Isnin, Oktober 13, 2014

Seputar Piala Sultan Selangor 2014.


I
Seputar Piala Sultan Selangor 2014.
27hb September 2014 (Sabtu): Piala Sultan Selangor (PSS) 2014 kembali lagi, kali ini ketika kempen Piala Malaysia 2014 sedang getir berlangsung. Edisi kali ini agak menarik, kerana buat julung kalinya, bekas penyerang prolific kebangsaan, Saudara Azman Adnan (kini membimbing PDRM FA), membarisi skuad Veteran Selangor. Sepanjang 12 edisi yang lepas, rekod kemenangan setiap pasukan adalah seperti berikut:-
  • Veteran Selangor: menang 6 kali termasuk sekali juara bersama;
  • Veteran Singapura: menang 7 kali termasuk sekali juara bersama;
  • Pilihan Selangor: menang 7 kali termasuk sekali juara bersama;
  • Pilihan Singapura: menang 6 kali termasuk sekali juara bersama.
Rekod keempat-empat pasukan adalah hampir sama rata, namun pada malam tersebut, pasukan Veteran Selangor dan Pilihan Singapura mahu menyamakan rekod kemenangan masing-masing, dan pasukan Veteran Singapura serta Pilihan Selangor mahu melebarkan rekod masing-masing.


II
Hasrat skuad Veteran Selangor untuk menebus kekalahan pada edisi 2012 dan 2013 keatas skuad veteran Singapura tidak kesampaian apabila terikat seri 1-1 di Stadium Shah Alam. Bermain di hadapan puluhan ribu penyokong Merah Kuning, Veteran Selangor memulakan permainan dengan baik apabila melancarkan beberapa serangan ke kawasan Veteran Singapura.
Dengan azam yang tinggi untuk menebus kekalahan pada edisi terdahulu, akhirnya Veteran Selangor berjaya menjaringkan gol, hasil jaringan Anuar Abu bakar yang menerima bola hasil gerakan jurulatih Harimau Malaya, Dollah Salleh yang melorongkan bola kepada Datuk Soh Chin Aun ke dalam kotak penalti Veteran Singapura.
Pada minit ke-7, rembatan deras yang menghasilkan gol buat pasukan Veteran Selangor dilakukan oleh bintang Selangor era 90an, Anuar Abu Bakar. Anuar, anak kelahiran Muar (Johor), mewakili Selangor bermula 1993 sehingga 1997. Beliau turut mengasaskan Akademi Bolasepak Anuar Abu Bakar (AAB) Soccer Kids - MBSA Shah Alam, dan kini menjadi jurulatih T-Team.
Pada minit ke-16 veteran Selangor membuat pertukaran penjaga gol dengan memasukkan Yap Kam Choon menggantikan Azlisham Ibrahim yang mengalami kecederaan tulang bahu setelah berlaku pelanggaran dengan V. Sundram Moorthy.
Namun, Veteran Singapura menyamakan kedudukan pada minit ke-20 hasil sumbangan Steven Tan. Gol ini tercetus selepas Veteran Singapura dihadiahkan sepakan penalti, berpunca daripada P. Maniam yang menjatuhkan kapten Veteran Singapura, Fandi Ahmad. Turut beraksi ialah Khan Hung Meng yang selama 12 tahun mewakili Selangor sejak 1981 hingga 1992. Kedudukan seri kekal sehingga tamat permainan.


