Rabu, Oktober 13, 2010

Street Fighter: Bukan hanya permainan video!


Salam.

Saya kira -- belum terlambat untuk saya menghulur takziah dan simpati saya yang sekudusnya buat semua mangsa yang terkorban dan terlibat dalam nahas ngeri di Simpang Ampat, Lebuh Raya PLUS kelmarin.

Ayuh, sedekahkan bacaan Al-Fatihah yang setulusnya buat mereka.

Sementelah, di kala kita masih bersedih dan terkejut dengan berita tersebut, ada satu lagi perkara yang menarik serta ingin saya singgung dalam posting kali ini. Iaitu berkenaan sikap penyokong bola sepak kita.

Sikap ini sudah saya perhatikan sejak beberapa ketika. Saya merupakan penyokong setia The Red Giants (gelaran pasukan Selangor); tak pernah jemu ke Stadium Shah Alam sejak kecil untuk menyaksikan pasukan kegemaran saya beraksi.

Sewaktu kejatuhan Selangor (sekitar 1998-2001), saya masih tetap setia menyokong pasukan ini. Kerana bagi saya, kalah atau menang itu soal kedua. Soal pokok ialah kesetiaan serta sokongan padu.

Untuk apa jadi oportunis jika hidup dalam kepura-puraan?

Lebih kurang jam 8 malam tadi (selepas menunaikan solat Maghrib), saya terus ke Stadium Shah Alam untuk menyaksikan perlawanan Piala Malaysia antara Selangor dan Kelantan.

Saya berasa senang, kerana di kawasan saya duduk, ada dua-tiga orang penyokong Selangor berbangsa Cina yang menyaksikan perlawanan malam itu. Rupa-rupanya, masih ada tempat untuk bola sepak kita di hati mereka. Saya sangat bersyukur.

Saya sangat merindui kemeriahan serta kegemilangan sukan di Malaysia yang merentasi isu perkauman sempit.

Dulu kita ada Jeffrey Ong dan Nurul Huda Abdullah untuk sukan renang, M. Kumaresan untuk sukan berbasikal, Datuk Soh Chin Aun, Mendiang R. Arumugam (The Spiderman), Serbegeth Singh, Santokh Sing, Datuk James Ong, Mendiang Ong Yu Tiang untuk sukan bola sepak (sekedar menyebut beberapa tamsilan).


Dulu, kemenangan serta kejayaan atlet-atlet ini dianggap sebagai kejayaan negara dan rakyat.

Malangnya, kini ada kecenderungan untuk menganggap kejayaan atlet daripada kelompok kaum tertentu sebagai kejayaan negara. Selebihnya, jika atlet itu mempunyai darah keturunan bangsa lain, maka kita berkecenderungan menganggap ia sebagai kejayaan peribadi mereka.

Mujur ada pengecualian dalam kes Datuk Lee Chong Wei dan Datuk Nicole Ann David. Mereka diangkat sebagai wira negara.

Sudahlah bidang sukan semakin dikesampingkan sejak di peringkat awal persekolahan (kebanyakkannya mengejar kecemerlangan akademik -- siapa dapat A paling banyak), kini isu perkauman sempit pula yang timbul.



Berbalik kepada perlawanan Selangor-Kelantan tadi:-
Yang membuatkan saya sangat tersinggung ialah sikap penyokong kedua-dua pasukan -- yang tidak punya semangat kesukanan serta sivik yang tinggi.

Sejak sebelum wisel permulaan dibunyikan lagi, mercun sudah mula dibaling ke arah padang dan tempat duduk penyokong lawan.

Kemudian, ada usaha untuk menyeberang had kawasan tempat duduk yang telah ditetapkan pengurusan stadium (dan diawasi oleh RELA dan FRU).

Natijahnya, tempat duduk dikopak dan dilontar ke arah kawasan penyokong lawan. Ada yang merusuh, seolah-olah hilang pedoman.

Selepas perlawanan tamat, kawasan luar stadium dijadikan gelanggang "street fight" untuk kedua-dua penyokong melepaskan nafsu amarah tidak bertamadun mereka. Bermula dengan cemuh-mencemuh, kemudian diikuti dengan adegan tumbuk-menumbuk dan sepak terajang.

Selebihnya, kita boleh sama-sama teka dan bayangkan apa yang berlaku bila berpuluh-puluh ribu manusia merusuh. Aduhai!

Menurut seorang sahabat saya, seorang telah meninggal dunia kerana kelemasan dan banyak kereta dirosakkan.

Jadi, tuntasnya; keputusan Selangor lawan Kelantan: 0-0.
Yang kalah: Bola sepak Malaysia.
Yang menang: Semangat kenegerian dan kebejatan sikap yang melampau.

Soal sikap memang takkan pernah habis. Sungguh!

Daulatkanlah assobiyyah mu itu.
Huh!

** p/s:: Gambar -- Amri Yahyah. Beliau merupakan kenalan abang ipar saya. Abang ipar saya orang Kelantan (Kampung Chicha) dan menetap di Seri Kembangan. Mereka berkenalan sewaktu Datuk Satim Diman menjadi pengurus Selangor (sekitar 2005). Amri Yahyah memang berbakat besar dan mempunyai penyokong yang ramai. Cuma, beliau perlu mengawal sikap di atas padang. Viva Selangor!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Dr. Zulkifli Hasan: Menjambatani Persaudaraan, Menyubur Kesejahteraan

  Dr. Zulkifli Hasan: Menjambatani Persaudaraan, Menyubur Kesejahteraan   Oleh: Zairudin Hashim (Ahli Dewan Tertinggi Majlis Belia M...