Jumaat, Ogos 14, 2015

KOREA LAGI.

KOREA LAGI.
Tanggal 10 Ogos 1982, Malaysia tewas tipis 1-2 kepada seteru Korea Selatan, dalam perlawanan ketiga Pestabola Merdeka 1982, meskipun terlebih dahulu mendahului lawan melalui jaringan Khan Hung Meng.
Bertempat di Stadium Merdeka, Malaysia wajib menundukkan Korea Selatan, bagi menghidupkan peluang ke saingan pusingan kedua peringkat kumpulan.
Sebelum itu, Malaysia bermula agak buruk, tewas kepada Indonesia 0-2. Kemudiannya berjaya menundukkan UAE 1-0.
Perlawanan ketiga, Malaysia sebenarnya berkelebihan memandangkan bermain di laman sendiri. Korea Selatan juga tewas perlawanan pertama, kalah 0-2 kepada Senegal sebelum membelasah Indonesia 4-0.
Malaysia turun menentang Korea Selatan, tanpa penjaga gol utama, R. Arumugam yang mengalami kecederaan lalu diganti dengan Ong Yu Tiang.
Ada pun jurulatih M. Chandran, yang juga bekas anggota skuad Olimpik 1972 hanya menyenaraikan 18 pemain sahaja. Selain R. Arumugam dan Ong Yu Tiang selaku penjaga gawang, lain-lain pemain termasuklah ketua pasukan Pahang dan 'regular' Malaysia iaitu Jamal Nasir, Kamal Khalid, K. Gunasekaran, Zakaria Musa, Wong Hung Nung, Zainal Abidin Hassanyang ketika itu masih beraksi di bahagian pertahanan.
Di tengah, Malaysia diperkuat oleh Lim Teong Kim, G. Torairaju dan pengendali sementara Terengganu sekarang iaitu Ahmad Yusoff. Manakala di bahagian serangan pula M.Chandran menamakan begitu ramai gandingan penyerang. Mereka termasuklah Anizan Daud, Khan Hung Meng, Abdul Muin, C. Nadarajan, Chen Wooi Haw, Saidin Osman dan Johari Maina.
Pasca peristiwa 'Kuwait Debacle 1981', skuad Malaysia telah dibubar dan ramai muka baru yang dipanggil terutamanya dari kalangan pemain muda. Hanya R. Arumugam dan Jamal Nasir yang dikekalkan, di mana kedua-duanya dilantik sebagai ketua dan naib ketua pasukan skuad kebangsaan Malaysia.
Dah tewas kepada Indonesia kemudian menang ke atas wakil Arab, UAE, Malaysia bermula baik apabila seawal minit ke-20 dah dahului Korea Selatan.
Penjaga gol Korea Selatan, Kang Chang Keun telah melakukan kesilapan apabila cubaan lontaran bolanya kepada rakan sepasukan gagal lantaran bola tersebut betul-betul sampai ke kaki Khan Hung Meng.
Khan Hung Meng meluru membawa bola masuk ke dalam kotak penalti, bola melantun lalu didadai oleh Khan Hung Meng sebelum melepaskan rembatan deras menewaskan Kang Chang Keun.
Separuh masa kedua, Malaysia seperti 'prosedur amalan piawai' nya, akan mula hilang rentak. Korea Selatan mula mengasak.
Sekitar minit ke-56, dari satu gerakan sepakan percuma di kawasan Korea Selatan, bola dilambungkan ke kawasan penalti Malaysia. Benteng Malaysia begitu alpa, untuk membiarkan para pemain Korea Selatan bertukar-tukar hantaran sebelum Yoo Dong Chun menolak masuk bola melepasi Ong Yu Tiang.
Korea Selatan menyamakan kedudukan.
Tumpuan para pemain Malaysia mula hilang. Hantaran juga mula merapu. Korea Selatan mengawal sepenuhnya perlawanan.
Di minit ke-65, pemain tengah Malaysia, Ahmad Yusoff telah kehilangan bola ketika mengawal bola di kawasan tengah padang. Bola telah dilarikan oleh Baek Seung Yee secara solo dan dengan tenang menyepak masuk gol kedua Korea Selatan.
Kedudukan kekal 2-1, meskipun Malaysia cuba bangkit tapi Korea Selatan tetap muncul sebagai pemenang.
Perlawanan terakhir, Malaysia menundukkan Senegal 1-0, untuk sekadar menduduki tempat ketiga kumpulan, dibelakang Senegal dan Korea Selatan yang muncul selaku naib juara.
Satu lagi kumpulan ditandingi oleh kelab dari Brazil, Santa Catarina, Ghana, Singapura, India dan Thailand. Santa Catarina dan Ghana masing-masing muncul juara dan naib juara kumpulan untuk mengiring Korea Selatan dan Senegal ke pusingan kedua peringkat kumpulan.
Santa Catarina muncul juara pusingan kedua peringkat kumpulan untuk bertemu Ghana.
Di final kelab Brazil itu nyata unggul untuk menjuarai Pestabola Merdeka 1982 setelah menunddukkan Ghana 3-0.
Info foto : Keraian gol Khan Hung Meng dalam perlawanan menentang Korea Selatan, Pestabola Merdeka 1982.
*********************************
Sumber dan Pautan:
  1. https://www.facebook.com/retrobolasepak/photos/a.458405174196768.96396.458380654199220/876220409081907/?type=1;
  2. https://www.facebook.com/retrobolasepak/photos/a.458405174196768.96396.458380654199220/601911016512849/?type=1.

.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...