Ketika jutawan-jutawan Arab sibuk berebut, untuk membida nombor pendaftaran kereta (nombor plat) yang paling ideal dengan harga puluhan juta; dan
Ketika pemimpin-pemimpin dunia sibuk bersaing membina bangunan pencakar langit yang paling tinggi:
Berapa ramai dalam kalangan mereka itu (termasuk kita) yang ambil kisah akan hak yang satu itu -- hak untuk mendapatkan makanan (dan minuman yang bersih)?
Negara-negara yang sering berada dalam kancah peperangan, bencana alam, mundur dan pengurusan yang lembap seperti: Afghanistan, Haiti, Iraq, Angola, Burundi, Republik Afrika Tengah, Chad, Congo, Korea Utara, Republik Demokratik Congo, Eritrea, Ethiopia, Guinea, Pantai Gading, Kenya, Liberia, Sierra Leone, Tajikistan, Uganda dan Zimbabwe, seolah-olahnya tidak menjadi keutamaan masyarakat dunia yang hanyut dengan gelombang kapitalisme.
Apalah salahnya, jika wang jutaan ringgit yang ingin dilaburkan untuk tujuan pembaziran (seperti pembidaan nombor plat kenderaan), digunakan untuk membantu saudara sedunia (manusia lain).
Dan, saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Ramadhan Kareem; Allahu Akram buat pembaca budiman yang diberi kesempatan untuk menjalani ibadah puasa untuk kesekian kalinya, tahun ini.
Terima kasih yang setinggi-tingginya kita panjatkan buat Allah SWT. Di atas limpah kurnia-Nya lah, doa kita pada Ramadhan yang lalu, untuk dapat bertemu dengan bulan penuh barakah ini sekali lagi, diperkenankan-Nya. Alhamdulillah. Syukur.
Ponteng puasa
Masyarakat kita memang terkenal dengan tabiat ‘ponteng puasa.’ Sewaktu saya kecil, ungkapan yang popular ialah ‘puasa yang yok, pagi-pagi buka periuk.’ heh.
Ingatlah, Baginda SAW dan para sahabat serta pejuang Islam, sanggup berperang dalam bulan Ramadhan sewaktu Perang Badar.
Takkanlah kerana tidak tahan dengan ketagihan rokok, kita sanggup meninggalkan puasa? Gastrik: alasan remeh atau memang penyakit yang serius?
Pembaziran makanan
Kita juga gemar membeli juadah yang pelbagai sewaktu bulan Ramadhan. Itu belum dicampur dengan juadah yang dimasak di rumah. Akhirnya, ke dalam tong sampah jugalah tempat makanan tersebut.
Tak salah jika kita ingin menikmati hidangan yang enak. Tapi, pastikan kita mampu menghabiskan makanan tersebut. Kalau tidak, membazirlah jawabnya.
Justeru, tatkala kita mengeluh kerana nasi kukus ayam berempah atau kuih pulut panggang yang ingin dibeli di pasar Ramadhan telah kehabisan, ingatlah, bahawa masih ramai saudara kita di luar sana yang hanya makan pasir dan sisa makanan yang kotor.
Ingatlah juga, bahawa anak-anak pelarian di Afrika terpaksa berjalan kaki sejauh kurang lebih 20 batu hanyasanya untuk mendapatkan bekalan air.
Dan ingatlah, dalam kalangan mereka yang kebuluran ini, ada yang masih sanggup menunaikan kewajipan berpuasa. Di kala kita berbahagia menikmati juadah berbuka yang enak-enak, anak-anak Palestin berbuka puasa dengan batu-batu perjuangan dan tangis luka yang lusuh.
Sedarlah kita semua, bahawa pada bulan September 2010 sahaja, jumlah orang yang mengalami kebuluran di seluruh dunia adalah berjumlah 925 juta orang.
Justeru, janganlah membazir. Beringatlah. Bersyukurlah dengan segala kurnia-Nya. Alhamdulillah.
Sesungguhnya, Allah SWT telah berfirman di dalam surah Al Isra' ayat 26 dan 27 yang bererti :
وَءَاتِ ذَا ٱلۡقُرۡبَىٰ حَقَّهُ ۥ وَٱلۡمِسۡكِينَ وَٱبۡنَ ٱلسَّبِيلِ وَلَا تُبَذِّرۡ تَبۡذِيرًا (٢٦) إِنَّ ٱلۡمُبَذِّرِينَ كَانُوٓاْ إِخۡوَٲنَ ٱلشَّيَـٰطِينِۖ وَكَانَ ٱلشَّيۡطَـٰنُ لِرَبِّهِۦ كَفُورً۬ا (٢٧)
Dan berikanlah kepada kerabatmu dan orang miskin serta orang musafir akan haknya masing-masing dan janganlah engkau membelanjakan hartamu dengan boros yang melampau. (26) Sesungguhnya orang-orang yang boros itu adalah saudara-saudara Syaitan, sedang Syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya. (27)
Salam Ramadhan. Khalas.
*Nota kaki: Sedang belek-belek telefon bimbit, tiba-tiba ada seorang sahabat menghantar pesanan ringkas SMS berbentuk pantun. Agak menarik juga. Jom kita kongsi:
Bunga mawar harum mewangi,
bunga seroja putih warnanya;
bulan Ramadhan patut dinanti,
bulan keberkatan tiada tandingannya.
Sumber dan pautan:
i. Pictures of hungers and death in Somalia;
ii. http://www.politicalrogue.com;
iii. http://mstar.com.my/berita/luar_negara/cerita.asp?file=/2011/8/5/mstar_luar_negara/20110805171038&sec=mstar_luar_negara;
iv. Laman Blog Lina Jalil;
v. http://www.syafiqrahim.blogspot.com;
vi. http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0808&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_13.htm;
vii. Negara yang menghadapi masalah kekurangan makanan; dan
viii. Sumbangan kepada mangsa kebuluran.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan