Khamis, Mac 07, 2013

Yahya Jusoh: Anggota Skuad Olimpik 1980.



Yahya Jusoh, antara pertahanan terbaik 
yang pernah beraksi untuk skuad kebangsaan.
MB Terengganu, DS Ahmad Said 
sewaktu mengunjungi Yahya Jusoh.
Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh 
antara yang menulis berkenaan Yahya 
di dalam laman sesawangnya.
Sukan Asia 1978: Bersama Jurulatih, 
Mohd Che Su, Shukor Salleh dan SuperMokh.
Skuad kebangsaan era 1970an: 
Yahya duduk, kiri sekali.
Skuad Olimpik 1980.
Skuad Olimpik 1980: Karl-Heinz Weigang 
berdiri, paling kanan.
Skuad kebangsaan, 1979. 
Supermokh berdiri, 5 dari kiri.


Belakang dari kiri: Yahya Jusoh; Soh Chin Aun; 
Zainal Abidin Hassan, Peter Rajah; Lim Chuan Chin; 
Chow Chee Keong; Santokh Singh; Abdullah Ali; Kamaruddin Abdullah. 
Depan dari kiri: R. Subramaniam; G. Torairaju; Bakri Ibni; Ramli Junit; 
Zulkefli Hamzah; Hassan Sani; Anizan Daud; 
Shukor Salleh; dan Mokhtar Dahari.
Latar Belakang Yahya Jusoh.
Lagenda negara yang berasal dari Kuala Terengganu, Terengganu ini mempunyai empat orang anak (3 perempuan dan seorang lelaki) hasil perkongsian hidup dengan Normah Alias. Beliau kini menetap di Taman Permint Jaya, Chendering, Kuala Terengganu. Dikenali sebagai seorang pemain yang berdisiplin dan serba boleh, Yahya juga mempunyai seorang abang, Harun Jusoh yang pernah membarisi skuad Olimpik Munich, 1972. Kedua-dua – Yahya dan Harun – merupakan anggota skaud kebangsaan yang mengejutkan Arsenal FC apabila menang 2-0 dan seri 1-1 dalam dua perlawanan persahabatan dengan kelab professional England tersebut pada bulan Mei 1975.

Skuad Penyu, 1981.
Menyarung jersi Terengganu FA.
Beliau mula mewakili Terengganu FA dalam Kejohanan Piala Burnley (kemudiannya dikenali dengan nama ‘Piala Razak’) pada 1970 sebelum mewakili pasukan utama negeri setahun kemudian hingga bersara pada 1985. Sewaktu baru terjun ke dalam kancah liga tempatan, Yahya bermain di bahagian sayap kanan dan memakai jersi bernombor 7. Ketika era kegemilanganya, skuad Peteh Ganu Peteh dibarisi oleh empat pertahanan kental iaitu Yahya sendiri, Norhalis Shafik, Zakaria Musa dan Zakaria Alias. Beliau turut menyertai Kejohanan Piala Emas Raja-Raja pada tahun 1977. Yahya juga merupakan anggota skuad Terengganu FA yang menjadi Naib Johan Piala Malaysia 1973 (tewas 1-2 kepada Selangor FA) dan sekali lagi pada 1982 (dikalahkan oleh Selangor 0-1).

Dalam satu temubual dengan pihak media, Yahya mengimbau kenangan zamannya di atas padang di mana beliau cuma dibayar RM5 sehari. Meskipun dibayar dengan gaji yang rendah, menurut Yahya, para pemain tetap bermain dengan bersungguh-sungguh dan bermati-matian, sehingga digeruni oleh pasukan luar negara. Dikenali dengan gelaran ‘Kereta Kebal’, Yahya memiliki keistimewaan melakukan ‘overlapping’ untuk membantu jentera serangan. Sehingga beliau mengumumkan persaraannya, Yahya terus dikenang sebagai antara pertahanan kiri terbaik pernah beraksi untuk skuad Malaysia.

 
Yahya (depan, tiga dari kiri) bersama skuad Juara Pestabola Merdeka 1976. Supermokh (belakang, empat dari kanan) berdiri di sebelah Santokh Singh.
Belakang dari kiri: Azraai Khor (Khor Sek Leng); P. Umaparam; Isa Bakar.
Tengah: Irfan Bakti Abu Salim; Supermokh; R. Arumugam dan pegawai pasukan. Depan: Zainuddin Kassim; Rashid Hassan dan Yahya Jusoh.
Mewakili skuad kebangsaan.
Yahya mula mewakili negara pada 1975 hingga 1981 dan menyertai banyak pertandingan seperti Piala Raja Thai di Thailand, Sukan Asia serta Sukan SEA. Setelah sekian lama tidak mendapat pingat emas di Sukan SEA, Malaysia berjaya mendapat pingat emas pada edisi 1977 yang diadakan di Kuala Lumpur. Yahya ialah seorang yang dari pemain pasukan yang gemilang itu. Sebelum itu, Yahya turut menganggotai skuad kebangsaan yang menjuarai Pestabola Merdeka 1976.

