Jumaat, April 01, 2016

SEPUTAR HIMPUNAN BANTAH DLP 26 MAC 2016, KUALA LUMPUR.


Logo ABIM.
Saudara Mohamad Raimi Ab Rahim
Presiden ABIM. Juga mantan

I
SEPUTAR HIMPUNAN BANTAH DLP 
(26 MAC 2016) DI KUALA LUMPUR.
Untuk kesekian kali, keranda ini bersemayam tanpa dibiarkan bersemadi ditelan masa. Bukan merengek mohon dibelai. Sekadar ingin menjebat agar maruah serta kehormatan dimartabatkan seadil-adilnya. Bahasa Jiwa Bangsa!” – Saudara Firdaus Hamsin, Exco Penyelidikan ABIM Pusat.
Tanggal 26hb Mac 2016; tanpa mengira faham politik dan latar belakang – Gerakan Mansuhkan PPSMI (Bantah DLP) menyuarakan bantahan terhadap Dual Programme Language (DLP). Biar tiada yang peduli, kami maju terus -- dengan segala saluran yang ada. Demi masa depan bahasa dan anak bangsa Malaysia kita.
Pelaksanaan Program Dwi-Bahasa (DLP) dilihat akan merenggangkan masyarakat, bersifat rasis sekali gus bertentangan dengan Dasar Pelajaran Kebangsaan sedia ada.
Presiden Persatuan Pesara Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Malaysia, Datuk Abdul Raof Hussin berkata, persoalan mengapa ia hanya dibuat di sekolah jenis kebangsaan juga harus dijelaskan kerajaan.
“Ketiadaan pelaksanaan dasar itu di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil juga menimbulkan tanda-tanya masyarakat. Kenapakah kali ini kerajaan menjalankan dasar merenggangkan lagi masyarakat, perkauman dan rasis. Ia hanya dibuat di sekolah kebangsaan, kenapa tidak buat di SJKC, tidak di SJKT? Saya rasa ia bertentangan dengan Dasar Pelajaran Kebangsaan. Ia seharusnya dibuat untuk merapatkan perpaduan negara. Pelik, pelik," katanya ketika ditemui semasa ‘Himpunan Keranda 152: Bantah DLP’.
DLP dilaksana dalam mata pelajaran sains, matematik, teknologi reka bentuk dan teknologi komunikasi dan informasi (ICT) kepada pelajar Tahun 1, Tahun 4 dan Tingkatan 1 di 300 buah sekolah bermula sesi baru Januari 2016.
Keranda 152 merujuk kepada perarakan bantahan para pejuang Bahasa Melayu terutama penulis dari Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang mencapai kemuncaknya pada 3 Mac 1967 di Balai Budaya.
Perarakan itu merupakan simbolik kepada kematian bahasa Melayu apabila kerajaan tidak menepati janji untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dan bahasa dalam bidang kehakiman.
Sementara itu, Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Mohamad Raimi Abdul Rahim berkata, DLP merupakan jelmaan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) yang dijenamakan semula.
“Keranda dibawa simbolik penentangan tersebut kerana berpandangan dasar ini jelmaan PPSMI yang dimansuhkan. PPSMI telah menyebabkan kegagalan kepada ramai pelajar,” jelasnya.
Sebelum ini, Ketua II Gabungan Penulis Nasional (Gapena), Datuk Zainal Abidin Borhan berkata, langkah yang diperkenal kerajaan dalam mengatasi masalah penguasaan Bahasa Inggeris menerusi pengenalan DLP umpama memberikan ubat yang salah kepada penyakit yang dihidapi.
Menurutnya, pelaksanaan program itu bukan sahaja tidak berkesan dalam meningkatkan penguasaan dalam bahasa tersebut, malah membawa kesan yang lebih teruk di mana pelajar sukar memahami dengan sebenar-benarnya konsep sains dan matematik yang diajarkan.
Ketika Himpunan 26 Mac dijalankan, YB Tian Chua (PKR) serta Sdr. Ronnie Liu (DAP) turut hadir bersolidariti menentang Dual Language Programme (DLP). Hal ini membuktikan, penentangan terhadap DLP bukan bersifat perkauman; malahan dibuat kerana keprihatinan terhadap masa depan bahasa kebangsaan serta anak bangsa Malaysia!
Terdahulu, pada 2009, mereka turut bersama GMP -- mendesak pemansuhan PPSMI yang nyata gagal meningkatkan tahap penguasaan Bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar. Malahan, membebankan para guru untuk sesi pengajaran, selain jumlah pelajar yang cemerlang Sains dan Matematik menurun.

