Memaparkan catatan dengan label Politik. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Politik. Papar semua catatan

Sabtu, Januari 20, 2024

Mustapha Sakmud: Dari Sepanggar ke Kementerian Pendidikan Tinggi

Mustapha Sakmud: Dari Sepanggar ke Kementerian Pendidikan Tinggi 


Oleh: Zairudin Hashim (Ahli Dewan Tertinggi, Majlis Belia Malaysia - MBM) 

Rajin bekerja beramal kuat, 
Kepada Tuhan mengabdi diri; 
Pemimpin setia berjiwa rakyat, 
Sedia sepakat menjaga negeri. 

Kepemimpinan adalah amanah yang cukup berat - sarat dengan tanggungjawab dan kewajipan. Jawatan kepimpinan yang disandang bukanlah satu keistimewaan, kelebihan atau kemegahan sebaliknya adalah suatu amanah yang sangat berat dan memerlukan pengorbanan tinggi serta kerja keras secara bersungguh-sungguh. 

Tanggungjawab kepimpinan perlu dilaksanakan dengan penuh strategi dan perancangan yang tertatur serta tersusun rapi demi mencapai kemajuan, kesejahteraan dan kebahagiaan rakyat sama ada di dunia dan juga akhirat. Menginsafi hal ini, seorang tokoh dari Sabah tampil demi memperjuangkan nasib rakyat agar terbela kebajikan mereka. 

Beliau yang dimaksudkan ialah YB Datuk Ts. Mustapha Sakmud, kini memikul tanggungjawab selaku Timbalan Menteri kepada Menteri Pendidikan Tinggi, YB Senator Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Bin Abdul Kadir. 




Bersama pasangannya, Datin Hajah Rosnih Nasir - seorang pendidik di sekolah; YB Mustapha dikurniakan 5 orang anak (3 lelaki dan 2 perempuan), di samping seorang cucu. Dilahirkan pada 9 Julai 1968, tokoh ini sebelumnya berkhidmat selaku Timbalan Menteri kepada Menteri Sumber Manusia ketika itu, YB V. Sivakumar pada Disember 2022 hingga Disember 2023. 

Sewaktu menabur bakti di Kementerian Sumber Manusia (KSM), YB Mustapha cukup komited mengangkat Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang disifatkan sebagai ‘game changer’ atau pengubah keadaan dalam usaha negara untuk menjadi negara maju. Beliau juga berikhtiar untuk memastikan segala inisiatif yang diambil oleh kementeriannya akan memberi manfaat kepada semua rakyat Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak. 

Ketika itu, YB Mustapha merupakan antara tujuh timbalan menteri dari Sabah yang dilantik oleh YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim bagi menjayakan kerajaan Perpaduan. Selepas 12 bulan berkhidmat di KSM, YB Mustapha begitu komited menjayakan agenda Malaysia Madani bersama seluruh warga kerja kementerian terbabit. Beliau dilihat begitu optimis dengan fokus kerajaan Perpaduan untuk mengangkat darjat negara melalui kemakmuran ekonomi rakyat yang dizahirkan menerusi rombakan kabinet yang lebih dinamik. 

Justeru, di bawah portfolio baharu yang diamanahkan kepadanya itu, beliau akan cuba memberi perhatian kepada isu-isu yang dekat dengan pemegang taruh di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT). Sesuai portfolio baharu beliau di KPT, YB Mustapha Sakmud menggariskan 10 fokus utama yang akan dilaksanakan termasuklah memperkasakan TVET merentasi 12 kementerian. 

Menerusi kenyataan medianya, beliau menyebut akan memperkenalkan inisiatif Jejak TVET Madani. Tambahnya lagi, inisiatif ini akan menonjolkan graduan institut pengajian tinggi (IPT) berbakat besar dalam perusahaan dan merealisasi hasil inovasi IPT dipasar secara komersial. Menurut beliau, kesedaran kesihatan mental akan terus dipromosikan selain memperkasa kekuatan emosi dan spiritual pelajar. Katanya lagi, pelajar dari keluarga miskin tegar dan pedalaman akan dibimbing oleh kementerian bagi memastikan mereka dapat menamatkan pengajian mengikut tempoh yang telah ditetapkan. 

Ujar YB Mustapha, ketidakpadanan pekerjaan yang mengakibatkan guna tenaga tidak penuh turut diberi perhatian. Beliau juga akan memastikan pelajar yang menjalani latihan praktikal mendapat elaun yang setimpal; memastikan bakat dalam negara mencukupi sebagaimana permintaan pelabur dan menurunkan kadar pengangguran dalam kalangan belia yang kini pada 10.1 peratus. 


Dipilih secara demokratik selaku Ahli Parlimen Sepanggar dalam Pilihan Raya Umum ke-15 sejak November 2022, beliau meraih 27,022 undi meninggalkan pencabarnya yang lain dengan majoriti undi sebanyak 7,042. Beliau juga mempunyai latar belakang pendidikan yang cemerlang. Graduan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik, University of Aberdeen, Scotland, United Kingdom (1992) ini juga merupakan lulusan Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan (Master of Business Administration), Universiti Malaysia Sabah (UMS - 2007). 

Sementelah, YB Mustapha pernah bekerja sebagai Jurutera Instrumen, Sabah Forest Industries (SFI) pada 1992, Jurutera Telekom Malaysia Berhad dengan memegang jawatan Pengurus Perancangan Asas Telekom Malaysia Berhad Wilayah Pantai Timur, Sabah (1993-2013), Pengurus Syarikat Konsultasi MRES (sejak 2013), Ahli Lembaga Pelancongan Sabah (2018-2020), Setiausaha Politik, Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Sabah (2020) dan Ahli Majlis Daerah Kota Belud (2018-2020). 

Dalam penglibatan sosial, beliau pernah memegang jawatan sebagai Presiden Majlis Belia Sabah (MBS) selama 2 tahun (2008-2010) selain berkhidmat sebagai Exco Majlis Belia Malaysia (MBM) pada tahun 2007 hingga 2009. 

Dalam hal keagamaan pula, YB Mustapha Sakmud juga telah menyumbang amal bakti dengan memegang jawatan sebagai Timbalan Yang Dipertua, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Negeri Sabah (2007-2010). 

YB Mustapha juga menerima gelaran Ts. iaitu gelaran profesional bagi Juruteknologi Profesional yang diiktiraf oleh Lembaga Teknologis Malaysia (MBOT). Ini merupakan salah satu mekanisme pengiktirafan kepada teknologis dan juga juruteknik negara. 


Pada 7 Oktober 2023, beliau telah dianugerahkan Pengurniaan Darjah Kebesaran Panglima Gemilang Darjah Kinabalu (P.G.D.K) yang membawa gelaran Datuk bersempena Sambutan Hari Ulang Tahun Kelahiran Rasmi Yang Ke-70 Tuan Yang Terutama, Yang di-Pertua Negeri Sabah. 

Atas kecemerlangannya sebagai pemimpin organisasi khususnya kebeliaan dan kemasyarakatan, beliau diiktiraf Kerajaan Negeri Sabah apabila menerima Anugerah Tokoh Belia Negeri Sabah pada tahun 2008. Tambahan lagi, beliau diberikan Anugerah Khalid Al Walid sempena Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Sabah pada 2009. Beliau juga merupakan penerima Anugerah Jasa Bakti Presiden Majlis Belia Sabah (2008-2010) dan Anugerah Pingat Bakti Belia Malaysia (2018) daripada Majlis Belia Malaysia dan Pengurniaan Jaksa Pendamai (2018). 

Pada peringkat akar umbi, YB Mustapha meneruskan kegiatan komunitinya dengan menubuhkan persatuan Initiative For Generation (IFG - sejak 2013) dan Kinabalu Reform and Research Initiative of Strategic Leadership (KRISTAL - sejak 2016) sebagai Pengerusi. 

Penglibatan beliau dalam politik di Sabah adalah sebagai Timbalan Pengerusi, Majlis Pimpinan Negeri (MPN PKR) Sabah (2016 - 2022). Beliau juga memegang jawatan sebagai Exco Majlis Pimpinan PKR Pusat (MPP). Semenjak gabungan Pakatan Harapan (PH) ditubuhkan, YB Mustapha telah dilantik sebagai Setiausaha Pakatan Harapan Negeri Sabah sejak 2017. 

Natijah kepimpinan adalah untuk membina dan membangun insan yang sejahtera jiwa dan rohaninya, murni akhlak dan sikap, dan bantu-membantu dalam melakukan kebaikan. Inilah masyarakat madani yang teguh menegakkan kebenaran dan keadilan, selain berganding bahu mencegah kemungkaran. Dan inilah yang sentiasa diikhtiarkan oleh YB Mustapha Sakmud dalam kempimpinan beliau - khususnya untuk masyarakat Sepanggar yang sangat dekat dengan hati beliau. 

