Isnin, November 29, 2010

Jokuk Tongil: Ini bukan Perang Pekan Yong Peng, Johor. Sungguh!


Rasulullah SAW bersabda, "Al-Harj (akan meningkat)". Mereka bertanya, "Apakah Al- Harj itu?". Baginda SAW menjawab, "(Iaitu) pembunuhan (saling membunuh), (iaitu) saling membunuh (pembunuhan)." (HR Bukhari).

Hari Kiamat (As Sa'ah) akan tiba ketika kekerasan, pertumpahan darah, dan kekacauan akan menjadi suatu yang lazim (HR Al-Muttaqi al-Hindi, Muntakhab Kanzul Ummaal).

Dunia ini tidak akan menemui akhirnya, hingga suatu hari akan datang pada manusia, pada hari itu akan ada pembunuhan massal dan pertumpahan darah. (Muslim)

-------------------------------------------------------------------------------------

Salam. :)

Tanggal 23 November 2010 telah mencatatkan serangan yang dilancarkan oleh Tentera Korea Utara terhadap Pulau Yong Pyong, yang terletak di Korea Selatan. Serangan tersebut menatijahkan kematian dua orang awam seta dua orang tentera marin Korea Selatan.



Sejelasnya, sejarah permusuhan Korea Selatan dan Korea Utara sudah berlangsung sejak sekian lama. Sejak sekitar tahun 1945 lagi, Kesatuan Soviet telah menduduki Korea di bahagian utara dan Amerika Serikat di bahagian selatan.

Seperti yang kita sedia maklum; sejarah mencatatkan Perang Korea [juga dikenali sebagai Perang 6-2-5 (yuk-i-o jeonjaeng)] meletus akibat perang saudara pada 25 Jun 1950, apabila Korea Utara menyerang Korea Selatan.

Ini diburukkan lagi dengan campur tangan kuasa besar dunia -- yang ingin membuktikan siapa lebih hebat -- antara Tentera Bersekutu yang diketuai Raja Kapitalisme, Amerika Syarikat dan sekutunya (seperti Britania Raya (United Kingdom), Turki, Kanada, Australia dan beberapa negara lain yang berselindung di balik panji PBB), dengan Kuasa Besar Komunisme seperti Republik Rakyat China dan Kesatuan Soviet (USSR).

Ramai pengkaji sejarah berpandangan bahawa Perang Korea adalah peperangan Kim Il Sung dari Korea Utara yang menyerang Korea Selatan, perang agresif yang didokong oleh Stalin dan Mao Zedong. Pyongyang lah yang didakwa meletuskan tembakan pertama, mencetuskan peperangan.

Namun, menerusi sebuah perjanjian, Korea akhirnya dibahagi sejajar dengan garis lintang 38. Di selatan berdiri Republik Korea dan di utara didirikan Negara Republik Demokratik Rakyat Komunis Korea Utara. Kendatipun, pembahagian ini tidak menuntaskan konflik antara Korea Utara dan Korea Selatan.


Usaha damai dan diplomatik senantiasa diusahakan oleh ramai pihak; sama ada daripada pihak kedua-dua Korea mahupun negara-negara luar. Antara yang muta'akkhir ialah usaha untuk menggunakan hanya satu panji Korea dalam kejohanan Sukan Olimpik tahun 2000 yang berlangsung di Sydney, Australia yang digelar sebagai 'Panji Keamanan keseluruhan Semenanjung Korea.'



Namun, tekanan daripada kuasa-kuasa besar dunia dan keangkuhan kebanyakan pemimpin kedua-dua negara mengakibatkan usaha damai masih menemui jalan buntu.

Ramai yang membahaskan serta membangkitkan isu 'usai keruntuhan Soviet, apakah demokrasi itu sistem yang terbaik?'. Maka, pada hemat saya, sistem pemerintahan yang paling sesuai dan berkebajikan pastinya adalah sistem Islam yang menganjurkan konsep 'Baldatun toyyibatun wa rabbun ghafur' berlandaskan Al-Quran dan As-Sunnah.

Malangnya, selepas era kegemilangan Islam menerusi pimpinan Baginda SAW dan jatuhnya sistem Khalifah akibat pengkhianat Mustafa Kemal Attarturk di Turki; kita masih belum mempunyai model yang paling ideal untuk dijadikan tamsilan bagi konsep negara berkebajikan versi Islam ini.

Namun, tidaklah pula kita menolak secara total prinsip serta teori Komunisme dan Demokrasi. Kedua-duanya punya kebaikan (dan keburukannya) yang tersendiri. Apa yang penting; pemimpin serta pemerintah – sama ada yang diberi mandat atau memerintah hasil rampasan kuasa (coup de etat) -- hendaklah meletakkan kebajikan rakyat – khususnya yang marhaen – di tahap tertinggi.

Tak guna jika kita berbangga dengan bangunan pencakar langit beratus-ratus tingkat yang menelan belanja berbilion-bilion; jika masih ada rakyat yang terpaksa meneruskan hidup dengan makan siput khinzir.

Berbalik kepada soal Semenanjung Korea pula; perang dan sengketa sesama saudara selamanya takkan membawa kebaikan kepada negara mahupun dunia sarwajagat. Semailah benih kedamaian. Sahutlah seruan keamanan abadi -- dunia menolak apa jua bentuk peperangan -- apatah lagi usaha untuk menganjurkan Perang Dunia Ketiga, kerana yang akhirnya menjadi mangsa pastinya mereka yang tidak berdosa, golongan tua dan kanak-kanak.

Yang kaya dan beruntung daripada perang, pastinya golongan kapitalis yang menghasil dan mengeluarkan berbilion-bilion senjata dan armada, yang telah siap-sedia dijual dan dipasarkan; yang mana industri ini hanyasanya bergantung kepada konflik berpanjangan yang melibatkan persenjataan.

Serangan serta provokasi seperti yang dilakukan oleh Pyongyang ke atas Yong Pyong seharusnya dihentikan dan dielakkan pada masa akan datang. Intihanya, "Jokuk Tongil"; bersatulah Korea!


** p/s :: Sekedar berkongsi, pemimpin Korea Utara, Kim Jong-il dikatakan mempunyai ketinggian 165cm (lebih kurang 5' 5"). Beliau selalu memakai kasut yang mempunyai alas atau tapak yang tebal untuk kelihatan lebih tinggi. Namun, selepas diserang angin ahmar baru-baru ini; beliau dilihat tidak lagi memakai kasut bertumit tinggi; dipercayai bagi mengurangkan rasa sakit di bahagian kakinya.


Sementelah, Pemimpin Nazi dan pendokong Teori Darwinisme yang mengkucar-kacirkan dunia, Adolf Hitler pula sebenarnya adalah seorang yang rabun (tetapi enggan dilihat memakai kaca mata sewaktu berpidato). Beliau menyediakan teks pidato dengan aksara yang ditulis dan ditaip dengan saiz yang besar kerana mahu dilihat sebagai manusia sempurna daripada keturunan Bangsa Aryan yang ‘Agung’ -- Pagan Kuno.

Salam. :)

Jumaat, November 19, 2010

Dulu, satu tempoh dulu: Di pelosok gedung ilmu.












Dulu, satu tempoh dulu--
pernah kita satu belanga
pernah kita satu harapan
pernah kita satu jiwa
di pelosok gedung ilmu,
kita jadi jatuh rindu dan kecintaan
pada sekolah, sahabat dan pelajaran
menuju cita kemuliaan

Dulu-dulunya, satu tempoh dulu,
kita pernah kongsi, sirap secawan
sepermainan, kita bergurauan
bahagia, dengan nikmat dan dugaan

Kendati, kini semuanya berlalu
bagai angin menderu-deru
kita, memilih haluan sendiri
atas jalan takdir dan ikhtiar

Hari ini, bila kenangan itu datang lagi,
jangan biar ia berlalu pergi
karena esok, belum tentu pasti
ia kan datang kembali

Maka benarlah kata pujangga:
“tidaklah sukar meneruskan hidup hari esok
tapi sangatlah sukar melupakan kenangan semalam --
satu tempoh dulu.”

Selasa, November 16, 2010

Tianhe: Malaysia 'menang' besar di Bandar Kambing.



