Rabu, Januari 03, 2018

GEORGE BEST: PEMENANG BALLON D'OR YANG PERNAH MENYARUNG JERSI MALAYSIA.

GEORGE BEST: PEMENANG BALLON D'OR 
YANG PERNAH MENYARUNG JERSI MALAYSIA.
"Maradona good, Pele better, George Best" sering menjadi ungkapan peminat bola sepak Ireland Utara.
Dalam Kejohanan Pestabola Merdeka 1983, George Best, satu nama besar dalam sejarah bola sepak dunia, sebenarnya pernah beraksi untuk pasukan Harimau Malaysia (skuad pelapis) sebagai ketua pasukan dan pemain jemputan.
Selain Best, Kevin Keegan juga pernah menjadi pemain jemputan dalam kejohanan yang sama.
Pestabola Merdeka Ke-27 pada 1983 menyaksikan skuad Malaysia dibarisi oleh: Rashid Hassan, R. Arumugam, Lim Teong Kim, Santokh Singh, Soh Chin Aun, Serbegeth Singh,Wong Hung Nung, K. Gunasegaran, Ahmad Yusoff, G. Torairaju, Mohamed Nor Haji Yaacob, A. Rukumaran, Zainal Abdin Hassan, Roshidi Shaari, C. Nadarajan, Ho Hon Seong, Chen Wooi Haw, dan Hassamuddin Hassan. Jurulatihnya ialah Frank Lord.
Skuad Harimau Malaysia pula dibarisi oleh: Abdul Nasir, K. Ravindran, M. Ravindran, Ahmad Sobry Ismail, Azizol Abu Haniffah, Kamarulzaman Yusoff, Mohamed Razip Ismail, Abdul Karim Pin, Salim Mohamed Mohaidin, Mohamed Faridzul Kassim, Yusoff Din, Manja Man, Lahat Daduk, Abdullah Mohamed Din, P. Dharmalingam, Dzulkifli Ali, Azlan Johar, S. Krishnamoorthy, dan Mohamed Zakaria. Skuad ini dikendalikan oleh Abdullah Mohamad.
Pasukan yang bertanding adalah: Malaysia, Harimau Malaysia, Argentina Selection, Korea, Bangladesh, Nepal, Algeria, Rio de Janeiro Selection (Brazil), Korea Olympic 88 (Korean Youth), Thailand, Ghana, dan Team America.
George Best yang popular dengan gelaran "O Quinto Beatle", "the fifth Beatle" (ahli kumpulan Beatle kelima), kemudiannya mengunjungi Malaysia pada 1996.
Gelaran O Quinto Beatle timbul hasil tulisan para wartawan Portugal, apabila Best yang mengenakan gaya rambut 'mop top' ala Beatle, menyumbat dua gol, sewaktu pertembungan epik Manchester United dan Benfica pada peringkat suku akhir Piala Eropah 1966.
Dalam masa kira-kira 15 minit, Best menjaringkan dua gol tersebut dengan penuh bergaya, dan membantu John Connelly menambah jaringan United, untuk kedudukan kemudiannya menjadi 5-1.
Bukan calang-calang pasukan yang perlu didepani United, Benfica dibarisi oleh Eusebio, Germano, Jose Augusto Torres, dan Antonio Simoes.
Sebelum perlawanan tersebut, Eusebio baru saja dinobatkan sebagai Pemain Terbaik Eropah. Namun, gaya, kemahiran dan perwatakan unik Best akhirnya menenggelamkan Raja Portugal tersebut.
'El Beatle' pun lahir dengan megahnya, malah sebelum beliau masuk ke dalam padang sekali pun. Bintang ini yang ketika itu telah tiga musim bersama United, hadir dengan reputasi Juara Liga Divisyen Satu.
Tarikh keramat itu, 9hb Mac 1966, Best beraksi di hadapan 75,000 penyokong setia Benfica dengan gelora sorakan yang dahsyat.
Namun, bak kata Best, "Sorakan penyokong - sendiri atau lawan, adalah seperti mendengar muzik di radio yang menghiburkan saya. Lagi kuat, lagi bagus."
Estadio da Luz (Stadium of Light) pada malam tersebut dilanda taufan hebat bernama George Best!
Dua pasukan ini bertemu lagi di Stadium Wembley pada Final Piala Eropah 1968, 10 tahun selepas tragedi udara Munich.
Kedua-dua pasukan terikat 1-1 dalam masa penuh permainan. Best meletakkan United di depan kemudiannya dalam masa tambahan, sebelum Brian Kidd dan Bobby Charlton menempa nama dalam sejarah bola sepak dengan sumbangan gol masing-masing.
Best kemudiannya diumumkan sebagai pemenang Ballon d’Or pada 1968.
Pada 1969, Best mengumumkan bahawa beliau akan meninggalkan tabiat buruknya sebagai kaki botol dan kaki perempuan.
Tetapi, menjadi lumrah seorang Geoge Best, ianya hanya bertahan selama 20 minit!
Pada Januari 1974, Best membuat penampilan terakhir bersama United sewaktu menentang QPR.
Meskipun menyatakan akan membuat penampilan semula dalam saingan kompetitif, akhirnya Best mengumumkan persaraan pada 1984.
Tahun 1984 juga menyaksikan Best meringkuk dalam penjara selama 12 minggu.
Best meninggal dunia pada 2005 ketika berusia 50an, antara lain kerana ketagihan alkohol yang serius.
Meskipun dihimpit pelbagai skandal termasuk kes mahkamah dan masalah kewangan, Best akan dikenang sebagai antara bintang bola sepak yang paling dikenali di seluruh dunia.
Dengan penuh yakin, Best pernah menyebut bahawa, "Saya lah yang mula-mula meletakkan berita bola sepak ke muka surat depan, daripada muka surat belakang."
Best yang sangat diingati kerana kerdipan bintangnya di dalam dan luar padang; diletakkan sebaris legenda terbilang United seperti Denis Law dan Sir Bobby Charlton.
Demikianlah kisah George Best, pemenang Ballon d'Or yang pernah beraksi untuk Harimau Malaysia di Kuala Lumpur.

