I
Pemimpin Melayu Sri Lanka
kunjungi CEO MLL4S.
Alhamdulillah, pada 21hb Oktober 2014 (Selasa), Presiden Persidangan Melayu Sri Lanka (COSLAM), Tuan Haji Khaludeane Azoor LL.B., telah mengadakan kunjungan hormat ke atas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Malaysia Life Line For Syria merangkap Ketua Biro Tugas-Tugas Khas ABIM, Saudara Syahrir Azfar Saleh, di Sekretariat MLL4S, di Wangsa Maju. Turut hadir dalam kunjungan tersebut ialah Penolong Setiausaha Agung ABIM, Saudara Ahmad Fahmi Samsuddin.
Beliau yang lebih mesra dengan panggilan T.K. Azoor telah mengenali Saudara Syahrir dan Saudara Fahmi sejak tahun 2008 ketika kedua-duanya masih menuntut di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), dan mengikuti ‘Misi Kesukarelaan ke Sri Lanka’ di bawah Grup Pengkaji Tamadun Dunia Sri Lanka (GPTD-Sri Lanka).
Pasukan seramai 6 orang itu telah berlepas dari KLIA pada, 15hb November 2008. Para pembaca yang budiman boleh mengikuti perjalanan mereka di Colombo, Hambantota dan Kurunegala (Hampir separuh daripada keluasan negara Sri Lanka ketika pasca Tsunami) pada pautan ini:
Ketika ini, Tuan T.K. Azoor berkhidmat sebagai peguam sepenuh masa dan beliau juga pernah berkhidmat selaku Pengetua (Principal) Kolej zahira di Colombo, Sri Lanka. Beliau berada di Malaysia dalam beberapa acara anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) serta Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI) di Melaka.
II
Pertemuan
dengan Ketua Pengarah DBP.
Selanjutnya,
Tuan T.K Azoor turut melakukan kunjungan terhadap sahabat lamanya yang juga
Ketua Pengarah DBP, Datuk Dr. Haji Awang Sariyan. Pertemuan tersebut adalah untuk
membincangkan ‘Hari Bahasa Melayu Ke-9’ di Colombo pada bulan Januari 2015.
Terdapat kira-kira 60 ribu orang waris Melayu di Sri Lanka.
Dr.
Awang Sariyan, yang turut dikenali sebagai ‘Kembara Bahasa’, pernah menulis
berkenaan budaya Melayu Sri Lanka dalam naskah ‘Warisan Melayu Sri Lanka’
terbitan DBP. Buku ini ditulis bersama-sama Tan Sri Profesor Emiritus Dato' Pendita Dr. Ismail Hussein (Almarhum).
Beliau
sebelumnya merupakan Profesor Bahasa di UPM dan UM, Penyandang Pertama Kursi
Pengajian Melayu Kerajaan Malaysia di Beijing Foreign Studies University;
penulis buku ilmiah, buku umum dan buku teks; perunding bahasa di dalam dan di
luar negara; pernah menjadi Profesor Tamu di Universiti Frankfurt, Jerman dan
Universiti Sumatera Utara dan pemakalah di pelbagai persidangan, termasuk di
Australia, Belanda, Cambodia, Indonesia, Jerman, Korea Selatan, Perancis,
Republik Rakyat China, Singapura, Sri Lanka, Thailand, dan United Kingdom.
