Khamis, Ogos 18, 2011

Haji Subky Latif: Peneroka 'new journalism' di Malaysia.


“Kalau Babylon lenyap dan Khibti pun musnah, maka Melayu pun boleh ada dan boleh tidak ada. Tetapi kalau orang Melayu bersyukur jadi orang Islam dan syukur itu tidak sekadar disebut, tetapi diamalkan seperti yang dianjurkan Islam: Islam selamat, Melayu pun selamat.” -- Haji Subky Latif, SIASAH, 5 Februari 2008.
___________________________________________________



Subky Abdul Latif (lahir 28 Julai 1940 di Setiawan, Perak) adalah seorang pengarang dan wartawan di Malaysia. Beliau berpendidikan Melayu dan menengah Inggeris.

__________________________________________________


Kerjaya selaku wartawan dan penulis
Haji Subky pernah menjadi pemberita Utusan Melayu dan Warta Negara di Pulau Pinang mulai 1963. Beliau pernah menyertai Kursus Diploma Kewartawanan di Berlin Barat, Jerman. Subky memulakan kerjayanya sebagai seorang wartawan di Utusan Melayu. Beliau merupakan mantan wartawan Kanan Kumpulan Akhbar Utusan Melayu yang sangat disegani dan popular dengan tulisannya yang sangat berwibawa selaku pengarang tajuk rencana dan penulis pojok.

Pada masa itu, Subky berada di barisan ketiga dalam hirarki pimpinan Utusan Melayu, iaitu Mazlan Nordin (Tan Sri), Osman Abadi dan beliau ditempat ketiga. Hal ini demikian kerana, antara wartawan kanan yang telah lama bertugas di Utusan waktu itu, termasuk Zainudin Maidin (kini Tan Sri), Ali Salim (Jiro) dan lain-lain, Subky Latif lah yang ada latar belakang pendidikan yang agak tinggi iaitu MCE dan pelajaran agama di Gunung Semanggol, Perak.

Tambahan pula, beliau mempunyai kepintaran menulis dengan hebat dan disukai ramai. Beliau kerap mengikuti kursus sambil belajar di negara-negara luar khususnya di negara Eropah yang ditaja oleh pejabat kedutaan asing di Kuala Lumpur. Sementelahan, beliau turut menjadi pengasas beberapa buah akhbar seperti dwi mingguan ‘Suara Rakyat’ dan ‘Suara Merdeka.’ Begitu juga dengan beberapa majalah yang ‘diciptanya’ seperti ‘Sarina’, ‘Keluarga’, ‘Kisah Cinta’ dan ‘Kritik’.

Pada tahun 1976, Tan Sri Mohd Khir Johari melancarkan akhbar ‘Harian Watan’ yang tujuannya untuk menjadi suara bebas. Akhbar dwibahasa itu adalah untuk menjadi alternatif kepada akhbar arus perdana. Bagaimanapun, akhbar yang dipimpin oleh Haji Subky Latif (yang juga merupakan mantan pengarang majalah ‘Mastika’) itu gagal dan kemudian menjadi tabloid politik mingguan.

___________________________________________________


Seandainya beliau tidak berhenti dari Utusan untuk menyertai PAS, sudah tentu beliau dilantik oleh pemegang saham terbanyak Utusan menjadi Ketua Pengarang Utusan dan mungkin sampai ke hari ini. Subky menceritakan tujuannya memasuki PAS adalah ‘untuk memastikan demokrasi di Malaysia selamat’. Haji Subky merupakan pengasas akhbar lidah rasmi PAS iaitu Harakah pada tahun 1978. Beliau juga telah diberikan tugas sebagai Ketua Penerangan PAS di zaman Datuk Asri selain mengendalikan Harakah. Selain itu, beliau turut merupakan penulis kepada beberapa buah buku politik. Buku tulisan beliau, ‘PAS Masuk Lubuk Merbau’ yang diterbitkan oleh Penerbit gedung Gua telah diwartakan haram oleh Kementerian Dalam Negeri Malaysia pada 11.7.1985. Buku itu diharamkan oleh Kementerian Dalam Negeri bersama-sama risalah ‘Peristiwa Berdarah di Lubuk Merbau’ tulisan Suhaimi Said, peguam PAS waktu itu. Subky Latif juga pernah menulis pada tahun 1980an, orang yang wajar memimpin PAS selepas Datuk Asri ialah Tuan Guru Haron Din, Dr Sanusi Daeng Mariok dan Anwar Ibrahim (DSAI). Namun, ramalan ini tidak menjadi kenyataan. Malahan, DSAI yang pernah terkenal dengan retorik radikalnya terhadap UMNO, akhirnya menjadi Timbalan Presiden parti tersebut (sebelum disingkarkan pada 1998). Beliau merupakan penulis ruangan ‘1,2 dan 3...’ dan ‘Mens Sana in Corpore Sano’ (dahulunya dikenali sebagai ‘Min aina ila aina’) dalam Harakah dan juga Siasah. ‘Mens Sana in Corpore Sano’ merupakan istilah Latin yang bermaksud ‘akal yang sihat berada di dalam badan yang sihat.’

___________________________________________________


Ahli Politik
Kira-kira pada akhir tahun 60-an dan awal 70-an, Subky Latif diterima umum sebagai pembicara politik yang berpotensi. Beliau amat kritis dan analitis dalam setiap pembicaraan, terutama pembicaraan tentang politik dalam setiap pembicaraan, terutama pembicaraan tentang politik dalam negeri. Ketika beliau berketuakan Datuk Asri dulu, Haji Subky pernah ‘merestui’ penyingkiran Datuk Muhammad Nasir. Dalam suatu forum di Universiti Malaya ketika Muhammad Nasir disingkir dulu, Haji Subky memberikan pandangan yang amat tidak popular. Hal ini berlaku kerana Muhammad Nasir terlalu popular pada waktu itu. Hadirin benar-benar tidak menyenanginya apabila beliau menyarankan bahawa pembelaan terhadap Muhammad Nasir adalah sia-sia. Ketika itu, Subky bagaikan mewakili (menyebelahi) Asri untuk berusaha memudarkan imej Muhammad Nasir. Bagi para hadirin pula, usaha Subky sudah tidak menarik lagi, kerana ia telah menyebelahi suatu pihak yang sedang dipersoalkan. Kemudian, apabila kepimpinan Datuk Asri sudah tidak lagi disenangi ramai (kerana didakwa terlibat dengan beberapa skandal seperti nepotisme), Subky mengkritik kerajaan kerana tidak berusaha bersungguh-sungguh membasmi kemungkaran. Ini adalah bertentangan dengan pandangan Datuk Asri yang menyatakan bahawa usaha-usaha kerajaan menerapkan nilai-nilai Islam ke dalam pemerintahan adalah ‘baik dan dialu-alukan’.
__________________________________________________


Pandangan Subky ketika itu jelas sekali mirip kepada pandangan Ustaz Abdul Hadi Awang, yang dilihat sebagai pemidato pintar oleh satu pihak, dan pemimpin muda radikal oleh pihak yang lain. Sewaktu menjawat Setiausaha Pemuda PAS Pusat sekitar tahun 1982, beliau telah memulakan usul dan menjadi pelopor konsep ‘Kepimpinan Ulama’. Apabila Asri disingkirkan oleh kumpulan Muda PAS yang pro-Revolusi Iran, kaum muda PAS seperti Mustafa Ali dan Subky Latif menguasai Dewan Pemuda PAS. Subky pernah menjadi ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat 1982 hingga 2005. Beliau pernah juga menjawat jawatan Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan. Haji Subky merupakan antara individu yang bertanggungjawab ‘mendekatkan’ PAS dengan masyarakat bukan Islam pada tahun 1985 dan 1986 sehinggakan di Kuala Lumpur dibuat seminar-seminar yang memberi penerangan konsep pemerintahan Islam kepada kaum Cina. Kemudiannya, PAS mengorak langkah dengan mengadakan ceramah-ceramah di Dewan Perhimpunan Cina sehingga tertubuhnya CCC (Chinese Comunity Council) yang dianjurkan PAS.
___________________________________________________


Menyertai Pilihan Raya: Menentang Tun Mahathir
Selain menulis, beliau sendiri pernah bertanding pada pilihan raya kecil Pelabuhan Kelang, 1 Disember 1979.  Pilihanraya kecil parlimen Pelabuhan Kelang 1979 diadakan berikutan kematian Tan Sri V. Manikavasagam, Menteri Buruh dan Presiden MIC. Manikavasagam meninggal dunia pada 12 Oktober 1979. Pengundi di situ hampir 30,000 keturunan Jawa dan 7000 pengundi India. Subky Latif tewas,hanya mendapat 7000 undi sahaja. Calon MIC, Guvindaraj menang. Selepas kalah pilihan raya itu, Subky menulis buku ‘Anak Jawa Pelabung Klang’. Subky merupakan antara pemimpin yang banyak menyertai pilihan raya. Bertanding di Perak, Terengganu, Setapak Kuala Lumpur, dan pernah ‘melawan’ Tun Dr Mahathir di Kubang Pasu, Subky yang tidak pernah menang kerusi sekalipun tetap istiqamah dalam perjuangannnya.

