Khamis, Januari 03, 2013

1982: Asian All-Stars lawan Brazilian All-Stars, Stadium Merdeka, Kuala Lumpur.


Eder sewaktu di Stadium
Merdeka.
Supermokh, ketua
pasukan Asian All-Stars 1982.
Supermokh dan skuad Asian All-Stars.
Skuad bintang Asia 80an.
Supermokh (depan) memakai lilitan kapten skuad
Asian All-Stars. Turut kelihatan, Soh Chin Aun,
Piyapong Pue-on dan Khalid Ali.
Supermokh berjaya melepasi Cerezo
dan Osmar, tetapi rembatannya tersasar.
Aru The Spiderman menumbuk bola
sebelum sempat disambar oleh Reinaldo.
Skuad Lagenda Asian All-Stars, yang dibarisi ramai pemain kebangsaan Malaysia.
Jersi Asian All-Stars di Thailand.
Jung Hu Woon (Korea Selatan).
Park Kyung Hun (Korea Selatan)
dan Aumnat Chakeumchayaut (Thailand).

Reinaldo dan Aumnat cuba
menguasai bola.

Penyerang pasukan Asian All-Stars dari 
Thailand, Piyapong Pue-on, cuba melepasi 
halangan pemain-pemain Brazilian All-Stars, Fred 
dan Osmar dalam satu perlawanan persahabatan 
pada 20hb Disember 1982. Brazilian 
All Stars menang, 3-0.

Cerezo.
Paulo Isidoro.
Logo lama Konfederasi
Bola Sepak Brazil.
Jersi tempat lawan Brazil, 1980-1981.
Logo Piala Dunia 1978 
di Argentina.
Grafik Piala Dunia 1978 
di Argentina.
Grafik Piala Dunia 1982 
di Sepanyol.

Eder, lagenda Brazil yang
beraksi di Stadium Merdeka.
Barisan pemain Brazil bersama penyokong
mereka yang fanatik dan setia.
Skuad Piala Dunia 1982 Brazil.

Zico dan Dino Zoff meraikan kejayaan
menjulang Piala Dunia 1982 bersama skuad 
Itali,selepas menewaskan Brazil dalam 
sebuah pertarungan klasik.
19hb Disember 1982, 8 malam, Stadium Merdeka, Kuala Lumpur.
Pada 19hb Disember 1982, satu perlawanan bersejarah telah diadakan di Stadium Merdeka di antara pasukan Asian All-Stars menentang Brazilian All-Stars. Seramai 25,000 orang penonton memenuhi Stadium Merdeka pada malam tersebut, di mana tiket-tiket dijual pada harga RM30, RM15 dan RM10. Eder Aleixo de Assis (lebih dikenali sebagai ‘Eder’), penyerang dan pemain sayap kiri mapan dari Brazil, menjadi tumpuan utama para peminat tanah air ketika itu. Eder merupakan Pemenang ‘Bola Perak’ Brazil untuk tahun 1983. Beliau juga pernah memenangi ‘Copa do Brasil’ pada tahun 1993 dengan kelab Cuzeiro SC. Eder turut beraksi dalam Piala Dunia 1982, di mana Brazil ditundukkan oleh Itali dalam satu pertarungan bersejarah. Perlawanan bertemu Itali dalam Piala Dunia 1982 itu digelar sebagai ‘Tragedi Sarrias’, merujuk kepada nama stadium tersebut. Pasukan Piala Dunia 1982 Brazil – yang dibintangi oleh Eder, Zico, Falcao dan Socrates -- dianggap sebagai antara pasukan terhebat yang gagal memenangi Piala Dunia.

Edisi 1982 menyaksikan pemain paling muda yang beraksi dalam perlawanan Piala Dunia, Norman Whiteside bermain sewaktu menentang Yugoslavia, ketika berusia 17 tahun dan 41 hari. Bintang England, Bryan Robson pula berjaya menjaringkan gol meskipun perlawanan baru berlangsung selama 27 saat. Ketika Robson menjaringkan gol tersebut, pengulas sukan, John Motson hanya sempat melafazkan sebanyak 59 patah perkataan. Edisi 1982 dimenangi oleh Itali yang menewaskan Brazil, 3-2, dalam apa yang dianggap sebagai perlawanan terbaik Piala Dunia. Bintang Itali, Paolo Rossi telah menjadi penjaring terbanyak untuk Edisi 1982 di Sepanyol dengan enam gol. Namun, Hungary telah mencuri tumpuan apabila menewaskan El Savador, 10-1.

