Isnin, April 09, 2012

Mengenang Jasa Seorang Presiden.


***

Mengenang Jasa Seorang Presiden
(untuk Dr. Siddiq Fadzil, Presiden ABIM sesi ’82 – ’91)


Kau warisi nakhoda
ketika taufan mengamuk, lautan bergelora
awak kapal dilanda krisis kepercayaan
di malam gelap, kompas tidak menunjuk arah.

Di pantai sana
orang bergendang keriangan
ABIM nazak
menunggu masa untuk ditalqinkan.

Kejernihan pemikiran, membuahkan
keteguhan keyakinan, melahirkan
keberanian bertindak, tanpa mengenal lelah
keikhlasan amal, menjadikan
doa-doa dikabulkan Tuhan

Belum sempat menarik nafas lega
muncul penohok kawan seiring
penggunting dalam lipatan
sekali lagi
badai melanda, bahtera oleng
kecepatan, kejituan dan ketegasan tindakan, yang
penuh hikmah kebijaksanaan
menuntaskan penyelesaian.

Pemimpin agung tidak lahir
dalam istana dan subsidi
manusia besar ialah
anak pergelutan masalah kemanusiaan
penunggang terbaik krisis demi krisis
pelari yang memintas masa
pemeran utama perjalanan sejarah.

Kini,
Angkatan Belia Islam Malaysia
akarnya, telah menjunam ke perut bumi
pucuknya, telah menyapu-nyapu awan
buah dimakan orang lalu
tak akan sekah dek angin
tak akan tumbang dek badai

Siapa yang menabur bakti
akan mengetam jasa
siapa yang menyemai amal
akan menuai pahala
siapa yang menanam ikhlas
akan memetik syurga

Sampai hati tuan berjalan
rumah siap tuan tinggalkan
hanya doa dapat kami bekalkan
semoga, selamat sampai di tujuan.

Kepergianmu paduka
kami lepas dengan rela dalam paksa
menentang takdir kami tak kuasa
yang tinggal mesti menyiapkan kerja

Kami harap padamu tuan
Maafkan segala kesalahan
Kenanglah kami dalam pemikiran
Sebutlah kami dalam kerinduan

***

Borneo Menggugat,
Seremban, Ogos 1991.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Dr. Zulkifli Hasan: Menjambatani Persaudaraan, Menyubur Kesejahteraan

  Dr. Zulkifli Hasan: Menjambatani Persaudaraan, Menyubur Kesejahteraan   Oleh: Zairudin Hashim (Ahli Dewan Tertinggi Majlis Belia M...