Dia
Bangla ke, pekerja Indonesia ke -- dia manusia. Dan, manusia ada maruah.
Sebanyak
mana pun harta kita, setinggi mana sekalipun jawatan kita -- itu bukan tiket
percuma; untuk kita menampar dan menumbuk seseorang manusia lain, tanpa asas
yang kukuh.
Belajarlah
untuk menghormati orang lain; kerana kita semua hanyalah -- hamba TUHAN.
Hendak
buat apa dengan keping-keping logo RBS ini?
Sebelum
itu, RBS hendak cerita sedikit asal-usul logo ini.
Kira-kira
setahun selepas RBS diwujudkan sekitar November 2012, maka kami pun simpan
hajat agar ada baiknya kalau RBS punyai logo rasmi sendiri.
Sebelum
itu, RBS hanya guna imej wajah beberapa pemain bola sepak terkenal dunia,
antaranya Diego Maradona, Paolo Maldini, Socratés dan seumpama mereka.
Maka
bersidanglah kami, mencerna buah fikir masing-masing.
Kertas
kajang sudah berhelai-helai diconteng-lakar.
Lakaran
kasar kemudiannya dimuktamadkan.
Logonya harus bulat, perkataan RETRO di sebelah atas, huruf B dan S mewakili
perkataan 'Bola Sepak' dan perkataan GRANDE di sebelah bawah, 'tagline' popular
RBS selama ini.
Maka
kami pun ketemu seorang pemuda, teman kepada sahabat kami. Katanya beliau mahir
dalam bab-bab merekabentuk apa saja rekaan.
Lakaran
kasar logo dipersembah padanya. Beliau kata OK, mudah menurutnya. Lalu jangka
masa seminggu diberi kepada beliau.
Dari
seminggu bawa ke dua minggu, dari dua minggu membawa ke sebulan, buat kami di
RBS ternanti-nanti.
Bila
dihubungi, katanya beliau agak sibuk sedang membuat persiapan hendak mendaki
Gunung Kinabalu.
Tinggi-tinggi
Gunung Kinabalu, ternanti-nanti juga kami termanggu menunggu. Orang kata 'Janji
Melayu'.
Dek
kerana terlalu lama, dan tiada khabar berita dari pemuda tersebut, kami rasa lebih
baik perkara pembikinan logo grafik RBS itu disuakan ke orang lain.
Suatu
malam, sedang duduk minum kopi di rembang malam, kebetulan seorang kenalan
datang sertai kami 'mengopi'. Dia hadir dengan adik iparnya. Memang agaknya dah
hendak dijadikan cerita, adik ipar kenalan kami ini katanya juga mahir
menggunakan aplikasi grafik.
Terus
dipanjangkan idea pembikinan logo RBS. Disuakan juga lakaran kasar kami.
Anak
muda ini setuju untuk bantu. Lantas esoknya dah siap sepenuhnya, sepertimana
logo RBS sekarang, cuma waktu itu imej wajah Socretés yang jadi pilihan.
Memang
kami puas hati dengan hasil kerja beliau.
Terima
kasih pada pemuda tersebut. Beliau tak kenakan sebarang caj. Lalu upahnya
sehelai baju-T RBS kami hadiahkan kepada beliau.
Logo
RBS beberapa kali diubahsuai latar tengahnya mengikut situasi semasa, sebelum
bendera Malaysia, Jalur Gemilang menjadi pilihan muktamad kami.
Dari
sekadar, biasa-biasa, suka-suka, Retro Bola Sepak kini harapnya akan terus
kekal menyaji kisah-kisah 'grande' dalam dunia bola sepak, meski kami sedar
semenjak-dua ini, amat kurang bingkisan-bingkisan dari kami lantaran
masing-masing dari kami terikat dengan komitmen kerja.
Sekadar
bercerita...
Padu
dan grande selamanya!
'..lama
itu mahal, tua itu emas..'
Tapi,
keping-keping logo RBS ini mahu bikin apa sebenarnya ya?. Nantikan kelak
makluman dari kami. Selamat berhujung minggu Retrorians semua...
Selain
daripada kenaikan tol dan ketiadaan stesen minyak, antara perkara yang perlu
kita fikirkan ketika menggunakan Lebuhraya MEX: ialah betapa perlunya kita
memandu dengan cermat, khususnya ketika melalui zon angin lintang.
