Logo Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM). |
Bergambar kenangan bersama Saudara Mohamad Raimi Ab Rahim, Naib Presiden ABIM. Seorang pemimpin dan sahabat yang budiman. |
10hb Mei 2013: Presiden ABIM, Cikgu Haji Amidi Abdul Manan (no. 3 dari kanan) bersama pimpinan FGIS yang bersepakat untuk memupuk persefahaman antara agama demi keharmonian. |
Diskusi Dialog Antara Agama di Malaysia
bersama Dr Arfah binti Ab. Majid dan ABIM.
Selain dikenali sebagai sebuah negara membangun
yang kaya dengan destinasi pelancongan yang indah, Malaysia juga terkenal
dengan kepelbagaian dari segi budaya, kaum dan agama. Kendatipun, konflik
ekonomi dan politik telah mengheret isu agama sehingga menimbulkan beberapa isu
kontroversi; seterusnya menimbulkan perasaan kurang senang dalam kalangan
rakyat Malaysia yang cintakan keamanan dan perpaduan.
Menyedari akan situasi ini, pada 26hb
Februari 2014 sekitar jam 9 malam, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) telah
menganjurkan satu program diskusi di Balai Rakyat yang terletak di kediaman
Datuk Dr Siddiq Fadzil. ABIM telah menjemput Dr Arfah binti Ab. Majid, seorang
Pensyarah Kanan dari Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM) untuk
program ini dengan tajuk ‘Dialog Antara Agama di Malaysia: Ke Arah Perlaksanaan
yang Dinamik dan Berkesan’.
Dr Wan Arfah menekankan soal perlunya
kita meraikan keperlbagaian dalam bingkai perpaduan. Di Malaysia, kita perlu
mengakui bahawa usaha untuk memantapkan kefahaman antara sesuatu agama lain
adalah kurang. Sikap prejudis, menurut Dr Wan Arfah, menjadi antara penyebab
kepada kurangnya kefahaman dan usaha tersebut.
Dalam pembentangannya, Dr Wan Arfah
menegaskan bahawa interaksi dan kontak (interaction and contact) adalah
sangat penting dalam mengurangkan jurang prejudis dalam kalangan masyarakat
berbilang kaum dan agama. Islam merupakan sebuah agama yang menuntut umatnya
untuk berkomunikasi dengan cemerlang. Ia mendidik manusia supaya menjaga segala
adab dan tertib dalam berkomunikasi. Hal yang demikian, dialog memainkan
peranan yang signifikan dalam mendorong keharmonian dalam masyarakat.
Bagaimanapun, menurut Dr Wan Arfah, sesuatu
program perlu dijalankan mengikut peringkat, peraturan, format dan reka bentuk
yang bersesuaian dengan khalayak dan peserta yang terlibat dengan dialog
tersebut. Hal ini menunjukkan betapa perlunya garis panduan dibuat bagi
merealisasikan budaya dialog yang subur dalam kalangan rakyat Malaysia.
Dr Wan Arfah menyimpulkan bahawa
kefahaman yang lebih baik berkenaan sesuatu agama itu akan dapat dicapai
menerusi ilmu dan penjelasan yang bersungguh tetapi berhikmah. Kaedah ini
dianjurkan oleh Islam khususnya, di mana dakwah yang disampaikan secara
harmonis dan berhikmah dilihat mudah sampai kepada masyarakat, khususnya yang
belum memeluk Islam.
Untuk rekod, ABIM merupakan anggota Kumpulan
Persahabatan Khidmat Antara Agama (FGIS). FGIS atau nama penuhnya ‘Friendship
Group for Inter Religious Service’ (FGIS) diasaskan sekitar 12 tahun yang
lalu dan telah menganjurkan banyak program bersama pelbagai agama bagi
mengeratkan hubungan dan menyemai perpaduan dalam kalangan rakyat di Malaysia.
Selain ABIM, kumpulan itu turut
dianggotai oleh beberapa pimpinan Pertubuhan Bukan Kerajaan atau NGO tempatan,
antaranya Penasihat FGIS, Datuk J.Jegathesan; Presiden Majlis Pusat Sathya Sai
Baba Malaysia, Profesor Dr Suresh Govind; Naib Presiden Majlis Pusat Sathya Sai
Baba Malaysia, Billy Fong; Presiden Majlis Gereja Malaysia, Cor Episcopa Philip
Thomas dan Naib Presiden Majlis Gurdwara Malaysia, V.Harcharan Singh.
Seperti yang kita sedia maklum, Islam
mengajarkan perdamaian dan saling mengenal antara sesama manusia, dan tidak
menganjurkan permusuhan abadi. Hal yang demikian, setiap anggota masyarakat
bertanggungjawab untuk bersikap dan berfikiran matang demi memberdayakan
martabat negara bangsa yang rukun dalam beragama.
Rakyat terbanyak mesti memahami makna
sebenar perpaduan dan kesefahaman jitu sesama anggota masyarakat. Sikap saling
hormat-menghormati dan bertolak-ansur perlu lebih disemai untuk menghindarkan
prejudis. Hanya menerusi persefahaman
dan toleransilah, perpaduan dapat dicapai dalam erti kata yang sebenar.
Semoga banyak manfaatnya program diskusi
ini, untuk kemaslahatan bersama. Jumpa lagi dalam program diskusi yang
seterusnya. Bersama menegakkan kebenaran dan memperjuang keadilan. Hidup
Malaysia kita. Padu.
“Menegakkan Kebenaran dan Keadilan”.
.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan