Khamis, Mei 15, 2014

Selangor Juara Liga Super 2009.

Selangor Juara Liga Super 2009.
25hb Julai 2009: Gelaran gergasi bola sepak negara 2009 menjadi milik Selangor. Mereka tampil dengan kelas tersendiri untuk bergelar juara Liga Super 2009. Walaupun sudah mengesahkannya selepas perlawanan menentang Polis Diraja Malaysia (PDRM), tetapi Selangor tetap garang untuk menutup saingan musim 2009 dengan kejayaan cemerlang.
Selangor berjaya menjuarai Liga Super 2009 biarpun masih berbaki satu perlawanan selepas mereka berjaya membelasah PDRM, 6-1 di Stadium Selayang. Selangor mendahului 2-0 pada separuh masa pertama menerusi lambungan Rudie Ramli (minit ke-3) dan tandukan Nasriq Baharom (minit ke-29).
Pada babak kedua, Selangor menambah empat lagi gol hasil tandukan Amri Yahyah (minit ke-46), sepakan penalti Razman Roslan (minit ke-54), tolakan mudah Amirulhadi Zainal (minit ke-71) dan rembatan jarak jauh D. Surendran (minit ke-75). PDRM bagaimanapun memperolehi gol saguhati pada minit ke-84 menerusi Khairul Izuan Abdullah.
Selangor membelasah Pahang 5-1 pada aksi terakhir di Stadium Shah Alam. Kemenangan tersebut membolehkan Selangor mengumpul 63 mata hasil daripada 20 kemenangan, seri tiga kali dan tewas tiga kali sepanjang musim 2009.
Sejurus selepas tamat perlawanan, skuad Selangor menerima trofi kejuaraan yang disampaikan oleh Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim. Kekalahan Pahang pula menyaksikan skuad bimbingan Dollah Salleh itu seharusnya tersingkir ke Liga Perdana musim 2010 bersama-sama PDRM.
Ini merupakan kali pertama Selangor muncul juara Liga Super sejak diperkenalkan pada 2004. Namun, bagi jurulatih Selangor, K. Devan, ia adalah kali kedua beliau memenanginya selepas membawa Negeri Sembilan muncul juara pada 2006. Beraksi di hadapan 3,000 penonton, Devan tetap menurunkan kesebelasan utama terbaiknya termasuk ketua pasukan, Amri Yahyah yang beraksi untuk skuad kebangsaan bertemu Manchester United kira-kira 24 jam sebelumnya.
Pahang buat pertama kalinya tersingkir ke saingan liga bawahan sejak liga semi-pro diperkenalkan pada 1989. Kekalahan 1-5 kepada Selangor menyebabkan skuad Tok Gajah bimbingan Dollah Salleh itu menamatkan 26 perlawanan Liga Super musim ini di tangga kedua tercorot.
Secara automatik, dua pasukan tercorot Liga Super akan tersingkir ke Liga Perdana musim berikutnya. Namun, pada Kongres Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) ke-46 pada 21 Jun 2009, Sultan Pahang, DYMM Sultan Ahmad Shah selaku Presiden FAM biarpun tidak hadir; sempat menyampaikan titahnya menerusi Timbalan Presiden FAM, Datuk Redzuan Sheikh Ahmad yang mahukan format Liga Malaysia dirombak musim 2010. Para pemain Juara Liga Perdana 2009, Harimau Muda A (Malaysia Bawah 21 Tahun) akhirnya diarahkan untuk menyertai pasukan negeri masing-masing, dan hanya akan dikumpulkan semula apabila ada tugasan antarabangsa. 
Pemerhati dan juga peminat bola sepak tempatan melihat cadangan Presiden FAM itu secara umumnya mahu menyelamatkan pasukan Pahang daripada beraksi dalam saingan liga bawahan pada musim 2010. Tindakan mahu mengubah format liga musim 2010 sebenarnya ‘ulangan’ kepada tindakan FAM ketika mereka menukar format Liga Malaysia untuk musim 2007 sejurus berakhir saingan musim 2006.
Pada musim 2004, 2005 dan 2006, FAM menetapkan lapan pasukan sahaja beraksi pada Liga Super tetapi mereka membuat keputusan mengubahnya kepada 14 pasukan untuk musim 2007. Alasan yang sama digunakan FAM ketika itu iaitu mahu Liga Super lebih kompetitif sedangkan pada saingan 2006 itu, Pahang menduduki tangga ketujuh daripada lapan pasukan dan sepatutnya turun ke Liga Perdana musim 2007.
Disebabkan perubahan format baru itu, Pahang tidak disingkirkan ke Liga Perdana, sebaliknya diberi peluang beraksi dalam saingan ‘play-off’ bagi menentukan 14 pasukan yang layak beraksi pada Liga Super format baru pada 2007. 
Pada perlawanan ‘play-off’  pertama iaitu pada 18 dan 21 Jun 2006, Pahang tewas dengan agregat 1-2 kepada Brunei DPMM selepas seri 0-0 pada perlawanan di tempat sendiri sebelum tewas 1-2 di tempat lawan. Namun, Pahang diberi peluang kedua apabila bertemu Sabah pula dalam perlawanan ‘play-off’  kedua pada 25 dan 28 Jun 2006 dan kali ini mereka berjaya juga ke Liga Super selepas menang dengan agregat 4-3.
Semenjak liga diasaskan pada 1982, nama bagi Liga Malaysia sering diubah mengikut format pertandingan. Jumlah pasukan juga sering berubah-ubah. Pada 2004, perubahan drastik dilakukan oleh FAM dengan membenarkan hanya 8 pasukan bertanding di Liga Super. Manakala 16 lagi pasukan bersaing di Liga Perdana yang dibahagikan kepada dua kumpulan.
Selepas tiga musim, FAM sekali lagi mengubah jumlah pasukan kepada 13 pasukan. Pada musim 2008, FIFA mengkritik format liga yang digunakan FAM. FAM menerima kritikan tersebut dan mereka menambah jumlah pasukan kepada 14 pasukan.Bermula tahun 2013, jumlah pasukan kembali dikurangkan kepada 12 pasukan di mana sistem perlawanan ‘play-off’’  diperkenalkan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Dr. Zulkifli Hasan: Menjambatani Persaudaraan, Menyubur Kesejahteraan

  Dr. Zulkifli Hasan: Menjambatani Persaudaraan, Menyubur Kesejahteraan   Oleh: Zairudin Hashim (Ahli Dewan Tertinggi Majlis Belia M...