BEKAS AWANG IMPORT SELADANG, TERIMA INTERNATIONAL MEDAL OF HONOUR.

BEKAS AWANG IMPORT SELADANG, 
TERIMA INTERNATIONAL MEDAL OF HONOUR.
Retro Bola Sepak (RBS) mengucapkan tahniah kepada bekas awang import skuad Seladang untuk musim 2005-2007, Traore Abdoulaye yang telah menerima International Medal of Honour di atas sumbangan beliau kepada dunia bola sepak.
Beliau membawa Burkina Faso untuk layak buat kali pertama dalam kejohanan Africa Nations Cup pada 1996, dan mara ke separuh akhir pertandingan sama, pada 1998.
Di Malaysia, beliau dikenang oleh penyokong Perak FA, kerana pernah menabur jasa dalam saingan Liga Super 2005-2007.
Lahir pada 29hb November 1974, beliau mula mengenali skuad Kejor Yob Kejor menerusi Keita Mandjou, ketika itu bintang import Seladang yang menjadi sebutan.
Jaringan cantik beliau ketika Piala Sumbangsih 2006, pasti dikenang apabila berjaya membenam skuad bintang Selangor FA yang juga musuh tradisi Perak, 4-1.
Membarisi antara skuad terbaik Perak, kelincahan Mandjou dan ketajaman Khalid Jamlus membolehkan Perak muncul sebagai pasukan dengan jaringan terbanyak sebanyak dua musim.
Tahniah, Traore Abdoulaye. Kejor Yob Kejor!

THE PROFESSOR, DARI SELATAN TANAH AIR.


THE PROFESSOR, DARI SELATAN TANAH AIR.
Terkenal dengan gelaran 'Mr. Professor', Abdul Nasir bin M. Yusof memulakan kerjayanya bersama skuad Piala Razak Johor FA pada 1980.
Lahir pada 1961 di Johor Bahru, beliau menyarung jersi senior Johor FA sejak 1981 hingga 1994.
Bersama skuad kebangsaan, 86 caps disumbangkan sepenuh jiwa dan keringat sejak 1982, di mana beliau turut membarisi skuad pelapis negara pada 1981.
Di Johor FA, beliau membantu pasukan tersebut merangkul Juara Piala Malaysia 1985 dan 1991, Naib Juara Piala Malaysia 1986, dan Juara Liga Semi-Pro 1991 sebagai pemain.
Sukan Asia 1982 di India; Naib Juara Piala Presiden Bangladesh 1983; Pestabola Merdeka 1983; Pra-Olimpik Asia 1983; Pingat Gangsa Sukan SEA di Bangkok pada 1985; Juara Pesta Bola Merdeka 1986; Pingat Perak Sukan SEA di Jakarta pada 1987; adalah antara pencapaian beliau selaku pemain ketika menyarung jersi Malaysia.
Memegang Lesen 'A' selaku jurulatih, beliau pernah terlibat dengan Johor FA dan skuad Piala Presiden Johor selaku pembantu jurulatih sejak 1996.
Sebagai pembantu jurulatih skuad kebangsaan, terlibat membantu Malaysia mendapat tempat ketiga Piala AFF Tiger 2004; serta Pingat Gangsa Sukan SEA ke-23.
Terkenal dengan ketenangan serta kepintaran mengawal permainan, gelaran 'The Professor' diberikan oleh belas pengendali Johor FA, Michael Urukalo pada 1991.
Sesiapa yang menyaksikan aksi beliau pada era 90an, pastinya tidak bisa melupakan kemahiran beliau mengawal bola serta tempo permainan, sewaktu menjadi jeneral buat skuad Harimau Selatan.
Skuad Johor FA kemudiannya popular dengan gelaran dan maskot 'Jengking', bersama jenama tempatan 'JKiNG', sebelum kembali dikenali sebagai 'Harimau Selatan', selepas proses penjenamaan semula Johor FA, Johor FC, MBJB, MP Muar FC dan Pasir Gudang United FC kepada JDT FC (I-IV) pada 2013.
Terima kasih, The Professor. Jasamu dikenang!


Dr. Zulkifli Hasan: Menjambatani Persaudaraan, Menyubur Kesejahteraan

  Dr. Zulkifli Hasan: Menjambatani Persaudaraan, Menyubur Kesejahteraan   Oleh: Zairudin Hashim (Ahli Dewan Tertinggi Majlis Belia M...