"Saya percaya, bahawa terdapat satu kuasa besar yang berbahaya yang telah terlepas masuk ke dalam alam semesta, sebagaimana tersebarnya penyakit yang berbahaya ke dalam masyarakat. Dan, ia adalah plastik. Ia memporak-perandakan. Ia suatu malapetaka." -- Norman Mailer, Majalah Harvard, 1983.
Pergi Hijau. Ini terjemahan rojak tak bertauliah. Terjemahan secara literal yang kurang betul. Bahasa Inggerisnya, 'The Go Green Campaign.'
Kempen Hijaukan Alam Sekitar. Kempen ini telah sekian lama dicanang dan dihebah kepada masyarakat umum; baik di hutan besi Kuala Lumpur, kawasan bandar-bandar moden di Seoul, mahupun di kawasan setinggan Sao Paolo.
Namun, tak semua yang menyambut kempen ini dengan tangan terbuka dan berlapang dada. Ada yang skeptikal dengannya, ada pula yang berkeras menentang kerana khuatir mengganggu kepentingan peribadi, khususnya konglomerat berat yang memperleceh soal pencemaran dunia, dewasa ini.
Bila bercakap soal sampah dan pencemaran, kita pasti akan bercakap soal ini - plastik.
Daripada membuang sampah, pakaian, makan, minum, belajar sehinggalah peralatan computer dan kenderaan – tidak boleh tidak – kita terpaksa mengakui bahawa plastik memainkan peranan yang cukup sinonim dalam kehidupan seharian kita.
Kendati, yang menjadi isu besar ialah, plastik (khususnya beg plastik). Sejelasnya, 4 bilion beg plastik di seluruh dunia adalah amat membazir. Bak tulisan Leo Hickman dalam The Guardian tanggal 11 Ogos 2009: "(Beg plastik) adalah simbol utama kepada budaya membuang sampah manusia sejagat."
Nenek moyang kepada plastik – Parkesine
Istilah 'plastik' diambil daripada perkataan Greek 'plastikos' yang bermaksud 'boleh dibentuk'.
Plastik pertama kali diperkenalkan oleh Alexander Parkes pada tahun 1862 di sebuah pameran antarabangsa di London. Plastik hasil penemuan Parkes yang dipanggil sebagai parkesine ini diperbuat daripada bahan organik daripada selulosa.
Pada akhir abad ke-19, ketika permintaan terhadap bola biliard semakin meningkat, banyak gajah dibunuh untuk diambil gadingnya sebagai bahan mentah bagi menghasilkan bola biliard.
Pada tahun 1866, seorang rakyat Amerika bernama John Wesley Hyatt, menghasilakan bola biliard daripada bahan selulosa keras untuk menggantikan gading gajah. Tetapi, karena bahannya terlalu rapuh, bola biliard ini menjadi pecah ketika saling berlanggar.
Bahan sintetik pertama buatan manusia dihasilkan pada tahun 1907 ketika seorang ahli kimia dari New York bernama Leo Baekeland mengembangkan resin cair yang diberi nama bakelite. Material baru ini tidak terbakar, tidak meleleh dan tidak mencair di dalam larutan asam cuka. Dengan demikian, sekali bahan ini terbentuk, tidak akan bisa berubah.
Kempen 'Hari Tanpa Beg Plastik' di Selangor dan Pulau Pinang
Baru-baru ini, saya membeli barangan runcit di Pasaraya Giant, Pusat Komersil, Shah Alam (dahulunya dikenali sebagai Pasaraya Bintang).
Usai sahaja saya membayar barangan tersebut, saya lihat, barang-barang tersebut masih belum dibungkus ke dalam beg plastik (seperti yang biasa dilakukan mana-mana peniaga).
Kemudian, saya pun bertanya, "Kak, boleh masukkan dalam beg plastik, tak?"
Jawab akak tu, "Maaf, encik, hari ni Hari Sabtu."
Saya pelik bila dengar jawapan itu, sebelum tersedar beberapa saat kemudian -- berkenaan penganjuran Kempen 'Hari Tanpa Beg Plastik'. Maka, saya pun menggendong barangan tersebut (yang agak banyak) dengan tangan kosong, dan hati yang kurang senang.
Sejelasnya, matlamat kempen ini bagus. Dan, menurut ceritanya, semua keuntungan untuk caj itu disalurkan kepada badan yang terlibat dalam kempen tu.
Tetapi, perkara ini memberi kesan besar kepada peniaga dan pembeli (pengguna). Sudahlah barang naik harga, beg plastik pun kena bayar? Aduhai...
Bagi pihak peniaga, pastinya soal kos memainkan peranan. Di Malaysia, plastik dan kertas mempunyai kadar perbedaan harga yang tinggi. Justeru, bagi memaksimumkan kertas sebagai alternatif utama kepada plastik, maka harga kertas itu sendiri perlu dikaji semula.
* Terkenang kisah bagaimana Aziz Ishak, mantan Menteri Pertanian dalam Kerajaan Perikatan Tunku Abdul Rahman, mencadangkan agar Tanah Melayu (ketika itu) menanam pokok kertas secara besar-besaran. Tunku menolak; dan memilih kelapa sawit untuk ditanam secara besar-besaran di Malaysia. Sebab itu harga kertas/buku di Malaysia mahal, tidak semurah Thailand.
Meskipun beg kain (cloth bag) ada dijual di Tesco dan Jusco (yang berharga RM2 ke RM5); ianya masih dianggap kurang praktikal -- khususnya jika kita membeli ayam mentah atau barang yang banyak. Hal ini pasti menimbulkan masalah. Pasti akan ada yang merungut -- "Mana muat?" atau "Mana 'kena'?"
Sementelah, ramai pelanggan lari (mengelak daripada membeli-belah pada hari Sabtu) dan merungut -- "Nak bayar 20 sen untuk apa?"
Sejelasnya, satu usaha yang lebih baik perlu difikirkan. Mengenakan caj untuk beg plastik pada hari Sabtu bukanlah cara terbaik. Pengguna pun tak selesa nak membeli-belah. Peniaga pun alami kemerosotan perniagaan. Yang mempunyai kewangan yang lebih kan tetap membayar 20 sen itu. Pencemaran tetap berlaku.
Pihak yang menganjurkan kempen ini perlu ikhtiar lebih gigih bagi memastikan alternatif kepada beg plastik dibekalkan kepada pengguna. Beg kertas yang mampu menampung berat 5kg (seperti yang pernah disediakan IKEA) pada harga 60 sen adalah agak berpatutan (dalam konteks mendidik pengguna).
IKEA dan mana-mana pasaraya atau kedai barangan runcit seharusnya menyediakan alternatif tersebut (beg kertas).
Ini baru betul-betul mesra alam? :)
Contohi Australia Selatan
Pada hemat saya, tindakan Australia Selatan melarang penggunaan beg plastik untuk mengisi barangan yang dibeli, pada 4 Mei 2009, sewajarnya kita contohi. Larangan ini bertujuan mengurangkan jumlah sampah di tapak pelupusan, mengurangkan jumlah sampah di jalan, di taman dan aliran air.
Pengguna dibekalkan beg kompos selain beg yang boleh digunakan semula dengan mengenakan sedikit bayaran. Pembeli dikehendaki menyediakan green bags, atau membayar sehingga A25 sen di kedai utama untuk beg yang boleh reput sendiri.
Beg plastik bergulung untuk mengisi buah-buahan, sayur-sayuran dan daging, masih terus disediakan, bersekali dengan beg lebih kukuh di gedung membeli-belah atau kedai pakaian.
Larangan ini dapat mengurangkan 400 juta beg plastik daripada sampah di Selatan Australia setiap tahun.Kumpulan pencinta alam sekitar Planet Ark berharap tindakan ini dapat dicontohi semua.
Hah, ini baru betul-betul Hari Tanpa Beg Plastik; bukannya Hari Beg Plastik dikenakan caj 20 sen!
Langkah-langkah yang boleh kita ambil
Sekiranya boleh dan mampu : -
- Kurangkan penggunaan penghawa dingin;
- Kurangkan penggunaan tenaga elektrik;
- Kurangkan penggunaan beg plastik. Sekiranya barang yang dibeli dalam kuantiti sedikit atau mudah untuk dibawa, tak perlulah kita mengisinya ke dalam beg plastik;
- Kurangkan memandu bagi menjimatkan minyak kenderaan. Bagi yang terpaksa menggunakan kenderaan untuk ke tempat kerja atau untuk aktiviti seharian, kurangkan laju bagi menjimatkan penggunaan minyak;
- Perbanyakkan aktiviti penghijauan dan tanaman;
- Hentikan pembakaran terbuka; dan....
Pokoknya, JANGAN MEMBAZIR. Jangan buang sampah merata-rata. Kurangkan pelepasan karbon. Kita mampu mengubahnya. Sungguh.
Soal pencemaran bukan hanya soal beg plastik. Ianya lebih daripada itu. Banyak lagi yang boleh kita lakukan – bagi menyelamatkan alam sekitar dan poket sendiri!
Salam. :)
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Dr. Zulkifli Hasan: Menjambatani Persaudaraan, Menyubur Kesejahteraan
Dr. Zulkifli Hasan: Menjambatani Persaudaraan, Menyubur Kesejahteraan Oleh: Zairudin Hashim (Ahli Dewan Tertinggi Majlis Belia M...
-
Meluaskan Pengaruh Sememangnya pertumbuhan ekonomi dan luasnya pengaruh tidak harus dijadikan piawai yang mengukur keberhasilan dan keceme...
-
Nostalgia Liga Malaysia: Shahril Arsat. Shahril Arsat merupakan anggota skuad ‘ treble ’ Piala Malaysia 1995, ...
-
“ Dalam suatu budaya demokrasi… prasangka orang yang tidak mengetahui adalah lebih senang untuk dihapuskan daripada prejudis orang yang be...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan