Isnin, Julai 18, 2016

BEDAH BUKU: ISLAMIC WORLD ACADEMIC PROJECT.


Logo ABIM.
Saudara Mohamad Raimi Ab Rahim
Presiden ABIM. Juga mantan
I
Islamic World Academic Project 
(Siri Pertama) di KUIS, Bangi.
29hb Jun 2016 (Rabu): Di Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS), Presiden Abim Pusat, Saudara Mohamad Raimi mengupas buku “Gelombang Kebangkitan Asia”. Buku ini merupakan edisi Bahasa Melayu yang asalnya dalam Bahasa Inggeris, “The Asian Renaissance” nukilan Dato’ Seri Anwar Ibrahim (DSAI). DSAI sememangnya dikenali sebagai seorang pemimpin yang mencintai buku dan mempunyai hubungan rapat dengan golongan wartawan, sasterawan dan seniman.
Di samping mempunyai hubungan ikrab dengan Almarhum WS Rendra (penyair tersohor Indonesia) dan memenangi Anugerah Tokoh Pembaca 1988, DSAI pernah menulis dua buah buku: “Menangani Perubahan” (Managing Change) terbitan Berita Publishing pada 1988 dan “Gelombang Kebangkitan Asia” (The Asian Renaissance) terbitan Times Publications, Singapura pada 1997.
Buku Gelombang Kebangkitan Asia cuba menghuraikan apa yang dikatakan sebagai Nahdah Asia yang mendapat rangsangan daripada ketangkasan ekonomi, yang mengimbangi dan mula mencabar dominasi ekonomi Barat. 
Tetapi, sekiranya keajaiban ekonomi Asia Timur (East Asian Economic Miracle) - ketika itu - dipersoalkan akibat krisis kewangan yang melanda Thailand; dengan tempiasan hebat ke seluruh rantau Asia Tenggara, apakah cita-cita Nahdah Asia masih boleh dijayakan?
DSAI juga telah menulis banyak artikel dan rencana antaranya: “The Ardent Moderates” (Majalah Time, Ogos 1996); “Who Hijacked Islam?” (Majalah Time, Oktober 2001); “We Muslims Must Reform Our Own Politics” (The Asian Wall Street Journal, Oktober 2003); “There Is So Much to Do” (Majalah Time, September 2004); “The Quest for Social Justice” (Majalah Global Agenda: World Economic Forum Annual Meeting) (Januari 2005); dan banyak lagi.

II
Islamic World Academic Project 
(Siri Kedua) di KDH, Sungai Ramal, 
Kajang.
30hb Jun 2016 (Khamis): Saudara Fazril Saleh, Presiden PKPIM beraksi di Kolej Dar Al-Hikmah (KDH), mengupas buku yang terkenal dengan gelaran ‘Buku Ayam’ karya Tan Sri Prof. Dr. Syed Muhammad Naquib Al Attas.
Naskah “Islam dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu” ini mempunyai lakaran khat berbentuk ayam jantan, yang mempunyai maksud khat ‘Basmalah’.
Buku ini asalnya dipersembahkan sebagai syarahan pengukuhan sempena perlantikan Profesor Bahasa dan Kesusasteraan Melayu di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), pada tanggal 24hb Januari 1972 di Auditorium UKM, Kuala Lumpur.
Kemudiannya, atas inisiatif ABIM, naskah ini diterbit dan dijual di pasaran secara umum pada 1984, setelah dua kali diterbitkan oleh UKM.

III
Islamic World Academic Project 
(Siri Ketiga) Sempena Ifthar Keluarga 
ABIM Negeri Sembilan dan PPINS 
di Negeri Sembilan.
1hb Julai 2016 (Jumaat): Pada tanggal 27 Ramadhan 1437H, bertempat di kediaman Saudara Kamarul Arifin Wafa di Seremban, program ketiga menampilkan Prof. Madya Dr. Zulkifli Hasan yang membentangkan buku “The Myth of the Lazy Native” (Mitos Peribumi Malas) karya Syed Hussein al-Attas.
Selain para sahabat aktivis serta pimpinan Abim Negeri Sembilan dan PPINS, turut hadir adalah keluarga Tuan Haji Mohamad Wafa Abdul Rashad dan keluarga Pak Yati dan Mak Yati (Siti Anthoney) dari Cocos Islands, Australia.
Dr. Zulkifli, YDP ABIM Negeri Sembilan serta Exco ABIM Pusat, memulakan bicara dengan mengajak hadirin merenung era masa depan Post-American World, dan di mana orang Melayu dan Malaysia pada masa akan datang.
Kebangkitan ‘the Rest of the World’ pastinya akan memberikan cabaran baru; kepada semua bangsa di dunia ini, pada masa depan. Buku Mitos Pribumi Malas ini antara karya yang sangat penting menelusuri aspek sosio-budaya dan sejarah orang Melayu; dan memahami bentuk dan corak pemikiran orang Melayu secara umum, sebelum dan selepas penjajahan.
Citra kemalasan golongan peribumi yang digembar-gembur oleh penjajah; sebenarnya melibatkan penyebaran ideologi dan ‘colonial capitalism’ demi kepentingan penjajah itu sendiri.
Golongan peribumi sebenarnya bekerja keras untuk hidup sebagai manusia, rajin dan mahir dalam bidang tertentu; dan tidak mahu menjadi alat penjajah kapitalis, yang mahu melayani mereka seumpama hamba abdi dan bangsa yang tidak bermaruah. Moga ada manfaat.
Ayuh; sejahterakan Malaysia dengan dakwah!
-----------------------------------------
Sekretariat ABIM Pusat: No.6 Jalan TC 2A/2, Taman Cemerlang, 53100 Kuala Lumpur
Hubungi Sekretariat ABIM Pusat melalui:
Tel: +603 - 4108 4500
Fax: +603-4108 2400
Email: sap@abim.org.my
FB : Angkatan Belia Islam Malaysia
https://www.facebook.com/ABIM.Malaysia/?fref=ts
---------------------------------------
.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Dr. Zulkifli Hasan: Menjambatani Persaudaraan, Menyubur Kesejahteraan

  Dr. Zulkifli Hasan: Menjambatani Persaudaraan, Menyubur Kesejahteraan   Oleh: Zairudin Hashim (Ahli Dewan Tertinggi Majlis Belia M...