Logo Wadah Pencerdasan
Umat (WADAH).
|
Logo
Seputar Seminar Nasional
Maqasid al-Shari’ah 2016,
Shah Alam.
28hb
Mei 2016 (Sabtu): Baru-baru ini, Seminar Nasional Maqasid al-Shari’ah 2016 telah
dianjurkan di Auditorium Teater Shah Alam. Seminar ini mengangkat tema “Maqasid
al-Shari’ah dan Fiqh Demokrasi” dengan menampilkan pembentang dan pengucaptama;
yang terdiri daripada tokoh ilmuan dan pengkaji Maqasid Shariah antarabangsa
dan tanah air.
Seminar
ini adalah kemuncak kepada beberapa Siri Bengkel Maqasid al-Shari’ah yang
diadakan sejak 2015; yang dihadiri oleh pakar dan pengkaji tegar Maqasid al-Shari’ah
yang sememangnya berautoriti membicarakan tajuk ini.
Bertepatan
dengan realiti yang dihadapi pada hari ini, topik “Maqasid al-Shari’ah dan Fiqh Demokrasi” ini sememangnya sesuatu
yang sangat penting dan perlu dibicarakan secara mendalam menerusi perbincangan
ilmiah yang dipimpin dan dipandu oleh tokoh maqasid yang berautoriti.
Prof
Dato’ Dr. Redzuan Othman, Timbalan Pengerusi IDE, menegaskan bahawa IDE serius
ingin menjadikan Selangor sebagai hub ilmu dan rujukan Maqasid al-Shari’ah.
Sheikh
Prof. Dr. Abdul Rahman al-Kailani (Pengerusi Rabitah Ulama Jordan serta pengarang
banyak kitab dan makalah mengenai maqasid) menyampaikan Ucaptama Perdana
bertajuk “Kedaulatan ILLAHI dan Permasalahan
dalam Pelaksanaannya dari Perspektif Maqasid al-Shari’ah.” Sheikh Al-Kailani
berkata, jalan Shariah itu luas, justeru jangan disempitkan. Kebebasan itu juga
terangkum dalam Shariah. Hukum (peraturan) ALLAH SWT, menurut beliau, memandu masyarakat
ke arah negara madani (sivil) yang bersumberkan Shariah. Keesokannya, beliau hadir ke Kolej dar al-Hikmah, Kajang untuk menghadiri Sidang Meja Bulat ‘Fiqh Kontemporari Bersama-sama NGO-NGO Islam’. Beliau melihat pembinaan sistem sosial dan politik bukan cuma pada nama (atau jenama atau labelnya), tapi jauh lebih penting, pada makna, isi dan amalannya.
Dato’
Dr. Ustaz Siddiq Fadzil, Pengerusi Institut Darul Ehsan dan mantan Presiden Wadah
Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH) serta bekas Presiden Angkatan Belia Islam
Malaysia (ABIM), mengungkapkan, “Sampai
bila bangsa Melayu mahu mengharap pada perlindungan hak bumiputera dalam
Perlembagaan Persekutuan?” Beliau mengupas tajuk besar, “Maqasid al-Shari’ah Diratah Politik Demokrasi”.
Menurut
Ustaz Siddiq – seorang tokoh ideologue yang tidak asing pada semua, sistem
politik Islam selamanya bersifat dinamik dan luwes, sesuai dengan zaman yang
berubah dan lingkungan yang berbeza. Yang tetap dan tidak berubah adalah
prinsip dan nilai-nilai dasarnya. Bertolak dari premis tersebut, politik Islam
dapat menerima unsur-unsur yang positif walau dari mana pun datangnya.
Yang
penting, ia harus disesuaikan dengan syariat - prinsip, nilai dan maqasidnya.
Seperkara yang perlu dicatat bahawa Maqasid Shariah harus selamanya
terpadu dengan fiqh dan usulnya. Kesepaduan ini perlu dipertahankan agar Maqasid
Shariah tidak dieksploitasi untuk menjustifikasikan maqasid dan masalih
yang terpisah dari nas, dengan menjadikan akal semata-mata sebagai
penentunya.