Di
UKM, Dr. Awang berjaya memperoleh Ijazah Sarjana Muda Persuratan (1976), Ijazah
Sarjana Muda Persuratan (Kepujian Kelas Dua Atas) (1977) dan Diploma Pendidikan
(1977). Dr. Awang pernah melakukan kerja sambilan dengan menjadi guru Bahasa
Melayu dan Kertas Am di Yayasan Anda Akademik yang pada waktu itu terletak di
Kampung Baru dan kemudian berpindah ke Jalan Pantai Baharu. Di Yayasan
Anda itulah beliau mengenal beberapa orang tokoh gerakan belia Islam, seperti
Anwar Ibrahim (kini Dato’ Seri) yang menjadi Pengarah Yayasan Anda di samping
menjadi Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM); Kamaruddin Mohd. Noor (kini
Dato’) selaku Pendaftar Yayasan Anda, Ustaz Mohd. Mina Ismail, Ustaz Othman
Bakar dan beberapa yang lain. Pada waktu itu, Ibrahim Ali, Abdul Rahman Rukaini
dan Fuad Hassan turut mengajar di Yayasan Anda, juga sebagai guru sambilan.
Di
kampus UKM, Dr Awang giat menulis untuk akhbar dan majalah seperti Dewan
Masyarakat, Dewan Bahasa, Sarina, Dian, Potensi, Akademik, Widya, Santa Jiwa
dan beberapa yang lain lagi, di samping wadah penerbitan kampus seperti akhbar
Gema Siswa, majalah Semesta, majalah Suara Bangi dan pelbagai buletin
persatuan.
Antara
hadiah dan anugerah yang pernah diperolehnya termasuklah Hadiah Persuratan
Sambutan 10 Tahun UKM, Anugerah Khidmat Cemerlang DBP, Hadiah bahasa PLM-Public
Bank, hadiah dua Dekad UPM, Anugerah Tinta Kencana (kategori Makalah Ilmiah),
Pengiktirafan Siswazah Cemerlang Sambutan 35 tahun UKM dan Kesateria Mangku
Negara daripada Yang di-Pertuan Agong.
III
Pertemuan dengan Presiden GPTD.
Kemudian,
pada 22hb Oktober 2014 pula, satu pertemuan telah diadakan di antara Tuan
T.K Azoor dan Presiden GPTD, Saudara Muhammad Suhail di Lantai Tiga, Gombak. Tuan Azoor telah menjadi rakan
perhubungan GPTD sejak tahun 2004 lagi. Antara yang dibincangkan ialah
program-program kerjasama yang boleh dijalankan, terutamanya dalam
mengembalikan jati diri Melayu seperti kem bahasa Melayu dan sebagainya. GPTD
juga berhasrat untuk menghantar lebih ramai sukarelawan ke Sri Lanka, sebagai
pusat latihan dan khidmat bakti kepada masyarakat Melayu-Islam khasnya.
Dalam
pertemuan tersebut, Tuan Azoor juga sempat menceritakan kehidupan muslim Sri
Lanka sekarang. Turut hadir ialah Saudara Akmal, yang terlibat dalam projek
pertama Sri Lanka (2004) dan Puan Ain Najwa, Ketua Grup GPTD Sri Lanka (2008).
Salam
buat teman-teman di Sri Lanka!
IV
2009
dan Kerjasama PKPIM-GPTD-ABIM.
Pada
20hb Oktober 2009, Ahli-ahli GPTD Sri Lanka telah menghadiri satu pertemuan di
antara Naib Presiden Antarabangsa ABIM ketika itu, Saudara Khairol Faiz Morat
dan Tuan T.K. Azoor. Antara mereka yang hadir bersama adalah Saudara SyahrirAzfar, Syed Putra Iqmal (PMUIAM Nilai), dan juga Saudara Hanis Zakaria (UIAM
Gombak). Tuan Azoor yang menghadiri majlis konvokesyen anaknya di UIAM pada 10hb
dan 11hb Oktober 2009, mengambil kesempatan tersebut untuk menziarahi
kenalan-kenalan lama sekaligus merapatkan hubungan antarabangsa di antara dua
buah negara ini.
Menurut
Tuan T.K. Azoor, beliau menyokong penuh kerjasama di antara Badan Bukan
Kerajaan (BBK-NGO) PKPIM-GPTD-ABIM dan juga BBK-NGO di Sri Lanka, dan memuji
kepekaan serta semangat kesukarelawanan yang ditunjukkan oleh generasi muda
dalam gerakan PKPIM-GPTD-ABIM.
