SEPUTAR
MAJLIS PERASMIAN KOMPLEKS ANJUNG RAHMAT.
24hb
Januari 2016 (Ahad): Alhamdulillah, telah dijalankan upacara untuk merasmikan
bangunan “ANJUNG RAHMAT” (Pusat Dakwah & Tarbiah WADAH) oleh Dato’ Dr
Siddiq Fadzil; dengan ‘gimmick’ memecah bongkah air batu, untuk mengambil pen ‘marker’
bagi menandatangani plak perasmian bangunan ini.
Ustaz
Siddiq diiringi oleh Presiden WADAH, Tuan Haji Ahmad Azam Ab Rahman dan
Pengerusi JK Pembangunan WADAH, Dr Ab Halim Muhammad. Turut mengiringi beliau
ialah NC UNISEL, Prof Dato’ Dr Redwan Othman, Presiden ABIM, Saudara Raimi Ab
Rahim dan Timbalan Presiden PKPIM, Saudara Mohd Khair Sujud.
Terdahulu,
pada 23hb Januari 2016 (Sabtu), Presiden ABIM, Saudara Raimi telah menyampaikan
amanat kepada peserta untuk Program Tamrin Siswazah Muda ABIM (SISMA-SEDAR) dan
Bengkel Pendidikan ABIM 2016. Untuk rekod, Januari hingga Mac merupakan Bulan
Tamrin ABIM.
Naib
Presiden ABIM Pusat, Saudara Khairul Ariffin Mohd Munir membuat pembentangan
dalam Program Tamrin SISMA-SEDAR. Beliau membentangkan topik “Pembinaan
Generasi Kepimpinan: Satu Sorotan Pengalaman”. Turut hadir, senior ABIM serta
WADAH yang sangat berjasa, Al-Fadhil Al-Ustaz Dr. Abdul Halim el-Muhammady.
Sesi
bersama Ustaz Muhyuddin Ashaari (Ahli Lembaga Pengarah, Yayasan Takmir
Pendidikan - ALP YTP) turut berjalan dengan cemerlang, dalam Bengkel Pendidikan
ABIM 2016.
Pada
malam sebelumnya, telah berlangsung “Usrah Umum: Isu Semasa dan Peranan WADAH”
bersama Prof Dato’ Dr. Muhammad Redzuan Othman.
Alhamdulillah,
Pusat Dakwah dan Tarbiyah yang dirancang akhirnya menjadi kenyataan. Hasil iltizam,
keyakinan, komitmen dan pengorbanan beberapa individu yang menyumbang kepakaran
mereka tanpa bayaran, di samping sumbangan kewangan yang tidak putus-putus daripada
sahabat dan ahli, “Anjung Rahmat” (Pusat Dakwah dan Tarbiyah WADAH) akhirnya
tegak terbina.
Antara
program awal yang diajalankan di bangunan tersebut ialah “Retreat Ahli Usrah
WADAH Pusat”, pada 25 Oktober 2015 serta “Majlis Usrah Gabungan”, pada 11 November
2015.
Tersedia
di pusat ini sebuah dewan seminar, pusat media, arkib, surau, ruang pejabat,
ruang makan serta 10 inap desa (homestay) yang boleh dimanfaatkan oleh anggota
dan masyarakat. Dengan menggunakan ‘rain harvesting’ bagi sebahagian daripada
keperluan airnya, dijangka pusat ini dapat mengurangkan kos pengurusannya.
Dengan ruang letak kereta di kawasan bersebelahan di samping beberapa gerai
jualan makanan, pusat ini berpotensi memeriahkan lagi persekitaran di Desa
Makmur, Sungai Merab, Bangi, Selangor.
Kos
pembinaan asalnya adalah RM1.2 juta. Bagaimanapun, dengan pemantauan langsung
dalam pembelian bahan dan pengawasan rapi proses pembinaan, kos terlibat hanya
sekitar RM800 ribu sahaja. Tempoh pembinaan juga dapat disingkatkan dari 2
tahun kepada 14 bulan sahaja.
Projek
pembangunan Pusat Dakwah dan Tarbiyah WADAH, Kampung Sungai Merab, Sepang telah
mula diusahakan sejak setahun yang lalu, ekoran dari inisiatif seorang Pewakaf
yang telah mewakaf sebidang tanah kepada WADAH. Majlis pecah tanah telah
diadakan pada 20 April 2014.
Tawaran
Wakaf Lantai merupakan salah satu sumber dan kaedah bagi mengumpul dana untuk
menjayakan projek ini. Lembaga Pemegang Amanah Harta WADAH telah menawarkan
kepada orang awam untuk membeli dan mewakafkan kembali bagi tujuan pembinaan
bangunan pusat ini.
Bagi
mereka yang ingin menyumbang, peluang masih terbuka kerana keperluan peralatan
kerusi meja dan kemudahan-kemudahan inap desa (homestay) yang masih belum dapat
disediakan. Hubungi Sekretariat WADAH di: +603-8920 2142 sekiranya anda ingin
menyumbang.
Ketua
HELWA ABIM, Puan Fadhlina Sidek menukilkan bahawa, “Generasi mereka sangat
hebat. Di usia muda mereka membina Pusat Latihan ABIM dan Institusi pendidikan.
Kini, di usia emas, mereka bangunkan pula Pusat Dakwah tanpa lelah untuk
melatih kader dakwah. Rupanya, impian itu belum berakhir. Bapak masih mengimpikan
pesantren yang rimbun dikenali sebagai Raudhah. Barakah tanah wakaf akan dinikmati
oleh pewaqaf dunia dan Akhirat. Terima kasih daripada kami, generasi yang masih
menumpang.”
.