THE
DEATH OF JOGA BONITO
Asal-usul
genre muzik dan tarian Samba dikatakan mempunyai kaitan dengan perdagangan
hamba dari Afrika, khususnya Angola dan Congo. Ia kemudiannya menjadi sinonim
dengan budaya Brazil khususnya di Rio de Janeiro. Samba dan bola sepak
kemudiannya menjadi fenomena besar pada 1930an, bilamana bandar utama di Brazil
Rio dan Sao Paulo melalui era perindustrian.
Idea
popular Samba terus hidup untuk berdekad lamanya, meskipun selepas ketiadaan
Pele pada 1974 dalam skuad tersebut. Skuad Tele Santana pada 1982 pasti
dikenang dengan aksi hebat Zico, Socrates dan Falcao.
Pada
1994, Brazil menjulang Piala Dunia dengan Dunga tampil selaku ketua pasukan
sebuah skuad yang baru. Mario Zagallo mencatat sejarah apabila memenangi Piala
Dunia sebanyak empat kali: dua kali sebagai pemain (1958 di Sweden dan 1962 di
Chile); sekali sebagai jurulatih (1970 di Mexico) dan sekali sebagai penolong
jurulatih (1994 di Amerika Syarikat).
Pada
1998, Brazil memasuki kancah Final di Perancis, bersama Dunga selaku arkitek
yang ampuh di atas padang.
Pada
25hb Mei 2002, skuad kebangsaan Malaysia turut diberi peluang beraksi satu
padang, menentang gergasi Brazil di Stadium Bukit Jalil. Dengan bersahaja,
Brazil menewaskan skuad negara yang dibarisi ramai pemain muda, 4-0. Satu
pengalaman yang tak ternilai harganya.
Pada
30hb Jun 2002, Brazil dan Jerman bertemu di Final Piala Dunia. Pertembungan
kali pertama dua gergasi bola sepak dunia ketika itu turut dibarisi oleh para
bintang seperti Rivaldo, Ronaldo, Ronaldinho, Oliver Kahn, Carsten Ramelow dan
Jens Jeremies, tatkala Michael Ballack digantung. Pada 2002, Brazil di bawah
kendalian Luiz Felipe Scolari kembali menjulang Piala Dunia, dengan Gilberto
Silva selaku jentera di tengah padang. Edisi 2002 menyaksikan Brazil ampuh
bersama skuad yang mempunyai banyak nama besar.
Kaka,
Marcos, Gilberto Silva, Lucio, Roberto Carlos, Cafu menampilkan permainan
menarik serta gol yang cantik sepanjang kempen pada tahun tersebut. Ronaldo
berjaya menewaskan penjaga gol legenda, Kahn, apabila menjaringkan 2 gol untuk
melengkapkan kepulangannya ke arena utama pentas bola dunia.
Piala
Dunia ke-5 dihadiahkan kepada Brazil, sebuah kejayaan yang diserikan dengan
‘joga bonito’ yang menghiburkan. Ronaldo menjaringkan gol pada hampir setiap
perlawanan ketika Piala Dunia di Korea Selatan dan Jepun.
Selepas
edisi 2002, Brazil dikatakan tidak lagi beraksi seperti era 1950an-90an,
bersama keunikan ‘samba’. Skuad 2006 mempunyai Emerson, dan Dunga melatih
pasukan 2010 bersama Silva dan Felipe Melo di tengah. Namun, ‘magis’
tahun-tahun terdahulu gagal diulang semula.
Mimpi
buruk para penyokong fanatik Brazil bermula pada edisi 2014. Brazil pada 2014
dikatakan kekurangan bakat individu yang kreatif serta berpengaruh. Dengan
hanya bergantung kepada Neymar, beliau tidak disokong dengan baik.
Selecao
dihancurkan dalam tempoh 7 minit yang menggemparkan dunia. 4 gol dilepaskan
kepada skuad Jerman dalam tempoh 7 minit sewaktu Separuh Akhir, menguburkan
impian untuk memperbaiki pencapaian di halaman sendiri pada Piala Dunia 1950.
Tewas 1-7 kepada Jerman, kekalahan ituterus menghantui skuad Brazil hingga
kini.
Aksi
sempurna yang penuh menghiburkan, kreatif dan corak permainan terbuka Brazil
pasti dirindukan. Mereka kini dikatakan lebih mengikuti corak permainan Eropah
yang lebih ketat dan fizikal. Kini, lebih ramai pemain Brazil yang beraksi di
Eropah termasuklah di England.
Pada
1994, 1998 dan 2002, separuh daripada skuad Brazil beraksi di liga mereka
sendiri. Pada 2006, hanya 3 orang pemain Piala Dunia mereka beraksi di Brazil,
jumlah yang sama pada 2014.
Hal
ini dikatakan menyebabkan kualiti liga domestik di Brazil semakin menurun. Ada
yang berpandangan bahawa corak permainan Brazil tidak sesuai dengan gaya
Inggeris, di mana ini dikatakan turut menyumbang kepada matinya Joga Bonito
dalam skuad kebangsaan mereka.
Brazil
pada era Samba mempunyai ‘three-deep’ pada hampir setiap posisi di atas padang.
Malahan, ada yang beranggapan, dulu Brazil malah mampu membariskan 3 pasukan di
Piala Dunia, dan tetap akan mempamerkan prestasi hebat, kerana mempunyai terlalu
ramai pemain berbakat.
Brazil
perlu kembali kepada akar mereka: skil yang hebat, helah yang mengelirukan,
selain ‘wow factor’ yang dulunya sangat sinonim dengan negara tersebut. Akar
yang semakin terhakis, yang perlu dicari dan digali sebaik mungkin oleh negara
itu, untuk kembali menjadi kuasa besar bola sepak dunia.
Inilah
falsafah Joga Bonito yang semakin hilang dan pupus. Moga ia muncul kembali,
satu hari nanti.
#Padu
#Grande
#RetroBolaSepak
Tiada ulasan:
Catat Ulasan