Khamis, Januari 26, 2012

Filem: Kembara Seniman Jalanan (1986)

21 September 2012: Alhamdulillah, 
dapat jumpa Abang Osman Tikus 
(Pyanhabib Rahman), seniman 
rakyat yang sempoi.
Bersama Saudara Pyanhabib Abd Rahman aka 'Osman Tikus'. 
Sedikit tentang 'Kembara Seniman Jalanan' di sini: http://chedinsphere.blogspot.com/2012/01/filem-kembara-seniman-jalanan-1986.html

Filem: Kembara Seniman Jalanan (1986)

Filem ini adalah hasil arahan Nasir Jani dan M. Nasir selaku penulis skrip.

Filem yang ditayangkan kepada umum pada Februari 1986 ini telah dibintangi oleh M.Nasir, Majid Salleh, Pyan Habib, dR Sam, Shah Reza, Imuda, Siso Kopratasa, Kumpulan Sweet Charity, M. Rajoli, Hasnah Ibrahim, Amy dan kumpulan Search, Ramli Sarip, Ito Lara dan Kumpulan Blues Gang, serta Neeruam atau Maureen.

Filem ini diterbitkan oleh Zarul Al-Bakri melalui ZSA Holdings Sdn Bhd. Filem ini dimulai dengan paparan warna-warna lukisan pelukis tempatan seperti S. Amin Shahab, M. Nasir, Mohd Din dan dibayangi dengan imej watak utama iaitu M. Nasir sendiri sebagai Jebat atau Bujang.


----------------------------------------


Sinopsis:
Bujang (lakonan M. Nasir) yang baru tiba di ibukota telah bertembung dengan tidak sengaja dengan Osman Tikus (lakonan Pyan Habib) di Hentian Puduraya. Osman merupakan seorang penyeluk saku. Pertembungan itu mengakibatkan dompet Bujang juga turut menjadi mangsa Osman. Hal ini hanya disedari setelah Bujang ke gerai burger milik Brader Joe (Imuda) untuk mengalas perut sebelum meneruskan tujuan ke Studio rakaman milik Encik Johan, seorang pengusaha syarikat rakaman bumiputera yang terlibat dengan cetak rompak. Akibatnya, Bujang terpaksa makan burger yang tidak berbayar.

Sesampai di studio rakaman, Bujang terpaksa menunggu lama dan disuruh pulang dan datang semula esok harinya oleh Encik Johan kerana alasan sibuk dan tidak mahu melayan Bujang. Bujang berjumpa semula dengan Osman selepas itu di gerai Brader Joe. Bujang nampak Osman ada di situ dan terus menyerang Osman, tetapi berjaya dihalang oleh Brader Joe dan Siso. Kemudian Osman memohon maaf dan mengajak Bujang tinggal bersama di rumah ‘tinggal’ di ibu kota.


----------------------------------------



Keesokan harinya, Bujang kembali ke studio rakaman dan apabila tiba giliran uji bakat, beliau dipersendakan dan diperlekehkan oleh Encik Johan kerana penampilan yang ‘rugged’. Bujang mendendangkan lagu ‘Rupa Tanpa Wajah’ secara akustik dan dalam diam-diam, Encik Johan telah merakam dan menciplak lagu tersebut dan diberikan kepada penyanyi pop terkenal bernama Fareez (Shah Reza). Di situ juga Bujang bertemu dengan Khaty, seorang wartawan hiburan.


Bujang yang tiada mendapat peluang menjadi artis rakaman telah didorong oleh Brader Joe supaya membuat persembahan secara terbuka (basking) di kaki lima bangunan-bangunan. Biasanya beliau ditemani oleh Osman yang turut mengambil kesempatan menyeluk saku. Mereka adakalanya dihalau oleh Pihak Berkuasa kerana dituduh mengemis.


----------------------------------------


dR Sam dan Neeruam, juga pengusaha syarikat rakaman, turut mencari-cari bakat baru untuk diketengahkan. Suatu hari, Khaty telah dipanggil oleh Encik Johan untuk mendengar lagu dari album terbaru Fareez. Encik Johan cuba merasuah Khaty dengan wang suapan supaya mempromosikan album itu. Khaty terserempak dengan Bujang yang menyanyi di tepi jalan, dan bertanyakan lagu yang dinyanyikan serupa dengan lagu Fareez. Barulah Bujang sedar yang karya beliau telah dirakam rompak dan diciplak. Beliau dan Osman telah mengamuk dalam satu majlis promosi dan pradengar album Fareez di sebuah hotel terkemuka di ibukota. Mereka berdua kemudiannya telah ditahan dan dipenjarakan.



----------------------------------------



Neeruam telah mengikat jamin Bujang dan Osman. Kemudian, mereka menjadi artis syarikat rakaman dR Sam bersama artis lain seperti Search, Blues Gang dan Sweet Charity.



----------------------------------------

* Nota Kaki:
1) Filem yang cukup dekat dengan masyarakat ini adalah filem ‘wajib tonton’ buat mereka yang mahukan kelainan dalam filem Melayu.

2) Selain barisan pelakon-pelakon hebat, filem ini dikenang kerana mengangkat isu ‘cetak rompak’ (sepatutnya ‘ciplak’) dan penindasan ke atas artis, yang terus menjadi polemik -- sejak dahulu – sehingga hari ini.

3) Satu perkara menarik untuk disentuh di sini ialah, tatkala kita sering menyangka ‘ciplak’ dan ‘cetak rompak’ membawa maksud yang sama, hakikatnya adalah sebaliknya.

4) ‘Cetak rompak’ bermaksud pencabulan hak terhadap pemilik hak cipta, di mana bahan-bahan yang dilindungi hak cipta digunakan sewenang-wenangnya tanpa izin. Sementelah, ‘penciplakan’ pula berkaitan dengan perbuatan memplagiat reputasi pengkarya yang dicapai melalui dakwaan hasil pengkaryaan yang palsu.

********

Sumber:
• http://ms.wikipedia.org/wiki/Kembara_Seniman_Jalanan;
• http://www.sinemamalaysia.com.my/film/info/?id=Kembara_Seniman_Jalanan_347; dan
• http://tehparadox.com/forum/f56/kembara-seniman-jalanan-1986-dvdrip-220216/.

********

:)

3 ulasan:

  1. Ada link cerita ni tak che din?? heh.. :)

    BalasPadam
    Balasan
    1. Ada, taip saja "Kembara Seniman Jalanan (1986) Full Movie" di Youtube. :)

      Padam
  2. Saya baru berjaya tonton filem ni minggu lepas. Tapi pengakhiran filem agak kabur bagi saya. Literally kabur. Boleh encik bagi pencerahan, apa sebenarnya yang berlaku pada Osman Tikus? Kualiti video agak rendah, saya tak pasti apa yang berlaku. huhu

    BalasPadam

Dr. Zulkifli Hasan: Menjambatani Persaudaraan, Menyubur Kesejahteraan

  Dr. Zulkifli Hasan: Menjambatani Persaudaraan, Menyubur Kesejahteraan   Oleh: Zairudin Hashim (Ahli Dewan Tertinggi Majlis Belia M...