Pergi berjamu ditengok sopan, 
Tutur dijaga orang pun hormat; 
Negeri maju penduduk pun aman, 
Sentosa bersama berkat selamat. 

Kain kembayat sulaman suasa, 
Menyarung sampin corak bersilang; 
Bahagia rakyat aman sentosa, 
Dinaung pemimpin adil terbilang.

Rabu, April 10, 2019

PELUNCURAN BUKU “ANWAR IBRAHIM: SEMANGAT DARAH MUDA” TERBITAN ABIM PRESS


PELUNCURAN BUKU “ANWAR IBRAHIM: SEMANGAT DARAH MUDA” TERBITAN ABIM PRESS
31hb Mac 2019 (Ahad): Alhamdulillah, buku “Anwar Ibrahim: Semangat Darah Muda" selamat diluncurkan oleh dua orang puteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (DSAI), iaitu Nurul Izzah dan Nurul Ilham. DSAI lebih dikenali sebagai seorang pemimpin politik, tetapi tidak ramai mengenali beliau sebagai pemimpin gerakan dakwah.
Beliau adalah mantan presiden Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) dan mantan Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM). Beliau juga pernah mengemudi Majlis Belia Malaysia (MBM) sebagai Presiden. Ini adalah sejarah zaman muda beliau dalam arena dakwah dan kepemudaan.
Beliau juga adalah tokoh membaca yang sejak memimpin ABIM telah mengemudi gerakan dakwah terbesar ini dengan asas intelektual, yang menjadi tradisi ABIM sehingga ke hari ini. Buku ini adalah dedikasi kepada perjuangan beliau, untuk melihat beliau selain daripada naratif politik.
Terima kasih kepada semua yang hadir pada majlis peluncuran ini. Sambutan luar biasa. Kami memohon ribuan kemaafan atas segala kekurangan. Ada yang menunggu seawal pagi dari Kuantan Pahang, Melaka, Johor, Kedah dan seluruh pelusuk negara.
---
SESI PERTEMUAN KHAS DSAI BERSAMA KEPEMIMPINAN MAJLIS BELIA MALAYSIA
9hb April 2019 (Selasa): Kepemimpinan Majlis Belia Malaysia (MBM) berkesempatan mengadakan pertemuan bersama mantan Presiden MBM ke-6, Dato Seri Anwar Ibrahim di Pusat Belia Antarabangsa, Kuala Lumpur.
Dalam pertemuan singkat tersebut, beliau mengingatkan kepada kepimpinan sedia ada walaupun zaman yang berbeza tetapi perjuangan MBM perlu fokus memperjuangkan suara anak muda dan jurubicara rakyat sesuai dengan motonya ‘belia bertindak untuk kebenaran dan keadilan’.
DSAI telah dijemput sebagai penceramah dalam slot Bicara Tokoh: ‘Pemimpin Meniti Perjuangan; Menafsir Masa Depan’ sempena Seminar Kepemimpinan Siswa Guru Kebangsaan 2019. Beliau berkongsi pengalaman di hadapan lebih 300 tetamu dan bakal guru dari Jawatankuasa Perwakilan Pelajar (JPP) Institut Pendidikan Guru mengenai penglibatan beliau dalam perjuangan idealisme.
Beliau menekankan bahawa dengan ilmu dan kesedaran yang tinggi adalah kunci utama menjadi seorang pemimpin yang baik. Program ini anjuran Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dengan kerjasama Majlis Belia Malaysia (MBM) dan International Youth Centre (IYC).
Turut hadir Datuk Dr. Amin Senin, Ketua Pengarah, Kementerian Pendidikan Malaysia, Dr. Rusmini Ku Ahmad yang merupakan Rektor IPGM, Pengerusi Tetap MBM, YB. Mohd Syahbuddin Hashim, Presiden MBM Sdr. Jufitri Joha dan barisan kepemimpinan MBM.
---
Kepada yang mahu membeli buku Anwar Ibrahim: Semangat Darah Muda (The Angry Generation), boleh hubungi wakil kami melalui whatsapp +6013-3916299 (Cik Wani),
atau buat tempahan segera dengan klik di sini:

Dr. Zulkifli Hasan: Menjambatani Persaudaraan, Menyubur Kesejahteraan

  Dr. Zulkifli Hasan: Menjambatani Persaudaraan, Menyubur Kesejahteraan   Oleh: Zairudin Hashim (Ahli Dewan Tertinggi Majlis Belia M...