Selain
itu, Tuan T.K. Azoor turut menyatakan rasa gembiranya untuk kembali bertemu
dengan kenalan-kenalan lama setelah sekian lama tidak berhubung. Bagi beliau,
pertemuan berkala begini adalah amat baik di samping dapat mengeratkan
silaturrahim dan juga saling bertukar dan berkongsi pandangan mengenai
masalah-masalah berbangkit dan juga isu semasa.
V
Kolej
Zahira, Colombo
Zahira College (Kolej Zahira), Colombo merupakan
sekolah orang Islam pertama di Sri Lanka dan telah diasaskan pada 1892 sebagai
‘Al-Madrasathul Zahira’ oleh dua orang tokoh Muslim yang tersohor, I. L. M.
Abdul Aziz dan Arasi Marikar Wapchie Marikar, dengan bantuan Ahmed Orabi Pasha dari
Mesir. Kini, ia merupakan institusi pendidikan Islam terbesar di Sri Lanka
dengan lebih 4,000 orang penuntut di sana. Kolej ini terletak di tengah-tengah
Bandar Colombo. Di kolej ini juga terletaknya masjid tertua di negara tersebut. ‘Zahira’ bermaksud
‘cemerlang’ dalam bahasa Arab.
VI
Melayu
Sri Lanka
Bangsa
Melayu Sri Lanka merupakan bangsa minoriti di Sri Lanka berbanding bangsa
Tamil dan Moors (darah campuran bangsa Arab dan Tamil). Mengikut peratusan
penduduk, bangsa Melayu hanya beberapa peratus dari keseluruhan
penduduk Sri Lanka. Kebanyakan orang-orang Melayu di Sri
Lanka tinggal di kawasan persisiran pantai seperti di Hambantota.
Menurut
sejarah, orang Melayu Sri Lanka telah mula wujud dan menetap di Sri
Lanka sejak kurun ke-13 lagi. Terdapat dua faktor utama yang menyebabkan
bangsa Melayu berhijrah ke Sri Lanka lama dahulu. Faktor pertama
adalah kerana askar-askar Melayu dari kepulauan Melayu di hantar ke Sri
Lanka bagi membantu British di sana. Mereka digelar sebagai Orang
Rejimen (Ceylon Rifle Regiment of Malays).
Mereka
sangat dihormati dan diberikan gelaran-gelaran tertentu kerana keberanian dan
kesetiaan mereka. Akhirnya, askar-askar ini memilih untuk menjadi penduduk tetap
di sini dan mereka telah dianggap sebagai kaum elit yang menerima pelbagai kelebihan
dari kerajaan British.
VII
Kelompok
kedua Melayu
Sri Lanka.
Kelompok
kedua yang menyebabkan wujudnya bangsa Melayu di Sri Lanka juga
disebabkan oleh golongan pembesar-pembesar dan anak-anak raja yang di buang
negeri oleh British dari kepulauan Melayu ke Sri Lanka. Sebagai contoh,
kisah Syeikh Yusof Al-Makasari yang di percayai merupakan golongan diraja dan
bangsawan dari Tanah Jawa yang kuat menentang penjajahan British di kepulauan
Melayu. Disebabkan rasa terancam, pihak British telah mengambil keputusan untuk
membuangnya di Sri Lanka selama 11 tahun.
Ada juga
pendapat yang menyatakan orang Melayu Sri Lanka pada awalnya merupakan
pelayar-pelayar Melayu yang berdagang ke Sri Lanka. Melalui kawasan persisiran
pantai, sebahagian daripada mereka membuat keputusan untuk menetap di sana.
Disebabkan oleh itu, kebanyakan bangsa Melayu di Sri Lanka tinggal di
kawasan persisir pantai dan bekerja sebagai nelayan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan