Jumaat, Ogos 22, 2014

20hb Ogos 2014: Selangor tewas, 0-2, kepada PDRM FA.

I
20hb Ogos 2014: Selangor tewas, 0-2, 
kepada PDRM FA.
Alhamdulillah, pada 20hb Ogos 2014, Sahabat Kelab Jersi Kita (KJK) berkesempatan meluangkan masa dan bergambar kenangan bersama bekas bintang skuad Gergasi Merah, Abang Azman Adnan, usai menyaksikan perlawanan PDRM-Selangor di Stadium Shah Alam. Bersama-sama rakan-rakan bekas pemain seperti Mubin Mokhtar, Azlisham Ibrahim, Nazrulerwan Makmor, Fauzi Pilus dan rakan-rakan lain, Azman kini bersama berganding bahu membimbing skuad PDRM FA. Seperti yang kita sedia maklum, Ketua Jurulatih PDRM FA, Coach Dollah Salleh kini sedang membimbing skuad Harimau Malaya. Saya tumpang gembira, melihat Sahabat KJK yang begitu ceria bila dapat beramah mesra bersama Abang Azman Adnan, yang sememangnya terkenal dengan keramahannya kepada peminat dan penyokong, sedari zaman menjadi bintang Malaysia era 90an. 

II
Selangor pernah benam PDRM, 
10-1 pada 1993.
Dalam perlawanan tersebut, Selangor tewas 0-2 kepada pasukan Juara Liga Perdana 2014, PDRM FA di Wilayah Gergasi Merah, Stadium Shah Alam (SSA), ketika perlawanan kedua peringkat kumpulan Piala Malaysia 2014. Kejayaan Selangor membelasah pasukan yang sama dengan jaringan 10-1 pada 21 tahun yang lalu tidak dapat diulangi semula. Azman Adnan merupakan antara individu yang berjaya menjaringkan gol ketika itu iaitu sebanyak 4 gol.
Dalam perlawanan yang berlangsung pada musim 1993 itu, pemain yang mencatatkan nama sebagai penjaring pada perlawanan itu adalah Azman (4 gol), Zolts Bucs, Zainal Nordin, A. Jayakantan, K. Gunalan, Anuar Abu Bakar dan Ismail Ibrahim. Ini adalah kemenangan terbesar Selangor yang terakhir mencatatkan 10 gol. Sehingga kini, kemenangan paling besar pun adalah 7-1 sahaja ke atas Perlis (Liga Super 2011 - Pusingan Kedua di SSA).

III
Dollah Salleh hadiri sesi 
latihan PDRM.
Mantan Ketua Jurulatih PDRM FA, Abang Dollah Salleh telah membuat kejutan keapda anggota pasukan The Cops apabila hadir ketika sesi latihan skuad tersebut. Beliau turut memberikan pesanan berguna serta motivasi buat bekas naak buahnya. Untuk rekod, Dollah pernah beraksi untuk Selangor ketika penghujung 80an, selain pernah membimbing skuad The Red Giants untuk muncul Juara Treble 2005. Ketika itu, Selangor dibintangi oleh Jamsari sabian, Bambang Pamungkas, Brian Fuentes, Elie Aiboy dan bintang lain. Beliau juga pernah mengendali skuad Selangor MPPJ FC, yang muncul Juara Piala Malaysia 2003, Juara Piala Sumbangsih 2004 dan Juara Liga Perdana 2004. 

IV
Ultrasel dan SSFC bersatu sokong Selangor.
Beberapa bekas pemain dan selebriti seperti Coach Dollah Salleh, Haji Reduan Abdullah, Jamsari Sabian, Shahril Arsat dan Adi Putra turut hadir memberikan sokongan kepada kedua-dua buah pasukan.
Meskipun stadium kelihatan lengang – antara lain kerana terdapat siaran langsung disiarkan di kaca TV, terdapat perkara menarik yang berlaku di SSA pada perlawanan Selangor-PDRM. Anggota Komrads UltraSel dan Otai-otai SSFC dilihat melaungkan ‘chants’ bersama di Pintu 10 stadium, sebelum sepak mula perlawanan.
Terdahulu, suasana penyatuan ini hanya biasa dilihat ketika perlawanan di tempat lawan, di mana penyokong Selangor perlu duduk berhampiran tanpa mengira kelompok atau kelab yang diwakili. Semoga semangat perpaduan ini dapat dikekalkan, atas semangat dan solidariti buat skuad Merah-Kuning.

V
Selangor belum pernah tewas kepada 
PDRM sebelum ini.
Sepanjang rekod perlawanan yang diketahui, Selangor belum pernah tewas kepada PDRM dalam pertemuan Liga-M sejak 1921.  Namun, kali ini tidaklah semudah ini dengan The Cops membawa reputasi juara Liga Perdana 2014 serta meledakkan 3 gol tanpa balas di tempat lawan, ketika menewaskan Sime Darby FC dalam perlawanan sebelumnya.
Pertemuan terakhir kedua-dua pasukan adalah 3 tahun lalu, iaitu pada hari Sabtu, 24hb September 2011, di mana PDRM tumpas 1-4, kepada Selangor di Paroi, dalam saingan Pusingan Kedua Piala Malaysia (peringkat kumpulan).
Pertemuan paling sengit pernah dicatatkan adalah pada 9hb Ogos 2008 – Suku Akhir Kedua Piala Malaysia,  apabila PDRM yang dibarisi pemain handal masa itu telah mendahului Selangor 3-2, namun penalti Frank Seator pada minit-minit terakhir telah menyelamatkan maruah Selangor daripada tumpas kepada Polis pertama kali dalam sejarah, selain layak ke Separuh Akhir Piala Malaysia 2008 atas kelebihan gol di tempat lawan dengan agregat, 3-3.

VI
Isu kad merah Bunyamin.
Terdapat pandangan yang menyatakan bahawa keputusan perlawanan banyak dipengaruhi oleh keputusan pengadil. Bermula daripada kad merah kapten Selangor, Bunyamin Omar sehinggalah kekasaran yang melibatkan S. Kunanlan, ramai yang mula menyatakan bahawa ini merupakan bukti terhadap siri kegagalan dan kelemahan pihak pengadilan, selepas timbul beberapa kontroversi dalam perlawanan Piala Malaysia membabitkan pasukan lain.
Ya, secara realistiknya, kad merah untuk Bun pada minit awal permainan iaitu minit ke-16 tampak memberikan kesan yang sangat besar khususnya pada bahagian pertahanan Selangor. Kendatipun, jika dilihat dengan lebih mendalam, pemain Selangor seperti Andik Vermansyah telah beraksi bersungguh-sungguh, dan cuba membuat hantaran kepada bahagian depan. Namun, Paulo Rangel yang dikawal ketat oleh pertahanan PDRM menyebabkan penyerang berbisa itu gagal membuat sentuhan penyudah.
Kesungguhan para pertahanan Red Giants juga wajar dipuji, di mana jika tidak, lebih daripada 2 gol akan dibolosi. Kepada penyokong Selangor, usah terlalu awal melatah. Masih ada 4 lagi baki perlawanan, di mana para pemain menuntut sokongan padu semua. Sokong; jangan hanya waktu gagah. Sokong juga waktu rebah. Viva Selangor!

VII
Mehmet pertahan anak buah.
Tatkala para peminat mula melaungkan rasa tidka puas hati akibat persembahan longgar dan longlai yang dipamerkan oleh para pemain Selangor, Ketua Jurulatihnya, coach Mehmet Durakovic tegar mempertahankan anak buahnya.
Beliau yang juga merupakan seorang bekas pemain import Merah-Kuning yang berjasa ketika era 90an dan pernah menjadi ketua pasukan skuad kebangsaan Australia, menyatakan bahawa, “Kehilangan Bunyamin menyukarkan kami menyaingi PDRM. Kami berusaha untuk mencari keputusan seri tetapi kami melakukan kesilapan lagi sehingga PDRM memperolehi gol kedua. Sungguh pun begitu, saya tetap bangga dengan pemain saya yang beraksi 10 orang kerana mereka berusaha mencari gol dan tampil dengan aksi melawan.”

VII
Skuad Piala Belia Selangor 
tunjuk taring.
Menariknya, tanggal 20hb Ogos juga menyaksikan misi mempertahankan kejuaraan Piala Belia (Bawah 19 Tahun) diteruskan, di mana pasukan Belia Selangor telah menentang pasukan Belia PDRM FA. Terdahulu, Selangor menjuarai Piala Belia 2013 selepas mengalahkan Kelantan, 2-1.
Perlawanan menentang PDRM tersebut berlangsung di Stadium Hang Jebat, Melaka, pada jam 4.15 petang. Syabas atas semangat dan perjuangan adik-adik semua. Ketinggalan 1-2 pada separuh masa, mereka bangkit untuk mendahului 4-2, dan diakhiri dengan 4-3.
Pada 21hb Ogos (Khamis) pula, Selangor berdepan cabaran pasukan Bawah 19 Tahun ATM, pada jam 4.15 petang di Stadium Universiti Multi Media (MMU), Melaka. Perlawanan berkesudahan seri, 0-0. Selangor diletakkan dalam Kumpulan D bersama PDRM, ATM dan Perlis. Moga pasukan yg di uruskan oleh K.Santhanaraju (Exco FAS), dilatih oleh Nazliazmi serta dibantu oleh Zaidi Rohmat, Shuhaimi Hamid dan Khairulanwar Md Isa ini akan berjaya mempertahankan kejuaraannya.
Maju Selangor. Viva Selangor. Forza Selangor. Bersama memartabatkan jersi serta liga tempatan kita. Padu!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...