___________________________________________________


Pengiktirafan
Sementara itu, pada 25 April 2011, Haji Subky telah diberikan ‘Anugerah Jasa Baktimu Dikenang’ oleh Dewan Pemuda PAS Kawasan Machang, memandangkan penglibatan besar, kuat dan mendalam beliau sejak PAS belum dikenali hingga kini terus menulis dalam usaha mengambangkan pengaruh perjuangan Islam dalam negara ini.
___________________________________________________


Khatimah
Haji Subky pernah menukilkan,
“Apa yang paling penting dalam dada seorang wartawan, ialah prinsip tidak teragak-agak untuk menyatakan kebenaran walaupun kadang-kadang salah… Kalau tidak betul akhirnya akui kesalahan kita. Sesiapa yang tidak puas hati dan kata salah, mesti buktikan kesalahan dan sanggah saya dengan penuh yakin, jika tidak saya tidak akan terima.”
Haji Subky Latif, seorang pejuang, akan senantiasa dikenang, sebagai penulis yang menulis tulisan-tulisan yang strategik, khususnya yang tertakluk dan bersesuaian dengan cita-cita besar dan matlamat parti yang disayanginya. Khalas.

*******************************

Sumber dan pautan:
i. Halim Mahmood. Senario Pemilihan UMNO, 1986. Semenyih: Marwilis Publisher;
ii. Kamal Amir. Era Melayu Baru, 1993. Petaling Jaya: Warkah Tulin Sdn Bhd;
iii. Kamal Amir. Episod Gelora Melayu, 2007. Petaling Jaya: Putrajaya Bumi Communications Sdn Bhd;
iv. Ruhanie Haji Ahmad. Musa Hitam: Serene in the Storm, 1987. Petaling Jaya: Media Indah Sdn Bhd;
v. Subky Latif. Istimewa Terkenang: Siri Koleksi Rencana Terpilih Siasah, 2009. Kuala Lumpur: Media Icon Sdn Bhd;
vi. Syed Hussein Al-Attas. Musa A Traitor?, 1986. Kuala Lumpur: AlNujum Sdn Bhd;
vii. Yahaya Ismail. Siapa Kebal: Mahathir atau Raja-Raja Melayu?, 1993. Kuala Lumpur: Dinamika Kreatif Sdn. Bhd.;
viii. Yahaya Ismail. Siapa Presiden UMNO 1987: Mahathir-Tengku Razaleigh?, 1987. Kuala Lumpur: Dinamika Kreatif Sdn. Bhd.;
ix. Zabidi Mohamed. Lelaki UMNO Terakhir: Iktibar Untuk Pejuang Islam, 1999. Kuala Lumpur: Zabidi Publication;
x. Zainuddin Maidin. Mahathir Di Sebalik Tabir, 1994. Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd;
xi. Zakri Abadi. Mahathir Machiavelli Malaysia?, 1990. Kuala Lumpur: Sarjana Enterprise;
xii. http://yazidothman.com/index2.php?option=com_content&do_pdf=1&id=185;
xiii. http://www.harakahdaily.net/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=22968:menghayati-nasihat-penulis-produktif&catid=91:wartawan&Itemid=129;
xiv. http://www.facebook.com/profile.php?id=1209437285;
xv. http://sgburong.wordpress.com/2010/06/;
xvi. http://mzubairafandi.blogspot.com/2011_01_06_archive.html;
xvii. http://sanggahtoksago.blogspot.com/2008_01_27_archive.html;
xviii. http://bumiperak.blogspot.com/2009/10/sukby-latif-penulis-first-news-bukan.html>;
xix.
http://alhusseyn51.blogspot.com/2010_11_01_archive.html; dan
xx. http://sanggahtoksago.blogspot.com/2010/07/subky-latif-dakwa-mahathir-lagi-bebas.html .

3 ulasan:

  1. Maklumat yang berguna untuk generasi muda dalam bidang kewartawanan. Saya mengikuti dan menyaksikan sendiri ' keberanian ' beliau semasa mengikuti ceramah kewartawanan yang disampaikan beliau .

    BalasPadam
  2. Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pengarang.

    BalasPadam
  3. terima kasih atas tulisan saudara..saya mohon share dlm fb saya utk simpanan saya sendiri..tq tq tq..

    BalasPadam

Dr. Zulkifli Hasan: Menjambatani Persaudaraan, Menyubur Kesejahteraan

  Dr. Zulkifli Hasan: Menjambatani Persaudaraan, Menyubur Kesejahteraan   Oleh: Zairudin Hashim (Ahli Dewan Tertinggi Majlis Belia M...