Memaparkan catatan dengan label Demi ALLAH saya sayang Emak saya. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Demi ALLAH saya sayang Emak saya. Papar semua catatan

Khamis, Ogos 20, 2015

Rabu, Ogos 07, 2013

Salam Aidil Fitri.

Aidil Fitri 1994
Bergambar kenangan, bersama Emak yang sangat saya kasihi. Al-Fatihah sekudusnya buat Emak, yang terlalu banyak jasanya kepada saya. Sayang Emak, rindu Emak. Al-Fatihah.
Aidl Fitri 2012
Bergambar kenangan, bersama Tasha, di pagi Eid Mubarak. Semoga Tasha jadi anak yang solehah. Amin dan in sya ALLAH.
Salam. 
Sempena menyambut hari lebaran yang bakal tiba, saya ingin mengucapkan “Selamat Menyambut Hari Raya Aidilfitri” buat semua saudara-mara dan sahabat-handai. Sambutlah hari kemenangan ini dengan kegembiraan di samping keluarga tersayang. 

Semoga semangat ukhwah kita akan bertambah erat. Juga, semoga hari-hari terakhir Ramadhan ini akan mendekatkan kita dengan ibadah dan Lailatul Qadar, in sya ALLAH. 

Salam lebaran buat semua. Maaf lahir batin. Selamat kembali ke tempat kerja. Selamat beribadah.

Jumaat, November 02, 2012

Sang Kancil, Kerbau dan Buaya.


Rindu jaman kecil. Rindu Emak. 
Hanya kuntum doa, penawar nostalgia. Al-Fatihah.

********************************

Isnin, Oktober 15, 2012

Salamku buatmu Emak kesayanganku.

Pusara Emak. Damai.
Salamku buatmu Emak kesayanganku,
semoga Emak menemui Tuhan dalam kesucian
juga kesejahteraan.
Pada kalung kesedihan ini, di pusaramu
kuhulur doa, kuhulur doa kasih
kuhulur doa
buatmu Emak kesayanganku
Al-Fatihah sekudusnya. Sekudusnya.

Ahad, Ogos 26, 2012

Nostalgia Raya.

Eidul Fitri 1994
Bergambar kenangan, bersama Emak yang sangat saya kasihi. Al-Fatihah sekudusnya buat Emak, yang terlalu banyak jasanya kepada saya. Sayang Emak, rindu Emak. Al-Fatihah.



Eidul Fitri 2012
Bergambar kenangan, bersama Tasha, di pagi Eid Mubarak. Semoga Tasha jadi anak yang solehah. Amin dan in sya ALLAH.

Salam lebaran buat semua. Maaf lahir batin. Selamat kembali ke tempat kerja. Selamat beribadah.

********************************

Rabu, Julai 18, 2012

Kembara: Dari mana, ke mana?



*******

Dari mana, ke mana?
Dari realiti menuju maknawi
aku cari hakiki rohani
dalam redup hujung hati Arwah Emak
yang sering menitip nasihat hidup dan ukhrawi
bahawa hidup ini pinjam-pinjaman
dan mati itu pasti

Lalu aku tunduk akur,
menyusun sepuluh jari
pada kasih rahmat dan nikmat padat.

*******


Sabtu, Julai 07, 2012

Tiga Suara.

Tiga Suara.
Sewaktu kecil, saya mempunyai banyak cita-cita. Antaranya, saya pernah katakan kepada Emak (Arwah – Al-Fatihah sekudusnya buat Emak); saya mahu menjadi penyanyi. Penyanyi, seperti Amy Search. Dengan rambut gondrong, seluar ketat dan lagu-lagu rock. Emak hanya ketawa kecil, sambil menyatakan, carilah kerja yang lebih menjamin masa depan.

Cita-cita menjadi penyanyi itu tidaklah saya bersungguh-sungguh mengejarnya. Selain mewakili kelas dan sekolah dalam beberapa kejohanan nasyid sewaktu sekolah rendah dan sekolah menengah, tidaklah pula saya berikhtiar untuk lebih melanjutkan cita-cita waktu kecil itu.

Memandangkan bakat saya adalah sederhana sahaja – dan minat saya lebih kepada cabang seni yang lain -- saya fikir, impian menjadi penyanyi itu hanyalah saya anggap impian seorang anak kecil. Sebagaimana impian saya untuk menjadi jurutera atau anggota tentera.

Meskipun, cita-cita menjadi penyanyi itu tidak saya kejar, tetapi saya gemar mengikuti penyanyi-penyanyi yang mmapu menghayati lagu sesungguhnya. Di dalam nasyid, saya gemarkan suara Allahyarham Ustaz Asri Rabbani, Ustaz Dzulkarnain Hamzah dan Ustaz Hasnol Diwani.

Dan, sepanjang hidup saya, ada beberapa persembahan nyanyian yang memberi kesan kepada saya. Antaranya, tiga persembahan secara langsung ini : -

****


i) Awie-Wings, sewaktu jaman mudanya, terkenal dengan kehebatan vokalnya, di samping imej ‘baru’ kumpulan rock Malaysia sekitar akhir 1980an dan awal 1990an -- yang menampilkan imej sut kemas -- sewaktu Anugerah Juara Lagu 1989.


****


ii) Nyanyian penuh penghayatan oleh Sule -- lagu Kehilangan (Firman) -- dalam episod “Upil Ipul” (Opera Van Java).


****



iii) Michael “Mick” Hucknall (Simply Red), dengan ‘range’ vokal yang luas dan rambut ‘merah-kerintingnya’ yang unik. 
  


****

Sepotong lagu merdu
waktu musim gugur
Lantas
membuat aku bangkit, dari lena hari ini
dan mengheningkan cipta
pada sebuah indah nostalgia
Tatkala
mimpi-mimpi tercicir di jalanan
Aku senyum. Tertawa.

****
  


Isnin, April 16, 2012

Novel untuk Emak dan Abah.



***

Arwah Emak adalah orang yang paling banyak memberi sokongan, dorongan dan semangat kepada saya, untuk menulis dan untuk hidup.

Saya mendapat tawaran menulis manuskrip Wajah Hati Redha sewaktu masih mengikuti Program Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang atau LLB (Hons) di UiTM Shah Alam.

Sekiranya ada yang sedang belajar -- atau telah lulus -- dari Sekolah Undang-Undang UiTM, pasti faham: soal tekanan dan kesibukan pelajar LLB UiTM.

Masuk kelas pukul 8 pagi. Pulang lewat malam.

Setiap kali -- setiap kali -- saya katakan yang saya sudah putus asa untuk menyiapkan karya ini, Emak akan menegur dan menyantuni keluhan saya.

Kalau buat kerja... mesti dihabiskan,” pesan Emak. “Jangan buat separuh-separuh.”

Saya terlalu rindukan saat-saat duduk berbual dengan Emak di hadapan TV.

Rindu melihat kelibat Emak menyiram pokok-pokok bunga orkid kesayangan Emak.

Rindu masakan Emak yang lazat.

Terlalu rindukan Emak.

Terima kasih Emak. Terima kasih Emak. Terima kasih Emak.

Terima kasih Abah.

Terlalu banyak jasa Emak dan Abah kepada saya.

Novel ini, saya hadiahkan untuk Emak dan Abah.

Sekiranya ada manfaat dan pahalanya, semuanya saya sedekahkan buat Emak dan Abah.

Isnin, April 09, 2012

Doa Emak.


Nulislah ikut kata nubari... lebih jujur,” – SN Dato’ Dr Ahmad Khamal Abdullah (Dato’ Kemala).

Sasterawan Negara yang terpilih sebagai penerima Anugerah Sastera Negara (ASN) ke-11 ini, merupakan salah seorang sahabat Fb saya.

Begitulah, antara kebaikan Fb: penulis/rakyat marhaen seperti saya, dapat berhubung dengan tokoh penulis/pemimpin tanpa kekangan yang rumit dan menyesakkan.

Kami mula berhubung di Fb -- kalau tidak silap saya -- sejak tahun 2010.

Dato’ Kemala mula saya tonton sosoknya sedari saya kecil, menerusi TV Pendidikan -- yang dahulunya -- disiarkan di RTM2.

Dato’ Kemala menyuarakan keinginannya untuk membaca novel sulung saya, Wajah Hati Redha: Skuadron Rakyat.

Meskipun novel ini sederhana, keinginan yang beliau suarakan -- sedari saya baru menulis deraf manuskrip, sehinggalah novel tersebut selamat diterbitkan -- benar-benar membuatkan saya senang.

Senang, kerana doa Arwah Emak saya dimakbulkan TUHAN:
Nanti ada rezeki... kalau siap dicetak nanti... bukan setakat budak sekolah, Sasterawan Negara pun boleh baca.”


Sayang Emak, rindu Emak.

Al-Fatihah.

Al-Fatihah.

Al-Fatihah.

Isnin, April 02, 2012

Jatuh rindu.


Jadual hidup agak serabut.

Mencari ruang untuk diri.

Cari.

cari.

d
a
n

c.a.r.i

Dan, terus hilang dalam ramai.

Rindunya pada Arwah Emak.

Al-Fatihah.

Isnin, Mac 05, 2012

Penawar Nostalgia.


Al-Fatihah buat Allahyarhamah Emak yang sentiasa dirindui. Hanya kuntum doa penawar nostalgia.

Sayang Emak. Rindu Emak.

Al-Fatihah.

Khamis, Januari 12, 2012

Menadah Mendung.

Senja. Dan, hujan pun turun dengan semarah-marahnya. Selebat-lebatnya. Siap kilat dan petirnya.

Motor yang saya tunggangi dari tempat kerja -- menuju jalan pulang ke rumah -- saya matikan enjinnya di sebuah pondok menunggu bas.

Di pondok itu, saya lihat dua kelibat manusia. Seorang wanita -- dalam lingkungan umur awal 40an -- saya perhati sedang memeluk seorang budak lelaki (yang saya kira berusia lingkungan 7 tahun-darjah satu).

Anak ke, Kak?” Tanya saya kepada perempuan itu.

Aah. Dia ni penakut sikit,” jawab perempuan itu, dengan senyuman seorang ibu. “…Takut hujan, takut kilat,” sambungnya lagi. Masih setia dengan senyumannya.

Adik siapa nama?” Soal saya, kali ini kepada anak kecil itu.

Aiman,” jawabnya – ramah – dalam gusar. Setiap kali guruh berdentum, setiap kali itu jugalah makin erat ibunya didakap, dan mendakap.

Saya terus berbual-bual dengan perempuan itu, dan anaknya, sambil memerhatikan motor kesayangan yang basah ditimpa hujan.


******************************************************


Takutlah Mak, ada geledek,” keluh saya yang berumur 5 tahun kepada Emak. ‘Geledek’ itu istilah jawa. Maksudnya guruh.

Entah kenapa, hari tu – petang, kira-kira pukul 2 – hujan turun diselang-selikan dengan kilat dan suara menggelegar yang menyentap hati.

Suasana rumah saya, yang dikelilingi pohon tinggi melampai seperti pokok kelapa itu, terasa sangat menggerunkan.

Saya tidak takutkan hujan. Tidak juga takutkan guruh. Tapi, entah kenapa, guruh hari itu membuatkan saya ketakutan. Tubuh Emak saya dakap seerat-eratnya.

Kenapa nak takut?” Tiba-tiba Emak menimbulkan soal. “Kan hujan tu rahmat. ALLAH sayang kita. Sebab tu ALLAH turunkan hujan,” sambung Emak.

Saya hanya diam sedari tadi. Kehangatan dakapan Emak mengurangkan rasa takut saya. Redup wajah Emak menenangkan. Bening suara Emak melunakkan rawan hati.

Ketika saya curi melihat pohonan nyiur dan dahan pokok durian yang terhoyong-hayang dipukul angin kencang di luar rumah, ketakutan saya sudah beransur hilang.

Kerana Emak telah menenangkan saya. Dan saya rindukan ketenangan waktu di sisi Emak.


******************************************************


Aiman segera menaiki bas yang berhenti di hadapan pondok itu. Perempuan yang saya tidak ketahui namanya itu, hanya tersenyum kepada saya sambil memimpin tangan anak kecilnya.

Dari pondok itu, saya melihat Aiman tersenyum melambai-lambai ke arah saya dari dalam bas. Mungkin ketakutannya pada guruh dan kilat sudah berkurangan. Mungkin.

Sungguh, Aiman bertuah -- dia punyai ibu. Semoga Aiman jadi anak yang soleh. Amin.

Senja yang makin berengsot waktunya, membuatkan saya ralit dek kesyahduan dingin dan bening titisan hujan. Saya melihat jam di tangan – secara curi-curi – sebelum akhirnya saya tersedar: saya belum bersolat, meski Maghrib telah sampai waktunya.

Maka, hujan yang masih lebat itu, saya redahi juga. Tanggungjawab kepada Sang Penakluk Jiwa harus saya tunaikan.

Namun, kerinduan kepada Emak masih terimbau-imbau.

Maghrib itu, saya cuba menyentuh hikmah dan rahmat Sang Pencipta. Demi ALLAH, saya sayang Emak saya.

Isnin, Ogos 29, 2011

Bungkam dalam tenang.

Hari ini -- jika benar mengikut telahan ramai pihak -- merupakan hari terakhir Ramadhan.

Ramadhan: Bulan indah, yang mana di dalamnya terkandung malam Al-Qadar, malam yang lebih baik dari seribu bulan.

Aidilfitri, atau Hari Raya, seharusnya (dan kebiasaannya) disambut penuh kegembiraan oleh setiap insan Muslim.

Namun, bagi saya, lebaran ini adalah lebaran yang paling sayu. Sayu kerana Emak saya sudah tiada di sisi.

Sayu kerana saya takkan dapat lagi menanti saat paling indah hari Raya: iaitu merasai air tangan Emak -- ketupat daun palas, nasi himpit, kari ayam kampung dan ikan parang masak kicap kegemaran saya.

Sayu kerana saya tak dapat lagi menciumi pipi Emak dan memohon kemaafan atas segala khilaf saya sejak kecil.

Saya redha pemergian Emak. Tapi, kesayuan ini memang tak dapat saya sembunyikan. Setiap pagi, sebelum pergi ke tempat kerja, saya akan singgah sebentar ke pusara Emak. Berkongsi kesunyian saya bersama Emak.

Alhamdulillah, saya diberikan peluang oleh ALLAH untuk meraikan lebaran dan Ramadhan buat kesekian kalinya.

Emak telah mendidik saya untuk berpuasa penuh, sejak saya kecil. Alhamdulillah, sejak berusia 8 tahun (darjah 2), saya sudah mula berpuasa penuh.

Setiap kali saya mengadu lapar, Emak akan menenangkan saya dengan kata-kata yang menyenangkan, "Sabar... sekejap lagi buka puasalah tu."

Dan, Emak tidak akan jemu dan mengeluh dalam menenangkan saya untuk bersabar, menahan dahaga lapar. Sampailah pukul 5 petang, jika saya masih merungut, Emak akan menyatakan, "...kalau satu hari boleh tahan lapar, takkanlah lagi 2 jam pun tak boleh? Kuatlah sikit. ALLAH suka hamba-Nya yang sabar."

Rindu. Rindu saat itu. Rindu saat sahur dengan Emak. Rindu saat buka puasa dengan Emak. Rindu sambut kemeriahan hari Raya dengan Emak.

Terima kasih Emak, untuk semua indah kenangan. Buat Emak dan Ramadhan: Kita akan jumpa lagi, dengan izin ALLAH.

Salam.



Isnin, Julai 11, 2011

Bahagia dalam pasungan.


“Makan,” pelawa Emak. “Mak dah siap masak ni, kata tadi lapar?”

“Eh?...,” saya yang sedang asyik menghadap kaca TV, tiba-tiba jadi mati andar untuk beberapa ketika.

“Mari lah makan dengan Mak, dengan Abah. Mak ada masakkan ‘ikan parang masak kicap’ ni,” suara Emak kedengaran untuk kesekian kalinya.

“Eh?.......,” saya jadi tertanya-tanya untuk sekali lagi. Dan, lagi. Dan, lagi.

***********************************************************************

Saya bangun dengan jantung yang berderap kencang, penuh debar. Saya berjalan sedikit gopoh menuju arah dapur dan meja makan. Dengan rasa ingin tahu yang melimpah-ruah.

Saya menelan air liur.

Gulp.

gulp.

gulp.

Saya nampak Emak dan Abah sedang duduk di meja makan, sambil tersenyum memandang saya.

“Eh, Emak???...” Tanya saya dalam hati.

Saya terus berlari-lari anak menuju ke arah Emak. Dan, Emak nampak pelik dengan tindakan saya itu.

“Sihat tak? Kenapa ni?” Tanya Emak bergurau.

Saya tidak menjawab soalan Emak yang itu, dan terus mencium tangan Emak. Saya kucup pipi Emak.

Pipi kanan Emak. Harum.

Pipi kiri Emak. Wangi.

Dahi Emak. Bening.

Sewangi, seharum dan sebening kasih Emak. Terharu saya dibuatnya.

Sepanjang kami makan, saya tidak menjamah walau secubit nasi. Hanya menggaul-gaulnya dengan kuah masak kicap yang saya sedia maklum enak, tanpa perlu merasainya.

“Kenapa? Dari tadi asyik pandang Mak? Ada apa-apa ke?” Kata Emak sambil ketawa kecil. Abah turut tumpang ketawa. Bahagia.

“Tak ada apa, rindu sangat kat Mak… hehe,” jawab saya, ringkas.

“Kenapa rindu pulak? Kan Mak selalu ada. Dekat je, kan?” getus Emak sambil tersenyum. Indahnya wajah Emak. Tenang.

“Mesti lah rindu. Dah dekat sebulan tak dapat cium tangan Mak… Rindu sangat lah, Mak…”

Allahu Akbarullahu Akbar
Allahu Akbarullahu Akbar

assolatu khairum minan naum
assolatu khairum minan naum


Kedengaran suara Azan memecah suasana.

Saya lihat jam di dinding. "Eh? Azan apa ya ni?” Tanya saya kepada Emak. Emak hanya tersenyum indah. Tenang,

“Azan Subuh,” jawab Emak. “Jangan lupa sembahyang. Jaga solat,” pesan Emak.

“Hah, Subuh?” Tanya saya, sedikit pelik.

Saya pun bermonolog dengan diri, “Subuh? Dah tu, aku sedang bersahur ke ni?”

Tiba-tiba, saya pun terbangun daripada tidur.

Mimpi.

Mimpi.

Mimpi.

***********************************************************************

Saya hanya bermimpi. Mimpi bertemu Emak. Mimpi kucup pipi Emak. Mimpi kucup dahi Emak. Mimpi cium tangan Emak. Mimpi makan masakan Emak.

Mimpi ini mimpi ringkas. Tapi, mimpi ini adalah mimpi yang paling indah.
Sayang Emak. Rindu Emak.

Demi Allah, saya sayang Emak saya.


Bahagialah diri
di atas lembaran kehidupan
yang penuh, dengan fi’il dan tabiat insan

Bahagialah diri
dengan rasa rindu, kasih, sayang,
dan kecintaan
yang, memercup mekar dan mengharum
dalam jambangan hayat kehidupan,
penuh ketulusan

Bahagialah diri
meneruskan jejak kehidupan
dengan iman dan ketaqwaan

Bahagialah diri
untuk kesekian kalinya
membuang dosa dan onar
memurnikan jalan yang dilalui

Dan untuk selamanya
bahagialah diri
dengan rahmat, dan kasih-Nya Illahi
yang kita syukuri
tiap petang dan pagi
sampai ukhrawi.



Abu Hurairah r.a pernah mendengar sabda Rasulullah saw yang bermaksud:
“Dunia ini adalah (umpama) penjara kepada seseorang mukmin dan syurga buat orang kafir”. (Hadith Riwayat Imam Muslim)


Salam.

Jumaat, Jun 10, 2011

Demi Allah, saya sayang Emak saya.


Assalamualaikum.



Semalam, Khamis, 9 Jun 2011 merupakan hari yang menyedihkan buat saya.

Ibu kesayangan yang telah banyak berkorban – membesarkan dan mendidik saya – sejak saya dilahirkan sehinggalah hari-hari terakhirnya, telah pergi meninggalkan saya.

“Emak”, panggilan saya buat Ibu saya, selalu memanjakan saya sejak kecil. Hampir apa sahaja yang saya inginkan, akan cuba beliau tunaikan.

ALLAH sahajalah yang mampu membalas jasa Emak.

Emak yang dimasukkan ke ICU dua hari lepas kerana sesak nafas, masih cuba menyembunyikan kesakitan yang dialami.

Pada tahun 2008, sebelum menjalani pembedahan lutut di Pusat Perubatan Sunway, Emak ada menasihatkan saya, agar bersedia menghadapi segala kemungkinan: termasuklah sekiranya beliau ‘tiada’ lagi selepas pembedahan dilakukan.

Siang malam saya berdoa, bersolat hajat: memohon agar ALLAH panjangkan usia Emak – seboleh-bolehnya: sepanjang-panjangnya, sampai akhir umur dunia.

ALLAH memang Maha Pemurah, meski saya bukanlah sebaik hamba-hamba-NYA yang soleh, ALLAH perkenankan doa saya. Emak selamat menjalani pembedahan lutut, dan dapat berjalan dengan baik.

Bak kata Abah, “…lepas ni, nak berlari pun boleh”. Heh. Rindu saat itu.

Alhamdulillah, Emak berkesempatan menghadiri Majlis Kecemerlangan saya, sedari saya masih di Tadika, sehinggalah Majlis Konvokesyen saya pada 2010 dan tahun ini. Alhamdulillah. Alhamdulillah. Alhamdulillah.

Meski saya tidaklah sepandai sahabat mahupun sepupu saya yang lain, Emak selalu menyatakan, yang beliau bangga dengan saya. Emak tidak pernah putus berharap dengan saya.

Kalau bukan kerana Emak ( dan takdir ALLAH ), mungkin saya sudah tidak mampu meneruskan hidup. Sedari kecil, selain Abah ( ayah saya ) dan Emak, orang yang paling ikrab dengan hati dan jiwa saya ialah Wak Sukijah ( nenek saudara saya, tetapi saya memanggilnya Wak Jah ) dan Atok Charop ( datuk saya ).

Rumah Tok Charop dan Wak Sukijah hanyalah beberapa langkah sahaja dari rumah saya. Jadi, masa saya lebih banyak dihabiskan bersama Arwah Atok dan Wak Jah, berbanding bersama kawan-kawan sekampung.

Apabila Arwah Atok tiba-tiba jatuh sakit dan meninggal dunia pada tahun 1999, saya jadi hilang arah. Tapi, Wak Jah dan Emak senantiasa beri saya kekuatan.

Kemudian, pada 2006, sewaktu menguruskan satu program di Rumah Anak Yatim Budi di Yan, Kedah, saya menerima satu pesanan ringkas ( sms ) daripada kakak saya, menyatakan Wak Jah meninggal dunia.

Saya sekali lagi jadi bungkam. Namun, Emak tetap berikan dorongan dan semangat, menyatakan: hidup mesti diteruskan, yang pergi kita doakan yang baik-baik. Sayang Emak.

Sehinggalah semalam, dan sedari dua hari yang lepas – sewaktu berada di sisi Emak di ICU – saya masih terus yakin dan berharap yang Emak akan dipanjangkan usia.

Namun, ALLAH lebih sayangkan Emak. Emak pergi dalam keadaan tenang dan tersenyum. Emak nampak bahagia. Sayang Emak.

Rindu Emak. Sayang Emak.

Meskipun Emak tiada lagi untuk menyejukkan hati saya yang asyik remuk-redam sekarang ini, saya akan meredhai kesedihan ini sebagai sesuatu yang membahagiakan.

Kerana kesedihan ini adalah atas kasihnya saya kepada Emak.

Kerana ALLAH beri saya kesempatan untuk berada di sisi Emak sedari Emak sihat, sedari Emak baru jatuh sakit dua hari lepas, sehinggalah saat Emak tidak sedarkan diri, menghembuskan nafas terakhirnya, dimandikan dan disembahyangkan jenazahnya.

Paling indah, sebab ALLAH beri saya peluang untuk menyambut jenazah Emak untuk diletakkan di dalam liang lahad. Tanah yang memenuhi baju dan seluar saya, terasa seperti tanah yang paling bersih dan harum pernah saya temui. Sayang Emak.

Sungguh, masakan Emak enak dan mengenyangkan. Sungguh, kata-kata Emak sangat menenangkan.

Kalimah yang diungkapkan Emak membahagiakan.

Nasihat-nasihat Emak senantiasa menjadi santapan halwa telinga saya. Emak tidak pernah lupa untuk menyayangi dan rasa prihatin terhadap kebajikan anak-anaknya. Sayang Emak.

Meski Emak tidak pernah bersekolah – kerana dibesarkan dalam keluarga yang susah – bagi saya, Emaklah manusia paling bijak: kerana Emak mengajar saya ‘erti hidup.’

Sayang Emak. Sayang Emak. Sayang Emak.

Oh, Emak, kesayanganku 
hari ini, pada kematianmu 
semuanya telah selesai 
lalu orang pun berangkat 
yang tinggal cuma kesan 
titis air masih basah 

nisan kayu serta kuntum bunga 

mula layu 

pun aku sayu 

rindu syahdu 


Kain putih 

lenyapkanlah 

wajah bening Emak 

di dalam litup tenang selimutmu 


Kapas 

selesakanlah 

tidur abadi Emak 

di atas bahagia kelembutanmu 


Kapur barus, air mawar dan serbuk cendana 

iringkanlah 

kembara akhir Emak 

bersama harum baumu 


Oh, Emak, kesayanganku 

sungguh, pada masa hayatmu 

aku terima banyak nasihat hidup 

namun hari ini, pada kematianmu 
sungguh 
aku terima lebih banyak nasihat hidup 


Oh, Emak, kesayanganku 

hari ini, pada kematianmu 

berakhir sudah riwayat hayatmu 

moga rohmu tenang, bersemadi 
dicucuri rahmat, kasih ILLAHI 
al-Fatihah untukmu 
oh, Emak, kesayanganku.

Abu Hurairah r.a pernah mendengar sabda Rasulullah saw yang bermaksud:
“Dunia ini adalah (umpama) penjara kepada seseorang mukmin dan syurga buat orang kafir”. (Hadith Riwayat Imam Muslim)
Salam.

Dr. Zulkifli Hasan: Menjambatani Persaudaraan, Menyubur Kesejahteraan

  Dr. Zulkifli Hasan: Menjambatani Persaudaraan, Menyubur Kesejahteraan   Oleh: Zairudin Hashim (Ahli Dewan Tertinggi Majlis Belia M...