III
Pilihan Selangor mempertahankan Piala Sultan Selangor apabila menewaskan Singapura, 2-1 dalam perlawanan yang diadakan di Stadium Shah Alam. Selangor mendahului pada separuh masa pertama hasil gol penalti yang dijaringkan melalui Paulo Rangel pada minit akhir separuh masa.
Kira-kira 70,000 penonton menyaksikan perlawanan itu yang turut dihadiri DYMM Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj yang mencemar duli untuk menyaksikan perlawanan Piala Sultan Selangor di samping Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah dan Menteri Besar Selangor, YB Azmin Ali di Stadium Shah Alam 
Singapura menyamakan kedudukan pada minit 68 hasil sepakan percuma Leonel Felice. Gol Pilihan Singapura dijaringkan dengan pasukan itu bermain 10 orang selepas seorang pemainnya dilayangkan kad merah selepas menerima dua kad kuning.
Selangor memastikan kemenangan milik mereka apabila Paulo Rangel sekali lagi menjaringkan gol pada minit 79. Hal ini membolehkan Pilihan Selangor mencetus kemenangan hatrik selepas pastikan kemenangan ke atas pasukan Pilihan Singapura tersebut.
Ini merupakan koleksi kejuaraan kelapan dimiliki Red Giant selepas memenanginya pada 2001, 2003, 2005, 2008, 2012 dan 2013 serta berkongsi gelaran bersama pada 2004.
Barisan Pemain:
  • Pilihan Selangor: Mohd Farizal Marlias, Mohd Bunyamin Umar (kapten), MohdAzmi Muslim, S. Pantelidis, Mohd Rizal Fahmi Rosid, Andik Vermansah (ElieAiboy), S. Veenod, S. Kunalan (Mohd Fitri Syazwan Raduan), Mohd Nazmi FaizMansor (Abdul Shukor Jusoh), Ahmad Hazwan Bakri (Muhd Afiq Azmi), Paulo Rangel.
  • Pilihan Singapura: Muhd Wahyudi Abdul Wahid, Cerina Igor, Muhd Ridhuan, Muhamad, Shunsuke Nakatake, Geison Moura, Muhd Hafiz Mohd Nor, Muhd Fadhil Mohd Salim (kapten), Muhd Hafiz Abu Sujad, Mohd Faizal Amir (Emmeric Ong Yu Min), Muhd Aqhari Abdullah, Muhd Sufian Anuar.
  • Pengadil: Thoriq Munir Alkatiri (Indonesia).

IV
Terdahulu, penganjur Piala Sultan Selangor 2014 telah mengagihkan 30,000 tiket percuma kepada pelajar sekolah di seluruh Selangor bagi menyaksikan perlawanan tradisi Selangor menentang Singapura di Stadium Shah Alam tersebut.
Pengerusi dan pengurus pasukan Selangor, Datuk Abd Karim Munisa berkata, tiket itu diberikan bagi mengalakkan anak muda menyaksikan perlawanan penuh bersejarah selain mengenali pemain-pemain veteran dan baharu Selangor.
Beliau berkata pihaknya juga menjual 2,000 tiket berharga RM10 dan peminat bola sepak boleh membelinya di Restoran Uncle K cawangan Paradigm Mall, SACC Mall Shah Alam, Taman Tun Dr Ismail Kuala Lumpur dan di Hotel Concorde Shah Alam serta di Stadium Shah Alam pada hari perlawanan.  
Pilihan Selangor yang diwakili kesemua pemain dari Liga Super dan seorang pemain jemputan Elie Aiboy yang pernah beraksi bersama Selangor 2005,2006 dan 2008. Selaku juara, Pilihan Selangor membawa pulang trofi dan wang tunai berjumlah RM50,000 yang disampaikan oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah kepada kapten pasukan, Mohd Bunyamin Umar manakala Pilihan Singapura kendalian Amin Nasir meraih RM10,000 selaku naib juara.
Secara umumnya, para penonton terhibur dengan permainan mereka terutamanya pasukan veteran. Untuk musim 2015 dan mendatang, semoga Gergasi Merah tidak hanya menang Piala Sultan Selangor saja lagi. Juga, semoga Stadium Shah Alam tidak hanya dibanjiri pada perlawanan tertentu saja lagi. Sokong; waktu gagah dan rebah. Bersama martabatkan jersi dan liga tempatan kita. Viva Selangor. Padu.

--------------------------------------------------
Sumber dan rujukan:
  1. http://www.bharian.com.my/node/8258;
  2. http://www.selangorpress.com/blog/piala-sultan-selangor-pilihan-selangor-kekal-kejuaran-tiga-edisi-berturut-turut-veteran-selangor-kongsi-kejuaraan/#sthash.02o1UWBo.dpuf;
  3. http://mynewshub.cc/2014/09/28/pilihan-selangor-pertahan-kejuaraan-piala-sultan-selangor/;
  4. http://bm.selangorku.com/59554/pilihan-selangor-menang-2-1-ke-atas-pilihan-singapura/;
  5. https://www.facebook.com/selangorfc?ref=ts&fref=ts.

1 ulasan:

  1. salam blogwalking dari parihh :) jangan lupa singgah http://blogparihh.blogspot.com/

    BalasPadam

Dr. Zulkifli Hasan: Menjambatani Persaudaraan, Menyubur Kesejahteraan

  Dr. Zulkifli Hasan: Menjambatani Persaudaraan, Menyubur Kesejahteraan   Oleh: Zairudin Hashim (Ahli Dewan Tertinggi Majlis Belia M...