Ahad, September 19, 2010

Kisah benar Qanaah dan Wasatiah: Bila yang merendah diri makin diangkat tinggi.








Salam. :)

Seperti yang kita sedia maklum, selepas beberapa ketika kita digemparkan dengan beberapa isu kontroversi berkenaan takhta kesultanan Melayu Kelantan, akhirnya isu tersebut bolehlah dikatakan 'hampir terlerai' menerusi pengisytiharan Tuanku Muhammad Faris Petra selaku Sultan Kelantan yang baru.

Antara yang menarik perhatian saya bila membelek akhbar dan membaca ucapan sembah takzim (ucap tahniah) kepada ke bawah duli Tuanku, terdapat penggunaan istilah baru "Allahu Akbar" bagi menggantikan "Daulat Tuanku."

Menurut kenyataan yang dibuat laman sesawang 'The Kelantan Insider', ia menyebut bahawa, "Pembaharuan pertama yang dititahkan oleh Tuanku Muhammad Faris Petra adalah supaya seruan “Daulat Tuanku” digantikan dengan seruan “Allahu Akbar” (oleh itu, tidak berbangkit persoalan perubahan seruan ini dibuat oleh Kerajaan Kelantan).

Bagaimanapun, walaupun seruan “Allahu Akbar” ini lebih sinonim dengan Parti Islam Se-Malaysia (PAS), Tuanku Muhammad Faris Petra kekal berkecuali dari segi politik di mana Baginda akan merestui setiap yang baik dari mana-mana pihak."

Sementelah, apa yang paling ingin saya kongsi ialah berkenaan kesederhanaan Baginda (Tuanku Faris Petra). Bila baca dan lihat kesederhanaan DYMM Sultan Kelantan dalam berpakaian dan bergaul (menerusi gambar-gambar di laman-laman Facebook dan blog); saya yang marhaen ini pun rasa segan.

Baginda kerap menjadi imam di masjid-masjid yang diziarahi oleh Baginda. Bayangkan, setiap kali jadi imam atau makmum itu, Baginda kerap memakai baju kemeja putih berlengan pendek dan seluar khaki poket atau berjubah putih dan berkopiah. Aduhai... senangnya hati melihat Baginda. :)

Sungguh, sifat qanaah dan wasatiah itu banyak manfaatnya jika diamalkan.

Qanaah ialah kepuasan hati dengan rezeki yang ditentukan Allah S.W.T. Dikatakan bahawa Allah menentukan lima perkara pada lima tempat iaitu kemuliaan pada ketaatan, kehinaan pada maksiat, kehebatan pada ibadat malam, hikmat kebijaksanaan pada perut yang kosong dan kekayaan pada sifat qanaah.

Qanaah bukanlah bermaksud hilang semangat untuk berkerja lebih keras demi menambah rezeki dan produktiviti. Malah, ia bertujuan supaya kita sentiasa bersyukur dengan rezeki yang dikurniakan Allah S.W.T.

Di dalam sifat qanaah dengan pemberian Allah itu terdapatnya mutiara kebahagiaan bagi orang mukmin. Merasa cukup, puas dan redha menerima rezeki yang dianugerahkan Allah S.W.T. termasuk kekayaan rohani yang tidak ternilai harganya.

Rasulullah S.A.W. bersabda yang bermaksud:
"Jadilah kamu seorang yang warak, nanti kamu akan menjadi sebaik-baik hamba Allah, jadilah kamu seorang qanaah, nanti kamu akan menjadi orang yang paling bersyukur kepada Allah, sedikitkanlah ketawa kerana banyak ketawa itu mematikan hati." (Hadith Riwayat al-Baihaqi).

Wasatiah pula maksudnya sederhana. Ia ialah keseimbangan dan kesepaduan dalam kehidupan bagi dunia dan akhirat mengikut petunjuk Allah S.W.T. Ia adalah sikap tidak yang keterlaluan dalam membuat pertimbangan dan tindakan samada dalam pemikiran atau perlakuan supaya sesuai dengan peraturan agama, norma hidup dan nilai masyarakat.

Sabda Rasulullah S.A.W. yang bermaksud:
"...sebaik-baik perkara adalah yang sederhana."

Sejelasnya, wasatiah dan qanaah adalah dua sifat terpuji yang tidak dapat dipisahkan kerana kedua-dua sifat tersebut adalah termasuk di dalam konteks "redha".

Firman Allah S.W.T. yang bermaksud:
"Allah redha kepada mereka dan mereka redha kepadanya, yang demikian itu bagi orang yang takut kepada TUHANnya". (Surah Al-Bayyinah: Ayat 8).

Justeru itu, sifat qanaah dan wasatiah yang dipamerkan oleh Tuanku Faris Petra nyata menjadi sanjungan rakyat jelata, khususnya marhaen jelata seperti saya.

Kesederhanaan Tuanku Faris itu tidaklah pula merendah-rendahkannya, malah mengangkat martabat Baginda lebih tinggi daripada sebelumnya.

Maka, jika sultan sebuah negeri pun boleh sedemikian sederhana, kenapa tidak kita? Sampai bila kita nak berlagak ego dengan harta, kedudukan dan pangkat duniawi?

Sama-samalah kita cermin dan peka diri. Mencerah minda demi kemaslahatan bersama.

Demikianlah sebuah kisah benar qanaah dan wasatiah -- bila yang merendah diri makin diangkat tinggi!

Allahu Akbar!



*** p/s: Gambar dicuplik daripada laman Fb Topeng Perak Unmasked, http://www.facebook.com/home.php?#!/pages/Kota-Bharu-Malaysia/Topeng-Perak-Unmasked/215868293045?ref=ts

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...