Jumaat, Februari 03, 2012

Tuding-menuding.

Dua-tiga hari ini, kecoh sedikit – khasnya dalam kalangan masyarakat Cina – berkenaan pemberian ‘ang pow’ dengan sampul putih dalam satu Majlis Terbuka Tahun Baru Cina di perkarangan Kelab Sultan Sulaiman. Majlis tersebut dianjurkan oleh Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa). Sejelasnya, warna putih lebih merujuk kepada upacara kematian bagi masyarakat Cina. Dan, ‘ang pow’ sendiri bermaksud ‘sampul merah’.

***************

Hal ini sekedar mengingatkan kita kembali kepada peristiwa 2008 – bilamana dalam satu majlis anjuran PAS, mantan Menteri Besar Perak, YB Nizar Jamaluddin telah mengucapkan ‘Selamat Menyambut Vaisakhi’ kepada masyarakat Benggali di Malaysia. Hakikatnya, perayaan tersebut (Hari Vaisakhi) diraikan oleh masyarakat Sikh dan jatuh pada hari pertama bulan Vaisakh dalam kalendar Nanakshah. Kaum India memang terkenal dengan masyarakatnya yang rencam dan pelbagai. Mereka yang datang dari Selatan India antaranya dikenali sebagai etnik Tamil, Telugu dan Malayalee sementara dari Utara India dikenali sebagai Sikh, Gujerati, Benggali dan lain-lain.

**************

Contoh terpencil ini – iaitu kesilapan Datuk Ibrahim Ali/Perkasa dan YB Nizar – menjadi testimoni jelas berkenaan kemajmukan masyarakat Malaysia. Meskipun saya sendiri berasa kesal di atas kesilapan tersebut, saya percaya, ianya adalah bukan disengajakan. Malah, antara hikmah daripada dua insiden ini ialah; betapa perlunya untuk kita semua mula menghargai dan memahami budaya dan adat resam masyarakat di sekeliling kita. Jadilah manusia yang lebih sensitif dan peka.

ALLAH tidak mencipta kaum yang berbeda-beda untuk tujuan yang sia-sia. Sudah Sunnatullah, perbedaan-perbedaan ini bermatlamatkan agar kita beramah mesra dan kenal-mengenal antara satu sama lain. Kita mungkin berbeda ideologi politik, berbeda keturunan dan warna kulit, berbeda darjat dan pangkat. Tapi ingatlah, kita semua Bangsa Malaysia. Kita perlu membuka minda dan beramanah dengan diri kita. Sungguh.

**********************

Ayuh, sebar dan kukuhkan perpaduan sesama kita. Bak kata Susan Lankester dalam filem Mekanik (1983),
“Orang putih ke, orang hitam ke, orang coklat ke, orang biru ke, kita orang Malaysia kan?”

:)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Dr. Zulkifli Hasan: Menjambatani Persaudaraan, Menyubur Kesejahteraan

  Dr. Zulkifli Hasan: Menjambatani Persaudaraan, Menyubur Kesejahteraan   Oleh: Zairudin Hashim (Ahli Dewan Tertinggi Majlis Belia M...