Bukanlah
sesuatu yang membahagiakan, untuk menyaksikan beberapa buah kemalangan berlaku
dalam masa sebulan di kawasan tersebut.
Kemalangan
memang tak boleh dielak kalau sudah ditakdirkan. Tapi, kita mesti berikhtiar
untuk mencegahnya.
IJTIMA’
HARAKIY KALI KE-4: PENUH NOSTALGIK; SARAT DENGAN ILTIZAM PADU.
“Biar orang tak kenal saya, asalkan orang
kenal Islam!”
–
Saudara Amidi Abd Manan, mantan Presiden ABIM.
1.0 MUKADIMAH.
Penuh
nostalgik; tetapi sarat dengan idealisme serta iltizam baru yang padu.
Demikianlah yang dapat disimpulkan terhadap Muktamar ABIM kali ke-44 serta
Ijtima’ Harakiy WADAH-ABIM-PKPIM kali-4 (IH4) yang berlangsung dengan meriah
dari 18 hingga 20 September 2015.
Muktamar
ABIM penuh signifikan ini dianjurkan di Kolej Dar al-Hikmah (KDH), Kajang
sempena Ijtima’ Harakiy kali ke-4. Kehadiran muktamirin dan muktamirat dari
seluruh pelusuk tanah air – dari Perlis sampai ke Sabah; membuktikan bahawa
ABIM terus relevan dalam menongkah arus modenisasi. Seramai 851 orang
perwakilan dan pemerhati telah hadir ke IH4, dengan 319 orang daripadanya
merupakan ahli serta aktivis ABIM yang membanjiri muktamar gerakan bersejarah
tersebut.
Perkembangan
kebangkitan Islam di Malaysia pada era 80an hingga 90 dan hingga hari ini;
tidak dpat dipisahkan dengan budaya ilmu. Hakikat ini telah diperakui dalam
pelbagai kajian oleh cendekiawan sama ada Muslim atau bukan Muslim, dalam mahu
pun luar negara.
Atas
dasar ini rangkaian WADAH-ABIM-PKPIM (WAP) merasakan amat penting untuk
kelompok Ilmuwan memainkan peranan penting dalam memimpin misi pencerahan umat
menerusi penganjuran ‘Seminar Ilmuwan Muslim & Misi Pencerahan Umat’ yang
akan mengupas peranan dan karakter yang perlu ditampilkan oleh kelompok ilmuwan
dalam menghadapi isu semasa meliputi politik, sosial, budaya, ekonomi, dan pendidikan.
2.0 “SEJAHTERAKAN MALAYSIA DENGAN DAKWAH: MENTERJEMAH MISI ILMUWAN DALAM MENGHADAPI
CABARAN MASA KINI”.
Dalam
ucapan dasarnya, Saudara Amidi Abd Manan membawa tajuk “Sejahterakan
Malaysia Dengan Dakwah: Menterjemah Misi Ilmuwan Dalam Menghadapi cabaran Masa
Kini”. Antara lain, beliau mengimbau mutiara kata Buya Hamka mengenai
peranan ulama’ dalam membangunkan umat, di samping menekankan perihal
pendidikan tawhidik dan perjuangan bangsa. Beliau juga menyentuh bagaimana
ulama’ serta tokoh terdahulu begitu gelisah dan kurang senang jika nama dan
amal bakti mereka disebut-sebut.
Sementelah,
Saudara Amidi menegaskan berkenaan isu gejala sosial yang semakin rakus dewasa
ini. Ironisnya; menurut beliau, program serta peruntukan kem serta kelas
pendidikan berunsur keagamaan semakin menyusut secara beransur-ansur. ABIM,
menurut beliau, menyelar sikap acuh tidak acuh dalam menangani hal ini.
Pendidikan adalah keutamaan bagi melahirkan generasi muda berkualiti pada masa
hadapan.
Dalam
Ucapan Dasarnya, Saudara Amidi menyentuh berkenaan ‘trend’ yang seragam dalam skala global. Dorongan yang mempengaruhi ‘trend’ tersebut adalah tujuan yang sama
dan matlamat yang serupa. Bagi mempertahankan prinsip seorang ilmuwan,
Ranngawarsita melaksanakan ‘mati sebelum mati’, iaitu mematikan segala kehendak
duniawi yang melampau bagi mempertahankan prinsip dan tuntutan keilmuan.
