Isnin, Julai 18, 2016

INFAQ RAMADHAN: ABIM BANTU KELUARGA SUBASHINI-SARAVANAN.


Logo ABIM.
Saudara Mohamad Raimi Ab Rahim
Presiden ABIM. Juga mantan
INFAQ RAMADHAN: ABIM BANTU KELUARGA
SUBASHINI-SARAVANAN.
Sempena Ramadhan 1437 Hijrah, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) telah menghulurkan sumbangan kepada Puan Subashini a/p Rajasingam atau nama Islamnya, Puan Shafirah yang kini menetap bersama suami dan tiga orang anak di Cheras, Kuala Lumpur. 
Bantuan berupa sekampit beras, barang keperluan harian, dan sejumlah wang tunai telah diserahkan oleh Setiausaha Agung ABIM, Saudara Muhammad Faisal Abdul Aziz dan Exco Penyelidikan ABIM Pusat, Saudara Mohd Firdaus Hamsin di kediamannya.
Subashini adalah nama yang tidak asing dalam topik perbahasan berkaitan isu bidang kuasa Mahkamah Sivil dan Syariah; apabila tuntutan hak antara beliau dan suami di Mahkamah Persekutuan, telah menjadi satu kes yang menggemparkan negara [kes Subashini Rajasingam lwn Saravanan Thangathoray & Lain (2007)].
Kes ini bermula apabila Subashini memfailkan petisyen perceraian kerana suami beliau telah memilih untuk memeluk agama Islam dengan nama Muhammad Shafi Saravanan Abdullah.
Walaubagaimanapun, petisyen perceraian telah difailkan terlalu awal daripada tempoh yang ditetapkan di bawah Akta Undang-undang Pembaharuan (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 (LRA).
Kes ini berlanjutan hingga membawa kepada tuntutan hak penjagaan anak-anak dan isu status agama anak-anak mereka sama ada masih kekal dengan agama Hindu atau pengislaman anak-anak dianggap sah di sisi undang-undang.
Walaubagaimanapun, pertentangan kedua-dua pihak akhirnya telah menemui jalan penyelesaian setelah R. Subashini pada tahun 2010 telah diberikan hidayah untuk memeluk agama Islam di Pejabat Islamic Outreach ABIM yang beralamat di Masjid Negara.
Setelah memeluk Islam, beliau dikenali sebagai Shafirah dan kini hidup bahagia bersama suami (Muhammad Shafi @ Saravanan) serta anak-anak; Muhammad Shazrul, Muhammad Shazlan dan Nur Shameera Danisha.
Namun, kini beliau mengalami masalah buah pinggang dan kencing manis dan selalu mendapatkan rawatan di hospital.
Manakala Muhammad Shafi yang bekerja sebagai kelindan lori masih mengalami sakit tulang bahu susulan kemalangan jalan raya pada tahun lepas.
Muhammad Shafi (dahulu dikenali sebagai Saravanan), bagi pihak keluarga mengucapkan penghargaan kepada orang ramai yang sudi menghulurkan bantuan kepada mereka menerusi tabung Infaq Ramadhan.
Dan berdoa semoga segala dugaan yang dihadapi keluarga beliau dan saudara baru lain dapat ditempuhi dengan penuh kesabaran dan tawakkal kepada Allah S.W.T.
Terdahulu, pada 17hb Julai 2014, Saudara Faisal dan Saudara Zikri dari ABIM berkesempatan menghulurkan sumbangan Ramadhan ABIM Pusat kepada pasangan muallaf yang bahagia ini.
Ayuh; sejahterakan Malaysia dengan dakwah!
-----------------------------------------
Sekretariat ABIM Pusat: No.6 Jalan TC 2A/2, Taman Cemerlang, 53100 Kuala Lumpur
Hubungi Sekretariat ABIM Pusat melalui:
Tel: +603 - 4108 4500
Fax: +603-4108 2400
Email: sap@abim.org.my
FB : Angkatan Belia Islam Malaysia
https://www.facebook.com/ABIM.Malaysia/?fref=ts
---------------------------------------
.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Dr. Zulkifli Hasan: Menjambatani Persaudaraan, Menyubur Kesejahteraan

  Dr. Zulkifli Hasan: Menjambatani Persaudaraan, Menyubur Kesejahteraan   Oleh: Zairudin Hashim (Ahli Dewan Tertinggi Majlis Belia M...