Selain Eder, seorang lagi anggota Piala Dunia Brazil ialah Reinaldo, yang beraksi di Stadium Merdeka. Reinaldo merupakan salah-seorang daripada anggota skuad Piala Dunia 1978 Brazil di Argentina. Terdapat kontroversi pada Edisi 1978, apabila Brazil -- yang hanya memerlukan seri untuk layak daripada peringkat kumpulan – tewas 1-2 kepada Itali, manakala tuan rumah Argentina yang mempunyai perbedaan gol dengan Brazil, layak setelah menewaskan Peru, 6-0. Selain itu, Edisi 1978 itu diselubungi kontroversi hitam apabila terdapat dakwaan bahawa para pemain skuad Belanda telah menerima ugutan daripada pihak junta tentera Argentina. Argentina akhirnya menjulang Piala Dunia 1978 dengan lagendanya yang sering dilupakan, Mario Kempes. Kempes yang digelar ‘El Toro’ dan ‘El Matador’, merupakan satu-satunya pemain skuad ‘La Albiceleste’ yang beraksi untuk kelab luar, iaitu kelab Valencia (Sepanyol). Kempes juga merupakan pemain yang dinamakan oleh Pele sebagai antara 125 orang pemain terbaik dunia yang masih hidup pada 2004.

Di Stadium Merdeka, Eder mempamerkan aksi hebatnya sewaktu menentang skuad ‘tangkap-muat’ Asian All-Stars; yang meskipun dibintangi oleh pemain terbaik Asia, tetapi hanya dapat berkumpul dan menjalani latihan bersama dalam tempoh waktu yang singkat. Gol pertama Brazilian All-Stars dijaringkan pada minit ke-22 oleh Pablo Isidiro, hasil hantaran anggota skuad Piala Dunia 1978 Brazil, Reinaldo. Kemudian, Eder menjaringkan gol kedua dengan kaki kirinya. Gol ketiga Brazil pula diperolehi menerusi Heleno yang menjaringkan gol, enam minit sebelum tamat separuh masa pertama.

Perlawanan antara Asian All-Stars dan Brazil ini turut dijalankan di Bangkok, Thailand. Di Kuala Lumpur, antara bintang Asia Tenggara yang beraksi untuk skuad Asian All-Stars ialah Supermokh, Towkey Soh Chin Aun, Hassan Sani dan Piyapong Pue-on (lagenda Thailand). R. Arumugam yang masuk pada separuh masa kedua berjaya beraksi cemerlang, apabila memastikan gawang Asian All-Stars tidak dibolosi sehingga tamat permainan. Keputusan akhir, Asian All-Stars 0, Brazilian All-Stars 3.
  • Skuad Asian All-Stars: Mahboub Jumma, Aziz Anbary (Kuwait); Park Kyun Hun, Jung Hu Woon, (Korea Selatan); Gu Guan Gming (China); Prasun Banerjee, Parminder Singh (India); Kwauo Ozaki (Jepun); Piyapong Pue-on, Aumnat Chakeumchayat (Thailand); Soh Chin Aun, Wong Hung Nung, Jamaluddin Norbit, Zainal Abidin Hassan, Khalid Ali, R. Arumugam, Hassan Sani, Reduan Abdullah dan Mokhtar Dahari (Malaysia).
-----------------------------------------------------------------------------------------------

Ambang 2013: Ustaz Azhar Idrus dan Ustaz Haslin Bollywood.


Kitab Safwatut Tafasir, karangan Syeikh
Dr Muhammad Ali As-Sobuni
.
Syeikh Dr Muhammad Ali As-Sobuni.
Meskipun uzur dan perlu dipimpin untuk
berjalan, Syeikh Dr Muhammad Ali As-Sobuni
tetap menggagahkan diri demi menyantuni
hadirin pada malam Ambang 2013.
Syeikh Dr Muhammad Ali As-Sobuni.
Syeikh Dr Muhammad Ali As-Sobuni.
Ustaz Nazmi Karim sebagai penterjemah
pidato Syeikh As-Sobuni pada
malam tersebut.
Ustaz Haslin mengimami solat berjemaah.
Ustaz Haslin, UAI dan Datuk Malek Noor.
Kamal Adli, UAI dan Pierre Andre.
Jaguh bola Harimau Malaya dan Harimau Muda,
Wan Zack Haikal, UAI dan Nasha Edziera
(pelumba cup prix wanita).
Wan Zack, UAI dan Aziz M. Osman.
Lebuhraya Persekutuan dan malam tahun baru.
Minda baru segalanya.
Bergambar kenangan bersama sepupu
merangkap sahabat ikrab
sedari kecil, Amirull.
Selain berkhidmat sebagai pendidik, Amirull juga 
merupakan seorang penulis surat-berita (newsletter). 
Menurut beliau, tulisannya “…percuma dan tiada 
pegangan hak cipta. Bebas di‘xerox’, disalin 
dan dibaca. Ilmu dan informasi untuk 
semua manusia.” Sempoi.

