Isnin, September 13, 2010

Racism is so yesterday. Sungguh!






Semalam, 12 September 2010, saya bersama dua orang sahabat baik saya sejak kecil – Shukoq dan Khairy – mendekati kawasan yang didakwa tempat di mana pembunuhan dan pembakaran dilakukan terhadap Datuk Sosilawati Lawiya, 47 tahun, pengasas Nouvelle Beauty Centre Sdn. Bhd. dan tiga orang yang menemani beliau di Ladang Gadong, Tanjong Sepat, Selangor. Kawasan tersebut terletak lebih kurang 10 minit perjalanan dari kampung saya.

Tadi sewaktu dalam perjalanan menuju ke rumah bapa saudara saya di pusat bandar Banting, saya terlihat firma milik suspek utama dalam kes tersebut. Firma tersebut telah disita, dan dapat dilihat dengan jelas tali kuning PDRM yang merintangi pintu masuk dan tingkap firma tersebut.

Dalam kita masih dalam keadaan terkejut dan gempar akibat kejadian ini, saya mendapati terdapat usaha-usaha daripada ‘tangan-tangan tersembunyi’ – sama ada dengan niat ataupun tidak – untuk memburukkan kaum tertentu atas tragedi yang menggemparkan negara ini.

Seperti mana yang kita sedia maklum, sentimen perkauman sempit adalah suatu konsep anti-saintifik yang mana penganutnya percaya bahawa sesetengah ‘bangsa’ manusia itu adalah lebih baik dan lebih berkuasa daripada bangsa lain.

Bangsa ini kata bangsa itu dungu. Bangsa itu tuduh bangsa ini pemalas. Bangsa ini tuduh bangsa itu penjenayah, dan sebagainya.

Sejelasnya, sentimen perkauman sempit mempunyai kaitan rapat dengan sentimen kebencian terhadap penganut dan agama lain.

Kedua-duanya menganjurkan sesuatu kelompok manusia untuk menjadi angkuh dan menindas bangsa lain menerusi jalan diskriminasi mahupun prasangka melulu. Kedua-duanya mempunyai perkaitan dengan teori dangkal Charles Robert Darwin (Teori Darwinisme) – bahawa manusia adalah makhluk mirip kera yang telah berevolusi, dan beberapa ras manusia berkembang lebih maju dibandingkan ras-ras lain, dan ras-ras terbelakang ini masih memiliki sifat kera. Teori khayalan ini secara terang-terangan menyanggah apa yang dianjurkan oleh Islam menerusi Kitab Suci Al-Quran – sikap hormat-menghormati, perdamaian, kebajikan, keadilan dan kesejahteraan sesama umat sarwajagat.

Sebagaimana kita menentang sikap anti-Islam oleh sesetengah pelampau agama di AS, kita juga seharusnya menentang sebarang usaha untuk meniup sentimen perkauman dalam kes pembunuhan Allahyarhamah Datuk Sosilawati dan tiga orang rakannya. Katakan tidak pada sentimen perkauman sempit!

Yang perlu kita basmi dan tentang adalah punca serta faktor kenapa jenayah berlaku. Tak kira berapa ramai sekali pun jumlah penjenayah daripada sesuatu komposisi kaum itu, kita tak sewajarnya membuat generalisasi terhadap kaum tersebut.

Pembunuhan tersebut memang sangat kejam, keji dan terkutuk, malah memburukkan kawasan tanah tumpah darah saya (kawasan sekitar Ladang Gadong, Kampung Tanjong Layang, Batu Untung, Kampung Batu Laut, Kampung Kundang dan Tanjong Sepat).

Tapi, cuba kita fikir semula dan ambil tamsilan -- sekiranya ramai yang terlibat dalam kes pengebom berani mati atau 'militan' terdiri daripada mereka yang beragama Islam -- adilkah untuk menyatakan kesemua umat Islam itu militan. Sudah tentulah tak adil langsung, bukan?

Jadi, perkara asas yang mendasar adalah, kita kaji dan cari punca serta faktor kenapa jenayah semakin banyak berlaku di negara kita, dan bukannya menghentam kaum tertentu dengan membuat generalisasi secara tak langsung.

Pertarungan serta perjuangan menentang sikap perkauman sempit adalah suatu intipati penting dalam pertentangan fahaman antara dunia kapitalisme dan sosialisme; antara borjuis dan proletariat; dan antara mereka yang menjajah dan mereka yang baru sahaja merdeka – daripada pembodohan dan penindasan.

Al-Fatihah untuk yang terkorban [Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga orang yang menemani beliau], semoga ALLAH mencucuri rahmat ke atas mereka.

Juga, semoga penjenayah-penjenayah yang terlibat diadili dan dihukum sekeras-keras dan sewajarnya!

Kendati, jangan tiup api perkauman sempit. Karena ‘rascism is so yesterday.’ Sungguh!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...