Fenomena
ini dinamakan mati raga. Mati yang menghidupkan prinsip dan asas pembinaan
budi. Kita selaku penggerak dakwah hidup dengan memperdagangkan jiwa dan harta
kita demi kebahagiaan yang abadi sepertimana yang disebut dalam Surah As-Saff: Ayat
10-11.
Beliau
menyeru agar semua kembali mengingatkan diri kepada ‘pengkalan’ yang memberi
ruang pendidikan dan pembentukan jiwa dan akal, kemahiran dan kompetensi diri. Beliau
turut berdoa agar semua anggota jemaah WAP agar terus subur menabur bakti,
memberi pencerahan dan didikan kepada umat seluruhnya.
Sepanjang
berlangsungnya muktamar, beberapa usul dibentang dan dibahas, seperti:
pendidikan, kaderisasi, pembangunan harta wakaf serta pembangunan sosial dan
keluarga. Selain itu, penekanan turut dibuat berkenaan betapa perlunya
perniagaan serta sukan disebatikan dengan jiwa serta keluarga kesemua ahli
gerakan.
Saudara
Hasri Harun, bekas Naib Presiden yang menyampaikan ucapan terakhirnya di atas
platform ABIM, tidak dapat menahan sebak apabila mengenangkan susah-payah serta
jalan perjuangan panjang yang dilalui oleh para pemimpin serta aktivis ABIM.
Beliau yang pernah diberi tanggungjawab berat selaku Yang Dipertua ABIM
Selangor ketika baru berusia 27 tahun; menggesa semua anggota jemaah agar
sentiasa bersedia; untuk diberi amanah bagi menyumbang kepada umat. Dengan
penuh keinsafan, beliau mendeklamasikan sajak ‘Aku Orang ABIM’.
Tokoh
Belia ASEAN dan bekas Naib Presiden ABIM, Saudara Jufitri bin Joha dalam
ucapannya, menyentuh berkenaan perlunya ahli ABIM mempertingkatkan integriti
pemikiran, pembacaan serta pidato bagi memperkasa lagi kemahiran diri dalam
mendepani umat. Selain menyeru agar semua membina aspek yang lebih inklusif
dalam masyarakat, beliau mengimbau bagaimana pentingnya kemampuan berpidato
yang baik, apabila beliau sendiri – yang asalnya kurang mahir mendepani
khalayak; menjadi semakin yakin apabila mendengar pidato-pidato Saudara Amidi
(ketika era PKPIM).
Saudara
Jufitri juga menyatakan keperluan besar untuk ABIM berusaha untuk menjangkau (reach out) lebih banyak isu yang
merentasi pelbagai bidang; termasuklah isu orang kelainan upaya (OKU) dan
rasuah.
Puan
Fadhlina Sidek, Naib Presiden Hal Ehwal Wanita (HELWA), tegas membangkitkan
perlunya anggota jemaah supaya lebih menghormati serta menghargai pengorbanan
dan sumbangan kaum wanita, khususnya golongan isteri. Beliau menyeru kepada
semua pihak agar mengambil contoh teladan agung Rasulullah SAW, yang begitu
menyantuni hak isteri serta tidak menjadikan perempuan sebagai bahan ketawa
atau sindiran.
Seperti
lazimnya, ABIM melantik barisan pimpinannya dengan latar belakang
profesionalisme yang pelbagai. Semoga keseimbangan antara saf pimpinan daripada
golongan agamawan dan profesional yang akan, sudah dan telah ditonjolkan ini;
mendatangkan manfaat yang besar buat umat. Saudara Mohamad Raimi bin Ab. Rahim,
mantan Presiden PKPIM dan seorang peguambela & peguamcara bertauliah, telah
dilantik sebagai Presiden Ke-9, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) sesi
2015/17.
3.0 “MISI KECENDEKIAWANAN DALAM GERAKAN REFORMASI ISLAHI”
Muktamar
Nasional (MUKNAS) Wadah
Pencerdasan Umat Malaysia (Wadah) Ke-9 berlangsung di Bilik Syura,
Kolej Dar al-Hikmah (KDH), Kajang. Presiden WADAH, Dato’ Dr. Siddiq Fadhil
mengangkat tajuk besar: “Misi
Kecendekiawanan Dalam Gerakan Reformasi Islahi”. Ini merupakan ucapan
terakhir beliau sebagai Presiden WADAH.
Ustaz
Siddiq menegaskan bahawa ‘Islam adalah agama Rahmat dan bukannya perkauman
pekat’. “Kita ingin mengajak rakan-rakan
yang berkongsi aspirasi amanah -- menampilkan Islam sebagai agama Rahmat
sejagat supaya memeliharanya. Kita sama-sama sedari ada kalangan yang mencemari
citra agama Rahmah ini, dengan menyimbah warna perkauman pekat, garang dan
menakutkan.”
Ustaz
Siddiq turut menyentuh berkenaan ‘repositioning’
pimpinan dalam menghadapi cabaran baru yang mesti dilakukan. Dalam gerakan WAP,
tiada siapa pun yang ‘indispensible’
iaitu tidak boleh digantikan. Jemaah ini telah menyediakan kepimpinan dalam
gerakan untuk peralihan. Sebagai pemimpin, tampillah ikut diri sendiri, tanpa
perlu mengikut gaya orang lain.
Beliau
turut menyebut, “ALLAH curahkan
keberkatannya. Baraqah sangat penting dalam kerja. Komitmen kerja keras dengan
ikhlas. Kalau ada kuasa dan banyak duit sekalipun, kalau ditadbir dengan
kesombongan dan berlakunya penyelewengan, maka tidak akan kemana-mana, tiada
keberkatannya.” Seterusnya, beliau menekankan bahawa ilmuan mesti bersifat tawaduk.
Perjuangan mesti bersih daripada sifat sombong, riak, takabbur dan ujub. Intensifkan
pendidikan rohaniah, belajar untuk ikhlas dalam perjuangan.
Beliau
turut menyatakan bahawa dalam 10 tahun memimpin WADAH, sangat berbahagia
bersama pimpinan yang ada. Tidak memberikan masalah, walaupun ada peralihan
serba-sedikit sepanjang 10 tahun tersebut. Peralihan, menurut beliau, mestilah
berlaku dalam semangat kebangkitan sesuatu perjuangan itu. “Kita ada kekuatan dan kekuatan kita harus
diperhitungkan. ‘Politic looks at the show of strength’. Belajarlah daripada
pengalaman kebangkitan Islam tahun 1970an iaitu tidak punya kuasa -- dan tidak
punya duit!”
4.0 “MEMBANGUN MAHASISWA BITARA: TERAMPIL DAN BERKEMAJUAN, MENUNTASKAN MISI
PENCERAHAN”
“Rimbunan meneduh anjung rumah,
Rumah gedang menghimpun
keluarga,
Ilmuwan tawadhu’ dambaan
ummah,
Raga dimati menghidup jiwa.”
“Kalau Tuan pergi ke Kajang,
Singgah sebentar di Sungai
Ramal;
Kalau Tuan orang berjuang,
Sungguh berdoa kuat beramal.” –
Fazril Saleh.
Majlis
Perhimpunan Agung Tahunan (MPAT) ke-54 Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam
Malaysia (PKPIM) di Kompleks Pendidikan Islam, Bangi. Presiden PKPIM, Saudara
Mohammed Fazril Saleh tampil
dengan tajuk “Membangun Mahasiswa Bitara:
Terampil dan Berkemajuan, Menuntaskan Misi Pencerahan”. Beliau menegaskan
bahawa intima’ ahli dan pimpinan dengan PKPIM bukan sekadar berkegiatan dan
berpesatuan dalam masa-masa menjadi pelajar dan mahasiswa, tetapi adalah latihan
membangun peribadi terampil dan berkemampuan, dalam memenuhi keperluan mencerahkan
umat: “Intima’ kita dalam jemaah ni bukan
intima’ ketika program sahaja. Intima’ kita, intima’ jiwa yang mengubah budaya
hidup kita.”
Selanjutnya,
Saudara Fazril menyentuh berkenaan nikmat yang kita perlu syukuri dan sebut
sentiasa. “Apa saja yang kita perolehi,
jangan lupa sebut berulang-ulang kali; sebagai tanda kita bersyukur. Percaya
pada keyakinan dan kesungguhan.”
Deklamasi
sajak bertajuk “Ceritakan Aku tentang
Persahabatan” dari Saudara Fazril Saleh juga
sangat menginspirasikan. Selain itu, beliau menggariskan empat input pembinaan
generasi pemuda unggul; yang dikenali sebagai ‘Lingkung Kebitaraan’: Idealisme; intelektualisme; aktivisme; dan spiritualisme.
