Rabu, April 29, 2020

ARU THE SPIDERMAN: LEGENDA YANG MEKAR DALAM KENANGAN.














ARU THE SPIDERMAN: LEGENDA YANG MEKAR DALAM KENANGAN.
Datuk R. Arumugam (31 Januari 1953 - 18 Disember 1988) merupakan seorang pemain bola sepak legenda yang berasal dari Selangor. Beliau juga dikenali sebagai ‘Spiderman’ kerana tangannya yang panjang dan kebolehannya menangkap cantik percubaan-percubaan pasukan lawan.
Beliau telah dilahirkan pada 31 Januari 1953 di Pelabuhan Klang. Beliau telah memulakan kerjaya bola sepaknya daripada umur yang sangat muda. Beliau memulakan penampilannya dengan pasukan Selangor FA apabila berusia 18 tahun di dalam pertandingan Piala Remaja Burnley dalam tahun 1971.
Beliau mewakili Selangor FA dalam pertandingan Piala Malaysia dari tahun 1972 hingga 1988, satu tempoh di mana Selangor FA telah memenangi Piala Malaysia sebanyak lapan kali.
R. Arumugam telah mendapat panggilan daripada pasukan bola sepak kebangsaan Malaysia dalam tahun 1973 pada pusingan kelayakan Piala Dunia di Seoul, Korea Selatan.
Semasa zamannya bersama pasukan kebangsaan, beliau telah menolong Malaysia memenangi Pestabola Merdeka pada tahun 1973, 1974, 1976, dan 1979. Beliau juga mewakili Malaysia dalam tahun-tahun 1973, 1975, 1977, 1979, 1981, 1983 dan 1985 di dalam Sukan SEA.
Kejayaan terbesar beliau dengan pasukan kebangsaan adalah pingat gangsa bagi Sukan Asia 1974 di Teheran, Iran. Beliau juga telah menolong Malaysia melayakkan diri ke Sukan Olimpik Moscow 1980 tetapi Malaysia telah membuat keputusan untuk memboikot sukan Olimpik berkenaan.
R. Arumugam telah mendapat 196 kaps (bukan semua perlawanan antarabangsa bersifat kelas A) bagi Malaysia semasa zamannya bersama pasukan kebangsaan semenjak 1973 apabila beliau bersara daripada arena antarabangsa pada tahun 1986. Sasaran asalnya adalah untuk mendapat 200 kaps.
Kehebatannya menarik perhatian Kelab Bola Sepak Seiko, Hong Kong pada 1973 dan Young Boys of Berne, Switzerland, pada tahun 1981, namun menolaknya tawaran menjadi pemain profesional atas alasan tertentu.
Arumugam telah memberikan sumbangan lebih besar daripada hanya bermain bola sepak. Dalam tahun 1983, beliau telah menubuhkan kelabnya sendiri, Starbrite SC, sebagai sebahagian daripada sumbangan peribadi kepada remaja-remaja di kawasan perumahannya.
Beliau telah terbunuh di dalam satu perlanggaran kereta di Lebuhraya Persekutuan berdekatan Petaling Jaya pada 18 Disember 1988. Arumugam meninggal dunia di tempat kejadian pada usia 35 tahun selepas kereta Ford Telstar TX5 dipandunya hilang kawalan dan terbalik.
Beliau telah meninggalkan seorang isteri, Datin Maria Selvi serta dua anak perempuan iaitu Subha dan Rubha.
Sebagai pengiktirafan khidmatnya kepada negeri dan negara, Persatuan Bola Sepak Selangor dan Public Bank di mana Arumugam bekerja telah memulakan satu dana di atas nama R. Arumugam pada 5 Januari, 1989.
Pada 2018, pihak Majlis Perbandaran Klang mengumumkan untuk menukar nama Padang Pekeliling dan Jalan Pekeliling di kawasan Pelabuhan Klang kepada Stadium Mini Datuk R. Arumugam dan Jalan Datuk R. Arumugam. 
‘Spiderman’ akan terus dikenang sebagai antara legenda yang membantu Malaysia meraih pingat gangsa Sukan Asia 1974 di Teheran, Iran serta membantu Malaysia layak ke Olimpik Moscow 1980.
#Padu #Grande
#RetroBolaSepak

OLIMPIK MUNICH 1972: KISAH KLASIK UNTUK MASA DEPAN











OLIMPIK MUNICH 1972: KISAH KLASIK UNTUK MASA DEPAN
Meskipun Olimpik Moscow mencatat sejarah kali kedua skuad bola sepak kebangsaan layak ke Sukan Olimpik secara merit, tahun 1972 menyaksikan satu-satunya aksi skuad negara dalam temasya penuh gemilang itu.
Walaupun skuad tersebut tidak dibarisi dua nama besar: Mokhtar Dahari (dianggap terlalu muda) dan Syed Ahmad (dikatakan punya masalah dengan jurulatih serta pengurusan), ia tetap punya pencapaian tersendiri.