----------------------------------------------------------------------
Setiap orang melihat Yang Tak Terlihat
dalam persemayaman hatinya.
Dan penglihatan itu bergantung pada seberapakah
ia menggosok hati tersebut.
Bagi siapa yang menggosoknya hingga kilap,
maka bentuk-bentuk Yang Tak Terlihat
semakin nyata baginya.

-- Syeikh Jalaluddin Ar-Rumi 
(Hati Bersih Melihat TUHAN).

Alhamdulillah, tanggal 31hb Disember 2012 yang lepas, saya berkesempatan untuk hadir ke “Majlis Ambang 2013” yang dianjurkan di Shah Alam, ibu negeri, Negeri Selangor Darul Ehsan. Kurang-lebih 120,000 orang daripada pelbagai latar belakang hadir membanjiri Dataran Kemerdekaan, Shah Alam bagi memeriahkan Program “Jom Santai Bersama GeMS” (Generasi Idaman Selangor) kelolaan Kerajaan Negeri Selangor, sempena ambang 2013. Program “GeMS” itu diadakan dengan pendekatan menyambut tahun baru dengan tema keagamaan serta bersifat santai. Ia ternyata mendapat sambutan hebat dan ia memberi nafas baru kepada penganjuran majlis. Terdahulu, program terbabit berlangsung selama tiga hari bermula 29 hingga 31 Disember dengan pelbagai program menarik termasuk “Karnival Pendidikan Selangor- EduSEL Fair 2012”.

Selain itu, turut diadakan ceramah santai yang bertajuk “SPIES” membentuk masyarakat sejahtera yang menampilkan Dr Ruziah Ghazali, Ustaz Shukri Yunus dan Ustaz Fauzi Mustafa. Forum “Jom Bercinta” yang membariskan panel Ustazah Fatimah Syarha dan pelakon, Shamsul Ghau-Ghau dan ceramah ilmuan bersama Ustaz Datuk Ismail Kamus. Manakala, sambutan kemuncaknya diadakan program sambutan “Ambang 2013” dengan menyaksikan persembahan sajak daripada pelakon, Diana Amir dan “Sembang Santai” bersama Ustaz Azhar Idrus (UAI); Ustaz Haslin Baharim (Ustaz ‘Bollywood’); Aziz M. Osman; Datuk Malek Noor; Kamal Adli; Pierre Andre; Wan Zack Haikal (pemain bola sepak kebangsaan); Nasha Edziera Mohd Bahauddin (pelumba motorsikal ‘cup-prix’). Gabungan golongan agama dari generasi lama dan baru serta artis popular itu berjaya menarik perhatian pengunjung untuk mengikuti majlis dari awal hingga akhir.

Para hadirin berhimpun di Padang A dan Padang B, yang terletak berhampiran Muzium Negeri dan Masjid Sultan Abdul Aziz Shah (Masjid Biru). Solat Maghrib dan Isya’ juga dilakukan secara berjemaah di Padang A. Ada yang sujud di atas simen, tar, rumput dan tanah. Solat diimamkan oleh Ustaz Haslin. Dikhabarkan bahawa kurang-lebih 120,000 orang hadir ke majlis tersebut. Jumlah ini adalah agak signifikan, mengambil kira bahawa ramai anak muda yang hadir untuk mendengar kuliah Ustaz Haslin dan UAI, selain terdapat tujuh buah program sambutan tahun baru lain yang dilaksanakan pada waktu dan hari yang sama.

Antara slot yang paling memberi kesan kepada para hadirin pada malam tersebut ialah sesi di mana ulama’ tersohor dunia dari Syria, Al-Fadhil Sheikh Dr. Muhammad Ali As-Sobuni, 83 tahun, yang memberi ucapan dan diterjemahkan oleh Ustaz Muhammad Nazmi Karim. Syeikh As-Sobuni merupakan Ketua Persatuan Ulama’ Syria dan Pengarang Kitab “Sofwah At-Tafasir.”

Menurut Syeikh As-Sobuni, beliau diberi gelaran As-Sobuni (sabun) kerana keluarganya merupakan pembuat sabun pencuci. Beliau – secara bergurau – menyatakan bahawa, “…tapi apabila tangan kalian kotor, janganlah dicuci pada baju saya. Saya bukan pencuci tangan atau baju, tetapi saya (berharap bahawa saya) adalah pencuci hati-hati manusia.” Selanjutnya beliau menambah, “…kalian pilihlah pemimpin yang menjaga agamanya. Dengan demikian, dia akan lebih takut apabila dipersoalkan ALLAH SWT di Akhirat nanti.” Walaupun telah uzur, ulama’ besar ini masih bersemangat dan lantang ucapannya. Contoh yang baik untuk sekalian anak muda.

Antara kata-kata Ustaz Haslin yang paling mengesankan ialah, “…apabila kita hendak berubah, kita perlulah tanamkan dalam hati. Seterusnya, berubahlah walau pun dengan sebatan pensel sahaja.” Majlis yang menerima sambutan ramai ini diakhiri dengan nyanyian nasyid Asmaul Husna dan bacaan doa penutup oleh UAI. Semoga penganjuran majlis seperti ini diteruskan secara konsisten dan lebih meluas, agar manfaatnya dapat dirasai oleh rakyat Malaysia secara umumnya, in sya ALLAH. Hal ini menunjukkan bahawa masih ramai yang menyayangi Islam; di mana para hadirin sanggup bersila di atas padang yang becak dari sebelum Maghrib hingga pukul 1 pagi, semata-mata untuk menghadiri majlis ilmu tersebut. 


Melihat lautan manusia pada malam Ambang 2013 itu, membuatkan saya terkenang kepada puisi “Lihatlah Yang Terdalam” karangan Syeikh Jalaluddin Ar-Rumi: “Jangan kau seperti iblis; hanya melihat air dan lumpur ketika memandang Adam. Lihatlah di balik lumpur; beratus-ratus ribu taman yang indah.”

-----------------------------------------------------------------

Sumber dan rujukan:
  1. http://www.facebook.com/Ustazazharidrus;
  2. http://www.facebook.com/Ustazazharidrus/photos_stream;
  3. http://www.facebook.com/media/set/?set=a.464426953616297.108085.158725644186431&type=1;
  4. http://akhi-ahmad-kamil.blogspot.com/2012/08/terjemahan-tafsir-surah-yaasin-daripada.html;
  5. http://kerabubersuara.blogspot.com/2013/01/himpunan-gambar-sempena-sambutan-ambang.html?utm_source=feedburner&utm_medium=feed&utm_campaign=Feed%3A+blogspot%2FRzVdP+(Kerabu+Bersuara);
  6. http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2011&dt=0718&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_03.htm;
  7. http://www.selangorku.com/?p=20701. 

Rabu, Januari 02, 2013

Ucapan Dr Burhanuddin Al-Helmy.


Islam lahir dengan sifat sabar dan ‘tolerance’ menyatakan kebenarannya, kemudian bangkit selaku revolusi yang diperlukan oleh ‘i’tiqad’ masyarakat dan zaman. Ini sangat nyata bagaimana yang telah disaksikan oleh sejarah. ‘Islam is the source of civilization’. Islam itu nyata tamaddun.”

“…Yang telah pasti ialah janji TUHAN tidak akan dusta. Jika kita berpegang teguh kepada agama-NYA, pasti meningkat mulia. Agama Islam mulia-handal dan sempurna, kenapakah kita persia-siakan?”  

“Dunia ini tunggangan ke Akhirat dan dunia ini tanaman ke Akhirat. Maka kita hidup berpolitik dan bernegara, hendaklah pegangan keimanan dan taqwa yang sentiasa waspada dan siap sedia. Bekerjalah kerana duniamu, seolah-olah engkau akan hidup selama-lamanya dan bekerjalah kerana Akhiratmu, seolah-olah engkau akan mati esok hari.”

-- Almarhum Dr Burhanuddin Al-Helmy. Al-Fatihah.

Dr. Zulkifli Hasan: Menjambatani Persaudaraan, Menyubur Kesejahteraan

  Dr. Zulkifli Hasan: Menjambatani Persaudaraan, Menyubur Kesejahteraan   Oleh: Zairudin Hashim (Ahli Dewan Tertinggi Majlis Belia M...