Jumaat, Jun 05, 2015

Espérer (Harapan).


1999: Kenangan skuad Cikgu Man
Dagu yang dihentam hebat selepas kempen
Sukan SEA Brunei yang gagal. Antara skuad
yang paling dikritik selain skuad Sukan
SEA Jakarta 1997.
1999: Kenangan sasaran untuk
layak ke Piala Dunia 2014 oleh FAM.
Sekarang sudah 2015, dan kita masih
terkial-kial di peringkat Asia Tenggara. 
Espérer (Harapan).
Terlalu ramai yang menghentam Nazmi Faiz Mansor rentetan insiden meludah sewaktu menang tipis 1-0 ke atas Timor Leste dalam Sukan SEA baru-baru ini. Selain ketenangan serta kemahiran baik yang dipamerkan oleh Matthew Davies, sukar untuk saya memberi pujian secara pukal kepada skuad yang rata-rata dibarisi oleh pemain muda yang berbakat dan berpengalaman.
Berbetulan Malaysia kemudiannya tewas teruk 0-4 kepada Vietnam, sebelum tunduk kepada Thailand; sekali lagi jurulatih dan pemain skuad kebangsaan dihunjam dengan pelbagai tohmahan dan cemuhan.
Nazmi bukanlah satu-satunya pemain yang menimbulkan kontroversi di dalam dan luar padang. Selain pemain yang pernah digelar ‘wonder kid’ dan pernah beraksi di Portugal ini, ramai lagi pemain lain yang pernah melakukan kesalahan serupa – ada juga yang lebih teruk lagi.
Apapun, hati terubat sedikit dengan aksi memberangsangkan yang ditonjolkan oleh adik-adik berbakat daripada skuad Bawah-13 Tahun Pelan Pembangunan Bola Sepak Negara [(PPBN-NFDP) National Football Development Programme Malaysia)].
Mereka telah mencatat kemenangan yang bermakna dalam beberapa perlawanan Jelajah Eropah Skuad B-13 PPBN, khususnya sewaktu menang 2-1 ke atas skuad Bawah 13 Tahun Bayern Munich FC. Skuad ini juga menang 4-0 ke atas DFI Academy.
Aksi mereka seolah-olah memberikan sinar baru buat bola sepak Malaysia, selepas merudumnya aksi yang dipamer oleh pasukan Harimau Malaya dan Harimau Muda.
Selepas era Raja Bola Ghani Minhat dan SuperMokh, kita sentiasa mengharapkan akan muncul ikon sejati bola negara yang berpengaruh. Kita pernah ada Zainal Abidin Hassan, Dollah Salleh, Azman Adnan, Matlan Marjan, Azizol Abu Haniffah. Kemudian, hadir Nizaruddin Yusof, Khalid Jamlus, Akhmal Rizal, dan Safee Sali (sekadar menyebut beberapa nama).
Mereka memberikan sedaya yang mungkin untuk negara, namun masih gagal menghadirkan kejayaan besar bagi meletakkan negara kita untuk kini sekurang-kurangnya setaraf dengan Republik China, UAE dan Oman. Apalagi, Jepun, Korea Selatan, Iran dan Arab Saudi semakin jauh di depan.
Pendapatan para pemain bola Malaysia semakin lumayan; namun keputusan lumayan buat bola kebangsaan secara menyeluruh belum lagi kita capai. Akhir kata, bersamalah kita sokong dan doakan kejayaan adik-adik NFDP kita.
Sepertimana Projek Barcelona ’92 (Barcelona Babes); Piala Dunia Belia 1997; Olimpik 2000; Piala Nike 1996 dan skuad Juara Piala AFF 2010 -- kita mungkin dihidangkan harapan dan direnggut dengan kekecewaan dengan Projek NFDP ini. Tapi, hidup tidak boleh mudah putus asa. Kritik boleh pedas, tapi sokong jangan bermusim.
Kepada Nazmi Faiz, semoga insiden Sukan SEA ini menjadikan anda lebih matang untuk mengawal disiplin serta emosi. Saya dan ramai lagi penyokong bola Malaysia percaya bahawa sekiranya Nazmi lebih fokus, beliau mampu menyumbang lebih banyak, buat Selangor dan Harimau Malaya. Kemampuan beliau menjadi ‘playmaker’ dan ketenangan mengawal bola, bukanlah sesuatu yang dimiliki oleh setiap pemain. Jadi, bakat beliau tidak boleh disia-siakan.
Sokong; waktu gagah dan rebah. Selamat maju jaya, bola Malaysia. Padu dan Grande, selamanya.

.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...