Meskipun dikenang oleh peminat zamannya sebagai pemain pertahanan kiri yang kental, Yahya asalnya bermain di bahagian sayap kanan untuk skuad kebangsaan Malaysia. Bagaimanapun, posisi beliau telah digantikan oleh lagenda negara, Jamal Nasir (kini Dato’) selepas Yahya mengalami kecederaan dan tidak dapat mewakili pasukan negara. Apabila kecederaannya pulih, Yahya kembali dipanggil menyertai skuad kebangsaan, namun bermain di posisi pertahanan kiri, memandangkan posisi asalnya sudahpun diisi oleh Jamal Nasir. 

Yahya turut beraksi dalam perlawanan Kelayakan Piala Dunia 1978 di Stadium Nasional, Kallang di Singapura pada tahun 1977. Dalam perlawanan tersebut, Supermokh, Olahragawan Kebangsaan 1976 dan antara pemain bola sepak terbaik negara sepanjang zaman, tidak dapat diturunkan kerana baru menjalani pembedahan lutut kanannya. Selain daripada menentang Arsenal FC pada Mei 1975, Yahya juga membarisi skuad kebangsaan yang seri 1-1 dengan skuad England B bimbingan Sir Bobby Robson (mendiang) di Stadium Merdeka. Dalam perlawanan tersebut, Supermokh mengejutkan dunia bola sepak apabila membuat satu rembatan kencang dari luar kotak penalti untuk menewaskan Joe Corrigan.

Kemuncak kerjaya Yahya ialah apabila beliau membantu skuad kebangsaan untuk menewaskan Korea Selatan seterusnya layak ke Sukan Olimpik 1980 di Moscow. Namun, Kerajaan ketika itu memutuskan untuk menyertai boikot antarabangsa sebagai bantahan terhadap pencerobohan Soviet Union (kini Rusia) ke atas Afghanistan. Yahya turut dikenang sebagai individu penting yang menyumbang kepada kemenangan 3-2 skuad negara ke atas Burma (kini Myanmar) sewaktu Perlawanan Akhir Pestabola Merdeka 1980. Sementelahan, beliau turut beraksi dalam Piala Raja Thai di Thailand pada 1981.

Sewaktu skuad kebangsaan dibimbing oleh jurulatih Jerman yang berpengaruh, Karl-Heinz Weigang, antara pemain yang pernah beraksi di samping Yahya ialah R. Arumugam; Rashid Hassan; M. Viatilingam; Wan Aziz; Santokh Singh; Soh Chin Aun; Shukor Salleh; Abdah Alif; Reduan Abdullah; Yip Chee Keong; Abdullah Ali; Zainuddin Kassim; Roshidi Shaari; Bakri Ibni; Irfan Bakti Abu Salim; Isa Bakar; Marzuki Ismaun; Azraai Khor (Khor Sek Leng); P. Umaparam; Hassan Sani; James Wong; dan Supermokh.

Rakaman temubual Yahya disiarkan oleh 
Buletin Utama tidak lama dahulu.
Pimpinan dan Ahli PETEH turut menghulurkan 
sumbangan kepada lagenda mereka, Yahya Jusoh.
Lagenda negara, Towkay Soh Chin Aun 
dan delegasi YAKEB turut menziarahi Yahya. 
DYMM Sulta Mizan menziarahi 
jenazah Allahyarham Yahya Jusoh.
Kehidupan selepas bersara sebagai pemain.
Di atas kecemerlangannya bersama skuad Penyu dan kebangsaan, Yahya telah dianugerahkan sebagai Olahragawan Negeri Terengganu pada 1980. Beliau juga merupakan pesara, Majlis Perbandaran Kuala Terengganu. Pada tahun 2006, Yahya yang pernah menjadi ketua pasukan Terengganu FA, juga pernah menjadi jurulatih skuad remaja Terengganu, di mana Othman Mohd Khia dilantik sebagai penolongnya. Pengurus dan penolong pengurus pasukan tersebut ketika itu ialah Datuk Mohamad Ngah dan Abdullah Salleh.

Sekitar 2009, Yahya mula diserang penyakit lumpuh berikutan sakit tulang leher yang dialami. Penderitaan tonggak pertahanan Terengganu dan kebangsaan pada era 1970-an dan 1980-an itu mendapat perhatian pelbagai pihak termasuk Yayasan Kebajikan Atlet (YAKEB), Kerajaan Negeri Terengganu dan beberapa pihak lain yang membiayai kos pembedahannya. Beliau meninggal dunia pada usia 61 tahun akibat kanser prostat. Allahyarham menghembuskan nafas terakhir selepas dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) Hospital Sultanah Nur Zahirah pada kira-kira 4.50 petang. 

Sumber dan rujukan:
  1. http://www.bernama.com.my/bernama/state_news/news.php?id=228571&cat=et;
  2. http://wanahmadfarid.com.my/admin/2009/10/21/menghargai-wira-sukan-negara/;
  3. http://www.sinarharian.com.my/arena-bolasepak/ultras/di-mana-mereka-kereta-kebal-pernah-berjuang-bersama-tauke-supermokh-1.30897;
  4. http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=1028&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_01.htm; 
  5. http://thesportsmuseum.blogspot.com/2010_09_01_archive.html.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Dr. Zulkifli Hasan: Menjambatani Persaudaraan, Menyubur Kesejahteraan

  Dr. Zulkifli Hasan: Menjambatani Persaudaraan, Menyubur Kesejahteraan   Oleh: Zairudin Hashim (Ahli Dewan Tertinggi Majlis Belia M...