Beliau
turut memetik nukilan sasterawan besar negara, Allahyarhamhu Pak Usman Awang: “Jgn takut melanggar pantang; jika pantang menghalang
kemajuan. Jangan segan menentang kemajuan; jika yakin kepada kebenaran.”
Saudara
Fazril menyifatkan pada generasi muda kini lebih matang dan bijak memilih
sesuatu isu. Beliau berkata, generasi anak muda sekarang tidak mudah menurut
kehendak orang lain. “Inilah generasi
Facebook, Twitter dan WhatsApp. Malah, generasi kami ini mungkin tidak lagi
percaya kepada konsep 'senioriti' dalam interaksi dengan orang yang lebih
berusia, tetapi kredibiliti dalam memberikan penghormatan.”
“Justeru, zaman ini adalah zaman golongan
muda mengangkat prinsip kebebasan berfikir dan kebebasan berkehendak,"
katanya ketika menyampaikan ucapan. Katanya, rakyat kini tidak seperti dahulu
yang menelan bulat-bulat apa sahaja yang berlaku, kerana rakyat kini berani
melakukan apa sahaja untuk menegakkan kebenaran.
5.0 MALAM TAUTAN BUDI DAN
PELUNCURAN 8 BUAH BUKU.
Dalam
program selama tiga hari tersebut, turut diadakan ialah ‘Malam Sanjungan Budi’;
di mana beberapa orang tokoh jemaah WAP yang telah pergi; diangkat nostalgia
sumbangan serta jasa bakti mereka.
Antara
tokoh yang dihargai adalah: Dato’ Ustaz Haji Fadzil Mohd Noor; Ramli Ibrahim;
Prof Dr Khalijah Mohd Salleh; Sheikh Nia’mat Yusof; Sheikh Azmi Bin Ahmad; dan Abdul
Wahab Zakaria. Semoga Roh mereka semua dicucuri Rahmat oleh ALLAH SWT.
Sempena
Ijtima’ Harakiy kali ke-4 ini juga, terdapat 8 buah buku terbaru hasil nukilan aktivis
dan pimpinan WADAH-ABIM-PKPIM yang diluncurkan dalam Seminar Ilmuwan 2015. Menurut
salah-seorang penulis yang juga Exco ABIM Pusat, Dr. Zulkifli Hasan, gerakan
WAP seharusnya menjadikan penerbitan buku itu satu tanda aras untuk
menyemarakkan budaya ilmu dan melahirkan ilmuwan yg lebih ramai.
6.0 PENUTUP.
Tahniah
atas pelantikan dan takziah atas pentaklifan kepada semua jawatankuasa
WADAH-ABIM-PKPIM; khususnya buat Tuan Hj. Ahmad Azam bin Abdul Rahman yang
dilantik sebagai Presiden Ke-2, WADAH sesi 2015/18. Sekalung penghormatan juga
diucapkan buat Saudara Fazril Saleh, yang kekal menjawat amanah selaku Presiden
PKPIM.
Alhamdulillah,
muktamar kali ini berlangsung dengan lancar meski melibatkan pembabitan ramai
perwakilan dan pemerhati dari seluruh negara. Antara nikmat yang amat bermakna ALLAH
SWT kurniakan ialah terpilih untuk sama-sama berada dalam Madrasah Tarbiyyah WADAH-ABIM-PKPIM
(WAP) .Para muktamirin-muktamirat dari seluruh Malaysia berhimpun untuk Sidang
Muktamar dan Seminar Ilmuan yang dijalankan. Dalam perhimpunan tersebutlah;
berlangsungnya muhasabah jamaah dan penilaian qiyadah, dalam meraikan hari
kebesaran jemaah.
Moga
apa yang dibincangkan dan dipersetujui mendapat barakah ALLAH SWT. Tahniah kepada
semua perwakilan, pemerhati dan jawatankuasa yang bertungkus-lumus menjayakan
program selama 3 hari ini. Harapan tinggi diletakkan ke atas bahu pimpinan
jamaah yang baru dlm memimpin kebangkitan ummat. Kobar jiwa merdeka; julang
semangat zaman. Ayuh, sejahterakan Malaysia dengan dakwah!