Selangor untuk melakar sejarah merangkul empat gelaran dalam semusim menjadi realiti; apabila mereka dinobatkan selaku juara Piala Malaysia yang baru. Selangor menewaskan penyandang juara, Perlis 3-0 dalam perlawanan akhir di Stadium Nasional Bukit Jalil. Kemenangan tersebut membuktikan kejaguhan sebenar Selangor yang tersisih selama tiga musim sejak menjulang Piala Malaysia pada 2002.
Di hadapan kira-kira 90,000 penonton yang jelas didominasi oleh penyokong yang berpakaian merah dan kuning; bertempik sorak kegembiraan sejurus pengadil perlawanan, Shokri Nor meniup wisel penamat.
Sebilangan individu pernah julang Piala Malaysia selaku pemain dan jurulatih pasukan. Mehmet Durakovic dilihat cuba mengulangi pencapaian Dollah Salleh, Zainal Abidin Hassan, Abdul Ghani Minhat, M. Chandran dan lain-lain. Sehingga 2014, Selangor masih dahagakan trofi Piala Malaysia yang bersejarah. Apakah Sabtu ini bakal menjadi milik Red Giants? Ataukah Kedah akan kembali dinobat sebagai jaguh bola sepak Malaysia? Sama-sama kita nantikan.
Ayuh, penuhkan stadium dan depan kaca TV masing-masing; dengan semangat kesukanan serta penghargaan buat sukan nombor satu negara ini. Moga saja satu hari nanti; maruah bola sepak kita akan mengharum kembali. Kalau bukan kita yang hargai, siapa lagi?
Bersama martabatkan jersi serta liga tempatan kita. Padu & Grande; selamanya!
.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...