II
MENGAPA KITA BANTAH DLP 
(DUAL LANGUAGE PROGRAMME)?
Kita membantah DLP kerana berasaskan kepada dapatan kajian ilmiah oleh Permuafakatan Badan Ilmiah Nasional (PEMBINA), pelaksanaan PPSMI amat negatif. Iaitu, tahap kompetensi guru dalam pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik menggunakan bahasa Inggeris adalah rendah dan implikasinya dalam pembangunan modal insan adalah negatif.
Kajian ini dibuat bermula 1hb Jun dan berakhir 31hb Disember 2008 oleh PEMBINA dengan usaha sama lapan buah universiti, iaitu Universiti Putra Malaysia, Universiti Perguruan Sultan Idris, Universiti Sains Malaysia, Universiti Utara Malaysia, Universiti Teknologi Mara Malaysia, Universiti Teknologi Mara Sarawak, Universiti Malaysia Sabah dan Universiti Teknologi Malaysia.
Kajian ini dipengerusikan oleh Dato Haji Abdul Ghani Othman, Mantan Menteri Besar Johor, diketuai oleh Dato’ Haji Abdul Raof Hussin, Mantan Pengarah Eksekutif PEMBINA, dan Ketua Penyelidik Prof. Dr. Mohd. Sahandri Gani Hamzah, kini Timbalan Naib Canselor, Universiti Perguruan Sultan Idris serta 53 orang kaki tangan akademik Universiti dan Pegawai PEMBINA.
Kita tidak menentang penguasaan lebih daripada satu bahasa dalam kalangan pelajar dan rakyat Malaysia. Malahan, kita menyokong High Immersive Programme (HIP) iaitu Program Imersif Tinggi Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris, untuk membolehkan pendedahan yang lebih diberikan kepada pelajar di sekolah; untuk menguasai Bahasa Inggeris dengan lebih baik.
Namun, kita menentang pembelajaran dan pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris menerusi DLP; kerana ia bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.
Di samping itu, kajian telah membuktikan bahawa PPSMI (dan kini DLP) bukan sahaja tidak membantu memperkasakan Bahasa Inggeris. Malah, prestasi murid dalam subjek Sains dan Matematik juga merosot.
Pelaksanaan Program Dwibahasa (DLP) ini, tidaklah terancang dengan rapi. Ia berasaskan kepada persepsi dan prasangka melulu, dan tidak dirundingkan dengan golongan pendidik, cendekiawan profesional, pejuang-pejuang bahasa, tokoh-tokoh sasterawan Negara, NGO-NGO Melayu, Kesatuan dan Persatuan Guru, Pengetua dan Guru Besar dan guru-guru, pendidik-pendidik yang akan dipertanggungjawabkan melaksanakan program ini.
Ia dimonopoli oleh barisan dan ahli korporat yang tidak mempunyai latar belakang, roh dan kredibiliti pendidikan yang antaranya tersedia punyai prasangka buruk terhadap kedaulatan dan keupayaan Bahasa Melayu.
Ini bercanggah dengan kehendak supaya Bahasa Melayu itu menjadi Bahasa Kebangsaan, bahasa Ilmu, bahasa rasmi sebagai yang termaktub dalam Fasal 152 Perlembagaan Persekutuan.
Program ini, sama sahaja dengan PPSMI yang dijalankan pada 2013 dan dimansuhkan pada 8 Julai 2009. PPSMI memangsakan tiga juta pelajar dan petaka berganda ini tidak wajar diulang oleh kerajaan dan Kementerian Pendidikan Malaysia.
Kita membantah DLP ini kerana berasaskan kepada analisis kajian oleh Jemaah Nazir KPM sendiri, yang menunjukkan kegagalan PPSMI, iaitu, Analisis Pencapaian Murid Kohort 2 (2003-2009) Sekolah Kebangsaan (SK) dalam ujian peperiksaan Peringkat sekolah: mata pelajaran Matematik mengikut gred purata mata pelajaran (GPMP), bagi 56 SK, yang meliputi 1942 orang murid.
Kajian oleh Jemaah Nazir Persekutuan KPM dengan jelas mendapati sesungguhnya pelaksanaan PPSMI menimbulkan kesan buruk kepada murid-murid yang tergolong dalam kategori sederhana dan lemah di dalam ketiga-tiga mata pelajaran, iaitu Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik.
PPSMI telah dan akan membunuh minat, semangat dan keghairahan murid-murid untuk belajar Sains dan Matematik sejak di peringkat Sekolah Rendah lagi.