Saya telah berpeluang menonton perlawanan antara Malaysia-Jepun, Malaysia-China dan Malaysia-Iran menerusi kaca TV dalam kempen Sukan Asia 2010 di Guangzhou, China. Skuad kita tewas dalam ketiga-tiga perlawanan dan hanya menang dalam perlawanan sulung – peringkat kumpulan – menentang Kyrgyzstan.

Saya fikir, perlawanan yang paling kontroversial pastinya perlawanan yang berlangsung di Stadium Tianhe, Guangzhou antara pasukan Malaysia dan pasukan tuan rumah. Perlawanan ini adalah perlawanan berat sebelah.

Bayangkan, sudahlah skuad negara hanya mempunyai bekalan 15 pemain untuk beraksi selepas beberapa pemain mengalami kecederaan, 3 orang pemain kita -- Mahali Jasuli, Safiq Rahim dan S. Kunanlan -- pula dilayangkan kad merah dalam perlawanan dengan China tersebut.


Pada minit ke-24, Mahali dilayangkan kad merah setelah didakwa sengaja menyepak bola ke luar padang manakala Safiq turut menerima nasib sama kerana dikatakan cuba membantah keputusan pengadil.

Safiq yang merupakan ketua pasukan negara memberitahu:
“Saya hanya tanya pengadil kenapa Mahali dilayangkan kad merah. Kemudian saya diberi kad kuning. Apabila saya tanya pula kenapa saya kena kad kuning, pengadil terus keluarkan pula kad merah,” katanya.

Kunanlan pula menerima kad kuning pertama pada minit ke-79 dan kad kuning kedua seterusnya kad merah seminit kemudian kerana memberikan sepakan penalti.



Sejelasnya, kemenangan ke atas Malaysia adalah kemenangan 11 orang pemain yang dipilih daripada 1.3 bilion orang rakyat di Republik Rakyat China, ke atas 8 orang pemain skuad Harimau Malaya yang bermain bermati-matian demi maruah negara.

Justeru, skuad bola sepak Malaysia tetap menang di hati rakyat yang cintakan bola sepak dan sukan tanah air.

Tuntasnya, Malaysia tetap ‘menang’ besar di Bandar Kambing (Guangzhou). Kita menang semangat dan kecekalan. Kita menang sifat keberanian dan tak kenal erti putus asa.

Hidup Malaysia!


** p/s : Setakat ini, pada hemat saya, selain isu Palestina, antara perkara yang mampu menyatupadukan umat Melayu-Islam Malaysia ialah bola sepak. Sungguh. :)

Sabtu, November 13, 2010

Ambil berat: Ini baru betul-betul Juara Rakyat.




Lewat pemilihan PKR, kita dapat melihat isu yang rencam dan bercapah yang kontroversial. Soal kertas cai, politik wang, gangsterisme, cah keting dan lobi-melobi yang dahulunya dikaitkan dengan keras terhadap parti PEKEMBAR Baru (UMNO Baru) dan BN, kini seolah-olah terkena tempiasnya kepada imej PKR yang dahulunya dikenali sebagai Parti keadilan Nasional (keADILan).

Soal sama ada laporan-laporan yang disiarkan oleh akhbar-akhbar arus perdana dan tabloid (serta media elektronik - blog, Facebook dan lain-lain) adalah berdasarkan bukti yang sahih adalah tidak, kini seolah-olah tidak menjadi isu.

Hakikatnya, masyarakat kita terlalu mudah menerima persepsi sebagai realiti. Setiap perkhabaran sama ada dalam bentuk gosip atau fitnah sekalipun, jika disebarkan, akan mempengaruhi masyarakat kita.

Sungguh, orang kita memang 'juara' kalau bab mengumpat dan memfitnah. Na'uzubillah.

Setuju atau tidak, imej PKR dan Ketua Umumnya sudah tercalar. Sebagaimana pendokong dan pemimpin parti pembangkang cuba mencalarkan imej Datuk Seri Najib dan isteri beliau, begitu jugalah pendokong PEKEMBAR Baru yang sedaya-upaya cuba memastikan perjalanan DSAI ke Putrajaya dicantas sekeras mungkin.

Demikianlah politik. Ada yang melabelnya sebagai kotor. Ada yang melabelnya sebagai wadah perjuangan. Apa yang pasti, politik adalah 'alat'. Dan, sewajibnya, matlamat pokok yang mendasar adalah untuk mendaulatkan suara rakyat serta memastikan soal-soal keagamaan dan keTUHANAN diletakkan di tempat yang tertinggi dan sepatutnya, selaras dengan prinsip Rukun Negara yang sulung -- Kepercayaan (kukuh) kepada TUHAN.


Sekedar berkongsi, saya semenjak kecil memang minat dengan sejarah dan politik dunia (khususnya negara kita). Kendati, sehingga saat ini, saya tidak pernah bermimpi, berniat atau berkecenderungan untuk menjadi seorang ahli politik. Pendirian saya jelas, saya hanya peminat tegar sejarah dan politik, dan bukannya berminat untuk menjadi ahli politik.

Terkenang sewaktu pilihan raya umum 1994, sewaktu saya masih kecil (6 tahun) dan terlalu mengagumi Che Det (Tun M) dan DSAI (ketika itu TPM), saya telah mengumpul berpuluh-puluh poster kempen BN, PAS dan Semangat 46 (ketika itu dipimpin oleh Ku Li - Tengku Razaleigh). Saya tampal puluhan poster besar itu dan penuhkan pada dinding bilik saya.

Arwah Atuk saya yang masuk ke bilik (ketika itu) pernah menyindir, "Wah, kok ada markas PAS kat bilik ni?". hehehe. Rindu Arwah Atuk. Al-Fatihah.

Apa yang pasti, kini, saya memang sedih dengan situasi politik negara. Kronisme, korupsi dan nepotisme masih menular di negara kita. Soal kebajikan rakyat semakin dikesampingkan. Hanyasanya bila pilihan raya kecil diadakan, baharulah janji-janji manis dan politik gula-gula berbilion-bilion dilaungkan.


Genderang kesedaran seharusnya dipalu dalam setiap pemikiran rakyat kita. Kita adalah struktur utama negara kita. Perpaduan kita, toleransi kita, dan kesedaran kita adalah kunci kepada kemakmuran serta kemajuan negara.



Berbicara soal masalah serta kebajikan rakyat, tidak boleh tidak, kita kaitkan isu ini dengan Pengarang Berita (Alam Sekitar) TV3, Karam Singh Walia (KSW), 51. Penerima Anugerah Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 1426H/2005M ini memang sosok yang hebat dan terhormat.

Beliau memang cakna soal keindahan bahasa kebangsaan (bahasa Melayu) serta soal masalah rakyat. Sungguh 'menakjubkan', bilamana masalah bekalan air, asap, kumbahan, pencemaran, dan masalah alam sekitar lain yang bertahun-tahun ditanggung penduduk sesuatu kawasan boleh diselesaikan dalam masa tak sampai sehari-dua bilamana krew/wartawan Aduan Rakyat bertemu dan mengadakan perbincangan dengan Ahli Parlimen/pihak berkuasa tempatan/jabatan yang bertanggungjawab.

Seolah-olahnya, sifirnya begini --
Masalah bertahun-tahun yang tak diendah + campurtangan Aduan Rakyat, TV3 = Pemimpin buat kerja + Masalah selesai serta-merta? :)

Dalam satu episod Aduan Rakyat baru-baru ini, saya cukup tersentuh bila melihat peneroka warga emas sebuah tanah Felda di Bera yang menangis kerana tiada bekalan air bersih yang cukup semenjak sekian lama. Ini mendatangkan kesulitan khususnya untuk hal pengurusan jenazah dan kegunaan seharian.

Mereka mendakwa bahawa walaupun telah berkali-kali membuat aduan kepada Jabatan Bekalan Air, hanya dibalas dengan sindiran tajam. Antaranya, "nak air pergilah panggil Tv3."

