Janji? Janji? Janji? |
Mat Yo aka Wak Lan tenggelam di Canberra. |
Kenangan yang menyedihkan, tatkala semua pemain sudah cuba yang terbaik, keputusan masih tidak menyebelahi kita. |
Ya, kita pernah tewas 0-6 kepada Indonesia. |
I
- 16hb November 1967 (Kuala Lumpur): New Zealand 8-2 Malaysia;
- 1hb Disember 1968 (Bangkok, Thailand): Thailand 6-0 Malaysia;
- 26hb Ogos 1971 (Singapura): India 6-0 Malaysia;
- 31hb Ogos 1972 (Ingolstadt, Jerman): Maghribi 6-0 Malaysia;
- 20hb Disember 1978 (Bangkok, Thailand): China 7-1 Malaysia;
- November 1991 (Stadium Peringatan Rizal, Manila): Filipina 1-0 Malaysia;
- 1995 (Chiang Mai, Thailand): Vietnam 2-0 Malaysia;
- 14hb Oktober 1997 (Jakarta): Laos 1-0 Malaysia;
- 2hb Ogos 1999 (Bandar Seri Begawan, Brunei): Indonesia 6-0 Malaysia;
- 20hb November 2012 (Stadium Shah Alam): Bangladesh mengikat Malaysia, 1-1 (Bangladesh beraksi dengan 10 orang pemain).
Senarai
di atas menunjukkan sekelumit bukti bahawa pasukan kebangsaan Malaysia –
meskipun pada zaman kemuncaknya – tidak pernah sunyi daripada kekalahan besar
dan keputusan mengaibkan. Ya, tatkala Malaysia dibarisi oleh lagenda bola sepak
negara, kita tetap terpaksa mengakui bahawa kita telah – dan sedang - melalui
jalan turun-naik yang penuh ranjau dan berliku.
Ya,
bola itu bulat dan kadang-kala kekalahan tidak dapat dielakkan. Argentina
sendiri pernah tewas 1-6 kepada Bolivia, atas alasan kesukaran para bintang ‘Albicelestes’
seperti Messi untuk beraksi dalam keadaan altitud tinggi. Tapi, itu kisah
Argentina. Kisah kita, kisah bola sepak Malaysia, yang jarang menang perlawanan
meskipun kejohanan besar, waimah di Asia Tenggara.
Seperti
yang kita sedia maklum, lawan seterusnya bagi Harimau Malaya untuk Kelayakan
Piala Asia ialah Bahrain, sebuah negara Arab yang bercuaca panas. Justeru,
tidak sedikit peminat-penyokong bola sepak Malaysia yang sukar menerima
pembatalan perlawanan persahabatan dengan Singapura dan memilih Australia –
yang sedang mengalami musim sejuk lagi mendinginkan.
II
Jurulatih
negara, Datuk K. Rajagobal menyatakan bahawa Australia dipilih sebagai medan
latihan kali ini kerana faktor cuaca, memandangkan ‘bulan Oktober nanti kita akan beraksi di cuaca sejuk kerana negara ini
berada di Teluk Arab, hampir sama cuaca seperti Qatar, dan perlawanan pertama
hari itu bertemu Qatar,kita beraksi dalam cuaca sejuk.’
Baik,
bab cuaca itu kita rasionalkan. Kendati, bagaimana dengan pemilihan pasukan
yang dihadapi oleh Malaysia? Tidak adil untuk kita secara mudah menghukum
kekalahan kepada Canberra FC sebagai kekalahan paling memalukan, tanpa mengkaji
beberapa aspek yang menjurus kepada tercetusnya faktor ketewasan ini. Bukan
mudah untuk kita – sebagai sebuah pasukan kerdil dengan ranking rendah – mahu mengadakan
perlawanan persahabatan dengan pasukan berkelas ‘A’. Ini realiti. Tetapi,
apalah kiranya FAM mengusahakan untuk skuad kita menentang pasukan berstatus
negara? Kenapa sampai terpaksa menentang sebuah kelab yang meminjam beberapa
pemain dari kelab lain?
Tiga
jaringan oleh Alex Oloriegbe, Ryan Keir dan Philippe Bernabo benar-benar
menggusarkan kita berkenaan status kemantapan barisan tengah dan pertahanan
negara. Kita gembira – sekurang-kurangnya – dengan dua gol yang dihasilkan oleh
Safee Sali, hasil gandingan bersama Nazmi Faiz dan Nazrin Nawi. Tidaklah kita
terlalu ketandusan penyudah sebenarnya, meskipun pemain yang bagus seperti Bobby
Gonzales seharusnya diberikan ruang dan peluang oleh Datuk K. Rajagobal untuk
mewakili Harimau Malaya.
