Rabu, Oktober 01, 2014

Siri Kuliah Syeikh Hamza Yusuf di Malaysia, 2014.

I
Siri Kuliah Syeikh Hamza Yusuf 
di Malaysia, 2014.
Alhamdulillah, pada 2hb September 2014, saya sempat menghadiri siri kuliah Syeikh Hamza Yusuf Hanson bersama para sahabat Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim Pusat) danMalaysia Life Line for Syria (MLL4S). Program ini diadakan di Dewan Sri Budiman (DSB), UiTM Shah Alam. Syeikh Hamzah merupakan salah-seorang pengasas Kolej Zaytuna di Berkeley, California, Amerika Syarikat. Pada 2009, beliau telah dinobatkan sebagai ‘sarjana Islam paling berpengaruh di dunia Barat’ di dalam senarai “The 500 Most Influential Muslims” (suntingan John Esposito dan Ibrahim Kalin).
Bersama beliau sebagai panelis ialah Dr Mark Depl, Syeikh, Guru Falsafah dan Logik Kolej Zaytuna. Menurut Syeikh Hamzah, kita mesti mempelajari asal-usul kejadian manusia dan makhluk – iaitu Penciptanya (ALLAH SWT). Juga, beliau menjelaskan bagaimana Islam itu adalah agama yang mempromosikan toleransi, sifat empati dan kedamaian, selain menegaskan betapa pentingnya manusia menyeimbangkan di antara unsur intelek, emosi dan nafsu-kehendak dalam minda dan jiwa mereka. 

II
Beliau menekankan bahawa antara kaedah untuk mendapat keredhaan ialah dengan mematuhi perintah ALLAH SWT. Mungkin bagi mereka yang mendamba dunia dan seisinya, Akhirat masih sangat jauh bagi mereka. Mungkin bagi mereka yang tidak pernah cukup dengan apa yang ada, dunia adalah segalanya bagi mereka.
Cuma mungkin mereka terlupa, dunia dan seisinya ada pemillik-NYA, atau mereka terlupa setiap sesuatu diberi atas ihsan-NYA, atau mereka terlupa, dunia ini ladang dan ujian buat mereka. Atas segala sebab kendatipun, usah sesekali mereka alpa, setiap yang dimiliki mereka itu adalah tanda lasih sayang TUHAN terhadap mereka, Oleh yang demikian, Syeikh Hamza menyeru agar kita semua kembali kepada ALLAH SWT yang memiliki kita.

III
Selanjutnya, beliau menyentuh berkenaan tradisi keilmuwan kita yang selamanya berkisar seputar peringatan atau ‘at-Tazakkur’. Kita tidak boleh mengingati apa yang kita tidak tahu. Hal yang demikian, perjalanan ilmu pengetahuan kita adalah berkenaan mengenali TUHAN. Hanya dengan yang demikian, peringatan dapat dilakukan.
Namun, kita telah mengkesampingkan TUHAN dalam sistem pendidikan kita, lantas gagal membawa kita ke jalan peringatan yang sebenarnya, lalu membentuk sikap ‘tidak ambil kisah’ (ignorance). Krisis ilmu pengetahuan terjadi apabila kita gagal melihat TUHAN kita dalam system pendidikan. Sedangkan, Islam menganjurkan kita untuk mendidik anak-anak menerusi asuhan (tarbiah) dan pendidikan (ta’alim). Aspek spiritualiti tidak seharusnya dipisahkan daripada intelektualisme.
Sikap ‘tidak ambil kisah’ ini, dalam tradisi kita, dibahagikan kepada dua iaitu: ‘al-Jahl al-Basit’ iaitu sikap ‘innocence ignorance’ seperti yang disebut oleh Prof Naquib al-Attas: ‘Kita tahu apa yang kita tidak tahu’ (you know that what you don’t know). Seterusnya ialah ‘al-Jahl al-Murakkab’ iaitu ‘compounded ignorance’: ‘Kita tidak tahu apa yang kita tidak tahu, dan berlagak seolah-olah kita tahu segalanya’. Menurut Syeikh hamza, inilah yang dihasilkan oleh system pendidikan hari ini.

IV
Beliau menjelaskan bahawa kita merupakan ummah yang penuh dengan kasih sayang, sifat pemurah (rahmah) dan keprihatinan. Sifat pemurah (rahmah) itu pula hanya dapat dilengkapkan menerusi pedoman petunjuk (hidayah – al huda). Ketika mengulas mengenai “nurun ‘alannur”, Mufassereen menyatakan bahawa ia bermaksud “wahy’ ‘alal aql”.
Sultan Abdul Majid ketika era Khalifah Uthmaniah pernah menghantar sebuah kapal yang dipenuhi dengan makanan dan duit ketika Eropah mengalami krisis ‘Potato Famine’ yang mengakibatkan kegawatan dan kebuluran. Bantuan kemanusiaan ini dilakukan jauh sebelum wujudnya idea ‘global aid’, dan dilakukan kerana kita adalah umat yang pemurah dan prihatin. Malahan, dalam ilmu Fiqh, adalah haram untuk menjual senjata ketika dua pihak sedang dalam ketegangan kerana kita adalah umat yang tidka menggalakkan perang, serta cuba mengelakkannya daripada terjadi.

V
Syeikh Hamza juga menekankan bahawa sifat empati perlu disemai dalam jiwa anak-anak kita. Ini adalah intipati ‘rahmah’ yang menghasilkan rasa cinta dan kasih-sayang (mahabbah). Hal ini membolehkan ‘Darul Islam’ dipupuk di dalam rumah, sebelum kita bercakap soal yang lebih besar – pembentukan negara Islam.
Sesungguhnya, kuliah ini berjaya memberikan pencerahan yang indah terhadap konsep pendidikan dan ilmu pengetahuan dalam Islam. Sepanjang membuat catitan, saya terkenangkan kenangan berkonvokesyen dan menduduki peperiksaan akhir di dewan keramat ini – Dewan Seri Budiman, ketika menuntut di Fakulti Undang-Undang (FUU) dulu. UiTM, selamanya di hatiku. Syukur.

------------------------------------------------------------------
Sumber dan Rujukan:
  1. https://www.facebook.com/MLL4S?fref=ts;
  2. https://www.facebook.com/ABIM.Malaysia;
  3. https://www.facebook.com/pkpimalaysia?fref=ts;
  4. https://www.facebook.com/pages/Shaykh-Hamza-Yusuf-in-Malaysia/245790998959819?fref=ts;
  5. https://www.facebook.com/pages/Wan-Mohd-Nor-Wan-Daud/253915497964934?fref=ts;
  6. https://www.facebook.com/ShaykhHamzaYusuf?fref=ts.

2 ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...