Apabila wartawan Tv3, Pushpawati Ramlu membuat aduan, terus 'orang besar' JBA tersebut turun padang dan selesaikan masalah tersebut tak sampai 48 jam. Antara yang paling membuatkan saya terharu ialah, apabila seorang daripada peneroka (seorang wanita Melayu warga emas) menangis terharu dan memeluk Pushpawati dan mengucapkan terima kasih. Seorang lagi peneroka warga emas sampai tak mampu nak mengungkapkan apa-apa. Air mata beliau menceritakan segala-galanya.

Setiap manusia khususnya pemimpin sewajibnya melaksanakan tanggungjawab mereka. Tak guna diberi elaun yang tinggi daripada cukai rakyat jika kebajikan rakyat terabai. Ini bukan soal hentam-menghentam atau tuding-menuding. Ini soal pertanggungjawaban dan soal kesedaran. Jika yang berkuasa tidak menjalankan peranan, maka akan lahirlah ramai 'penjenayah' yang 'memperkosa' dan 'merompak' hak rakyat. Bak kata KSW, "Jika kucing tidak bertaring, si tikus akan menari-nari."

Sungguh, kita mencari penyelesaian, bukan mencari kesalahan!


* Menerusi satu temubual dengan wartawan Majalah Mastika tidak lama dulu, KSW menyatakan bahawa antara kenangan paling manis dalam hidup beliau ialah apabila dalam satu Perhimpunan Agung PEKEMBAR Baru tidak lama dahulu, Che Det (Tun M) meminjam peribahasa yang beliau selalu nukilkan iaitu “Rumah terbakar nampak asapnya, hati terbakar siapa yang tahu?.” :)

Jumaat, November 12, 2010

Doktor: Bukan hanya di klinik dan rumah sakit.




Dua-tiga hari ini, kita dikejutkan dengan perkhabaran University of Wales di United Kingdom (UK) menggantung hubungannya dengan Kolej Antarabangsa Fazley (FIC) milik penyanyi, Fazley Yaakob.

Menurut satu laporan Perbadanan Penyiaran British (BBC), tindakan itu dilakukan ekoran kontroversi berkaitan dengan kelayakan akademik penyanyi tersebut yang dikatakan memiliki ijazah doktor falsafah (Ph.D) dan sarjana palsu dalam bidang pentadbiran perniagaan.

Sejelasnya, berita mengenai ijazah palsu ini sudah disiarkan dalam akhbar Siasah dalam dua, tiga tahun kebelakangan ini. Kebetulan dalam satu artikel tersebut, wajah Saudara Fazley ketika sedang menerima segulung sijil digunakan. Jadi, saya sendiri tertanya-tanya, apakah beliau termasuk dalam golongan yang dinyatakan dalam artikel tersebut?

Apa-apa pun, saya doakan agar kes Saudara Fazley ini dapat diselesaikan seadil dan sebaik mungkin. Beliau mempunyai pengaruh yang baik ke atas para pelajar, khususnya mereka yang pernah menyertai ceramah motivasi beliau. Kita tak punyai ramai selebriti yang berpendidikan tinggi. Justeru, adalah malang jika dakwaan terhadap beliau itu dibuktikan betul.

Soal ijazah palsu, “doktor bogus”, profesor kangkung dan banyak lagi gelaran yang tidak enak didengar memang telah lama berlengar dan membelenggu dunia kampus di negara kita.

Selain faktor dasar universiti dan gerakan mahasiswa yang malap, isu pemegang ijazah palsu turut menyumbang kepada rendahnya kedudukan universiti kita di mata Asia dan Dunia. Bayangkan, Universiti Malaya dan Universiti Sains Malaysia yang sedemikian gah pun hanya berada di kedudukan yang agak jauh jika dibandingkan universiti dari negara-negara jiran kita.

Semoga ALLAH selamatkan martabat serta kemakmuran negara Malaysia kita yang tercinta. Inilah tanah tumpahnya darah kita, yang sewajarnya kita pertahankan sampai bila-bila.

Ambil Berat: Ini baru betul-betul 'Juara Rakyat'.

Dr. Zulkifli Hasan: Menjambatani Persaudaraan, Menyubur Kesejahteraan

  Dr. Zulkifli Hasan: Menjambatani Persaudaraan, Menyubur Kesejahteraan   Oleh: Zairudin Hashim (Ahli Dewan Tertinggi Majlis Belia M...