Buktinya, analisis sampel terhadap keputusan peperiksaan yang diambil oleh Jemaah Nazir Persekutuan ke atas 1942 murid tahun 5 kohort 2 (2004) dari 56 buah SK seluruh negara, menunjukkan bahawa pencapaian mereka semakin merosot, malah ada yang dengan drastik merudum apabila mereka naik ke tahun yang lebih tinggi, iaitu di Tahun 2 (2005), Tahun 3, (2006), Tahun 4 (2007), Tahun 5 (2008) dan dijangka berterusan di Tahun 6 (2009).
Kajian tentang Keberkesanan PPSMI oleh Prof. Datin Dr. Juriah Long (UKM) pada 2004 mendapati pelaksanaan PPSMI memberi kesan negatif kepada keputusan pelajar.
Berdasarkan kajian ke atas pelajar Tingkatan 2, di 242 Sekolah Menengah di seluruh negara, meliputi 7,236 pelajar, 701 guru Sains dan 707 guru Matematik didapati hasil dapatan hampir sama trendnya dengan hasil kajian PEMBINA, Jemaah Nazir Persekutuan (KPM) dan Universiti Pendidikan Sutan Idris oleh Isahak Haron.
Kesimpulannya, hasil PPSMI mengakibatkan bilangan pelajar yang berkualiti tinggi amat terhad. Mereka yang berpencapaian rendah mendominasikan dalam arus perdana pendidikan.
Ini akan memberi kesan berpanjangan hingga ke peringkat tertiari di mana bilangan pelajar aliran Sains, Matematik dan Teknikal akan merosot, terutama pelajar Melayu jika DASAR DWIBAHASA dilaksanakan.
Pelaksanaan program dwi bahasa (DLP) itu tidak adil dan mewujudkan jurang prestasi sains dan matematik UPSR antara SK, SJKC DAN SJKT. Dasar pelaksanaan DLP yang berbeza antara SK, SJKC dan SJKT akan menyebabkan jurang prestasi Sains dan Matematik Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) murid-murid SK seluruhnya, terutama murid-murid Melayu bertambah jarak dan kritikal.
KPM tidak berani menyentuh SJKC dan SJKT kerana akan ditentang oleh masyarakat Cina dan India yang cintakan bahasa mereka, bahasa Mandarin dan bahasa Tamil. SJKC dan SJKT akan berterusan mengajar dalam bahasa ibunda.
Jikalau Dasar DLP ini dilaksanakan, pengalaman kegagalan PPSMI akan berulang kepada murid-murid SK di mana prestasi Sains dan Matematik murid-murid SK jauh lebih rendah dari SJKC.
Pelaksanaan DLP menggagalkan dan bertentangan dengan dasar memartabatkan Bahasa Melayu. Kita membantah pelaksanaan DLP kerana ia akan menggagalkan matlamat MBMMBI. Dasar MBMMBI adalah bagi melahirkan masyarakat yang berupaya menguasai Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris, sebagaimana yang digariskan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025.
DLP akan memecah-belahkan aliran kebangsaan dan melahirkan 2 generasi pelajar yang berbeza darjat. Kajian menunjukkan dasar PPSMI dan DLP hanya menyumbang kurang 2% penambahbaikan bahasa Inggeris.
Kajian Trends in International Mathematics & Science Study (TIMSS) 2007 dan PISA 2012 membuktikan dasar PPSMI dan DLP telah menjatuhkan kualiti pembelajaran Sains dan Matematik Malaysia pada peringkat antarabangsa. Kerana DLP akan mengulangi kegagalan PPSMI yang telah memangsakan 3 juta pelajar. - Kerana perlaksanaan DLP bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan [Perkara 152 (1)]; Perkara 152 (6) Akta Bahasa Kebangsaan 1963/1967; Penyata Razak 1956; Penyata Rahman Talib 1960; Akta Pelajaran 1961 dan Akta Pendidikan 1996 (Akta 550).
TUNTUTAN KITA:
Mansuhkan DLP dan perkasakan pembelajaran dan pengajaran subjek bahasa Inggeris di sekolah.

III
PENUTUP
Pada kesempatan ini, Gerakan Mansuhkan PPSMI (Bantah DLP) ingin merakamkan ribuan terima kasih dan penghargaan; kepada anggota PDRM yang memberi kerjasama yang baik ketika ‪#‎Himpunan26Mac dijalankan di Kuala Lumpur. Selamat menyambut Hari Polis ke-209 kepada semua anggota polis yang amanah dan telus dalam menjalankan tugas serta tanggungjawab.
Solidariti buat bahasa kebangsaan. Padu!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...