Khamis, September 30, 2010

Aduhai manusia: Ketamakkan dan tipu daya!



Salam. :)

Seharusnya posting ni ditulis semalam, tapi karena sedikit kesibukan, hari ini baru saya berpeluang menulis.

Kenapa semalam? Sebab semalam saya pergi ke sebuah bengkel milik bangsa saya. Melayu. Dalam hal memberi barang atau servis (seperti membaiki kereta atau motor) -- saya memang agak 'rasis'.

Rasis? Ya. Rasis.

Sebabnya? Saya akan mengutamakan kedai atau bengkel milik orang Melayu, meskipun kedai atau bengkel itu jauh dan agak mahal.

Ini berlandaskan pesan kepada pesan ustaz saya (mantan ahli Arqam), "Ustaz dulu pernah buat silap bila join Arqam," katanya. "Tapi silapnya Arqam ni hanyasanya pada ketaksuban dia pada Abuya (kini Allahyarham), tapi ekonomi depa (mereka) memang mantap."

"Macam mana ekonomi Arqam boleh mantap ye, Ustaz?" Tanya saya.

"Orang Arqam ni depa ikut style orang Cina berniaga. Sokong sama sokong," kata Ustaz tu lagi. "Maknanya, kalau beli barang, selagi barang tu ada dijual oleh ahli Arqam, orang Arqam akan beli walaupun harganya mahal sikit."

"Sebab tu kita kena tolong orang Melayu kita. Selagimana barang hat (yang) kita nak beli ada dijual kat kedai Melayu, kita pakat beli. Kita sokong bangsa kita untuk maju."

Terkenang kajian yang pernah dibuat oleh Akhbar The Star, bahawa 20% daripada kalangan pembeli akhbar-akhbar Cina seperti Nan Yang Siang Pao dan Sin Chew Daily sebenarnya tidak tahu membaca aksara atau kurang fasih dalam bahasa yang digunakan dalam akhbar-akhbar tersebut. Maknanya, mereka sekedar membeli atas dasar bagi menyokong akhbar-akhbar tersebut. Semangat yang mulia, yang seharusnya kita telusuri.

Saya sejelasnya sangat terkesan dengan pesanan ustaz saya itu. Dan karena berpegang kepada pesan tersebut jugalah, saya pergi ke bengkel seorang anak muda Melayu di Puchong untuk menukar karburator dan spark plug motor cabuk kesayangan saya.

Baik, saya namakan pemilik bengkel tersebut sebagai "Brader". Brader ni dengan sombong tak melayan saya yang dah memberi salam dan berdiri di sebelah dia.

Saya redhakan hati, dengan bersangka baik bahawa mungkin anginnya kurang baik atau sedang fokus membaiki motosikal pelanggannya yang tiba lebih awal dari saya.

Saya tunggu dan tunggu.

Lebih kurang 5 minit, dia pandang saya sambil membetulkan letak duduk rokok di bibirnya dan bertanya, "Apa rosak?"

"Bang, nak tanya la -- harga karburator original berapa ye?"

Dipendekkan cerita, Brader tu endah tak endah, dengan selamba main sebut harga alat ganti motor Lagenda 110 -- clutch plate, karburator, spark plug, disc brake -- berdasarkan pengamatan saya, semuanya adalah harga untuk alat ganti yang original.

Kemudian, saya minta untuk tengok karburator yang dikatakannya itu. Saya belek-belek, rupa-rupanya karburator buatan negara China.

"Kenapa harga dia sama macam original, bang?"

"Biasalah, sekarang harga barang semua mahal. Kalau abang nak cari murah, abang cari workshop lain la senang cerita."

Saya gosok dahi bila dengar ayat itu. Panas jugak hati dibuatnya.

Niat saya untuk menukar karbutator motor telah terbantut. Jadi, saya redhakan hati sekali lagi, dan minta untuk beliau menukar spark plug sahaja.

"Bagi yang jenis NGK ye, bang?" Kata saya terang, tanpa niat untuk menyindir.

Beliau gantikan spark plug saya yang lama dengan satu spark plug yang baru diambil dari bekasnya.

Tiba-tiba, hati saya jadi tak sedap. "Bang, boleh tengok tak spark plug yang abang nak pasang tu, tak?"

Brader tu buat 'muka ketat' sambil hulur spark plug tersebut kepada saya.