Semuanya bermula sewaktu Kelayakan Sukan Olimpik Bolasepak Asia (Kumpulan 1) di Seoul, Korea Selatan pada 23hb September hingga 2hb Oktober 1971.
Malaysia menewaskan Jepun 3-0, kalahkan Korea Selatan 1-0, tewaskan Taiwan 3-0, dan membenam Filipina 5-0.
Pada perlawanan pembukaan, Malaysia menewaskan Jepun 3-0, pemenang pingat gangsa di Sukan Olimpik, Mexico 1968. Penyerang sensasi, Syed Ahmad berjaya membuat hatrik. Beliau sekali lagi menjaringkan gol tunggal apabila negara kita membenam negara tuan rumah 1-0, Korea Selatan.
Secara keseluruhannya, Syed Ahmad berjaya meledakkan 5 gol, dengan 1 lagi gol dalam perlawanan yang terakhir menentang Filipina. Walau bagaimanapun, Syed Ahmad tidak dapat bersama skuad negara ke Munich kerana kecederaan dan diperkatakan juga ada perselisihan faham dengan jurulatih, Jalil Che Din.
Dek kegagalan layak ke Olimpik, skuad Korea Selatan berhempas-pulas sewaktu Pestabola Merdeka 1972 di Kuala Lumpur, yang berlangsung sebulan sebelum Malaysia ke Jerman Barat.
Hasilnya, pasukan Korea itu berjaya menundukkan pasukan kebangsaan dalam aksi final yang sengit di Stadium Merdeka, dan sejarah ini masih terpahat dalam lipatan bola sepak mereka.
http://chedinsphere.blogspot.com/2012/12/cerita-malaysia-ke-olimpik-1972-munich.html?m=1
Para pemain handalan negara telah berpeluang berentap bersama jaguh dunia, Jerman Barat yang turut dianggotai oleh Uli Hoeness dan Ottmar Hitzfeld.
Meskipun gagal melepasi peringkat kumpulan, Malaysia berjaya menewaskan Amerika Syarikat, 3-0.
Gol-gol epik Malaysia dijaringkan oleh Shaharuddin Abdullah, Salleh Ibrahim dan Zawawi Yusoff. Dalam perlawanan lain untuk Pusingan Pertama, Kumpulan A, Malaysia tewas 0-3 kepada Jerman Barat dan 0-6 kepada Maghribi. Skuad kebangsaan menduduki tempat kesepuluh daripada 16 buah pasukan secara keseluruhan.

Memang mudah untuk generasi sekarang memperlekeh dengan mendakwa suasana bola Asia ketika itu berbeza. Ada yang memandang rendah keupayaan pemain negara, ada yang ketawa bila disebut tentang Pestabola Merdeka.
Tapi realitinya, kita mempunyai skuad yang sangat berbakat dan berwibawa sehingga awal 80an, sebelum bola kita menjadi statik dan tidak semaju pesaing setia kita sewaktu dulu.
Dan lebih menghibakan, semangat kenegerian yang menebal serta hubungan akrab dan keterikatan dengan pengurusan, menyebabkan ramai pemain berbakat besar negara, yang memilih untuk beraksi dalam saingan tempatan, meski mendapat tawaran daripada banyak kelab luar.
Jika tidak, pastinya banyak jalan dan reputasi yang dibuka, untuk generasi baru menempa nama selaku pemain di liga asing.

Malangnya, kesedaran untuk serius mempersiapkan skuad untuk Piala Dunia agak lambat dibuat, kerana Olimpik dilihat yang paling berprestij sebelum itu.
Ketika kita mula bangun dari tidur untuk merealisasikan mimpi layak ke Piala Dunia, pasukan-pasukan yang dulunya sama tahap dengan kita, sudah mula membangun serta memajukan bola sepak mereka dengan ketelusan, komitmen serta kos yang tinggi.
Korea Selatan dan Jepun misalnya, sudah menjadi wajah normal dalam saingan Olimpik dan Piala Dunia. Malah, Jepun layak Piala Dunia 1998, sewaktu perlawanan kelayakan epik di Stadium Larkin, Johor.
Demikianlah sejarah kita. Sejarah 19 orang legenda skuad kebangsaan yang mencatat sejarah sebagai satu-satunya pasukan bola sepak Malaysia yang pernah menyepak bola di Sukan Olimpik.
Perjalanan kita masih jauh, tapi kita mesti berikhtiar keras untuk mengurangkan politiking, rasuah serta memperbaiki tatakelola pengurusan liga dan pasukan yang bersaing dalam Liga Malaysia.
Segalanya mungkin, dengan usaha, kejujuran dan keikhlasan.
Apa pun, kisah Olimpik 1972 adalah manifestasi sebenar, fakta bahawa kita pernah ada pasukan dan barisan pemain yang padu dan berkemampuan tinggi. Buat 19 wira negara, barisan kejurulatihan dan pengurusan, kalian akan dikenang dalam lipatan sejarah bola sepak negara, sampai akhir umur dunia.
Moga satu hari nanti, mimpi Harimau Malaya layak ke Piala Dunia dan Olimpik (lagi), jadi satu realiti. #Padu #Grande
#RetroBolaSepak

Dr. Zulkifli Hasan: Menjambatani Persaudaraan, Menyubur Kesejahteraan

  Dr. Zulkifli Hasan: Menjambatani Persaudaraan, Menyubur Kesejahteraan   Oleh: Zairudin Hashim (Ahli Dewan Tertinggi Majlis Belia M...