Bambang Pamungkas bersama jurulatih dan pengendali Belanda, memberi pendedahan kepada para pemain belia. |
Bintang Belanda bersama gaya ala Melayu Betawi. |
Tatkala
Repubik Indonesia meraikan kehadiran pasukan bintang Belanda ke Jakarta,
pasukan kebangsaan Malaysia pula sibuk menjalani latihan di Canberra untuk
menentang Kelab Liga Australian Capital Territory ACT, Canberra FC. Meskipun
masih bermula perlahan, Persatuan Sepak bola Seluruh Indonesia (PSSI)
sudah semakin pulih sejak kemelut politik-merebut kuasa dua-tiga tahun
kebelakangan ini.
Di
dalam perlawanan yang menyaksikan bekas wira Arsenal FC yang kini beraksi untuk
The Red Devils, Robin van Persie menyarung lilitan kapten buat kali pertama
pada lengannya, Stadion Bung Karno menjadi saksi bagaimana skuad The Oranje yang
dikendali oleh Louis van Gaal membariskan deretan bintang mereka seperti Jasper
Cillessen; Janmaat; Ron Vlaar; Erik Pieters; Miguel Nelom; Jonathan De Guzman;
Jens Toornstra; Wesley Sneijder; Ruben Schaken; Robin van Persie; Jeremain Lens
dan Arjen Robben. Skuad Indonesia bimbingan Jacksen F. Tiago terpaksa menyerah dengan
keputusan 0-3 melalui dua gol Siem de Jong dan satu gol Arjen Robben.
Persie, kali pertama sebagai kapten, gagal menyerlah di balik asakan pemain naturalisasi Indonesia. |
IV
Di
balik kemarahan dan kekecewaan peminat bola sepak Malaysia, masih ada berita
positif untuk kita semua. Ranking FIFA untuk bulan Jun 2013 menunjukkan
Malaysia naik 2 anak tangga, 161 ke 159. Brazil pula jatuh merudum ke tangga
22. Meskipun kenaikan ini secara zahirnya tampak tidak akan kekal lama, namun
tidak salah untuk kita senyum sedikit di atas berita ini. Untuk rekod, di dalam
Ranking Dunia FIFA, kedudukan tertinggi Malaysia adalah di dalam keluaran
pertama perangkaan tersebut iaitu pada bulan Ogos 1993, pada tangga ke-75.
V
Ramai
yang melatah apabila portal Canberra menggunakan tajuk ‘Part-timers steal win over internationals’ untuk laporan mereka. Dari
sisi rasional, adalah sesuatu yang normal untuk sesebuah kelab/negara berbangga
dengan pencapaian pasukan mereka. Dan, lebih normal – tetapi bukanlah sesuatu
yang baik – untuk sesuatu media itu menggunakan tajuk yang kontroversi bagi menangkap
perhatian para pembaca. Terguris? Sudah tentu. Kecewa? Apatah lagi. Tetapi, berjuang;
kan tidak boleh mudah patah hati. Sokong mesti terus. Kritik biar berisi.
Kita
berhujjah dan menegur kerana kita sayangkan skuad kebangsaan dan maruah sukan
negara kita. Bukan sekadar kerana kita tidak berpuas hati dengan kaedah
pembangunan bola sepak negara. Sudah beberapa kejohanan kita lepaskan, tatkala
peminat sudah jenuh mengkritik di kedai-kedai kopi. Pada akhirannya, soalan
cepumas yang akan ditanya ialah: “Quo
vadis, Harimau Malaya? Mahu ke mana kita?”
-------------------------------------------------
Sumber:
- http://www.goal.com/id-ID/news/1387/nasional/2013/06/08/4033949/galeri-foto-indonesia-0-3-belanda?ICID=OP;
- http://www.canberratim.es.com.au/sport/football/parttimers-steal-win-over-internationals-20130606-2ntc8.html
hmm rugi ye chedin pg austrlia. harap2 ada manfaatnya yg kita smua xnmpk. nk mrah2 dh xguna dh , diorg dh kt sana dah. ni smua kita berbalik pada pihak pengurusan la ye (FAM). entah apa yg dibuat pun tak tahu la.
BalasPadamSalam Bro. :)
PadamHm, saya pun hilang punca sebenarnya nak ulas. Penat cari unsur positif untuk rasionalkan minda dan sejukkan hati. Bila kita kritik, depa tuduh tak patriotik. Tapi, kita jugalah yang penuhkan stadium setiap kali HM main, keluar duit poket beli tiket, beratur panjang, berdepan dengan kesesakkan jalan raya.
Nak kata rugi 100% tu tidaklah: pendedahan cuaca sejuk kita dapat, dan kemahiran-fizikal Canberra FC pun bagus juga sebenarnya. Tinggal lagi, kekalahan ini adalah memalukan, dan tidak membantu ranking negara, meski kita menang sekalipun ke atas Canberra.
Anggap sajalah kita tewas kerana belum sesuaikan diri dengan cuaca sejuk, dan kita tunggu dan lihat dua perlawanan lagi. :)