"Eh, ni bukan spark plug NGK bang? Ni skuter punya, kan?"

"Alah, lebih kurang la tu...."

"Mana boleh, bang. Saya minta NGK tadi," saya cuba berdiplomasi dengan sehormat mungkin.

Brader tu terus ambil spark plug NGK yang baru. Saya nampak mukanya seperti menahan marah. Selesai pasang, dia minta RM5.

"Bang, kita berniaga ni, kena la jujur. Biar untung sikit, janji pelanggan tak lari," kata saya sambil hulur nota RM5 kepada Brader tu.

Brader tu buat-buat tak dengar. Mujur muka saya tak ditembinya. Kalau tidak, jadi kes lain pula. hehehe

Apa pun, niat saya menulis posting ini adalah lantaran kecewa dengan kebanyakan peniaga kita. Terdapat sebilangan peniaga (khususnya Melayu yang mengaku Islam) yang tidak jujur dalam berniaga.

Berurus niaga dengan mencampur-adukkan barangan tiruan dengan yang asli, berhutang tapi tidak mahu membayarnya, menzalimi pekerja-pekerja asing yang bekerja dengannya, mengkhianati peniaga sebangsa dan seagama dan ah... banyak lagi.

Ayah saya berpengalaman mengusahakan perniagaan kerepek selama lebih kurang 20 tahun. Ayah saya hanya menamatkan pelajarannya sampai ke darjah 5 sekolah Melayu, tapi perniagaan beliau alhamdulillah masih kekal ke hari ini.

Malah, produk kerepek keluaran beliau dipasarkan sampai ke Kuala Terengganu,Kota Bharu, Pulau Pinang, Melaka dan Singapura. Baru-baru ini, kerepek ayah saya telah berjaya dipasarkan ke pasar raya Jusco dan 7-Eleven bandar-bandar utama di seluruh negara.

Meskipun kuantiti yang dijual tidaklah sebanyak mana -- (34 ribu bungkus -- sebuah pasar raya 7-eleven atau pasar raya besar hanya menjual lebih kurang 80 bungkus) -- tapi untuk seorang anak kampung yang tidak berpendidikan tinggi, saya cukup berbangga dengan usaha, pencapaian serta pengorbanan ayah saya itu.

Saya ceritakan hal ini bukan untuk riak mahupun takbur -- tapi sekedar mahu berkongsi rahsia kejayaan ayah saya dalam dunia perusahaan kecil (baca: perniagaan) -- JUJUR, SABAR, JAGA HATI PELANGGAN dan MINAT.

Ayah saya pernah menjual kelapa muda (yang diperoleh dari pembekal di Sabak Bernam) sehingga ke Melaka. Kebanyakan pelanggan ayah saya adalah Melayu. Dan kerana percayakan anak bangsanya, ayah saya meredhakan jika ada yang berhutang -- atas kepercayaan bahawa mereka akan membayar hutang itu.

Tahun demi tahun, hutang tak dibayar, dan ayah saya (melalui buku akaun tahun 1989 yang pernah ditunjukkan kepada saya sewaktu saya Tingkatan 3) memberitahu saya, jumlah hutang kelapa muda yang belum dibayar - semuanya oleh peniaga Melayu - sebanyak lebih kurang RM20 ribu!!!

Atas kerugian itulah ayah saya mengusahakan pula perniagaan kerepek.

Sementelah, saya memang sangat tersinggung bila mana ada peniaga anak bangsa kita yang menggunakan sihir untuk mengkhianati peniaga seagama yang lain.

Sudahlah berniaga tidak jujur -- guna ilmu hitam pula?

Aduhai manusia, ketamakkan dan tipu dayanya!



*** Berbalik kepada nasihat ustaz saya tadi, antara pesanan lainnya ialah, "Beli barang memang lah kita utamakan kedai atau bengkel Melayu... tapi kena jugak tengok kualiti dia. Kalau takdak kedai melayu yang baguih, baghu kita pi beli kedai Cina ka India ka. Bukan apa -- satgi pi beli barang tak elok -- hati jadi sakit, kereta pun sangkut-sangkut!" :)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Dr. Zulkifli Hasan: Menjambatani Persaudaraan, Menyubur Kesejahteraan

  Dr. Zulkifli Hasan: Menjambatani Persaudaraan, Menyubur Kesejahteraan   Oleh: Zairudin Hashim (Ahli Dewan Tertinggi Majlis Belia M...