Ustaz
Siddiq menekankan bahawa sebahagian intelektual sekularis yang ikut mewacanakan Maqasid
al-Shari’ah, terkesan cuba mempromosikan maqasid yang terpisah dari Usul
al-Fiqh, atau maqasid yang ditawarkan sebagai alternatif kepada Usul al-Fiqh.
Pemikiran seperti itu dapat dikesan dalam tulisan Muhammad Arkoun dan mereka
yang sealiran dengannya. (Imam, Muhammad Kamal al-din, 2011:10-11).
Ramai
kalangan cendekiawan Muslim masa kini yang merasakan bahawa politik adalah
bidang yang sangat memerlukan pendekatan metodologi maqasidi, malah ada yang
menyarankan pembinaan ilmu maqasid siyasi yang khusus, berbeza daripada ‘ilm al maqasid al-‘ammah.
Saranan
ilmu khusus maqasid politik ini didasarkan kepada hujah bahawa fiqh tradisi
dalam bidang politik terkesan kurang mendapat sentuhan maqasid; yang lebih
terasa adalah penyerlahan realiti politik zaman penguasa yang memerintah dengan
kekuatan tentera. (Al-Shatiwiy, Muhammad, 2014: 97-98). Kesimpulannya, Maqasid
al-Shari’ah harus menjadi bingkai rujukan politik Islam masa kini.
Program
kali ini menyaksikan pameran koleksi kitab dan buku mengenai Maqasid Shariah
yang pertama kali seumpamanya diadakan; gerai jualan buku-buku mengenai Maqasid
al-Shari’ah dan politikal Islam; serta persembahan qasidah oleh Kumpulan Al-Rayyan,
Johan Qasidah Kebangsaan.
Antara
Pembentang lain kertas kerja seminar ini ialah: Dr. Zaharuddin Abdul Rahman
(Pengerusi MURSHID serta penulis kitab “Maqasid
fi al-Buyu’”); Dr. Ahmad Wifaq Mokhtar (Timbalan Pengarah INFAD USIM serta penulis
kitab “Maqasid ‘inda Imam al-Shafii”);
Prof. Ibrahim Zein (Pensyarah Kuliyyah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan UIAM); Prof
Madya Dr. M. Tahir al-Misawi (Pensyarah Kuliyyah Ilmu Wahyu dan Sains
Kemanusiaan UIAM serta pakar maqasid dan penterjemah karya Ibn Ashur); serta YB
Dr. Mujahid Yusof Rawa (Ahli Parlimen Parit Buntar).
Dalam
seminar ini, turut diedarkan buku bertajuk “Maqasid
Puasa: Hikmah dan Tujuan Pensyariatannya” terbitan IDE. Bersempena Ramadhan
yang tidak lama lagi akan disambut oleh seluruh umat Islam, buku “Maqasid al-Siyam” ini semestinya antara
naskhah yang perlu dimiliki. Semoga dengan memahami Maqasid Puasa ini, Ramadhan
kali ini akan lebih bermakna dan lebih baik dari Ramadhan yang lalu, in sya
ALLAH.
#satubulansatujuzukalquran
#akuramadhandanalquran #5yriaNeedsYou #5YearsOfRevolution #With5yria
#SignificantChannelImpactfulContribution #SebarkanSalam #SebarkanSenyuman #IslamItuDamai
#EkstremismeMusuhSemuaKeyakinan
#akuramadhandanalquran #5yriaNeedsYou #5YearsOfRevolution #With5yria
#SignificantChannelImpactfulContribution #SebarkanSalam #SebarkanSenyuman #IslamItuDamai
#EkstremismeMusuhSemuaKeyakinan
------------------------------------------
Sumber
dan Rujukan:
- http://wadahutara.blogspot.my/2016/05/ahmad-azam-navigating-times-islam-and.html;
- http://wadahutara.blogspot.my/2016/05/maqasid-al-shariah-aktualisasinya-di.html;
- https://www.facebook.com/nur.udzir/posts/10209806878353522;
- https://www.facebook.com/wadahpencerdasan.umat/posts/1102669456474751;
- https://www.youtube.com/watch?v=aVjGSt3XfYA#t=16;
- https://www.facebook.com/abdwahid.abdrazak/posts/1044416545594726.
.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan